bila hatiku berbicara

Archive for Februari 8th, 2008

Ada tak sesiapa tahu makna farshi turab? Rasa sedih pulak dengar nasyid ni…

Advertisements

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan dan Mohd Sairien Nafis
ffarlin@hmetro.com.my
GOMBAK: Walaupun berbeza fahaman agama, namun itu tidak menjadi penghalang bagi setiap ahli keluarga pesara, Fong Ah Tak, 56, untuk bersatu meraikan Tahun Baru Cina setiap tahun.

Fong yang beragama Buddha berkahwin dengan S Vasantha, 57, beragama Hindu dan dikurniakan dua anak, Farihin Fong Sho Ghi, 28, dan Adam Fong Sho Keong, 25, yang kedua-duanya kini sudah memeluk Islam.

Farihin yang menganut Islam empat tahun lalu berkata, ayahnya tidak membantah, malah memberi galakan kepadanya untuk memeluk Islam dan mengikut kepercayaan yang disukainya.

Katanya, dia turut mendapat restu sepenuhnya daripada ibunya biarpun pada mulanya keputusan itu kurang dipersetujui.

“Pada mulanya ibu tidak bersetuju tetapi sekarang dia sangat suka dengan agama Islam dan menganggap peralihan saya sebagai sesuatu yang positif,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Taman Bolton, Batu Caves, di sini.

Ahli perniagaan itu berkata, dia sememangnya sudah terdedah kepada agama Islam sejak kecil kerana dibesarkan dalam masyarakat Melayu.

Namun, katanya, keangkuhan yang membelenggu diri pada awalnya menyebabkan dia tidak menerima agama itu sebagai cara hidup biarpun sudah tahu keunggulan Islam.

“Tetapi saya mula berubah dan lembut hati memeluk Islam selepas menerima hidayah melalui mimpi.

“Sebelum ini, saya pernah terjebak dalam ajaran sesat sehingga pada satu malam saya bermimpi ketua ajaran sesat yang diikuti mengarah saya meninggalkan ajarannya dan mencari agama yang lebih baik,” katanya.

Farihin berkata, bermula episod itu dia mula mempelajari agama Islam dengan serius sebelum mengambil keputusan memeluk Islam pada 2004 seterusnya berkahwin dengan teman wanita, Nazneer Ab Ghaffar, 30, setahun selepas itu.

Hasil perkahwinan itu, Farihin dan isterinya dikurniakan seorang anak perempuan, Farhana Zahra, setahun.

Menurut Farihin, walaupun berbeza pegangan agama, dia dan ahli keluarga lain tidak akan meminggirkan sambutan Tahun Baru Cina disambut ayahnya setiap tahun dan akan berkumpul memeriahkan suasana.

“Kami menyambutnya secara sederhana demi semangat kekeluargaan dan kasih sayang antara ahli keluarga,” katanya.

Lebih menarik, selepas hampir empat tahun Farihin memeluk Islam, adiknya, Adam, turut mengikut jejak langkahnya apabila mengambil keputusan menjadi saudara baru tiga bulan lalu.

Adam berkata, pada mulanya dia membenci agama Islam kerana terbaca berita negatif melalui televisyen dan akhbar termasuk kisah pengganas, namun pandangan itu berubah selepas mengenali Islam lebih dekat.

Katanya, dia mula sedar keagungan Allah selepas terbabit dalam kemalangan kereta pada akhir 2005.

“Selama ini saya sentiasa merasakan saya yang mengatur hidup saya tetapi apabila saya kemalangan saya seperti baru bangun dari tidur yang panjang. Saya terkejut bagaimana itu boleh berlaku dan sejak itu sedar ada kuasa lebih besar dari saya,” katanya.

“Saya tercari-cari bagaimana caranya untuk saya menunjukkan rasa syukur pada Allah dan akhirnya saya memeluk Islam tiga bulan lalu selepas mempelajari Islam dengan mendalam selama dua tahun,” katanya yang bertugas sebagai jurutera komputer.

Adam berkata, dia sangat sayangkan Islam hingga sanggup berkorban untuknya dan kini dia dan abangnya menjalankan dakwah secara tidak formal kepada kenalan dan sesiapa yang ingin tahu mengenai agama Islam.

“Melalui emel farihin@gmail.com, kami berdua sanggup membantu menjelaskan sebarang kebuntuan kepada mereka yang tertarik dengan Islam, seterusnya menjelaskan salah faham mengenai agama ini,” katanya.

~alhamdulillah~


Kalendar

Februari 2008
I S R K J S A
« Jan   Mac »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
2526272829  

Blog Stats

  • 851,418 hits

Shoutbox