Jangan jadi mangsa ‘perangkap’ raya

Minda:

RAMADAN bakal berakhir dan umat Islam akan menyambut Aidiltfitri. Persiapan menyambut kemenangan melawan hawa nafsu rancak kelihatan. Pasar raya, gedung beli-belah sungguh meriah dengan pelanggan berpusu-pusu melakukan persiapan menjelang Syawal dengan berlatar belakang lagu raya yang lunak berkumandang.

Dalam keghairahan berbelanja pengguna diingatkan jangan mudah terpedaya dan leka dengan alunan lagu raya hingga lupa pada hakikat sebenar Ramadan. Sedap mata memandang sedap lagi poket tauke gedung beli-belah berisi menjelang Aidilfitri. Tidak salah berbelanja, tetapi sila ukur baju di badan sendiri jangan sampai termenung lepas Aidilfitri.

Ramadan adalah medan jihad melawan hawa nafsu dan bulan mendekatkan diri dengan al–Quran, nikmat kemuncak kehidupan manusia di bumi Allah bagi mereka yang bertakwa. Tetapi muhasabah diri setakat mana penghayatan kita menghayati kalam Allah.

Berbalik kepada pengguna rancanglah perbelanjaan dan berjaga-jaga dalam membuat persiapan hari raya. Jangan jadi mangsa ‘perangkap raya’ dan kena ‘ketuk’ sebab cetek ilmu pengguna terutamanya apabila ke kedai servis kereta dan tayar. Benda sikit caj melampau yang tak perlu ditukar habis kena tukar sampai lari bajet raya.

Justeru, pilihlah bengkel kenderaan yang sesuai dan dapatkan khidmat nasihat mereka yang pakar untuk mengelak menjadi mangsa. Pastikan anda berada di sisi kenderaan kerana daripada hendak membuat ‘allignment dan balancing’ mungkin terus kena perah bak kata tauke kedai, “Ini mesti tukar, itu mesti tukar…ini banyak bahaya nanti accident lo…”

Pengalaman pengguna daripada servis puluhan ringgit melarat hingga ratusan ringgit.

Pengguna jangan panik dan pastikan keperluan utama ditukar dan pastikan ia produk tulen. Pastikan anda tidak berkompromi dengan kualiti tayar kerana tayar mempunyai persijilan tertentu. Ramai yang sering tertumpu pada aksesori, tetapi tidak pada kualiti tayar.

Isteri juga dinasihat mengawal diri kerana peranan menteri kewangan keluarga amat penting. Pembelanjaan terancang amat kritikal terutama pemegang kad plastik dalam menentukan kesinambungan ekonomi keluarga terus seimbang. Memang boleh bayar caj minimum setiap bulan, tetapi jangan hidup dibelenggu hutang.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendapati ada eksekutif muda hidup dalam bebanan hutang jangka panjang akibat penggunaan kad kredit yang tidak terkawal. Ramai juga yang tersenarai hitam apabila gagal melunaskan bayaran minimum yang bunyinya mudah, tetapi secara praktikal ramai yang tewas.

Kesannya pada pemilikan ekuiti anda memang perit apabila tersenarai hitam hingga sukar memohon pinjaman apabila teringin memiliki rumah idaman. Jadilah penyewa tegar dan terus berangan merasai nikmat ada rumah tempat berteduh milik sendiri.

Mereka yang bermasalah hubungi Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (AKPK) di Bank Negara sebelum terlewat. Jangan jadi hamba hutang kerana ia memberi kesan buruk kepada keluarga tercinta. Rancang kewangan anda terutama menjelang hari lebaran.

Kepada yang berasa diri tertipu dalam apa-apa urus niaga pastikan resit pembelian disimpan kerana ia penting bagi mengemukakan tuntutan sekiranya anda berasa telah ditipu.

Tuntutan boleh dikemukakan di Tribunal Tuntutan Pengguna di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Ramai pengguna yang tertipu dan membayar lebih daripada harga sepatutnya telah mendapat pengadilan melalui saluran ini.

Apapun, sebagai pengguna kita harus sedar hak dan tanggungjawab kita. Bunyinya mudah, tetapi ramai yang terus tertipu kerana cetek ilmu pengguna dan tidak tahu di mana untuk salurkan aduan. Insya-Allah ruangan ini akan membincangkan isu kepenggunaan bagi kebaikan masyarakat pengguna.

Saya akan mengupas isu pengguna berdasarkan realiti dan pengalaman saya sebagai aktivis pengguna serta pengalaman pengguna lain. Ruangan ini memang untuk pengguna.

Menjelang Syawal beberapa hari lagi peringatan sekali lagi kepada anda pastikan ibadah kita di bulan Ramadan tidak disia-siakan dengan kerakusan hawa nafsu yang mengundang padah di kemudian hari. Berbelanjalah dengan bijak dan secara sederhana.

Akhirnya ingin saya berkongsi pengisian tazkirah Subuh di Ramadan oleh pengerusi surau masjid di kariah saya. Beliau menyentuh bagaimana saat perpisahan kita dengan Ramadan bulan yang penuh kerahmatan, keampunan dan kemenangan.

Berpisahnya kita dengan Ramadan umpama terpisahnya bunga yang gugur dari tangkainya. Namun nikmatnya tidak berakhir kerana akan berbuah pula tangkai berkenaan. Buah itu akan terus subur hingga masak ranum untuk dimakan dengan nikmat kesyukuran.

Kita seharusnya terus menanti tangkai itu kembali berputik dan berbunga kembali. Berdoalah kita kepada Allah s.w.t dengan penuh harapan agar dapat menikmati keindahan Ramadan akan datang kerana di dalamnya penuh kerahmatan, keampunan dan kemenangan bagi mereka yang benar-benar memahaminya.

Salam pengguna dan ketahuilah hak anda sebagai pengguna. Berhati-hati menuju destinasi agar Syawal membawa perkhabaran gembira buat keluarga tercinta dan bukan penambahan statistik tragedi. Jangan lupa doa naik kenderaan dan rancang solat anda. Celikkan mata sebelum terus menjadi mangsa kepenggunaan akibat kurang kesedaran. Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin.

Penulis ialah Pengarah Projek PPIM

Komen (3) »

salam hari raya

Assalamualaikum kepada muslimin dan muslimat dan sahabat-sahabat semua. Sebelum terlupa saya dan family ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut hari raya aidilfitri serta maaf zahir dan batin kepada semua. Andai ada terkasar bahasa baik dalam menulis dan memberi komen mohon di ampunkan segala kekhilafan saya.

Kepada yang  pulang ke kampung halaman masing-masing berhati-hatilah ketika memandu, sayangilah keluarga anda. Jumpa lagi selepas raya


Sekian Wassalam

kad raya

Komen (10) »

Buang ibu di Aidilfitri

p/s Tergamak anak membuang ibunya sendiri, anak jenis apakah ini. Kekadang terfikir juga orang yang mempunyai ramai anak belum tentu dapat membahagiakan ibu dan bapanya. Orang yang tidak mempunyai zuriat belum tentu hidup  tidak bahagia. Seorang ibu boleh menjaga anak yang ramai tetapi anak yang ramai belum tentu dapat menjaga ibunya seorang.  Bertuah dan beruntunglah ibu bapa yang mempunyai anak yang soleh dan solehah. Ibu cuma seorang sahaja di dunia ini sedangkan isteri,suami,kekasih boleh bertukar ganti. So renung-renungkanlah.

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Sekeras-keras batu, keras lagi hati seorang anak lelaki yang tergamak memecut kereta meninggalkan ibunya.

Lebih memilukan, dia tergamak membiarkan wanita tua itu berlari mengejarnya kira-kira 20 meter kerana mahu mengikut si anak pulang menyambut Aidilfitri di rumah.

Namun, apalah kudrat seorang wanita berusia 70-an, apatah lagi terpaksa menggendong bungkusan baju dalam kain batik, untuk mengejar kereta anaknya berusia 40-an yang semakin jauh meninggalkannya.

Ia bukan babak menyayat hati dalam drama televisyen, tetapi realiti hidup ditempuhi seorang penghuni rumah jagaan warga emas dan psikatri di Jalan Denai 1, Kempas di sini, yang begitu mengharapkan untuk pulang menyambut hari raya bersama anak dan cucunya di Masai, dekat sini.

Kisah sedih pada pertengahan Ramadan itu diceritakan Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, Norijah Bidin kepada wartawan Harian Metro, semalam.

Menurut Norijah, beliau masih mengingati detik cukup menyentuh perasaan itu, apatah lagi kakitangan rumah jagaan berkenaan terpaksa memujuk warga emas uzur terbabit supaya bersabar dan wanita tua itu hanya mampu menangis mengenangkan nasibnya ditinggalkan anak sendiri.

Katanya, kejadian bermula apabila lelaki berkenaan datang menziarahi ibunya di rumah penjagaan itu bagi memaklumkan dia tidak dapat dibawa pulang pada hari raya kali ini kerana tiada sesiapa menjaganya.

“Kami menyangka dia ingin membawa ibunya pulang bagi menyambut Aidilfitri kerana sudah dua tahun wanita berkenaan beraya di sini,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, terlalu seronok dengan kunjungan anak lelakinya, wanita tua terbabit terus menyalin pakaian dan bersiap untuk mengikut pulang ke rumah keluarganya di Masai.

“Kami melihat wanita itu bersungguh-sungguh membungkus pakaiannya ke dalam kain batik kerana mahu pulang ke rumah anaknya,” katanya.

Menurut Norijah, tanpa disangka-sangka, ketika si ibu sedang sibuk berkemas, lelaki berkenaan beredar dari situ secara senyap-senyap tanpa memaklumkan sesiapa.

“Menyedari anak lelakinya mahu beredar, wanita itu panik dan mengejar kereta anaknya yang mula meninggalkan kawasan rumah kebajikan.

“Wanita tua itu berlari kira-kira 20 meter untuk mengejar kereta berkenaan, tetapi anaknya tetap meninggalkannya.

“Si ibu yang terkilan dengan perbuatan anaknya bukan saja mengalami masalah kesihatan, malah kemurungan selama beberapa hari kerana hampa tidak dapat pulang beraya di rumah,” katanya.

Norijah yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Permai di sini, berkata daripada 11 warga emas yang mendapatkan perlindungan di pusat jagaan berkenaan, segelintir masih mempunyai ahli keluarga termasuk anak.

Menurutnya, lebih mengecewakan, waris warga emas berkenaan yang juga bekas pesakit psikiatri tidak datang menjenguk mereka menjelang 1 Syawal yang bakal tiba.

“Ia mengakibatkan warga emas itu menyambut Aidilfitri bersama penghuni lain di pusat jagaan ini walaupun mereka merindui suasana beraya dengan keluarga di kampung.

“Sempena Aidilfitri kali ini, kami amat berharap jika anak warga emas mahupun waris penghuni di sini, datanglah berkunjung bagi menggembirakan mereka. Kalau bukan selalu, setahun sekalipun cukuplah,” katanya.

Baru-baru ini, pusat jagaan berkenaan menerima kunjungan lebih 20 ahli Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) Negeri Johor di sini.

Pengerusi Usahanita, Datuk Rokiah Omar, tampil menyampaikan sumbangan pakaian, wang dan barangan keperluan harian kepada penghuni rumah kebajikan itu bertujuan memeriahkan sambutan Aidilfitri mereka.

Rokiah berkata, pihaknya akan berusaha membantu rumah kebajikan berkenaan yang turut berdepan masalah kekurangan kemudahan.

“Kami akan berusaha bagi mendapatkan van selain kemudahan kerusi roda bagi warga emas yang uzur supaya memudahkan mereka bergerak,” katanya.

Komen (9) »

dah buat persiapan raya ke

Alhamdulillah hari ni dah masuk 19 ramadhan kita berpuasa. Kejap je masa berlalu kan? Dari bulan ke bulan sebentar je, kalau mengandung dah nak beranak dah.  Bagaimana kawan-kawan dah buat persiapan untuk hari raya atau sedang buat persiapan untuk menanti /mencari malam Lailatul Qadar? Tepuk dada tanya iman. Ambillah kesempatan 10 malam terakhir, mudahan kita bertemu dengan malam Lailatul Qadar. Takut-takut ini adalah ramadhan terakhir kita. Selamat beramal. Wallahualam..

