Kaunselor Anda: Isteri terlanjur dengan suami orang
Setelah sekian lama melakukan noda, wanita sedar apa yang dilakukan itu salah dan berdosa besar
Soalan
SAYA sudah berkahwin tetapi pernah menjalin hubungan dengan lelaki yang juga suami orang sepanjang perkahwinan saya dan kami terlanjur beberapa kali. Perkara ini berlaku disebabkan kesunyian dan hawa nafsu, lebih-lebih lagi suami ketika itu bekerja malam.
Setelah sekian lama melakukan noda, saya sedar apa yang saya lakukan itu salah dan berdosa besar. Untuk mengelakkan berhubung dengan lelaki itu saya minta suami bertukar kerja pada waktu siang. Setelah beberapa bulan suami bekerja siang, saya disahkan hamil dan yakin anak itu adalah daripada benih suami.
Sebaik selamat melahirkan anak, bekas teman lelaki mengatakan bahawa anak saya mirip sekali muka anaknya walaupun melalui kawan saya. Bagaimanapun, saya tetap yakin yang anak itu anak suami saya. Sekarang ini saya buntu sama ada patutkah saya beritahu suami mengenai kecurangan saya di belakangnya sehingga sanggup berzina. Perkara itu menghantui saya sehingga sekarang. Saya takut jika saya beritahu, suami akan menceraikan saya. Saya sayangkan suami dan perkahwinan serta anak-anak kami, Tolonglah saya.
Isteri Insaf.
Jawapan:
Salam pertemuan buat puan yang sedang berlatih untuk membina keyakinan berasa dekat dengan Tuhan. Puan, sedarlah dalam dunia ini tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan. Tidak ada manusia yang tidak buat silap dalam hidup. Cuaca juga ada kalanya cerah, mendung, gerimis dan ribut. Hidup ini ibarat belayar di lautan, ada ketikanya tenang dan ada ketikanya ombak menjadi hiburan dan kedamaian. Ada masanya ombak yang menggunung, mengancam dan menelan mangsanya. Ada gelora, tetapi pasti semuanya tidak kekal, ia akan berakhir dengan angin sepoi-sepoi bahasa untuk kita meneruskan kehidupan. Hanya mereka yang kuat, tabah dan menghubungkan seluruh kehidupannya saja yang mampu tenang semula, Maka kita pelayar, kita nelayannya, pasti akan menyebut Allah apabila ribut dan gelora menggila, tetapi lupa bila sengsara dilepaskan, sakit dihilangkan, sesat disedarkan dan susah disenangkan.
Begitulah kita dalam kehidupan berkeluarga. Kecurangan yang berlaku berpunca daripada banyak sebab, tetapi sebab yang paling besar ialah puan tidak dididik untuk merasa dekat dengan Allah. Puan hanya tahu ada Allah dalam kepala, tetapi tidak berasakan Allah itu sangat dekat dengan puan sebagai mana puan berasa suami berada di sisi puan. Sesungguhnya Allah lebih dekat dengan kita daripada ayah, ibu dan suami, isteri kita atau anak kesayangan kita.
Ini yang puan tidak dapat rasakan sehingga mendorong puan untuk berasa suami puan tidak ada di sisi. Jika manusia yang sudah tidur bersama puan, mengambil puan jadi isteri, puan tidak rasa kehadirannya di hati, hanya dekat di mata tapi jauh di hati, bila jauh di mata lagi jauh di hati maka mana mungkin puan akan berasa dekatnya Allah di otak, perasaan dan di hati. Sedarlah bahawa kehadiran Allah dengan puan lebih dekat daripada urat di leher puan, tetapi puan tidak dapat rasakan. Akibatnya puan tidak berasa dilihat Tuhan ketika melakukan maksiat kerana puan berasa dapat sembunyi daripada suami saja sudah memadai.
Jika keyakinan bertuhan tidak dirasa puan akan mudah terperangkap dengan maksiat bila ada kesempatan. Kini puan berasa takut dengan suami belum takut dengan Allah. Puan berasa bersalah dengan suami tetapi belum berasa bersalah dengan Allah. Sebab puan takut untuk berterus terang dengan suami saja, itupun takut diceraikan. Keadaan ini menunjukkan puan kurang merasakan yang jodoh pertemuan puan di tangan Tuhan bukan saja di tangan suami.
