bila hatiku berbicara

Archive for Februari 4th, 2008

Edisi Nasional METRO: Ayam haram
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menarik balik sijil pengesahan halal yang diberikan kepada syarikat Dindings Poultry Processing Sdn Bhd berikutan proses penyembelihan ayam di kilangnya meragukan.

Difahamkan antara kesalahan dikesan Jakim iaitu sesetengah ayam disembelih dua kali selepas penyembelihan pertama tidak sempurna dan ada ayam sudah mati sebelum disembelih.

Pengumuman berhubung penarikan balik sijil itu disiarkan dalam laman web Jakim melalui [link]
bertarikh 3 Januari lalu.

Laman web itu yang menjadi rujukan rasmi sijil halal Jakim menjelaskan Sijil Pengesahan Halal Jakim bagi Syarikat Ayam Dindings Poultry Processing Sdn Bhd ditarik balik sehingga diberitahu kelak.

Pengarah Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam Jakim, Che Hassan Fahmi Che Mamat yang dihubungi Harian Metro, petang semalam, mengesahkan mengenai tindakan Jakim itu.

Menurutnya, setiap pemegang sijil halal bertanggungjawab ke atas sebarang penyalahgunaan syarat ditetapkan Jakim.

Dalam kes ini, saya menganggap tindakan menarik semula sijil halal syarikat itu dapat memberi pengajaran kepada industri besar supaya tidak menganggap isu halal sebagai remeh.

Isu ini tidak harus dipandang main-main kerana kesannya amat serius kepada umat Islam di negara ini, katanya yang meminta tindakan Jakim itu tidak perlu dipertikaikan.

Ini kerana Sijil Pengesahan Halal boleh ditarik balik atau ditamatkan tempoh sahnya bila-bila masa apabila didapati ia menyalahi Prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang sudah ditetapkan atau terdapat perkara atau cara pengendalian yang meragui dari segi hukum syarak.

Bagaimanapun, Jakim sedia bertolak ansur sekiranya pihak pengurusan syarikat itu membuat rayuan. Terpulang kepada keupayaan mereka untuk membetulkan kesilapan dan meyakinkan semula Jakim berhubung perkara yang menjadi isu.

Rayuan terbabit akan dipertimbangkan oleh Panel Pengesahan Halal Jakim dan penilaian akan dibuat secara teliti bagi memastikan kesalahan itu diperbetulkan, katanya.

Beliau turut mengatakan Jakim boleh menyenaraihitamkan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi syarat dan peraturan Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Sementara itu, menurut sumber Jakim, sepasukan pegawai penguat kuasa Jakim dengan bantuan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan pemeriksaan mengejut di kilang pemprosesan ayam milik syarikat itu di Kawasan Perindustrian Kampung Aceh, Setiawan, Perak, Rabu lalu.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesalahan membabitkan proses penyembelihan yang meragukan.

Menurutnya, kesalahan ketara adalah sesetengah ayam disembelih dua kali disebabkan penyembelihan pertama tidak sempurna.

Ini sekali gus membuktikan ayam terbabit haram dimakan. Penyembelihan yang dilakukan dengan pantas itu menyebabkan tidak putus salah satu urat sama ada urat halkum atau urat marikh pada ayam terbabit yang diwajibkan mengikut syarak, katanya.

Justeru, penguat kuasa Jakim segera melakukan soal siasat bergilir-gilir terhadap tukang sembelih ayam yang bertugas di kilang itu untuk mendapatkan penjelasan terperinci.

Sumber itu mengatakan pekerja berkenaan mengaku ada menyembelih ayam dua kali untuk menjimatkan masa berikutan terlalu banyak ayam yang perlu diproses.

Malah, kami turut menemui bukti apabila mendapati ada ayam yang disembelih tidak putus urat leher sepenuhnya.

Selain itu, proses melayikan ayam menggunakan air panas didapati dikawal oleh pekerja bukan Islam. Ini secara langsung melanggari syarat sah penyembelihan untuk haiwan halal yang mewajibkan ia dilakukan oleh individu beragama Islam, katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati terlalu banyak keraguan yang munasabah berikutan penemuan berpuluh ayam yang disembelih dalam keadaan tidak sempurna iaitu haram untuk dimakan oleh orang Islam.

Jakim tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menarik sijil pengesahan halal diberi walaupun ia sepatutnya luput pada 14 Disember tahun ini, katanya.

Beliau berkata, syarikat itu tidak sekadar menjadi pembekal ayam siap diproses ke pasar raya utama seluruh negara, malah kepada syarikat makanan segera.

Disebabkan ayam yang diproses syarikat itu mendapat permintaan tinggi, katanya, Jakim sudah menghantar surat rasmi mengenai penarikan sijil pengesahan halal terbabit kepada pasar raya dan syarikat makanan segera.

Surat sama turut dihantar kepada pejabat agama Islam dan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setiap negeri.

Pusat beli-belah terkemuka, pasar raya dan pemborong perlu menghentikan serta merta penjualan ayam keluaran syarikat terbabit, katanya.

Berikutan pengumuman Jakim itu, pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melakukan siasatan terhadap 10 pusat beli-belah dan pasar raya utama di ibu kota , semalam.

Mereka mendapati masih terdapat beberapa premis yang menjual produk berasaskan ayam keluaran syarikat terbabit.

Koordinator Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata tindakan diambil selepas pihaknya menerima pengumuman rasmi melalui laman web Jakim pagi semalam.

Menurutnya, kebanyakan pasar raya utama sudah menghentikan penjualan ayam dari kilang ayam itu di Perak, namun produk siap diproses seperti ayam bersalut tepung dan nugget yang mempunyai logo halal Jakim masih dijual.

Hukuman lebih berat perlu digubal kerana hukuman sedia ada terlalu ringan, katanya yang meminta sudah tiba masanya Akta Halal digubal bagi mengawal kegiatan penyalahgunaan atau penyelewengan sijil halal Jakim.

~Beberapa tahun yang lalu pernah juga beli ayam dindings, harap-harapnya bukan bangkai ayam yang kami makan ketika itu…sekarang ni kalau tak makan ayam organik tobat tak makan ayam dah. Kalau balik kampung ayah sembelih ayam kampung yang di pelihara sendiri. Di sini ayam organik sahaja yang menjadi pilihan kami sekeluarga~

Advertisements

25 Pesanan Luqmanul Hakim

01 – Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada Allah (SWT).

02 – Orang – orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah (SWT). Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah (SWT) juga.

03 – Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah (SWT), maka dia tawadduk kepada Allah (SWT), dia akan lebih dekat kepada Allah (SWT) dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah (SWT).

04 – Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 – Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 – Dan selalulah berharap kepada Allah (SWT) tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah (SWT). Takutlah kepada Allah (SWT) dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah (SWT).

07 – Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 – Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

09 – Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 – Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itutelah memberikan akibat yang berbahaya.

11 – Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 – Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 – Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 – Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 – Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak iatidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 – Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati- hatilah.

17 – Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18 – Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 – Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain keranaitu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 – Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan Allah (SWT) bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 – Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata- kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 – Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu,janganlah mensia siakan hartamu.

23 – Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentuakan menyesal.

24 – Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah darimutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25 – Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

~Jumaat pagi anakku pulang setelah sebulan dia di asrama. Perkataan pertama dia rindukan ibu dan rindukan masakan ibu. Banyak cerita yang dia bawa balik, cerita itu dan ini, cuma aku dapat rasakan tubuhnya agak susuk kerana tidak berselera makan tinggal di asrama, rindu kan ibunya, kesiannya anakku. Sekali sekala ayahnya menghantar makanan yang ku masak di rumah, itupun dia tidak berselera al maklumlah sajalah suasana di sana manalah nak sama dengan di rumah. Tetapi alhamdulillah sedikit sebanyak dia sudah berubah, solat dan mengajinya agak baik dari sebelum dia tinggal di asrama. Pada mulanya dia tidak ingin menonton tv kerana katanya tak baik menonton tv bimbang kot-kot terlihat aurat perempuan seksi dan segala yang dia hafal akan hilang dari hatinya, cewah…lepastu tak tahan tengok kartun Spongebob hehehe. Tetapi tidak seperti dulu, kalau dulu suka baca buku-buku komek, tv pagi petang siang malam tak berhenti tetapi di sana tidak boleh baca komek, tv apa lagi tak adapun. Dia banyak membaca buku-buku agama dan kisah-kisah nabi-nabi, alhamdulillah sejuk hati ibu dan ayahmu nak semoga ianya berterusan sampai bila-bila, menjadi anak soleh penyejuk mata ibu dan ayah.

Katanya ada juga anak MB Kelate Ustaz Nik Abduh pergi ceramah di Maahadnya( harap-harap betul info ini), aku tanya yang mana satu anak MB Kelate tu sambil menunjukkan gambar Ustaz Nik Abduh di dalam web Tahfiz Nikmatillah. “A’ha itulah orangnya bu, dialah yang pergi berceramah kat sekolah Hafiz”. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku hantar Hafiz belajar tahfiz di Kelate tetapi itulah aku tak sanggup berjauhan dengannya, di sini biarpun sukar tetapi masih boleh pergi juga, tetapi kalau di sana agak payah. Dua hari bersamanya rasa tidak cukup untuk melepaskan rinduku ini…tetapi pergilah sayang demi menuntut ilmu. Ibu dan ayah sentiasa iringkan doa dan restu untukmu nak. Buat suamiku terima kasih kerana biarpun seribu kepayahan yang kita lalui akan kita tempuhi bersama. Insyaallah mudahan hari esok bakal menjanjikan kebahagiaan buat kita………...dunia dan akhirat.


Kalendar

Februari 2008
I S R K J S A
« Jan   Mac »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
2526272829  

Blog Stats

  • 845,678 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada