bila hatiku berbicara

Ramai tidak setuju~akupun~

Posted on: September 24, 2007

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Banyak pihak tidak bersetuju cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya tindakan mahkamah diambil terhadap ibu bapa yang hilang anak kerana cuai.

Mereka berpendapat adalah mustahil bagi ibu bapa mengawasi anak sepanjang masa, apa lagi dalam hal kedua-dua ibu dan bapa bekerja.

Istilah “cuai” adalah relatif, dan mereka mahu definisi tepat diberi tentang apa dimaksudkan oleh menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Seorang kakitangan kerajaan, Nur Hidayat Shafie, 48, khuatir cadangan itu membawa kesan negatif dalam masyarakat terutama bila ibu bapa disabit kesalahan.

“Jika ibu bapa didakwa, apa akan terjadi kepada nasib anak mereka… bagi saya kebanyakan ibu bapa telah menjalankan tanggung jawab sebaik mungkin dalam membentuk peribadi serta mendidik anak-anak.

“Kita harus faham jika ibu bapa bekerja, masa yang diperuntukkan untuk anak agak terbatas…waktu terluang itulah digunakan untuk mendisplin serta bersama anak,” katanya.

Pekerja swasta, Nor Apni Safri, 23, pula berpendapat ibu bapa harus diberi motivasi serta bimbingan dan bukan mengheret mereka ke mahkamah.

“Bagi kes adik Nurin, saya tidak nafikan mungkin ada sedikit unsur kecuaian kerana membiarkan dia keluar berseorangan pada waktu malam walaupun berhampiran rumah tetapi tidak semua kes melibatkan ibu bapa cuai,” kata beliau.

Seorang pesara kerajaan, Mohamad Abdullah, 57, berpendapat pihak berwajib perlu memperincikan apa yang dimaksudkan sebagai cuai itu sebelum mendakwa ibu bapa ke mahkamah atas sebab kehilangan anak mereka.

“Ini perlu kerana kadang-kadang jika tidak bagi keluar rumah, mereka keluar juga untuk bermain dan sebagainya. Kita tak boleh ‘merantai’ anak di rumah dan hanya membenarkan mereka bermain di luar rumah mengikut kelapangan kita,” katanya.

Katanya, jika ibu bapa berkenaan dikenakan tindakan undang-undang ini akan hanya mengeruhkan lagi keadaan yang memang sudah rumit bagi keluarga berkenaan.

Tinjauan di beberapa lokasi pusat membeli-belah dan taman rekreasi sekitar ibu negara mendapati masih ada ibu bapa yang leka serta membiarkan anak berkeliaran terutama sewaktu sedang sibuk membeli barangan.

Dalam reaksi berbeza, seorang pekerja keselamatan Norehan Sulong, 47, berkata tanggungjawab mendidik serta memerhatikan gerak-geri anak adalah hak ibu bapa, masyarakat hanya dapat membantu.

“Jika mereka benar-benar cuai, mendera anak, maka wajarlah mereka didakwa,” katanya.

Guru sekolah rendah, Rafidah Mohd. Nor, 37, berkata ibu bapa haruslah memantau aktiviti anak dan melarang mereka ke mana-mana berseorangan terutama pada waktu malam walaupun ke pasar malam atau gerai berhampiran kediaman tanpa ditemani.

“Kanak-kanak sekarang bukan macam dulu, mereka semakin berani dan ibu bapa pula tidak sepatutnya lepas tangan walau anak mereka sudah agak besar,” katanya.

– Bernama

~Akupun tak setuju..cuba letakkan dirinya di tempat keluarga ini apa rasanya? Bercakap memang mudah tetapi mereka yang merasainya..so sebelum nak bercakap fikir-fikirlah. Di saat mereka di timpa musibah janganlah mereka di beri tekanan. Tetapi cari pembunuh kejam itu sampai dapat hukumnya sebagaimana yang telah dia lakukan kepada allahyarham adik Nurin. Hukum ikut undang- undang islam Qisas. Qisas bererti ‘jenayah bunuh dibalas dengan bunuh juga’ yang telah disebut di dalam surah al-Baqarah ayat 178, . Kasihanlah mereka yang di timpa musibah ini…….janganlah di tambah lagi penderitaan mereka. Doakanlah semoga mereka banyak-banyak bersabar menerima ujian dari Allah s.w.t.