Puan sayang suami dan anak tetapi puan kotori diri puan dengan perbuatan terkutuk. Bagaimana puan ingin mendidik anak untuk kenal Tuhan. Inilah persoalannya. Nasihat saya puan harus bertaubat dengan Allah terlebih dahulu dengan taubat nasuha (mengadu dan memohon ampun dengan Allah atas semua kesalahan anda dan berjanji tidak akan mengulang lagi dalam apa keadaan pun). Jika tidak tahu tanya pada orang yang tahu atau belajarlah dengan panduan buku yang banyak di pasaran. Kemudian, barulah puan perlu memohon ampun dan bertaubat secara jujur dengan suami. Tidak ada jalan pintas, kerana puan melakukan maksiat itu ketika bergelar seorang isteri.
Jika suami puan dididik untuk dekat dan patuh pada Allah maka dia tidak akan dengan mudah menceraikan puan. Suami yang baik akan memaafkan kesalahan isteri walau sebesar manapun dosa isterinya kerana Allah mengampunkan semua dosa hambanya walau seluas lautan dan selebar bumi dosa dan kesalahan hambanya.
Jika Allah boleh ampunkan hambanya maka orang yang berasa yang dirinya hamba Allah akan melakukan sedemikian. Mudah-mudahan puan akan diampunkan oleh suami sebelum dijemput Tuhan kerana reda Allah ada dalam redanya suami dan reda ibu bapa.
Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan anda ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my
~kenapa seorang isteri sanggup berlaku curang kepada suaminya? begitu sebaliknya ada juga suami yang curang dengan isteri? seolah-olah tidak kenal halal dan haramnya? Itulah kerjanya syaitan sentiasa menyuruh manusia berbuat kejahatan~ apa komen anda?
SAFIZA MOHD AZMI berkata,
Mei 21, 2008 @ 12:32 pm
assalamualaikum…….berdasarkan situasi hari ini yang melihatkan maksiat seperti kfc dah cuba pasti nak lagi…..saya tidak mahu diri menjadi contoh terdekat…cuma apa yg saya nak sampaikan…..pokok pangkal terletak pada hati dan iman….diri ini juga sering digoda oleh lelaki yang meletakkan nafsu di tangga teratas….tetapi….masih dihadang oleh iman dan kekentalan jati diri yang kukuh….bukankah solat itu sepatutnya menjadi penghalang kepada segala maksiat??? jika masih cintakan maksiat biarpun solat tak pernah tinggal….. adakah solat itu tidak bermakna???? di sinilah letaknya kekuatan iman dan jati diri kita sebagai wanita Islam…..jika kita menyedari tanggungjawab kita dan sedar siapa DIRI kita…..takkan kesunyian terubat dengan layanan nafsu semata-mata????? Allah menjanjikan Al-Quran pengubat dan penyembuh segala-galanya…..saya menyeru semua isteri-isteri yang berpegang kepada Islam……ilmu perlu dituntut….ilmu yang ada perlu di amalkan…dan hasilnya InsyaAllah menjadikan diri kita sentiasa BERIMAN dan tawadukk….guru saya sentiasa mengulang pesanan ini buat saya….UNTUK MENJADI INSAN YANG CEMERLANG FARDHU AIN HENDAKLAH DIJUNJUNG DAN FARDHU KIFAYAH MESTILAH DIJINJING BERSAMA…………..WALLAHUALAM.
nuriman berkata,
Mei 22, 2008 @ 2:16 am
waalaikumusalam…………..
tak taulah la ni kalu baca aje h metro ada2 ajelah citer2 yg membuatkan kita mual…baik dari anak muda remaja hinggalah ke dah berumur..yalah betul kata puan tuh..pokok pangkalnya hati dan iman….
rasanya kalau kesunyian tu ada baiknya buatlah benda2 yg berfaedah..mengaji ke tanam pokok bunga ke menjahit ke dari duk pk benda2 yg tak elok ikut nafsu semata2 baik wat kerja lagu2..hepi lagi tau………kalau seorang isteri yg beriman dia akan setia hanya kepada suaminya sahaja…..
mekasih komen ni ya…