Solat membersih jiwa


Seorang lelaki mendirikan solat selepas berbuka puasa di Masjid Jamia yang terletak di Srinagar, India. Bulan yang paling dinanti-nantikan oleh umat Islam ini disemarakkan dengan amal ibadah di serata dunia. – AP

MENGETAHUI bahawa ganjaran pahala yang diterima apabila menunaikan ibadat sepanjang bulan Ramadan adalah berlipat kali ganda, maka umat Islam di seluruh dunia yang menyedari hakikat tersebut berlumba-lumba mengerjakannya.

Antaranya, menunaikan solat lima waktu dan solat tarawih secara berjemaah. Sama ada dilakukan sendirian atau berjemaah, solat mampu mendidik jiwa ke arah yang lebih baik.


Di luar pekarangan sebuah masjid di Kabul Afghanistan, seorang lelaki tua khusyuk mendirikan solat demi memanfaatkan kelebihan bulan Ramadan. – AP

Malah dengan bersolat, seseorang itu akan berasa lebih tenang dan dekat dengan pencipta-Nya. Justeru, tidak kira di mana pun mereka berada, solat merupakan satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan.

Selain solat lima waktu, solat tarawih juga dianggap begitu istimewa kerana ia hanya dilakukan pada bulan Ramadan. Ia dikerjakan selepas solat Isyak dengan rakaat-rakaat tertentu mengikut mazhab masing-masing.


Jemaah lelaki menunaikan solat di Masjid An-Nour, Addis Ababa, Ethiopia pada hari kedua Ramadan. – AP

Perkataan ‘taraweeh’ berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud rehat dan rileks. Ini kerana selepas setiap kitaran solat (berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk), para jemaah akan berhenti seketika sambil mengalunkan bacaan selawat ke atas Nabi Muhamamd s.a.w sebelum meneruskan solat untuk rakaat seterusnya.

Berikut Kosmo! siarkan beberapa gambar menarik mengenai ibadah solat umat Islam di serata dunia pada Ramadan ini.


Seorang lelaki Palestin bersolat, sewaktu jemaah lain mengambil kesempatan untuk berehat di dalam Masjid Al-Omari di Bandar Gaza, Palestin. – AP


Kanak-kanak tidak ketinggalan menghadirkan diri di sebuah masjid yang terletak di Manila, Filipina untuk beribadah dalam bulan mulia ini. – AFP


Kanak-kanak tidak ketinggalan menghadirkan diri di sebuah masjid yang terletak di Manila, Filipina untuk beribadah dalam bulan mulia ini. – AFP

Komen (3) »

Kena ‘puasa’ balik lepas Syawal

RaSANYA belum terlambat lagi untuk mengucapkan selamat berpuasa, begitu juga, tidak terlalu awal untuk mengucapkan salam Aidilfitri kepada pembaca Kosmo!.

Bila bercakap tentang bulan Ramadan ini, satu perkara yang kerap terbayang di fikiran kebanyakan orang ialah pasar atau bazar Ramadan.

Peliknya, dalam keadaan ekonomi dunia dan negara suram, bazar Ramadan tumbuh bagaikan cendawan.

Di mana-mana saja pasar Ramadan di negara ini, apa yang jelas kelihatan, orang Islam berpusu-pusu membeli juadah berbuka puasa. Dalam bulan ini, pelbagai jenis kuih-muih yang namanya tidak pernah kita dengar sebelum ini atau kita makan, dengan mudah boleh didapati di situ.

Paling menarik, orang Cina, orang India, sekali-sekala terserempak dengan ‘pak hitam’ turut tumpang sekaki membeli. Apa yang jelas, konsep 1Malaysia memang sudah lama menjadi budaya bazar Ramadan.

Kadang-kadang kita hairan juga, dalam keadaan ekonomi tidak memberangsangkan, suasana bazar Ramadan begitu meriah dan rancak sekali.

‘Pesta makan’ dalam bulan puasa ini, tidak habis di situ saja. Kalau bertandang di hotel-hotel pula, juga penuh dengan orang. Banyak kali bila kita hendak mengambil juadah untuk berbuka, terpaksa beratur dan rupa-rupanya di situ juga berlaku ‘kesesakan jalan raya’ yang kadangkala teruk dan menyesakkan nafas.

Bagi mereka yang bekerja sebagai wartawan pula, bulan puasa merupakan ‘bulan makan’. Ini kerana boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja jemputan berbuka puasa di hotel-hotel bertaraf banyak bintang. Menariknya, majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim juga wajib menjemput wartawan.

Begitulah meriahnya hidup wartawan sepanjang bulan Ramadan ini.

Kadang-kadang penulis terfikir juga, adakah itu tujuan kita berpuasa. Makan… makan… makan.

Bagaimanapun, apa yang penulis ceritakan ini ialah kalau kita masih ada kerja dan masih ada duit. Kalau ketika ini, kita tidak ada kerja atau dibuang kerja, manakala duit pun cukup-cukup makan, perjalanan ceritanya tentu berlainan sekali. Kisahnya akan penuh dengan cerita-cerita sedih dan duka.

Atas sebab itu, kita kena sentiasa bersyukur dan sentiasa memandang ‘ke bawah’.

Bantulah saudara-saudara kita yang memerlukan supaya satu hari nanti apabila kita sendiri susah, akan ada orang lain pula yang akan membantu kita.

Itulah hukum karma dan hukum alam.

Bersedekahlah dengan ikhlas kerana ia boleh membantu kita, bila kita berada di alam lain, yang mana, semua orang akan ke sana, sama ada suka atau tidak suka.

Oleh sebab itu, jangan terlalu ‘pesta makan’ kerana kebanyakan penyakit datang disebabkan terlalu banyak makan.

Apa kata, banyakkan ‘pesta’ sedekah dan tolong-menolong. Dalam pada itu, jangan lupa zakat fitrah, lakukanlah segera dan jangan dibayar pada saat-saat akhir.

Pada penulis, cabaran terbesar bulan Ramadan ialah bagaimana hendak mengelakkan daripada boros berbelanja. Penulis yakin, itulah masalah yang dihadapi oleh semua orang.

Maklumlah dalam bulan ini, kalau boleh, semua barang hendak dibeli dan diborong.

Daripada kereta sampailah kepada butang baju Melayu, semuanya hendak baru. Baju-baju lama, misalnya, disedekahkan dekat orang.

Pengalaman penulis, kalau kita tersilap belanja akan menyebabkan bajet lari dan berlaku defisit, alamatnya selepas bulan Ramadan, dan seminggu selepas raya, kita mungkin terpaksa ikat perut dan ‘berpuasa’ sekali lagi.

Maklumlah, kalau yang bergaji bulan, disebabkan untuk menyambut hari raya, gaji masuk lebih awal yang bermakna sementara hendak menanti gaji baru, kita kenalah ‘berpuasa’.

Takkanlah disebabkan kita belanja ikut nafsu hasil dorongan ‘pesta makan’ dan beli apa saja di bazar Ramadan selain buka di hotel mewah, juga berhabis-habisan belanja sambut Hari Raya Aidilftiri, seolah-olah kita akan mati esoknya, kita nak pinjam ah long pulak.

Nanti bergari kaki dan berantai leher pula kita.

Waima apapun, kita mesti hayati erti puasa dan bijak berbelanja supaya kita tidak perlu berpuasa lagi selepas Ramadan

Inilah rumahku, syurgaku

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

JITRA: Amat memilukan melihat kehidupan seorang warga emas di Kampung Pida 5, Sematang Jawa, Air Hitam, dekat sini, tinggal di pondok buruk seperti reban ayam yang dibina di atas tanah orang selain terpaksa menggunakan air parit untuk kegunaan harian sejak lebih 10 tahun lalu.

Murad Mat, 80, bukan saja terpaksa berteduh di pondok seluas tiga meter persegi, tetapi hidup sebatang kara selepas berpisah dengan isterinya beberapa tahun lalu.

Anak tunggalnya tidak lagi tinggal bersama selepas mengikut suami ke Langkawi.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati, pondok buruk itu hanya berdindingkan zink dan plastik selain kawasan sekitarnya dipenuhi sampah-sarap termasuk tong plastik dan tin buruk.

Malah, air parit digunakan Murad untuk mandi dan minum yang terletak kira-kira lima meter dari pondok bersebelahan sawah padi itu juga diragui kebersihannya.

Selain faktor usia termasuk sudah bongkok dan sering sakit sendi, Murad tidak mampu bekerja melainkan terpaksa mengharapkan ihsan jiran dan penduduk kampung.

Tambah memilukan, pada Ramadan ini Murad hanya mampu berbuka dengan nasi kosong, ikan tamban kering dan air suam.

“Jika ada duit lebih, saya akan meminta jiran belikan ikan di pasar, tapi jika tiada, saya makan apa saja yang ada. Hari ini (semalam) nak buka puasa pun saya tak tahu nak makan apa,” katanya ketika ditemui di pondoknya.

Dalam keadaan uzur, Murad terpaksa menyediakan makanan seorang diri dan memasak dalam keadaan serba kekurangan.

Malah, warga emas itu juga terpaksa menumbuk sambal dalam tempurung kelapa.

Sejak lebih 10 tahun lalu, Murad terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan.

Malah, sambutan Aidilfitri sudah tiada makna dalam hidupnya kerana keadaannya tetap sama saban tahun.

“Walaupun hidup dalam keadaan daif, saya bersyukur kerana adik saya yang turut menetap di kampung ini sering memberi pertolongan dengan memberi makanan,” katanya.

Murad berkata, sebelum ini dia tinggal di Sungai Mati, Langgar, dekat Alor Star, kira-kira 70 kilometer dari sini dan bekerja sebagai petani.

Menurutnya, anak perempuannya yang tidak bekerja juga sudah lama tidak pulang menjenguknya sejak mengikut suami berpindah ke Langkawi.

P/S Betapa mewahnya kita berbuka  hingga mencecah puluhan ringgit di hotel-hotel mewah(saya tak ooo) tetapi ada insan yang berlapar berbuka dengan air kosong seperti pak cik ni sedih menengoknya. Adakalanya kita membazir makanan kerana besar mana sangatlah perut manusia ni semuanya nak  di isi. Kekadang dek terlalu kenyang hingga keletihan maghrib entah kemana terawih entah kemana. Sedangkan masih ramai di luar sana yang kelaparan. Berlapar seharian bukan bermakna untuk membalas dendam bila berbuka. Dalam setahun cuma sebulan berpuasa. Andai kata puasa setahun bagaimanalah agaknya ya?

Komen (6) »

khasiat buah kurma


Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : “Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

“Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu”.

Khasiat kurma “Ajwah” sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 :


Tafsirnya : “Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.

(Surah Maryam : 25)

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.

Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud :

“Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa terguk air.

(Hadis riwayat Ahmad)

Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata : “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalla berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.

Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma :


Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : “Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.

Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.

Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.

Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

p/s maaflah kawan2 hadisnya ada di blog ni

http://permai1.tripod.com/kurma2.html

Tinggalkan komen »

begini lah anakku di lahirkan

Bersalin cara Caesarean

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

KELUAR ikut pintu atau tingkap? Ini antara kiasan orang tua dulu apabila diberitahu mengenai kedatangan anggota baru dalam keluarga.

Keluar ikut pintu maknanya bersalin normal, dan ikut tingkap pula menandakan bayi dilahirkan secara pembedahan. Bagi kebanyakan wanita, pembedahan pilihan terakhir yang hanya dipersetujui jika terpaksa.

Bagaimanapun, ada juga wanita memilih untuk melahirkan anak secara pembedahan, terutama bagi yang percaya kepada tuah satu-satu tarikh atau mahukan tarikh lahir anak yang ‘cantik’; contohnya ramai menempah melahirkan anak pada 8 Ogos 2008.

Kaedah pembedahan atau dipanggil hirisan Caesarean adalah cara melahirkan bayi melalui dinding abdomen (perut) dan rahim (uterus) yang dilakukan apabila ada risiko ke atas bayi atau ibu itu sendiri jika bersalin secara normal.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, jumlah kelahiran secara pembedahan juga meningkat daripada satu kes bagi 20 kelahiran (40 tahun lalu) kepada satu kes bagi setiap empat kelahiran.

Perubahan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pakar perubatan yang melihat pembedahan bersalin dilakukan walaupun tidak diperlukan (atas permintaan untuk faktor kecantikan atau mahukan tarikh lahir yang disukai); sedangkan sepatutnya untuk tujuan perubatan.

Di Malaysia, permintaan untuk bersalin secara pembedahan mungkin tidak sebanyak di Barat. Dalam kebanyakan kes, peluang bersalin secara normal adalah tinggi dan dianggarkan kes pembedahan bersalin di hospital kerajaan kurang 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kelahiran.

Untuk wanita yang pertama kali mengandung, antara tanda tiba waktu bersalin ialah air ketuban pecah, ada sedikit pendarahan dan sakit kontraksi.

Secara umumnya, 80 peratus wanita bersalin secara normal dalam tempoh 24 jam selepas mengalami tanda berkenaan.

Jika air ketuban pecah, wanita perlu segera ke hospital supaya doktor boleh memantau keadaannya, termasuk memeriksa jika berlaku pendarahan atau kehadiran najis bayi di dalam rahim.

Seandainya wanita masih tidak melahirkan anak selepas mengalami tanda, doktor akan memberi ubat induksi untuk mempercepatkan pintu rahim terbuka bagi membolehkannya bersalin secara normal.

Bagi wanita sihat, tidak menghadapi masalah dengan kandungan dan merancang bersalin normal, mereka perlu tahu serba sedikit mengenai pembedahan jika berlaku kejadian tidak dijangka, kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Noor Fidak Samsudin.

Pembedahan bersalin boleh dilakukan ketika kandungan berusia 38 minggu (bayi dalam kandungan cukup matang). Bagaimanapun, seseorang wanita boleh bersalin dua minggu awal atau dua minggu lewat, tertakluk kepada keadaan setiap individu. Sebelum pembedahan, wanita disyaratkan berpuasa sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam.

Pembedahan bersalin boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

a. Elektif — Pembedahan dirancang dari awal. Antara perkara menyebabkan pembedahan ialah:

  • Masalah plasenta previa iaitu kedudukan uri di bawah rahim, berhampiran saluran kelahiran yang boleh mengakibatkan wanita bersalin awal atau berlaku pendarahan
  • Kedudukan bayi songsang atau melintang apabila dekat tarikh bersalin
  • Mengandung anak kembar
  • Masalah kesihatan yang boleh menjadi buruk jika bersalin normal seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi atau kencing manis yang tidak terkawal
  • Ibu mendapat jangkitan yang boleh diberi kepada anak jika bersalin secara normal
  • Ibu pernah bersalin secara pembedahan dan berdepan masalah sama; atau apabila doktor bimbang parut pada rahim akibat pembedahan lalu akan pecah atau koyak
  • Atas kehendak wanita dan pasangan berdasarkan sebab tertentu. Doktor akan menerangkan kekurangan dan kelebihan bersalin secara bedah. Pembedahan hanya dipersetujui selepas si ibu faham kedudukan sebenar dan sanggup menerima risiko yang mungkin dihadapib. Kecemasan
  • Proses kelahiran terlalu perlahan atau berhenti
  • Bayi lemas
  • Wanita menunjukkan tanda bersalin sebelum tarikh yang dijangka
  • Bayi menunjukkan tanda tertekan seperti degupan jantung terlalu cepat atau perlahan
  • Masalah plasenta (uri) atau tali pusat yang boleh membahayakan bayi
  • Bayi terlalu besar untuk dilahirkan secara normal; biasanya berat bayi melebihi empat kilogram
  • KemalanganMenurut Dr Noor Fidak, wanita yang ada masalah kesihatan perlu memastikan penyakit mereka sentiasa dalam keadaan terkawal sebelum merancang untuk hamil. Ini kerana ketika hamil, penyakit dihidapi lebih ‘terserlah’, contohnya kencing manis dan tekanan darah tinggi.

    “Apabila anda disahkan mempunyai kencing manis ketika hamil, risiko untuk bayi menjadi besar adalah tinggi dan jika bayi melebihi empat kilogram, pembedahan perlu dilakukan.

    “Ada kalanya doktor perlu menjalankan induksi iaitu memberi ubat bagi merangsang pintu rahim untuk terbuka dan memudahkan kelahiran apabila usia kandungan memasuki 38 hingga 40 minggu.

    “Bagi wanita yang ada masalah tekanan darah tinggi yang terkawal, biasanya mereka diberi induksi apabila kandungan cukup 38 minggu.

    “Sebaliknya, jika tekanan darah tinggi tidak terkawal (terlalu tinggi) dan si ibu dilihat hampir mengalami sawan, dia perlu segera dibedah bagi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi,” katanya.

    Mengalami kencing manis ketika hamil adalah petanda kurang baik. Biasanya doktor membuat pengesahan semula selepas tamat tempoh berpantang dan jika wanita berkenaan tidak menjaga kesihatan dengan baik, peluang menghidap kencing manis adalah tinggi selepas bersalin.

    “Wanita yang hamil selepas berumur 40 tahun ke atas mempunyai banyak masalah kesihatan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau sakit jantung dan jarak dengan kehamilan terakhir agak jauh, maka risiko bersalin secara pembedahan adalah tinggi walaupun anak terdahulu dilahirkan secara normal.

    “Banyak juga kes wanita yang dijadualkan bersalin normal tetapi perlu menjalani pembedahan kecemasan pada saat akhir. Ini berlaku apabila uri tersangkut atau tersekat, bayi terlalu besar, bayi dalam kedudukan songsang, air ketuban pecah atau bayi buang air besar.

    Najis bayi boleh menyebabkan keracunan dan bayi boleh mengalami komplikasi atau meninggal dunia jika tidak dibedah segera.

    “Selain itu, jika seseorang wanita mengalami kontraksi tetapi pembukaan pintu rahim terlalu perlahan atau terhenti dalam tempoh empat jam sedangkan ketuban pecah, pembedahan perlu dilakukan segera kerana bimbang bayi lemas.

    “Namun biasanya doktor memberi tempoh satu jam untuk pintu rahim terbuka sepenuhnya iaitu seluas 10 sentimeter. Sebaliknya, jika pintu rahim terbuka penuh tetapi bayi masih tidak dapat dilahirkan secara normal, doktor juga akan menjalankan pembedahan kecemasan,” katanya.

    Walaupun secara umumnya doktor menggalakkan wanita bersalin secara normal tetapi dalam keadaan tertentu wanita disaran bersalin secara pembedahan, khususnya jika mengandung anak kembar dan kandungan diperoleh melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).

    Bagaimanapun, kata Dr Noor Fidak, keputusan akhir tertakluk kepada kedudukan bayi pada hari bersalin.

    Jika bayi pertama dalam kedudukan normal iaitu kepala di bawah, si ibu boleh bersalin secara normal walaupun bayi kedua dalam kedudukan songsang atau melintang.

    Ini kerana selepas bayi pertama dilahirkan, bayi kedua mempunyai banyak ruang untuk dibetulkan kedudukannya dan ditarik keluar.

    Jika bayi pertama dalam kedudukan songsang atau melintang, maka perlu dibedah.

    Komplikasi bersalin secara bedah

    Meskipun mempunyai kemudahan perubatan moden dan pembedahan adalah selamat, ia masih ada risiko komplikasi. Antara komplikasi yang mungkin dialami ibu ialah:

  • Kesan ubat bius (terutama yang menerima bius penuh atau menyeluruh)
  • Risiko berlebihan ubat bius (biasanya pada wanita terlalu gemuk yang diberi bius menyeluruh)
  • Jangkitan pada luka pembedahan
  • Luka pada organ bersebelahan rahim
  • Kehilangan banyak darah
  • Mual, muntah dan sakit kepala (disebabkan penggunaan ubat bius dan prosedur pembedahan)
  • Luka lambat sembuh
  • Risiko bekas luka pada rahim pecah pada kehamilan seterusnya
  • Kematian (jarang berlaku. Bagi pembedahan yang dirancang, kadar kematian sangat rendah iaitu hanya enam dalam 100,000 pembedahan; manakala kematian akibat pembedahan kecemasan lebih tinggi iaitu 18 dalam 100,000 pembedahan bersalin)
  • Mengehadkan saiz keluarga. Biasanya doktor hanya membenarkan seseorang wanita bersalin secara pembedahan tiga kali. Bagaimanapun, ada juga kes wanita dibenarkan mempunyai anak melebihi empat atau lima melalui pembedahan) jika dia menjaga kesihatannya dengan baik. Namun kes begini sangat jarang berlaku.Ini untuk mengurangkan risiko parut pada rahim pecah. Apabila dibedah, dinding rahim ditoreh bagi membolehkan bayi dikeluarkan.

    Luka meninggalkan parut. Bahagian berparut agak lemah dan boleh pecah. Sebab itu anda perlu memberitahu doktor jika pernah bersalin secara bedah apabila mengandung lagi.

    Risiko pada bayi:

  • Kecederaan ketika dilahirkan
  • Perlukan penjagaan khas di unit penjagaan rapi
  • Paru-paru tidak matang (disebabkan kesilapan pengiraan tarikh jangkaan kelahiran)
  • Bayi tidak mendapat perlindungan yang diperoleh melalui bersalin normalPun begitu, bersalin secara bedah juga ada kelebihannya, iaitu wanita kurang berisiko mengalami masalah prolaps (rahim jatuh) dan tiada luka pada pintu rahim.

    Penjagaan

    Biasanya seseorang wanita dibenarkan balik ke rumah selepas tiga hingga lima hari dibedah. Kebanyakan wanita mengambil masa sekurang-kurangnya empat minggu untuk sembuh sepenuhnya.

    Bagi wanita bersalin normal, biasanya mereka dibenarkan balik pada hari pertama atau kedua selepas bersalin dan kembali meneruskan rutin hariannya selepas dua minggu.

    Bagi masyarakat kita, wanita akan berpantang selama 44 hari untuk memastikan luka bersalin benar-benar sembuh dan kembali bertenaga.

    Dr Noor Fidak berkata, bersalin secara pembedahan memerlukan lebih penjagaan berbanding bersalin normal. Wanita perlu banyak berehat untuk mempercepatkan proses penyembuhan, tetapi ini bukan bermakna mereka boleh duduk goyang kaki sepanjang masa.

    Wanita perlu berehat daripada melakukan kerja berat, tetapi pada masa sama kena banyak bergerak seperti berjalan di dalam rumah.

    “Lebih banyak anda bergerak dan berjalan, luka pembedahan lebih cepat sembuh kerana ia merangsang aliran darah ke seluruh badan, termasuk di perut. Selain itu, jangan angkat barang berat, benda paling berat yang boleh diangkat ialah bayi.

    “Boleh juga memakai bengkung ringkas untuk memberi sokongan kepada tulang belakang dan pinggul. Namun jangan pakai terlalu ketat sehingga boleh mengganggu aliran darah.

    Lapik sehelai kain kapas di bawah bengkung untuk menyerap peluh dan mengelak jangkitan. Untuk pembedahan lain pun, wanita boleh pakai bengkung bagi merapatkan luka,” katanya.

    Selain itu, perhatikan jika ada jangkitan (nanah) dan jika ada, segera ke klinik atau hospital untuk dibersihkan.

    Wanita juga digalak menyusukan bayi secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan kerana proses ini juga boleh membantu mengecutkan rahim dan mengeratkan hubungan ibu dan anak.

    “Menyusukan anak juga boleh menjarakkan kehamilan. Sebaik-baiknya jarakkan kehamilan kepada dua tahun tetapi jika mengejar masa, terutama bagi wanita berusia, anda boleh hamil setahun kemudian, tetapi dengan syarat anda perlu menjaga kesihatan dengan baik.

    “Satu perkara penting yang perlu diingat ialah jangan ambil ubat sepanjang sembilan bulan hamil tanpa kebenaran doktor untuk mengelak kesan sampingan kepada bayi dalam kandungan dan komplikasi ketika bersalin.

    “Jangan perjudikan nasib bayi dan diri sendiri dengan mana-mana ubat, termasuk persediaan tradisional atau alternatif walaupun didakwa ada banyak manfaat,” katanya.

  • p/s berat Hafiz ketika di lahirkan 3.3 kg, kiranya anakku lahir terjun ikut tingkap bukan kerana dia besar, sebab baby lain lagi besar hingga 4 kg bersalin secara normal. Tetapi oleh masalah yang tidak di elakkan jalan terakhir terjun ikut tingkap. Pengelaman tu tak mungkin saya lupakan kerana saya sedar sepanjang proses itu. Saya rasa relax je sebab diorang semua yang bertungkus lumus untuk mengeluarkan bayi saya ketika itu. Sayapun di bius dari pinggang ke bawah sahaja.  Selepas bayi di keluarkan saya pengsan dan sedar dalam jam 11.00 pagi. Oleh kerana saya dan baby  tidak mempunyai apa-apa masalah saya cuma tinggal tiga hari saja di hospital lepas tu saya keluar.  Sepanjang di hospital saya tidak di temani keluarga kerana tidak di benarkan. Tidak kekok sangat sebab pernah melihat bagaimana kakak salinkan lampin anak-anak buah dll. Kalau dah anak kita apa-apapun boleh, yang kekok jadi tak kekok. Kini baby saya tu sudah besar, sudah 14 tahun dah. Kalau saya bersalin lagipun saya akan melalui cara  ini jugak. Tetapi erm entahlah rindu sangat nak peluk bayi…agaknya kena tunggu cucu lah gamaknya…..
  • Komen (12) »

    Skynet

    Inilah pertama kali saya menggunakan perkhidmatan skynet untuk menghantar satu bungkusan kecil kepada anak saya di Kota Bharu.  Sebelum ni saya tak pernah hantar apa-apa dengan skynet. Tetapi oleh sebab-sebab yang tak dapat saya elakkan ianya terpaksa saya gunakan juga.


    25.8.2009 Jam 5 petang budak pickup barang datang kat rumah mengambil barang tu.

    26.8.2009  saya tracking melalui web tak ada nombor airwa bill, bermakna anak saya masih belum terima barang tu. Lalu  suami saya telefon pejabat skynet kat PJ. Tanya kenapa barang yang di hantar belum di terima lagi. Berbagai alasan diorang bagi, nak telefon KB tak berjawab. Apa punya syarikat tak kan takde no telefon kot, tak kan hanya ada satu talian sahaja? Kami try telefon skynet KB nombornya seperti tidak ada dalam  perkhidmatan senyap sunyi je telefonnya.  Adalah dua tiga talian tapi semuanya mengecewakan. Kalau di tukar baru kenapa tak letak kat web tu?

    Telefon lagi skynet PJ , diorang kata tak apa kami siasat. Diorang kata nak telefon tapi tunggu punya tunggu takde apa-apa lagi. Bila di telefon cakap benda yang sama.

    27.8.2009 Kami  telefon lagi, kes ni dah di bawa ke ibu pejabat skynet, telefon diorang kat sana, kata kakitangan skynet kat KB tak cukup kakitangan? Kalau tak sampai sabtu hari ahad? Apa punya skynet saya  pernah terima barang orang hantar petang, pagi esok dah terima. Barang tu dah ada di KB. Diorang suruh anak saya pergi ambil kat KB. Kitorang kata budak tu pelajar nak keluarpun bukannya senang, mana ada kenderaan? Lagipun kita bayar untuk sampai kedestinasi bukannya nak kena pergi ambil. Dia kata barang tu ada tak hilang, tetapi penghantar tu pergi tempat lain dulu.

    28.8  hari jumaat cuti tunggu 29.8 pulak hari ni lah. Hari ni telefon lagi kalau tak di terima jugak nampak sangat skynet KB ni terlalu lembab(maaf lah tak kena diri sendiri tak tahu bagaimana rasanya). Barang tu dah sampai 26.8 pada jam 10.00 pagi di KB. Lepas pagi petang diorang kata nak hantar tetapi tak sampai-sampai jugak. Kesian anak saya menanti. Mungkin orang ingat benda tak penting tetapi kalau ianya penting bagi orang lain segerakanlah. Jangan buat orang tertunggu, saya rasa ini pertama dan terakhir guna  skynet. Bukan saya tak pernah terima barang dengan skynet dari Johorpun pernah tempat lainpun pernah.  Hantar petang pagi sampai, kalau lewatpun dalam pukul 10.00-11.00 pagi. Kalau takpun tengahari sampai . Ni berhari-hari apa cerita???? Adakah hanya seorang sahaja penghantar? Adakah kerana barang kecil di pandang remeh( tetapi anak saya sangat-sangat memerlukannya)? Memanglah bukannya senang nak cari orang yang amanah ni. Tapi tak kan kot sampai lama begitu? Kalau tau macam tu hantar pos laju je, tapi dah nak cepat. Seriklah rasanya…………harap-harap hari ni selamat sampai kedestinasi…..



    Komen (13) »

    Puji sikap Kartika, hukuman hanya kepada ‘ikan bilis’ – Dr Asri

    Azamin Amin
    Wed | Aug 26, 09 | 10:44:28 am MYT
    KUALA LUMPUR, 26 Ogos : Kerajaan mesti melihat isu arak secara keseluruhan, tidak menghukum orang awam sahaja tetapi tauke, tokoh politik dan pemimpin yang berada di belakang kilang dan premis perniagaan arak juga mesti dikenakan tindakan.

    Apa yang berlaku kini, hukuman hanya dikenakan ke atas ‘ikan bilis’ sahaja apabila melakukan kesalahan seperti minum arak sedangkan orang-orang yang berkepentingan khususnya yang beragama Islam yang ‘menjana’ industri arak ini terlepas begitu sahaja.

    Demikian ditegaskan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abdin kepada Harakahdaily pagi ini, ketika diminta mengulas hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno yang dihukum kerana minum arak.

    “Sebenarnya hukuman sebat yang dijatuhkan mahkamah itu ‘mendekati’ hukuman Islam sungguhpun ulama berbeza pendapat tentang jenis hukuman dan bilangan sebatan.

    “Namun saya puji sikap Kartika kerana akui kesalahannya dan tidak membantah hukuman yang dikenakan.

    “Sepatutnya kita puji dia tetapi sehingga kini tidak ada satu tokoh politik atau pemimpin yang memuji tindakan Kartika ini, mungkin ada kepentingan dan jaga hati pihak tertentu…” katanya yang juga bersetuju, sekiranya Kartika merayu bagi meringankan hukuman.

    Padanya, prinsip hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah mesti jelas, dan soal rayuan, merupakan hak bagi pesalah untuk memohon meringankan hukuman. Image

    Beliau turut menjelaskan bahawa bukan semua yang meminum arak atau melakukan apa-apa maksiat itu membenci Allah dan rasul-Nya ataupun membenci Islam.

    Sungguhpun, maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seseorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya, katanya.

    Kartika seorang model sambilan di Singapura dihukum denda RM5,000 dan dikenakan enam sebatan kerana minum arak di sebuah hotel di Kuantan. Beliau sepatutnya menjalani hukuman itu sebaik sahaja ditahan di Penjara Kajang bermula semalan.

    Bagaimanapun hukuman itu ditangguhkan dengan alasan hukuman rotan hanya boleh dilaksanakan selepas bulan Ramadhan.

    Dalam pada itu Dr Asri dukacita dan mengkritik sikap mahkamah syariah yang dilihat begitu ‘cepat’ menyelesaikan kes Kartika, sedangkan kes-kes seperti cerai, talak, penderaan dan pembahagian harta pusaka yang melibatkan wanita, mengambil masa yang lama untuk diputuskan atau dijatuhkan hukuman.

    “Janganlah ketika wanita bersalah, dihukum begitu cepat tetapi bila wanita dianiaya, ditangguhkan. Hukuman dan tindakan mesti adil malah ianya mesti dilihat berlaku adil.

    “Kita memuji langkah mencegah mungkar tetapi yang paling penting ialah penegasan hukuman supaya menjadi contoh kepada yang lain dan dilihat adil,” katanya yang kini sudah seminggu berada di Malaysia, sekembalinya daripada pengajiannya di London.

    Beliau juga kecewa dengan sikap media barat seperti CNN yang cuba mengaangkat isu hak asasi manusia untuk minum arak sedangkan agama mempunyai hukuman dan peraturan yang tertentu bagi mendefinasikan kebebasan penganutnya agar tidak melakukan perbuatan yang menyalahi agama sekaligus menjaga masyarakat akibat tabiat buruk arak.

    Seorang pakar motivasi Dr. Danial Zainal Abidin dalam Program TV9 Halaqah minggu lalu, turut mengupas keburukan akibat meminum arak, yang jelas mempunyai sebab-sebab utama Allah SWT mengharamkan dalam al-Quran.

    “Arak menyebabkan sebarang mesej atau maklumat tidak sampai ke otak. Arak menyebabkan pertimbangan tubuh badan tidak seimbang. Ia mengundang pelbagai penyakit dan bahaya.

    “Mengikut kajian, arak merupakan pembunuh nombor satu bagi remaja di Eropah dan penyebab utama masalah rumah tangga di Britian. Jika mereka kata ini hak asasi dan arak sebagai penyelesai masalah…fikirkan kembali” kata Daniel merujuk kepada kajian perubatan dan WHO.

    Dengan kajian itu katanya, membuktikan hukuman dan tindakan agama Islam melarang penganutnya meminum arak, adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan masalah-masalah masyarakat dan punca gelaja sosial yang semakin membarah kini.

    (Sebarang kritikan dan pandangan  boleh di majukan kepada saya di azamin@yahoo.com)

    P/s  Arak hanya untuk orang bukan islam sahaja, orang islam tak payahlah nak menerai minum, kan air lain banyak lagi.  Teringat ceramah Ustaz Shamsuri katanya orang yang ketagih arak ni kalau tengok saja lori arak lalu ayaq liuq meleleh. Walau bagaimana saya puji sangat kat model ni.  Sekurang-kurangnya dia insaf  dan mengharapkan pengampuan dari Allah s.w.t. Dan menjadi ikhtibar kepada mereka-mereka di luar sana. Memanglah rasa kesian tetapi Kartika 1 dalam 1000 yang mengaku kesilapannya dan sanggup di sebat. Kalau kawan-kawan pernah mendengar ceramah dari Ustaz Ahmad Ismail dari Singapura tentang kisah anak Syaidina Umar memang terkesan di hati. Mungkin ada dalam Imeem dan cd atau vcd. Nak beceritapun terlalu panjang…

    p/s sebat sekali jerung-jerung di luar sana baru adil…




    Komen (1) »

    Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

    Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

    ANTARA KEBERKATAN DALAM RAMADAN IALAH AMALAN BERSAHUR YANG DAPAT MENYIHATKAN BADAN. – Gambar hiasan


    TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.

    Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.

    Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)

    Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia… (al-Baqarah: 185)

    Kelebihan Ramadan

    Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: “Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari”.

    Bulan Ramadan dikenali dengan ‘bulan kesabaran’. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.

    Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: “Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga.”

    Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:

    lPertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.

    lKedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

    lKetiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.

    Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.

    Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: “Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain”.

    Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.

    Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami’, (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.

    Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.

    Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.

    Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: “Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya”.

    Kerana Allah

    Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :

    Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa.

    Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.

    Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.

    Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.

    Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: “Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku”.

    Sebahagian salafussoleh berkata: “Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya”.

    Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.

    Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.

    Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.

    Kedua: Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).

    Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

    Assalamualaikum kawan-kawan….

    Sempena dengan kehadiran bulan ramadhan yang bakal tiba dua tiga hari lagi. Saya ingin memohon ampun dan maaf andai selama ini saya ada menyinggung perasaan kawan-kawan, baik dalam penulisan atau didalam ruangan komentar.  Sebagai insan yang lemah tidak mungkin terlepas dari melakukan kesilapan. Yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t dan yang tidak baik itu datangnya dari kelemahan dan kekurangan saya. Wassalam..

    Komen (8) »