bila hatiku berbicara

~Kesiannya kat depa ni~

Posted on: Disember 7, 2007

Image Hosting by PictureTrail.com

Harapan berkecai di Brazil

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud

KUALA LUMPUR: Taktik menawarkan pekerjaan sebagai pemandu pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia dijadikan ‘modal’ sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk memerangkap seorang lagi gadis negara ini menjadi pembawa dadah di luar negara.

Sindiket menawarkan pekerjaan bergaji lumayan kepada wanita berkenaan untuk bekerja di luar negara.

Mereka turut menggunakan ejen kasanova untuk ‘membeli cinta’ daripada gadis tempatan di negara ini, termasuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sebelum diperdaya dengan cinta palsu.

Gadis terbabit ditawarkan kerja atau percutian eksklusif ke luar negara sebelum diminta membawa bungkusan mengandungi dadah.

Dalam kes terbaru itu, Irene Manggi, 22, dari Kuching, Sarawak, ditahan polis Sao Paolo, Brazil, kerana kesalahan membawa dadah.

Kakak mangsa, Lina Anak Manggi, mendakwa adiknya diperdaya seorang rakan yang menawarkan pekerjaan sebagai pemandu pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia.

“Ceritanya sama iaitu ditipu atau dianiaya kawan sendiri yang tanpa pengetahuannya menjadi ejen kepada sindiket dadah antarabangsa.

“Adik saya dan seorang lagi sepupu ditawarkan kerja sebagai pemandu pelancong. Entah bagaimana dengan begitu mudah adik saya terpedaya dengan taktik licik sindiket terbabit,” katanya dalam e-mel, semalam.

Lina berkata, berita penahanan adiknya itu diketahui melalui sepupunya yang berjaya melepaskan diri.

Dia kemudian membuat laporan polis selepas mengetahui kejadian itu pada Julai lalu.

“Kami berjumpa seorang wakil rakyat untuk memohon bantuan. Namun, hingga kini tiada berita yang menggembirakan dan segalanya hampa.

“Pihak kedutaan Malaysia di Sao Paolo memaklumkan adik saya dibicarakan pada 21 November lalu dan sedang menunggu keputusan hukuman.

“Kalau diikutkan hati, kami ingin ke Sao Paolo untuk melawat adik. Namun, apakan daya, kami tidak mempunyai wang, apatah lagi untuk mengupah peguam bagi membela adik,” katanya yang mengharapkan bantuan kerajaan membantu keluarganya dari segi guaman dan kos untuk ke sana.

Menurut Lina, dia inginkan keadilan untuk adiknya yang menjadi mangsa penipuan.

Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Brazil ketika dihubungi malam tadi, mengesahkan mengenai penahanan wanita berkenaan.

“Kami mengesahkan penahanan itu berhubung dadah jenis kokain dan semua maklumat mengenai kes ini sudah dihantar ke Wisma Putra,” kata seorang pegawai.

Pegawai itu bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran lanjut kes itu seperti tarikh penahanan dan pendakwaan di mahkamah serta meminta merujuk kepada Wisma Putra.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pula baru-baru ini mendedahkan terdapat 30 kes wanita tempatan diperdaya ejen sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang ditahan di beberapa negara asing.

Akhbar melaporkan seorang gadis dari Pasir Puteh, Kelantan, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin, 19 Januari lalu dan dijatuhi hukuman mati.

Seorang lagi, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun sebulan di penjara Jepun kerana kesalahan sama.

KUALA LUMPUR: “Raja Munirah kelihatan tabah dan tenang ketika hakim menolak rayuannya. Dia langsung tidak kelihatan terkejut atau sedih apabila mendengar hukumannya hanya dikurangkan 100 hari,” kata pelajar warga Jepun di Malaysia, Aki Uehara, 28.

Aki yang menghadiri perbicaraan rayuan kes Raja Munirah Raja Iskandar, 22, di Mahkamah Tinggi Tokyo, semalam, berkata Raja Munirah yang duduk di tengah-tengah mahkamah seolah-olah bersedia menerima sebarang keputusan yang menentukan nasibnya.