Bila KPN gembar gemburkan akan mengambil tindakan ke atas keluarga arwah adik Nurin aku nak cerita sikitlah tentang aku.

aku ambil contoh diriku sebagai ibu yang kurang upaya. Ada ketikanya anakku hendak pergi fotostat kertas soalan dan berbagainya lagi. Tak nak izinkan dia pergi kerana cikgunya yang suruh. Jadi aku biarkan dia pergi sendiri( nak buat macam mana..di sini aku tiada saudara mara juga kawan yang hendak menemani anakku). Memanglah dekat tak sampai sepuluh minit jalan kaki. Tapi bila peristiwa menyayat hati berlaku kepada adik Nurin Na’uzubillah himinzalik….aku terasa bimbang. Bimbangnya hati seorang ibu hanya tuhan saja yang tahu…sudahlah suami pergi kerja balik petang adakalanya sampai rumah jam lapan malam kerana beli keperluan dapur di Sogo. Kalau dia tak beli siapa lagi yang hendak beli. Itulah aku memang terhutang budi sampai ke mati kepada suamiku. Dalam banyak tugas dia yang mengambil alihnya. Kekadang terharu aku…tetapi apalah daya aku yang tidak berdaya untuk melakukan semua itu.

sebagai ibu aku sudah buat yang terbaik..berpesan kepada anakku…sekiranya ada orang yang tidak di kenali hendak baginya coklat atau apa-apa jangan ambil. Kalau ada orang hendak menumpangnya balikpun jangan ikut mereka. Zaman sekarang bukan saja anak perempuan yang kita bimbang anak lelaki juga. Kalau boleh aku teringin hendak menemani anakku di mana saja dia pergi. Tetapi seperti aku katakan tadi aku tidak berdaya. Aku hanya mampu berdoa dan bertawakal kepada Allah s.w.t. Itulah saja tempat aku bergantung harap hanya kepada Allah yang Maha Esa. Hidup dan mati kita DIA lah yang tentukan. Walau bagaimana kita menjaga anak kita sekalipun kalau nak jadi…jadi juga (tetapi ya Allah aku bermohon semoga ENGKAU selamatkan semua anakku dan anak-anak di luar sana). Allah sudah tulis suratannya begitu apa yang berlaku adalah penyebabnya. Cuma kita yang berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah s.w.t agar dijauhi segala mala petaka.

Kepada suri-suri rumah atau ibu yang sempurna sifatnya kalau boleh temanlah anak-anak ke mana-mana saja mereka pergi ( bukan sepertiku yang kurang upaya ini) ..jangan biarkan mereka sendiri…kerana kita tidak tahu..di sebalik ramainya manusia di luar sana.. ada berbagai jenis..yang berperangai iblis ada…perangai binatangpun ada, kalau jumpa orang seperti kes adik Yin tak apalah. Kes adik Nurin ini biarlah ku jadikan pengajaran buatku agar lebih berhati-hati sedaya yang aku mampu. Ya Allah ENGKAU Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang..lindungilah anakku dan anak-anak yang tidak berdosa di luar sana. Cukuplah kes adik Nurin ini yang terakhir. Jangan ada lagi Nurin kedua..ketiga dan seterusnya..sedih sangat. Hanya kepadaMu aku bergantung pengharapan ini ya Allah.

Cukuplah sampai di sini saja aku mengumpul keratan akhbar mengenai isu ini. Mudahan ini semua untuk pengajaran kita. Rasaku tidak mungkin ku lupakan sampai bila-bila peristiwa ini. Tetapi memanglah kekadang kita ini mudah benar lupa. Cuba kita lihat tsunami yang berlaku tahun 2004 dahulu. Masa kejadian itu kemainlah takut dan gusarnya kita. Tetapi kini cuba tengok…bagaikan lenyap di telan bumi, maksiat bagaikan cendawan tumbuh dan tak tau nak cakap dah, anak-anak remaja remaji pakaiannya dah tak cukup kain dah londeh sana sini ( dia pinjam baju adik dia patutlah kecik dan sendat). Memanglah kita ini mudah lupa. Dah banyak kes seperti ini yang berlaku kepada kanak-kanak yang tak berdosa. Lindungilah mereka yang tidak berdosa ini ya Allah..janganlah mereka di jadikan mangsa kekejaman manusia yang berhati iblis ini.

Di waktu kecilku di zaman lapan puluhan aku selamat di tinggalkan bersama sepupu lelaki dan bapa saudaraku..di jaganya aku seperti adiknya sendiri. Ibu dan ayah sibuk ke baruh/sawah. Ikhlasnya mereka menjagaku yang kurang upaya bagaikan menatang minyak yang penuh. Tidak pernah sesekali di ambil kesempatan dengan ketiadaan ibu dan ayahku. Kalaulah zaman sekarang ni kanak-kanak dah tak selamat bersama keluarganya sendiri jangankan dengan orang lain. Kes sumbang mahram dan berbagainya lagi. Kasihan mereka……maaflah ianya agak tersasar dari tajuk asalnya. akhirnya kepada keluarga adik Nurin maafkan kan lah aku kerana menyimpan keratan akhbar kisahmu dik… untuk di paparkan di blogku yang tidak seberapa ini. Ampun dan maaf kalau ada tersalah silapku sepanjang aku mengikuti perkembangan ini. Aku khilaf ya Allah..ampunkan lah aku dan semua muslimin dan muslimat. Sempena bulan yang mulia ini ambillah kesempatan untuk perbanyakkan amal ibadat. Akhirnya blog ini akan berehat untuk seketika…maaf zahir dan batin wassalam.

Adibah Noor – Terlalu Istimewa

Ku tatap gambar wajahmu
Sinar mata itu
Lirik senyumanmu
Pesona yang membelai
Wajahmu bercahaya
Memberi bahagia
Tiap yang memandang
Hati jadi salju
Kau terlalu istimewa
Kasih dan sayangmu terpancar
Seikhlas
Tiada batasan terus membara
Terkilan rasa jiwa
Inginku lihatmu dewasa
Apa daya
Tuhan lebih menyayangimu
Ku pasti kau berbahagia
Duduk di sampingNya
Mendengar cerita Segala rahsia
Tak tertanggung rindu
Mendengar suaramu
Tawa mengusik jiwa

Kenapa marah pembunuh Nurin, tidak marah pemerintah?

Muhammad HanafiHarakahdaily
Mon | Sep 24, 07 | 2:54:42 pm MYT
Kita kini berada dalam bulan Ramadan. Hampir semua Muslim berpuasa. Budak-budak pun berpuasa. Matlamat puasa adalah untuk melahirkan insan bertakwa. Antara ciri orang bertakwa adalah mereka yang takut kepada Allah dan menunaikan segala perintah dan menjauhi segala larangannya.Untuk menunaikan perintah Allah seseorang Muslim itu merujuk kepada al-Quran sebagai induk hukum. Dalam Surah al-Baqarah ada ayat menyuruh mendirikan solat dan berpuasa. Maka berpuasalah hampir setiap Muslim. Bab solat agak berat, maka ada juga yang puasa tetapi tidak tunai solat.Dalam surah al-Baqarah juga ada ayat yang menyuruh manusia berhukum dengan hukum Allah (qisas). Bab puasa manusia menerimanya tetapi bab qisas ini kebanyakan manusia tidak menerimanya. Ertinya manusia, sekali pun berpuasa, dikhuatiri tidak menjadi orang bertakwa. Sebabnya orang bertakwa menunaikan segala perintah Allah, termasuk berhukum dengan hukum Allah.

Menegakkan hukum Allah (qisas), individu tidak berupaya melakukannya. Yang wajib melaksanakannya adalah pemerintah. Apabila pemerintah gagal, makam gagallah masyarakat. Itulah sebabnya masyarakat kita huru-hara. Maka terjadilah kes bunuh Nurin, kes bunuh Altantunya, kes anak bunuh ibu bapa dan kes ibu bunuh anak. Inilah hasilnya apabila hukum-hakam Islam dipinggirkan.

Memang tidak salah kita marah dengan pembunuh Nurin, pembunuh Altantunya. Tetapi kenapa kita tidak marah dengan pemerintah yang tidak menegakkan hukum Allah yang membuka peluang besar kepada kes pembunuhan Nurin dan Altantunya.

Marilah kita kembali kepada hukum Allah sejajar dengan matlamat puasa untuk melahirkan insan bertakwa. Lantiklah pemimpin dan pemerintah yang mahu mendaulatkan hukum Allah, moga-moga kita selamat dunia dan akhirat. Amin! “ lanh

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kalendar

September 2007
I S R K J S A
« Ogo   Okt »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930

Blog Stats

  • 851,418 hits

Shoutbox

%d bloggers like this: