Sebutir nasi, sejuta keinsafan
E-MEL yang kuterima pagi tadi benar-benar menyentuh hatiku. E-mel yang merayu bantuan dunia untuk krisis makanan yang mencengkam dunia ketiga terutamanya, amat meruntun jiwa, apatah lagi melihat gambar-gambar kanak-kanak kebuluran dan tidak cukup zat makanan.
Hiba rasanya melihat gambar kanak-kanak begitu kurus sehingga menampakkan bentuk rangka tulang, dan ada yang mengais-ngais makanan di tanah untuk mengutip sisa-sisa makanan. Aku hanya mampu berdoa untuk penyelesaian yang lebih baik untuk mereka. Namun, jauh di sudut hatiku, krisis makanan terburuk ini nyata menambah keinsafan dan cahaya muhasabah pada diri.
Kekurangan yang membimbangkan
Sana-sini kulihat dunia kini sedang hangat memperkatakan mengenai krisis makanan yang mencengkam kehidupan rakyat akibat harga makanan asas dan keperluan yang semakin meningkat. Malah terdapat perangkaan yang menyatakan bahawa di negara-negara miskin, seorang kanak-kanak terbunuh dalam masa lima saat setiap hari akibat kekurangan makanan berzat dan kelaparan! Alangkah bertuahnya kita di Malaysia kerana tidak mengalami krisis seburuk itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malah pemimpin beberapa negara telah menyimpulkan krisis itu sebagai ‘tsunami senyap’ atau ‘pembunuhan ramai-ramai dalam diam.’ Nyata krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua telah memberi impak yang besar, bukan sahaja dari sudut kesihatan penduduk tetapi juga daripada aspek sosial, ekonomi dan dasar-dasar negara.
Di sesetengah negara, rusuhan berlaku akibat daripada rasa tidak puas hati rakyat atas tekanan yang terpaksa mereka hadapi. Impak daripada kenaikan harga makanan asas dan bahan mentah lain seperti petroleum, benar-benar memberi kesan kepada kehidupan setiap warga. Harga barang yang berasaskan makanan asas atau bahan mentah tersebut juga naik. Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) yang bertanggungjawab memantau keperluan makanan dunia bimbang krisis global ini memungkinkan berlakunya lebih banyak rusuhan terutama di negara miskin seperti yang berlaku di beberapa negara seperti Haiti, Cameroon, Mesir, Argentina, Mexico dan Senegal.
Ini ditambah lagi dengan sikap peniaga yang kadang kala suka mengambil kesempatan atas kenaikan harga mentah dengan menaikkan harga sesuka hati. Malangnya nasib pekerja-pekerja ladang, petani-petani atau pekerja-pekerja yang bertungkus lumus mengusahakan ladang, sawah atau cari gali masih tetap sama dan mereka juga menanggung akibat daripada kenaikan harga tersebut.
Dalam kekalutan harga makanan dan bahan mentah yang meningkat, kulihat juga dalam laporan akhbar, penyeludupan semakin menjadi-jadi. Maka bertambahlah tugas pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah ini pula. Pendek kata, ‘tsunami senyap’ ini mendatangkan pelbagai kesan bukan sahaja kepada rakyat atau pengguna, tetapi juga kepada kerajaan dan pihak berkuasa.
Perkembangan semasa menunjukkan harga makanan dunia meningkat sebanyak 40 peratus manakala kadar simpanan makanan kini pada tahap terendah. Beberapa pemimpin dan pakar dunia mengaitkan antara punca masalah ini adalah kerana pasaran bebas, kuasa pasaran dan pemberian subsidi di negara maju. Kini harga minyak mentah mencecah AS$110.87 (RM349.24) setong dan dijangka mencecah harga tertinggi iaitu sehingga AS$118 (RM371.70) setong. Ketua Pengarah FAO, Jacque Diouf pernah menyatakan kepada akhbar Telegraph bahawa peningkatan harga minyak dan harga makanan dunia bakal mengundang krisis sosial yang teruk pada masa depan.
Ada yang mengaitkan dengan pemanasan global salah satu punca kepada masalah ini juga. Perubahan ini dan cuaca yang tidak menentu menyebabkan beberapa wilayah tanaman menjadi kering-kontang yang juga turut menjejaskan pengeluaran bahan mentah dan makanan asas. Ia juga memberi kesan kepada perubahan geografi seperti daratan, tumbuhan, haiwan dan sumber air serta habitatnya. Bencana alam yang berlaku saban hari di kebanyakan tempat di dunia juga menjejaskan sumber makanan.
Sejauh mana kita bersyukur dan berusaha
Di sebalik semua itu, untuk negara yang tidak terasa begitu ketara mengenai kekurangan makanan seperti Malaysia, perjuangan rakyat mungkin belum sampai merusuh untuk mendapatkan sesuap nasi, tetapi mungkin dalam mengimbangkan pendapatan dan taraf hidup dengan beban kenaikan harga barang yang terpaksa ditanggung. Kerajaan telah mengarahkan untuk mengurangkan kos projek untuk meningkatkan kadar simpanan makanan dan pengeluaran makanan. Rakyat digalakkan berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian, dan bersedia untuk mencari alternatif untuk sumber makanan yang ada.
PBB juga menggariskan pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi masalah ini. Strategi jangka pendek ialah dengan menggalakkan pelbagai negara di dunia mengambil tindakan ‘berskala besar dan peringkat tinggi,’ serta mendermakan wang kepada PBB untuk membantu negara dan rakyat yang paling miskin.
Strategi jangka panjang adalah meningkatkan daya pengeluaran pertanian negara kurang maju dan berusaha mengubah sistem perdagangan antarabangsa yang sedia ada. Ia juga menuntut negara maju membatalkan subsidi pertanian, dan meredakan kenaikan harga bahan makanan.
Semua ini menambahkan keinsafan kepadaku. Dalam konteks negara Islam, kadangkala aku terfikir negara Islam mempunyai kelebihan yang banyak. Nikmat bumi Islam adalah hasil bumi yang banyak seperti gas asli, minyak, uranium dan sebagainya, tanah yang luas, kepadatan penduduk yang tinggi serta ajaran Islam dan contoh ikutan yang unggul. Kadangkala aku terfikir sistem kapitalis Barat yang mencengkam sistem pasaran dunia nyata telah memberi impak yang besar kepada dunia Islam.
Umat Islam tertindas kerana mereka bukan negara pengeluar, sebaliknya hasil bumi mereka dikaut oleh negara-negara besar lain, lantas cuba disorokkan dengan alasan-alasan untuk melindungi kenaikan harga barang. Sebaliknya jika rakyat mengambil perhatian yang serius untuk mengelakkan masalah ini menjadi barah di negara kita, aspek pertanian serta pengeluaran makanan dan hasil bumi perlu diberi perhatian.
Pengurusan yang cekap, telus dan efisien perlu untuk memastikan pengeluaran dan penghasilan bahan mentah menjadi lebih sistematik dan memberi faedah langsung kepada pengeluar dan pengguna. Penggunaan teknologi dan kaedah yang lebih maju perlulah lebih sentiasa ditingkatkan dan berupaya memberi pulangan kos dan keuntungan. Allah telah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi, justeru, kelebihan akal dan sumber bumi yang banyak perlu diuruskan dengan cara yang lebih baik bagi memastikan tiada yang tertindas disebabkan pihak yang ingin mengaut keuntungan daripada keringat orang lain.
Kesimpulan
Dalam mendepani cabaran ini, sewajarnya remaja sebagai pewaris hari depan peka dan sedar tentang permasalahan ini. Isu yang telah menjadi permasalahan global ini perlu diberi perhatian serius. Selain daripada tindakan-tindakan serta usaha kerajaan dan pihak berkuasa untuk mengurangkan beban kenaikan harga ini, kita juga perlu menyemaikan sifat berjimat cermat dan berhemah ketika berbelanja. Sebagai remaja, kita perlu berusaha meningkatkan ilmu untuk mempersiapkan diri menjadi tenaga yang akan meningkatkan produktiviti negara.
Renungilah nasib orang-orang yang kurang bernasib baik apabila pembaziran berlaku serta sentiasa menanamkan kesyukuran di atas apa yang Allah telah berikan kepada kita dan berusaha untuk berkongsi kemakmuran yang dikecapi dengan orang lain.
Selepas ini, pasti nasi yang kusuap dalam mulut terasa lebih bernilai daripada apa yang kunikmati sebelum ini.
hairieusoff berkata,
Mei 8, 2008 @ 4:36 am
insafi….
nuriman berkata,
Mei 10, 2008 @ 2:24 am
bila berlaku krisis makanan baru kita terasa orang kita banyak membazir..sedangkan masih ramai yg memerlukan makanan…sebuku roti terpaksa di kongsi sedangkan kita bermewah2 apa lagi kalau tibanya bulan ramadhan bagaikan pesta makanan..insaflah……..
nurulasyikin berkata,
Mei 15, 2008 @ 8:27 am
insaf…jgn mbazir.
cam knal la…
ni dok kota tinggi kan?
nuriman berkata,
Mei 17, 2008 @ 4:28 am
erm nampaknya kena makan ubi hihihi..ada kawan saya tanya..org yg menyarankan rakyat makan ubi tu ….adakah depa sendiri makan ubi?
saya asal pantai timur tp duk kat selangor ni………