Malah, dia yang dihubungi dari Tokyo, berkata Raja Munirah, pelajar tahun dua ijazah komunikasi massa di sebuah kolej swasta itu, hanya berdiam diri sepanjang perbicaraan rayuan di hadapan tiga hakim itu.

“Selama hampir setengah jam perbicaraan rayuan itu, dia tidak menunjukkan sebarang emosi,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Menurutnya, Raja Munirah yang memakai baju hitam dan berseluar panjang dibawa ke mahkamah oleh anggota polis dengan tangannya digari.

“Perbicaraan rayuan itu tidak mendapat liputan media massa di Tokyo kerana banyak kes membabitkan warga asing dibicarakan di Jepun,” katanya yang pulang ke Tokyo baru-baru ini untuk bercuti.

Aki adalah pelajar peringkat sarjana dalam pengajian muzik di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang.

Dia mengetahui kes yang dihadapi Raja Munirah selepas membaca laporan di MyMetro bulan lalu menawarkan diri untuk menyampaikan maklumat perbicaraan rayuan itu kepada wartawan Harian Metro.

Mahkamah Tinggi Tokyo menolak rayuan Raja Munirah yang dipenjara di Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Narita di Tokyo, tahun lalu.

Perbicaraan rayuan berkenaan dikendalikan Nishiguchi, seorang peguam dari negara matahari terbit itu.

Peguam Raja Munirah di negara ini, Rosal Azimin Ahmad, ketika dihubungi, berkata mahkamah bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Raja Munirah selama 100 hari, yang bermakna dia akan dipenjara tujuh tahun tiga bulan.

Menurutnya, mahkamah mempertikaikan laporan forensik siber dikemukakan peguam, termasuk berkaitan data SMS antara Raja Munirah dan lelaki Iran bernama Milad, yang didakwa tertuduh sebagai orang yang menganiayainya.

“Mahkamah juga mendapati keterangan menerusi laporan forensik siber itu tidak mencukupi selain meragui kesahihannya,” katanya akan memfailkan rayuan seterusnya melalui peguam di Tokyo kepada Mahkamah Agung dalam tempoh 10 hari.

“Raja Munirah mempunyai peluang lebih baik di Mahkamah Agung kerana mahkamah itu biasanya membuat penelitian lebih terhadap prosedur dan isu undang-undang yang mengambil kira bukti baru yang dikemukakan,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta reaksinya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Tokyo, ibu Raja Munirah, Karimah Mamat, 46, berkata, dia sedih apabila mendapat tahu keputusan rayuan anaknya itu.

“Saya seolah-olah tidak percaya kerana walaupun bukti diberikan mencukupi, pihak mahkamah di Jepun masih tidak menerimanya.

“Memang saya sakit hati kerana mereka hanya mengurangkan tempoh hukuman 100 hari. Apapun, saya reda kerana bersedia menerima apa saja keputusan.

“Saya dan keluarga tidak akan berputus asa dan sentiasa berusaha hingga berjaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Buloh, malam tadi.

Walaupun sedih, dia percaya apa yang berlaku ke atas Raja Munirah mempunyai hikmah tersendiri selain bersyukur kerana anaknya masih selamat dan kerap berutus surat dengannya dari penjara.

Bapanya, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, pula mengatakan dia pasrah dengan keputusan itu dan bertekad membawa kes itu ke Mahkamah Agung di Jepun supaya Raja Munirah dapat diberi pembelaan sewajarnya.

Dia akan menghubungi peguam anaknya di Jepun untuk memintanya memohon lanjutan tempoh memfailkan rayuan kedua itu bagi membolehkan mereka mengumpul bukti yang lebih kukuh.

“Saya akan berbincang dengan peguam di Malaysia dan rakan yang selama ini memberi sokongan kepada saya bagi membincangkan tindakan yang akan diambil selepas ini,”
katanya.


PASIR PUTEH: Selepas hampir setahun tanpa khabar akhirnya sebuah keluarga di sini, menerima berita buruk mengenai anak perempuan sulung keluarga itu yang ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke republik itu pada 19 Januari lalu.

Lebih memilukan, menerusi sepucuk surat kepada Wisma Putra bertarikh 12 Julai lalu, dikatakan Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-Undang Jenayah Guangzhou republik itu pada 15 Mei lalu atas kesalahan menyeludup masuk heroin seberat 2,983 gram.

Ibu Umi Azlim, Umi Slaia Ibrahim, 45, berkata anaknya itu diberi tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman itu untuk membuat rayuan.

“Inilah yang membuatkan saya sekeluarga merasa sangat sedih. Sudahlah beberapa bulan tidak mendengar berita akhirnya anak saya ditahan di China atas kesalahan berat ini dan dijatuhi hukuman mati.

“Saya dimaklumkan dadah itu untuk diserahkan kepada seorang rakyat Nigeria yang bernama ‘UG’ sebaik tiba di Shantou (China) apabila menerima satu bungkusan di Bangkok (Thailand),” katanya ketika ditemui di rumah keluarga itu di Kampung Tok Kamis di sini, semalam.

Umi Slaia berkata, dadah itu ditemui tersorok dalam baju sejuk di bagasi anaknya sebaik tiba di Shantou.

Umi Azlim yang baru beberapa bulan bekerja selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam jurusan Sains Biologi dilaporkan bekerja dengan sebuah syarikat yang menjual alat mengurut kaki milik seorang yang hanya dikenali sebagai ‘Datuk Anas’ di ibu negara.

Menurutnya, disebabkan anaknya fasih berbahasa Inggeris, beliau dipilih syarikat itu untuk menjalankan urusan di luar negara.

“Sebelum ini Umi selalu menelefon saya sehinggalah terputus hubungan sejak Januari lalu,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan bimbang dengan keselamatan Umi Azlim, Umi Slaia pergi ke Jabatan Imigresen Kelantan di sini untuk membantu tetapi telah diminta merujuk kes itu ke Wisma Putra.

“Dia sanggup buat kerja yang susah asalkan dapat bantu, keluarga dan kehilangan tanpa berita ini sangat merunsingkan kami,” katanya.

Perkongsian hidup Mohamad Lazim dan Umi Slaia dikurniakan enam cahaya mata iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.

Adik Umi Azlim, Mohamad Azlizan kini belajar di Universiti Medan dan yang lainnya masih bersekolah kecuali Mohamad Azkairunaim, 20, yang bekerja.

Keluarga ini mengharapkan ada pihak yang sudi membantu mereka untuk mendapatkan peguam bagi Umi Azlim untuk membuat rayuan itu.

“Saya dan isteri hendak sangat berjumpa Umi Azlim di Penjara Guangzhou, tetapi kami orang susah apatah lagi nak dapatkan peguam.

“Kami nak dengar sangat apa cerita sebenar yang berlaku dan saya berharap rakyat Malaysia tolonglah kami terutama anak kami sedang berdepan dengan maut,” katanya.

Sebelum ini, seorang lagi rakyat Malaysia, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan menyeludup dadah di Jepun. Dia kini membuat rayuan terhadap hukuman itu. – Bernama

~Terus terang aku katakan sebagai seorang ibu aku agak sedih bila membaca cerita-cerita begini. Tentu ibu bapa mereka lagilah sedih dan gundah gulana dengan apa yang berlaku kepada anak-anak mereka. Memanglah kita ni orang luar hanya mampu bersimpati. Kasihannya kat mereka ini itulah yang selalu kita unggapkan. Kenapalah adik-adik ini mudahnya percaya dengan orang-orang luar yang baru di kenali? Memanglah sudah di takdirkan begitu. Tetapi berhati-hatilah dengan orang yang tidak di kenali apa lagi dengan orang luar. Hati orang ni kita tak tahu kalau kita tahu senang ceritanya. Semoga Allah menyelamatkan adik-adik ini. Walau apapun hanya merekalah yang tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada mereka. Semoga ibu bapa mereka tabah dalam menghadapi ujian dari Allah s.w.t ini.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kalendar

Disember 2007
I S R K J S A
« Nov   Jan »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Blog Stats

  • 835,525 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada
%d bloggers like this: