Dr Asri: Hormati hak individu untuk tuntut ilmu

Hazayani Zakaria
Mon | Nov 02, 09 | 9:01:10 pm MYT
KUALA LUMPUR, 2 Nov: Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin meminta pihak-pihak tertentu agar tidak menggunakan kuasa agama sewenang-wenangnya untuk menangkap dan menghukum seseorang serta menghormati hak asasi seseorang untuk menuntut ilmu.

 

Beliau yang ditahan atas kesalahan mengadakan kuliah agama tanpa tauliah berkata, kerajaan seharusnya menyelaraskan tauliah yang diberikan agar dapat digunakan di semua negeri, bukan untuk negeri-negeri tertentu sahaja.

“Kalau satu individu nak berceramah di 14 buah negeri, takkan kena ada 14 tauliah. Kita mahu diselaraskan satu tauliah, supaya boleh dipakai di semua negeri. Saya boleh mengajar di universiti, pensyarah di USM Pulau Pinang. Saya ada pelajar master dan PHD di bawah (seliaan) saya. Mari nak mengajar di sini (Selangor), dia (JAIS) kata tak boleh. Universiti tu universiti kerajaan juga,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, siang tadi.

Beliau tiba di perkarangan mahkamah itu sejak 8.45 pagi sebelum dijadual dituduh jam 9 pagi.

Bagaimanapun menjelang jam 1 tengah hari, beliau dibebaskan dengan jaminan Jais selepas menunggu pihak pendakwaan hampir empat jam di situ.

Image Ditanya adakah tangkapan ini akan melunturkan semangat beliau untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat, beliau berkata:

“Saya Alhamdulillah tak rasa apa-apa. Saya rasa mudah-mudahan (tangkapan) ini boleh menjadi satu titik tolak dalam negara ini supaya kita menggubal undang-undang yang lebih terbuka dalam negara. Hormati hak asasi hak masyarakat untuk mendapatkan ilmu,”ujarnya penuh semangat.

Dr Mohd Asri ditahan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk ahli parlimen Ampang (PKR), Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang (PAS), Saari Sungib.

Sementara itu ahli parlimen Titiwangsa, Dr. Lo’ Lo’ Ghazali (gambar bawah) yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat kesal dengan penangkapan yang dilakukan terhadap Dr. Asri.

“Saya rasa memang sangat tidak wajar beliau ditangkap begitu kerana beliau adalah seorang ulama’, bukan sahaja terkenal dari segi populariti tetapi dari segi ilmu. Sehingga ke peringkat PhD,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen siang tadi.

Image Sebelum itu beliau turut hadir ke mahkamah bagi menunjukkan sokongan moral kepada Dr. Asri.

Beliau turut menyifatkan tangkapan yang dilakukan Jais itu sebagai mengaibkan dan menjatuhkan maruah Dr. Asri sebagai tokoh agama yang disegani masyarakat.

“Cara penangkapan itu memang mengaibkan dan menjatuhkan maruah beliau. Saya difahamkan antara 50 ke 100 orang polis ada bersama-sama pegawai-pegawai JAIS untuk menangkap seorang ulama. Saya rasa sangat kesal,”ujarnya.

Beliau juga tidak menafikan kemungkinan wujudnya unsur sabotaj pihak tertentu kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana penangkapan itu dilihat sangat bertentangan dengan sikap kerajaan negeri yang sangat terbuka dalam menyalurkan ilmu kepada masyarakat.

“Saya bimbang ada unsur sabotaj kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebab saya lihat penangkapan ini sangat bertentangan dengan kehendak kerajaan Selangor yang sangat terbuka terhadap ilmu. Tiba-tiba seorang yang berpontensi seperti Dr. Asri ditangkap dan dimalukan begitu sekali,” katanya lagi.

Ahli parlimen Baling, Ustaz Taib Azamudin (gambar bawah) yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara pula berpandangan, jika memang benar Dr. Asri ada melakukan kesilapan sewaktu menyampaikan ilmu, beliau tidak seharusnya diperlakukan sedemikian.

Beliau juga berkata, masalah tiada tauliah seperti yang didakwa seharusnya tidak timbul memandangkan latar belakang Dr Asri yang terkenal dalam bidang agama dan pernah memegang jawatan mufti.

“Dalam kes Dr. Asri, bagi saya bukan masalah tauliah yang patut kita utamakan. Sebab beliau adalah di antara orang yang dikenali latar belakangnya. Lebih-lebih lagi kerajaan Perlis pernah ambil beliau jadi mufti. Beliau pun bekas pensyarah dan kini menjadi pensyarah pula. Jadi orang-orang yang kita tahu latar belakang pendidikan yang sebegini, saya rasa tauliah bukan satu perkara yang harus kita jadikan satu perkara utama.

“Cuma kalau betul pun ada perkara-perkara yang perlu diperbetulkan disebabkan ketersasulan, kesilapan beliau, bagi saya bukan dengan cara penangkapan begini. Itu boleh dibetulkan dengan saluran yang lain atau lebih selesa,” katanya

 

6 Respons sehingga kini »

  1. 1

    pakcikli00 berkata,

    Asalamualaikum

    Setahu Pakcik Mat Jais hanya mendendangkan lagunya saja, tidak pula sampai menangkap orang mengaji, lain kerja pula yang dibuatnya.

    Terima kaseh salam hormat.

  2. 2

    nuriman berkata,

    Waalaikumusalam pak cik li…mat jais ni lain sikit…pelik betul la…

  3. 3

    Hj.Mat Pasir Pekan berkata,

    Hello tolong sikit,JAIS saumpama polis ,bila ada lapuran maka jais pun berkerja! anda tak kan tak tahu itu prosider.soal siapa yang disiasat tok guru ke ahli politik ke yang kelulusan phd ke .ana nak tanya siapa bagi phd kepada asri ,tok guru ke? ,ustaz ke ? .atau orang KAPIR di England.tolong la… open your main please!!. asri telah dibuang dari mufti perlis apa sebab,sudah tentu orang ini bermasaalah, membawa masaalah ,membawa ajaran sesat atau……… lain lain ……..terima kasih

    • 4

      nuriman berkata,

      salam haji mat kita tak yah kisah2 tentang dr asri ni…hanya Tuhan sahaja yang tahu..ni kita kisah pasai kelate lawan n9 ni haji mat ni oghe kelate ker..harap2 kelate menanglah ek..kiranya kelate dapat berapa ek? gomo kelate gomo…penyokong kelate jangalah emo sangat n bakar2 lagi takutlah kalu ganaih lagu tu dulu….menang kalah adat bertanding..tp sy mau kelate menang huhuhu.

  4. 5

    nursyirah berkata,

    salam syg k.iman…

    bg sue plak… sue HORMAT dr.asri ni… dari dulu smpi lah skrg… susah nak cari ulama yg sebijak n mempunyai ilmu agama yg tinggi mcm beliau… jgn berfikiran -ve, setiap yg berlaku ada hikmahnya… pasti ada sbb semua tuh terjadi… jgn hukum dr. asri tanpa tahu apa sebenarnya terjadi.. kita bukan berada dkt tempt kejadian tuhh so buanglah unsur2 -ve dlm minda msg2… ulama dlm negara kita ni bukannya ramai… hormati lah ulama yg ada ni… bilangan mereka ni semakin berkurang dari masa ke semasa. Allah akan bersama org yg berada dijalanNYA…

    salam…

  5. 6

    nuriman berkata,

    Salam sayang Sue hanya Tuhan sahaja yang tahu…cakap lebih2 kan takut menimbulkan fitnah kan…so kita tunggu dan lihat sahajalah…tp biarpun dia ada PHD dll..ustaz2 pondok2pun tinggi ilmu ugamanya…wassalam…


RSS Komen · URI Trackback

Katakan