bila hatiku berbicara

~Mayat dalam beg sah Nurin~

Posted on: September 20, 2007

Oleh Jalal Ali Rahim, Hardi Effendi Yaacob, Hanneeyzah Bariah Baharin, Ifwan Tun Tuah dan Nahar Tajri

Ujian DNA dapati 99.99 peratus sampel darah budak hilang sepadan ibu bapa

SHAH ALAM: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan sampel darah mayat kanak-kanak yang ditemui dalam beg pakaian di Taman Petaling Utama, Isnin lalu, sepadan dengan ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu.

Keputusan ujian yang diperoleh polis pada jam 2 petang semalam itu, dimaklumkan kepada ibu bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman sejam selepas itu. Bagaimanapun kedua-duanya, yang dipanggil sekali lagi untuk membuat pengecaman mayat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), menafikan mangsa pembunuhan kejam itu adalah anak mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata Jabatan Kimia memaklumkan ujian DNA itu mendapati 99.99 peratus sampel darah kanak-kanak itu sepadan dengan sampel darah ibu bapa Nurin, yang diambil selepas proses pengecaman mayat kali pertama, Isnin lalu.

“Ujian DNA mengesahkan sampel darah itu mempunyai padanan. Sains sudah membuktikan identiti mayat itu. Apa lagi yang boleh kita buat kalau keputusan ini tidak boleh diterima keluarganya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sehubungan itu, Khalid berkata, ujian susulan akan dijalankan bagi menentukan kesahihan identiti mayat kanak-kanak perempuan itu.

“Kita sudah meminta ibu bapa Nurin serta kakaknya untuk diambil darah mereka bagi ujian selanjutnya. Ahli keluarga terdekat Nurin, termasuk datuk dan neneknya akan turut diminta membuat pengecaman.

Kita berharap semua pihak, terutama keluarga Nurin dapat memberi kerjasama penuh dalam usaha menyelesaikan kes ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis sudah mendapat petunjuk awal bagi menjejaki pembunuh kanak-kanak itu.

“Kita sedang mengawasi seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di ibu negara.

Beliau yang enggan mendedahkan identiti suspek, berkata polis masih menjalankan siasatan dan belum dapat memastikan sama ada pembunuhan kejam itu dilakukan pembunuh bersiri.

“Kita sudah ada petunjuk dan maklumat serta sedang menjalankan siasatan. Setakat ini kita tahu hanya seorang yang terbabit dalam pembunuhan kejam kanak-kanak itu. Suspek juga masih berada di sekitar Lembah Klang,” katanya

Musa juga berkata, ujian DNA kali kedua akan dilakukan terhadap ibu bapa Nurin bagi mendapatkan pengesahan mutakhir identiti mayat kanak-kanak itu.

“Identiti mayat itu belum dapat disahkan sebagai Nurin kerana menurut bapanya mangsa tidak mempunyai tanda lahir di paha kiri seperti pada mayat kanak-kanak itu. Saya sudah arahkan Ketua Polis Selangor (Khalid) membuat ujian DNA kali kedua dan keputusannya akan diperoleh dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, menjadi prosedur biasa bagi polis menjalankan ujian susulan bagi mengenal pasti identiti mayat yang tidak dikenali, terutama membabitkan kes jenayah, malah kes Nurin itu bukan yang pertama.

“Pernah berlaku kes sama sebelum ini membabitkan penyanyi, Along Spoon, yang mayatnya ditemui dalam guni di kawasan terpencil di Negeri Sembilan. Ujian DNA mengesahkan mayat itu adalah Along Spoon, tetapi keluarganya tidak dapat menerima hasil ujian itu,” katanya.

Mengenai ketiadaan kesan suntikan (BCG) pada mayat kanak-kanak itu hingga timbul dakwaan kemungkinan mangsa warga asing, beliau berkata polis masih menunggu laporan lengkap perubatan dan penjelasan doktor berhubung perkara itu.”

Ditanya sama ada ibu bapa Nurin akan dipanggil untuk disoal siasat, beliau berkata, tindakan itu bukan satu keperluan ketika ini, namun mereka akan diminta menjelaskan sebab mayat kanak-kanak itu dikatakan bukan anak mereka.

Difahamkan, bapa Nurin dipanggil ke Balai Polis Wangsa Maju, kira-kira 4.30 petang untuk memberi keterangan berhubung keengganannya menerima keputusan ujian DNA itu.

“Polis akan turut meneliti sama ada kes penemuan mayat kanak-kanak ini dan kehilangan Nurin mempunyai kaitan dengan ‘Lelaki Kucing’ yang terbabit dalam beberapa kes pencabulan kanak-kanak di Kampung Baru sebelum ini,” katanya.

~aku kumpul artikel ini kerana aku amat bersimpati dan sedih…..

Advertisements

2 Respons to "~Mayat dalam beg sah Nurin~"

sangat sedih

menitis air mata kita sebagai rakyay malaysia yg perihatin…ttp betapa hebatnya penderitaan keluarga mereka..semgoa bersabar

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kalendar

September 2007
I S R K J S A
« Ogo   Okt »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930

Blog Stats

  • 840,659 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada
%d bloggers like this: