bila hatiku berbicara

Archive for Mac 2008

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Amir Abd Hamid
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Beberapa agensi penyiasat persendirian tempatan kini menjadi buruan kalangan isteri orang kenamaan (VIP), artis dan ahli perniagaan bagi membongkar kegiatan suami masing-masing yang disyaki gemar ‘makan luar’.

Isteri yang sering kesunyian itu sanggup membayar upah hingga puluhan ribu ringgit semata-mata mahu membuktikan perilaku sumbang atau hubungan sulit suami yang selama ini sukar dibuktikan.

Apa yang menakjubkan, penyiasat persendirian yang dilengkapi pelbagai peralatan canggih seperti pengesan peribadi, kamera, video pengintip, alat perakam suara mini dan perakam video pin tali leher berjaya membongkar rahsia yang dianggap hampir mustahil didedahkan itu.

Mereka turut menggunakan taktik menyamar pekerja syarikat telekomunikasi, penghantar pos kurier, pekerja pembersihan atau kakitangan pembasmi serangga perosak untuk menyusup ke dalam premis tertentu bagi mendapatkan bukti.

Penyiasat persendirian yang juga Pengurus Delta Force Security Services and Consultancy Sdn Bhd, Kapten (B) Amerruddin Nordin, berkata keupayaan menyelesaikan kes sulit dan peribadi membuatkan masyarakat kini semakin yakin terhadap fungsi penyiasat persendirian.

Menurutnya, sebagai penyiasat persendirian selama 17 tahun, skop tugasnya bukan saja merangkumi penipuan perniagaan, mencari individu hilang, mendapatkan bukti salah laku dan memberi perlindungan kepada individu tertentu, malah mengesan kecurangan suami golongan VIP.

Beliau yang mendapat lesen khas daripada Kementerian Dalam Negeri, berkata kebiasaannya golongan isteri VIP mengesyaki suami masing-masing menjalin hubungan sulit dengan wanita lain atau memiliki perempuan simpanan, namun si suami licik menyorokkan bukti.

“Saya didatangi ramai isteri Tan Sri, Datin, artis dan ahli perniagaan untuk mendapatkan perkhidmatan.

“Biasanya perbincangan diadakan terlebih dulu secara sulit bagi memudahkan kami mendapatkan butir terperinci ‘sasaran’ dan kehendak pelanggan.

“Selepas segalanya lengkap, penyiasat yang dipilih akan memulakan siasatan bagi mengumpul bukti dikehendaki. Setakat ini kami mempunyai lima penyiasat persendirian yang bekerja sepenuh masa, manakala empat lagi bertugas separuh masa,” katanya.

Beliau yang pernah bertugas sebagai perisik Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mendakwa berupaya menyelesaikan kes dalam tempoh antara tiga hari hingga dua minggu, bergantung pada tahap kesukaran dan keaktifan sasaran.

“Kami pernah diupah menyiasat seorang VIP berstatus Tan Sri yang disyaki mempunyai hubungan sulit dengan seorang personaliti terkenal.

“Kami mengekori VIP berkenaan setiap hari dari awal pagi ketika dia keluar rumah untuk bermain golf di sebuah kelab terkemuka. Selesai bermain golf sekitar jam 10 pagi, VIP berkenaan didapati pergi ke sebuah kondominium mewah di Bukit Bandaraya, Bangsar,” katanya.

Hasil siasatan mendapati kondominium itu didiami seorang personaliti jelita yang kerap muncul di televisyen untuk pelbagai rancangan.

“Kami terpaksa bersabar beberapa hari sebelum mengekori pasangan ‘kekasih’ itu ke sebuah hotel lima bintang di Jalan Sultan Ismail.

“Aksi pasangan itu akhirnya dirakam sebelum salinan rakaman itu dipindahkan ke dalam cakera padat (CD) dan diserahkan kepada isterinya sebagai bukti,” katanya.

Ditanya sama ada siasatannya mampu menghancurkan rumah tangga pelanggan, Amerruddin berkata, bukti yang diperoleh digunakan hanya untuk membuat suami mengaku kesalahannya.

“Malah, kepakaran kami turut pernah digunakan pelanggan untuk menyelesaikan kes perbicaraan mahkamah syariah berikutan kekurangan bukti kecurangan dilakukan pasangan,” katanya.

Terbaru, beliau menyelesaikan kes seorang VIP yang mempunyai hubungan sulit dengan seorang gadis kedi di sebuah kelab golf yang kerap berakhir di bilik hotel.

“Kes begini mungkin nampak mudah, namun untuk menjejaki sasaran memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan. Penggunaan pelbagai peralatan mampu memudahkan tugas intipan,” katanya yang pernah dibayar mencari anak gadis dilarikan teman lelaki dan menyiasat aktiviti sulit anak.

Biasanya, kata Amerruddin, ibu bapa yang bekerja menghubungi agensinya bagi mengawasi aktiviti anak mereka setiap sehari.

Seorang lagi penyiasat persendirian terkenal, Raj, 55, mengakui kerap dibayar melakukan siasatan berhubung kes rumah tangga membabitkan golongan kenamaan.

Antara yang terbaru membabitkan seorang Datuk berumur 63 tahun yang terjerat apabila beliau bersama seorang wanita berumur 30 tahun di pangsapuri mewah pinggir ibu kota.

“Saya diupah ribuan ringgit. Sebaik pasti Datuk itu berada bersama pasangan di pangsapuri itu, saya terus menghubungi isterinya yang beberapa jam kemudian datang ke situ,” katanya.

~Siap ko wahai para suami( segelintir sahaja) isteri zaman sekarang ni cerdik. Bagus jugak kalau ada penyiasat seperti ini, para isteri akan tahu perangai suaminya yang sebenar, tak cukup-cukup ke lagi makan kat rumah free dan halal, tetapi masih mahu makan luar yang haram lagi? Kalau rasa tak cukup dengan seorang isteri, kawen lah tiga empat janganlah buat dosa free( alahai ikhlaskah apa yang aku cakap ni). Agaknya ni kerja orang yang kaya-kayalah kot( tak semuanya) yang tak ingat mati, dah jadi warga emas baiklah duk sibuk-sibuk pergi masjid ke cari bekalan untuk menuju ke SANA. Kubur dah duk panggil mari…mari…tapi tak sedar-sedar diri lagi, rumah pulak dah kata pergi…pergilah. Insaflah uban dah penuh di kepala dah, tapi masih sibuk lagi dengan nafsu nafsi……

Demi masa…

Sesungguhnya manusia kerugian

Melainkan…

Yang beriman dan beramal saleh

Demi masa…

Sesungguhnya manusia kerugian

Melainkan…

Nasihat kepada kebenaran dan kesabaran

Gunakan kesempatan yang masih diberi

Moga kita takkan menyesal

Masa usia kita jangan disiakan

Kerna ia takkan kembali

Ingat lima perkara, sebelum lima perkara

Sihat sebelum sakit

Muda sebelum tua, kaya sebelum miskin

Lapang sebelum sempit

Hidup sebelum mati

Demi masa…

Sesungguhnya manusia kerugian

Melainkan…

Yang beriman dan beramal saleh

jan badang” rizalsp3@yahoo.com

malu aku pada diri aku sendiri…tatkala bangsa lain sibuk mendekati Islam,kami yang sedia beragama Islam dari baligh tak pernah berusaha mengenal agama kami sendiri.lebih malu lagi,bila ada pemimpin kami yang menolak dan ingkar pada suruhan agama kami…ya Allah..ampuni umatmu..kami telah lalai…

Oleh QAMARUL MUNIRAH SAID

Nurmaisarah Chang.

Satu perasaan yang sukar diungkap dan digambarkan tatkala menerima berita bahawa bapa dan adik-adiknya telah mengikut jejak langkah ibu dan dirinya.

Bapanya, Ahmad Chang dan adik-adiknya, Nurazziyati, 20, Muhammad Adam, 16, Nurhusnina, 10 dan Muhammad Afiq, 8, memeluk Islam serentak di Pusat Islam Paroi, Negeri Sembilan.
Menurut Nurmaisarah Chang, 21, berita gembira itu diterimanya selepas beberapa bulan dia dan ibunya memeluk Islam.
“Ini adalah hadiah yang tidak ternilai dalam hidup saya. Boleh dikatakan seluruh ahli keluarga saya memeluk Islam selepas saya dan ibu,” katanya dalam pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.
Anak kelahiran Seremban ini turut mengakui, apa yang memeranjatkan dia mahu pun ibunya, masing-masing tidak mengetahui siapa yang terlebih dahulu terbuka hati untuk memeluk Islam.
“Saya hanya mengetahui tentang pengislaman ibu semasa di kampung sewaktu pulang bercuti selepas seminggu saya memilih Islam. Semua ahli keluarga yang lain juga tidak mengetahui tentang penghijrahan ibu termasuklah bapa.
“Ibu menyembunyikan perkara itu sehinggalah saya dapat mengetahuinya semasa bercuti. Itupun secara kebetulan sahaja,” jelasnya.
Menurut penuntut tahun dua Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, ibunya amat berhati-hati terutama apabila tiba waktu untuk makan.
“Ibu hanya makan nasi dan tidak menyentuh lauk-lauk yang lain. Ini menyebabkan saya kehairanan lantas bertanya kepada ibu semasa kami duduk berbual, adakah dia juga seperti saya dan ibu mengakuinya.
“Betapa gembiranya kami saat itu dan ia sukar untuk diungkapkan kerana kami kini sama-sama telah memilih satu jalan yang diredai Allah iaitu Islam,” jelasnya.
Menurut Maisarah, ibunya terlebih dahulu menghidu tentang penghijrahannya itu melalui perwatakan dan tingkah lakunya yang berlainan daripada kebiasaan.
“Satu hari, ibu bertanya kepada saya, kamu masuk Islam ya, saya hanya tersenyum pada ibu dan saya terkejut apabila ibu langsung tidak memarahi saya. Rupa-rupanya ketika itu ibu juga telah memeluk Islam,” ujar anak sulung daripada enam beradik ini lagi.
Menurut Maisarah, selang beberapa bulan selepas itu, bapa dan adik-adiknya yang lain turut memeluk Islam.
“Saya sangat bersyukur kerana kaum keluarga dan saudara mara kami dapat menerima perubahan keluarga kami.
“Kami tetap menyambut Tahun Baru Cina dan tetap pulang ke kampung untuk menyambutnya seperti biasa. Kini, kami menyambut dua perayaan setiap tahun, Hari Raya dan Tahun Baru Cina,” katanya.
Menurut gadis ini lagi, walaupun salah seorang adiknya tidak memeluk Islam, ia tidak menjadi masalah kepada mereka sekeluarga.
“Cuma adik saya yang berumur 18 tahun sahaja yang masih belum mengikut jejak langkah kami. Saya sentiasa berdoa semoga suatu hari nanti dia juga turut menerima hidayah seperti kami,” jelasnya.
Bagaimanapun, kata Maisarah, hubungan mereka masih seperti dulu dan tidak berubah. “Kadang-kadang, dia yang mengingatkan kami untuk bersolat. Kami tidak pernah memaksanya untuk berubah kerana itu adalah pilihannya.
“Apa yang boleh kami lakukan cuma berharap dan sentiasa berdoa semoga suatu hari nanti dia memeluk Islam seperti kami,” katanya.
Menceritakan detik penghijrahannya, menurut Maisarah, dia berkawan rapat dengan seorang senior di UKM yang selalu bercerita tentang Islam kepadanya.
Sebelum ini, katanya, dia memandang Islam sesuatu yang melecehkan kerana perlu bersolat dan menutup aurat serta perkara-perkara lain yang perlu dilakukan oleh umatnya.
“Saya hanya terfikir untuk menganut agama Islam ini jika saya berkahwin dengan lelaki yang beragama Islam dan jika tidak, saya tetap dengan agama saya iaitu Buddha.
“Namun Allah membuka pintu hati saya terhadap Islam selepas mendengar cerita-cerita yang disampaikan oleh senior saya, Kak Sabrina,” katanya.
Menurutnya lagi, Sabrina menjadi tempatnya mengadu dan tempat untuk meluahkan perasaan serta segala kerunsingan.
“Melaluinya saya mengenali sedikit sebanyak tentang Islam dan dia memperkenalkan saya dengan seseorang yang banyak mengislamkan pelajar-pelajar UKM sebelum ini.
“Beliau ialah seorang pegawai di Kementerian Pelajaran dan saya memanggilnya dengan panggilan Ustaz Azrai. Kini, saya menjadi anak angkat Ustaz Azrai dan beliau banyak membimbing saya tentang Islam,” tambahnya.
Selepas memeluk Islam, Maisarah mengakui bahawa kini hidupnya sangat berbeza malah semakin teratur.
“Dulu, jiwa saya seakan-akan kosong dan tidak ada arah tuju berbanding selepas memeluk Islam, ketenangan itu saya peroleh dan hidup semakin teratur dan bermakna.
“Pergaulan dengan rakan-rakan juga turut berubah di mana sebelum Islam saya bebas bergaul dengan lelaki bukan mahram namun kini saya telah hadkan diri saya dan membataskan setiap perbuatan agar tidak terpesong dari agama Islam,” ujarnya yang memeluk Islam pada Februari 2007.
Menurutnya, dia banyak belajar solat daripada Sabrina selain dari menghadiri
kursus di bawah anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Saya juga telah mula berpuasa sebelum memeluk Islam lagi kerana terikut-ikut dengan rakan-rakan yang beragama Islam dan ia juga merupakan salah satu cara saya menghormati mereka,” katanya.
Sebenarnya, kata Maisarah, sejak kecil dia telah terdedah dengan budaya orang Melayu dan Islam jadi apabila telah memeluk Islam, ia tidak menjadi satu bebanan kepada saya.
“Tetapi, biasalah kalau baru memeluk Islam, kesukarannya tetap ada dan saya menerimanya sebagai satu cabaran dan berusaha untuk memperbaikinya dari semasa ke semasa,” katanya.
Maisarah mengakui setelah memeluk Islam rezekinya semakin bertambah dan dirinya seolah-olah dilindungi.

KALAM HIKMAH :

” Agama buat kehidupan di akhirat, harta buat kehidupan di dunia. Di dunia orang yang tidak berharta berasa susah hati, tetapi orang yang tidak beragama merasa lebih sengsara” -(Saidina Abu Bakar As-Siddiq )
Pensyarah
Fri | Mar 21, 08 | 2:51:48 pm MYT
Bersentuhan antara lelaki dan wanita ajnabi adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan ia juga dikategorikan sebagai perbuatan yang salah dan haram di sisi syariat.Seorang penceramah Agama yang menonjol kepimpinannya di dalam Umno serta terkenal, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim telah secara sengaja atau tidak, bersalaman dengan bekas Timbalan Menteri Penerangan, Dato’ Mohd Zahid Hamidi yang juga merupakan exco Majlis Tertinggi Umno. (Rujuk Buletin 1.30 TV3, 19 Mac 2008).

Meskipun ada ulamak berpendapat bahawa seseorang wanita boleh bersalam dengan lelaki ajnabi dengan syarat pada ketika itu darurat yakni dengan tujuan untuk menjaga maruah dan air muka orang yang menghulurkan salam.

Namun sebagai seorang yang dikenali umum dan selalu berhadapan dengan situasi sebegini, beliau sewajarnya perlu dan boleh lebih bijak untuk menanganinya.

Saya ingin mencadangkan pada Ustazah Mashitah supaya sentiasa bersedia menghadapi situasi yang tidak diduga seperti itu. Alangkah elok, kiranya ustazah sentiasa berpakaian sama ada bertudung yang agak labuh sedikit dan menjadikan tudung sebagai pelapik untuk bersalam apabila berhadapan dengan lelaki ajnabi.

Selain itu, teknik lain yang boleh digunakan ialah berpakaian dengan lengan baju yang luas dengan memasukkan tangan ke dalam lengan baju sedikit dan terus bersalam secara berlapik.

Teknik ketiga ialah, melapik tangan dengan selendang yang diletak atas bahu. Selalunya golongan kenamaan sangat gemar mengenakan selendang di bahunya sebagai fesyen Melayu tradisi. Insya Allah dosa kecil ini dapat dielakkan.

Pernah seorang professor perempuan tersohor yang datang ke Malaysia, bertanya kepada saya, sama ada beliau boleh menghulur tangan untuk bersalam dengan lelaki Islam.

Jawapan saya kepadanya, ia bukan tradisi seorang muslim sejati. Saya sungguh kagum kerana Professor itu diam dan cuba tidak bersalam dengan lelaki Islam ketika berada di Malaysia.

Malah jika menurut etika dan protokol yang standard, seseorang lelaki tidak boleh menghulurkan tangan terlebih dahulu untuk bersalam dengan wanita.

Ini adalah kerana lelaki itu hanya perlu menyambut salam itu sekiranya wanita tersebut yang terlebih dahulu menghulurkan tangannya.

Pensyarah Universiti Tempatan

~kalau dulu saya sangat kagum dengan Dr Mashitah sebelum dia terlibat dengan politik, mendengar ceramah-ceramahnya di di forum perdana dan laman nurani di TV3, tetapi sayangnya setelah dia beralih arah saya lebih suka Ustazah cakar harimau iaitu Ustazah Nur Bahiyah~

PAGI itu Amir berasa begitu gementar dan tidak senang duduk. Apa tidaknya, sebentar lagi dia bakal mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah.

Ayah Amir faham akan resah anaknya. Lantaran sekolahnya agak jauh, dia memandu kereta dan menemani anaknya mengambil keputusan.

Dalam perjalanan tersebut, ayah Amir berbicara memecah kesunyian: “Amir, ayah faham sekarang ni Amir berasa begitu gemuruh… Banyakkan bertenang, apa kata Amir memperbanyakkan doa mohon diberi ketenangan dan kemudahan…,” Amir mengangguk- angguk, tetapi jauh di sudut hatinya, sangat resah.

Kini kereta ayah Amir memasuki perkarangan tempat letak kereta di sekolahnya. Kelihatan ramai calon SPM sekolahnya bersama keluarga masing-masing berlegar-legar di kawasan sekolah.

Setelah meletakkan kereta, mereka bergerak menuju ke dewan sekolah. Ramai rakan-rakan sekelasnya yang telah tiba terlebih dahulu. Amir kemudiannya pergi ke meja kaunter untuk mendapatkan keputusannya. Dibukanya slip keputusan peperiksaannya perlahan-lahan.

“Ohh..”

“3A..5B..1C,” ujar Amir perlahan dengan penuh sayu.

“Alhamdulillah…Tahniah Amir! Ayah gembira mendengar keputusan yang kamu terima,” balas ayahnya dengan nada bersyukur.

Amir sedar bahawa dia bukanlah tergolong dalam kalangan pelajar pintar, dia tetap berusaha bersungguh-sungguh demi menghadapi peperiksaan tersebut. Namun keputusan yang sudah dijangkanya itu masih amat sedih untuk diterimanya memandangkan dia tetap mengharapkan pencapaian yang lebih baik.

“Inna lillah wa inna ilaihi rajiun…”

Mungkin ada hikmahnya di sebalik semua ini..getus hati kecil Amir.

“Apa kata kita pergi makan-makan dulu ye..Ayah bawa Amir ke restoran yang Amir suka..

“Mmm..baiklah Ayah..Terima kasih..” ujar Amir sambil mengangguk lemah.

Selesai menikmati hidangan, ayah Amir bersuara, “Amir..”

“Mmm..” balas Amir lemah, jauh fikirannya melayang.

“Ayah tahu Amir telah berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan terbaik.. Tapi kita manusia hanya mampu berusaha, Penentunya ialah Allah yang Maha Bijaksana..”

“Tapi ramai rakan Amir yang mendapat keputusan yang baik daripada Amir. Kawan-kawan yang sama-sama belajar dengan Amir, ramai yang berjaya. Bagaimana dengan masa depan Amir nanti? Amir rasa bersalah sebab hampakan ayah dan ibu,” ujar Amir perlahan. Jelas sekali kekecewaan di raut wajahnya.

“Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Barangkali ini adalah ujian daripada-Nya, supaya Amir bersabar dan tidak putus asa daripada terus berusaha. Ada orang, apabila mendapat kejayaan, dia lupa diri, lupa keluarga dan berasa bangga lalu sombong..”

“Contohnya, ada yang merasakan bahawa kejayaan adalah kekayaan. Ada pula yang merasakan bahawa kekayaan itu adalah kejayaan. Ia terpulang kepada persepsi seseorang itu terhadap sesuatu perkara, bagaimana mereka menerima sesuatu perkara sama ada dari sudut positif atau tidak”.

“Pada ayah, Amir telah berjaya, kerana ayah lihat dalam pada Amir berusaha, Amir tidak lupakan tanggungjawab Amir terhadap Allah, keluarga dan rakan-rakan. Jadi tidak timbul soal kecewakan ayah dan ibu. Ayah percaya, jika Amir tingkatkan usaha dan menggunakan kaedah yang betul, pasti Amir boleh berjaya selepas ini,” ujar ayah Amir sambil tersenyum.

“Ini barangkali adalah petanda supaya Amir tidak terus berputus asa dan mesti terus berusaha. Kami sebagai ayah dan ibu Amir akan sentiasa menyokong dan mendoakan yang terbaik buat Amir, dengan syarat Amir juga mesti selalu berusaha dan tidak putus meminta rahmat daripada Allah…,” kata ayah Amir sambil menepuk-nepuk bahu anaknya. Dia tahu anaknya kecewa, tetapi anaknya harus dibantu untuk menenangkan perasaannya yang sedang berkecamuk.

Amir berasa lega sedikit. Namun dia berasa sangat bersyukur kerana ibu ayahnya sangat memahami perasaannya ketika itu, membantunya berfikir tentang perspektif lain tentang erti kejayaan. Jauh di sudut hatinya, dia masih lagi menggenggam impian untuk terus berusaha dan berjaya.

Ibu Bapa Penyokong Terbaik

Begitulah secebis kisah tentang seorang remaja yang baru sahaja menerima keputusan peperiksaan SPMnya.

Dalam tempoh sebegini sememangnya emosi pelajar agak berkecamuk serta dihantui oleh perasaan sedih, kecewa, kesal atau rendah diri.

Justeru dampingan ibu bapa amat diperlukan tatkala meniti saat-saat kegagalan dalam mencapai matlamat peperiksaan mereka.

Seandainya ibu bapa bersikap menyalahkan atau menghukum anak-anak mereka , sama ada dengan makian ataupun layanan kurang baik, maka hal ini boleh membuatkan anak-anak berasa lebih tertekan. Teguran terhadap anak-anak boleh dilakukan tetapi ia seharusnya bersifat mendidik dan bukannya bermaksud melepaskan kemarahan yang terpendam kepada mereka.

Kata-kata perangsang yang dilontarkan mampu menumbuhkan kembali semangat anak-anak untuk terus memandang ke hadapan.

Pertamanya ibu bapa boleh menjelaskan kepada anak-anak berkenaan konsep qada dan qadar, yakni kita manusia hanya merancang dan berusaha namun akhirnya Allah jua yang menentukan.

Justeru kita seharusnya reda dengan apa jua yang telah ditentukan ke atas kita serta bersangka baik terhadap Allah. Mungkin di sebalik kegagalan ini ada hikmahnya tersendiri yang belum tersingkap oleh kita.

Kejayaan dalam peperiksaan sememangnya diakui penting untuk pelajar melangkah lebih jauh ke menara gading. Namun rezeki Allah ada di mana-mana asalkan kita mahu berusaha serta berdoa agar dipermudahkan rezeki kita.

Banyak lagi perkara yang bakal ditempuhi selepas ini yang menuntut kepada usaha berterusan, keteguhan tekad serta pedoman agama. Tempoh selepas persekolahan merupakan masanya remaja menuntut ilmu serta membentuk kemahiran dalam bidang yang diminati demi kerjaya masa depan.

Selain itu, kegagalan hanyalah sementara, yang penting ialah kita perlu bangkit, mengambil pengajaran daripada kesilapan yang lalu, serta merancang langkah seterusnya ke arah masa depan yang lebih baik.

Merancang Langkah Seterusnya

Ibu bapa juga boleh bersikap proaktif terhadap situasi tersebut dengan membantu anak-anak meneroka pelbagai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi atau kolej kemahiran yang bersesuaian dengan kemampuan, minat serta potensi mereka.

Seandainya ibu bapa menyedari bahawa peluang anak-anak mereka agak tipis disebabkan oleh keputusan yang diperoleh, maka ibu bapa perlu turut serta membantu anak-anak untuk meneroka alternatif untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Kini terdapat banyak pusat pengajian tinggi swasta yang menawarkan pelbagai kursus untuk para pelajar lepasan sekolah. Di samping itu, bagi remaja yang cenderung ke arah kemahiran, terdapat juga pelbagai kolej kemahiran di bawah kelolaan agensi kerajaan dan juga swasta.

Bagi ibu bapa yang berada, mereka mungkin tidak bermasalah mendaftarkan anak-anak ke institusi-institusi swasta sedemikian.

Namun bagi mereka yang tidak berkemampuan, bantuan kewangan mungkin boleh diusahakan sama ada melalui pinjaman, biasiswa atau sebagainya asalkan berpunca daripada sumber yang halal.

Kesimpulan

Kejayaan dan kegagalan adalah lumrah dalam natijah peperiksaan. Apa yang penting ialah kita membuat persediaan dan menduduki peperiksaan dengan sebaik mungkin. Di samping itu kita juga perlu berdoa kepada Allah agar dikurniakan kejayaan yang cemerlang.

Akhirnya keputusan yang diterima mesti ditanggapi dengan perasaan reda serta bersyukur. Muhasabah diri pula melengkapkan sikap yang positif bagi seseorang Muslim dalam usaha mencapai kejayaan.

~Berlainan sekali dengan penerima anugerah ini terutama sekali adik  Umairah, di mana ada usaha di situ ada kejayaan, tahniah Umairah……..kepada yang tidak bernasib baik  anggaplah itu sebagai takdir dan berusaha lagi insyaallah Allah tidak akan mempersiakan hambaNYA yang berusaha, doa dan tawakal itu yang terpenting……….

2 OKU terima anugerah Maulidur Rasul

DIHARGAI… Lima tokoh Maulidur Rasul (dari kiri) Marina Ahmad, Tan Sri Dr. Yahya Tun Awang, Senator Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Nor Umairah Ahmad Jamhari bersama piala anugerah pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2008 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar ASWAD YAHYA.


KUALA LUMPUR 20 Mac – Dua orang kurang upaya (OKU) adalah antara lima penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2008 di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Mereka ialah Senator Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh dan pelajar OKU paling cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 dengan keputusan 8A, Nor Umairah Ahmad Jamhari.

Pengiktirafan kepada dua OKU itu dilihat banyak pihak akan melonjakkan semangat insan senasib mereka supaya tidak menyerah kalah dalam mengharungi kehidupan yang mencabar.

Ismail yang muncul sebagai OKU pertama di negara ini bergelar Senator berkata, anugerah yang diterimanya itu akan dijadikan pendorong untuk beliau bekerja lebih kuat pada masa depan.

Beliau yang hilang penglihatan sewaktu berusia 13 tahun berkata, anugerah itu juga adalah satu peringatan untuknya terus membantu orang yang senasib dengannya.

“Sekarang saya juga mewakili OKU di Parlimen sekali gus berpeluang menyuarakan segala masalah yang dihadapi mereka,’’ katanya.

Sebanyak lima individu yang cemerlang dalam bidang masing-masing menerima Anugerah Maulidur Rasul 2008 daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Setiap daripada mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000 beserta piala iringan dan sijil.

Sementara itu, Nor Umairah yang menghadapi masalah saraf sehingga kedua belah tangannya lumpuh berkata, dia terharu dan tidak menyangka akan menerima anugerah itu.

Pelajar itu turut menyifatkan anugerah tersebut adalah lambang kekuatan semangatnya untuk menggapai kecemerlangan dalam bidang akademik walaupun perlu menulis menggunakan kaki.

“Ramai yang memberikan dorongan tetapi perlu diingat bahawa kehendak diri sendiri adalah faktor penentunya.

“Saya tahu saya ada kekurangan diri, jadi saya kena berusaha lebih untuk berada setaraf atau lebih daripada orang normal,” katanya yang berazam mencapai keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Penerima anugerah lain ialah angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Turut menerimanya ialah pakar bedah jantung pertama negara, Tan Sri Dr. Yahya Tun Dr. Awang dan wanita pertama negara yang berjaya mendaki Gunung Everest, Marina Ahmad.

Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir pengorbananmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al-Quran

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan rasul sebagai pembela

DARIPADA Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang sengaja membuat pendustaan ke atas ku maka sediakanlah tempatnya di dalam neraka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan

* Pendustaan ialah memberitahu sesuatu yang bercanggah dengan hakikatnya yang sebenar.

* Sungguhpun orang yang tidak sengaja membuat pendustaan tidak berdosa, tetapi berkemungkinan ia berdosa dengan memperbanyakkan kesilapan. Ini kerana, memperbanyakkan kesilapan adalah suatu kesalahan. (Fath al-Bari)

Dalam ruangan Forum Utusan Malaysia 12 Mac 2008, bekas Ketua Pengarah DBP  yang juga merupakan bekas Duta Malaysia menyatakan bahawa UMNO/BN tidak  harus bersikap defensif dengan keputusan pilihanraya baru-baru ini yang  kurang memihak kepada mereka. Sebaliknya, menurut beliau, UMNO/BN harus bersikap terbuka dan mengkaji punca kepada “kekalahan” tersebut,  seterusnya cuba menangani/mengatasi punca-punca itu. Hal ini ialah supaya UMNO/BN boleh bangkit semula pada pilihanraya akan datang.

E-mel yang diterima sebagaimana yang dilampirkan di bawah ini mungkin memberi sebahagian jawapan kepada “punca kekalahan” tersebut. Silalah baca dengan minda terbuka dan renung-renungkanlah sama ada wujud kebenaran dalam apa yang disuarakan ….

Salahkah saya memilih YANG SEWAJARNYA?
Oleh: Neo-kida- Laman M@RHAEN

Kalau saya memilih PAS adakah ianya bermakna saya melupakan jasa-jasa kerajaan dahulu yang telah membangunkan negara? Saya tidak pernah lupa bahawa Tunku Abdul Rahman yang telah berjuang mendapatkan kemerdekaan negara. Saya tidak lupa Tun Razak yang telah berjuang menyelamatkan orang Melayu semasa tragedi 13 Mei dan seterusnya menjadi Bapa Pembangunan negara. Saya juga tidak lupa kepada Tun Hussein Onn yang telah berjuang menyatukan orang Melayu. Dan saya tidak akan lupa kepada Tun Mahathir yang telah membawa Malaysia ke peta dunia dengan pembangunan moden dan
kelantangan bersuara serta membawa ramai orang Melayu bersaing dengan bangsa-bangsa lain dalam perniagaan dan ekonomi. Saya tidak pernah melupakan jasa-jasa mereka di atas yang berjuang demi memartabatkan bangsa Melayu di bumi Malaysia ini.

Namun begitu mereka semua sudah tiada. Mereka telah pergi meninggalkan kita semua dan tiada lagi untuk menguruskan negara kita. Yang tinggal hanyalah kenangan dan terima kasih kerana mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat untuk memperjuangkan kehidupan rakyat dan membangunkan negara seluruhnya..Adakah pengganti mereka ini telah menunaikan tanggungjawabnya pula? Adakah pengganti mereka ini berjuang mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan Islam sebagai agama sebenar di muka bumi ini, bangsa Melayu dan negara ini?

Saya impikan sebuah negara di mana pemimpinnya tidur beralaskan tikar di masjid seperti Saidina Umar, pemimpin yang memulangkan gaji beliau kepada Baitullah seperti Saidina Abu Bakar, seorang pemimpin yang hidup penuh zuhud dan ala kadar semata-mata kerana  menunaikan tanggungjawab dirinya kepada Allah s.w.t. sebagai seorang pemimpin sebuah negara. Saya impikan seorang pemimpin yang akan berucap dan terpampang di dada akhbar menyeru semua Muslimah menutup aurat dan ditemani muhrim sentiasa. Saya impikan pemimpin yang menyeru mat-mat rempit supaya memperbanyakkan zikir, sembahyang sunat dan memperbanyakkan membaca Al-Quran. Saya impikan pemimpin yang sentiasa mengingatkan rakyatnya supaya beramal, bersedekah dan tidak meninggalkan solat. Saya impikan sebuah negara yang mana tiada tempat-tempat perjudian, tiada disko-disko dan tempat maksiat, tiada arak yang dijual, tiada maknyah dan golongan penkid dan tiada rumah-rumah pelacuran.

Saya impikan tender-tender perniagaan di buat secara telus dan jujur
tanpa campur tangan daripada mana-mana golongan politik, tiada kronisme, tiada pilih kasih. Saya impikan lesen-lesen di berikan tanpa ada wang kopi, tanpa kena ada tandatangan dan sokongan pihak-pihak tertentu. Saya impikan sebuah negara di mana kita tidak perlu merafak sembah kepada manusia, tidak perlu terlalu memuliakan manusia hanya kerana mereka kaya, berpangkat dan bergelar pemimpin. Saya impikan pemimpin yang akan menundukkan kepalanya apabila bertemu rakyat. Saya impikan pemimpin yang sanggup makan nasi bungkus bersama-sama dengan peminta sedekah di tepi jalan. Saya impikan seorang pemimpin yang diam-diam keluar malam untuk menolong orang-orang yang kesusahan dan kebuluran bersama-sama isterinya.

Itu impian saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang berpemimpinkan
seorang Islam. Memang impian saya sesuatu yang mustahil di dunia akhir zaman ini. InsyaAllah impian saya akan tercapai apabila turunnya Nabi Isa a.s. dan Imam Mahadi yang akan tiba di penghujung waktu
yang akan memuliakan Islam dan membawa kemakmuran kembali. Waktunya hanya Allah s.w.t. yang mengetahui dan saya mungkin sudah berada di alam barzakh semasa itu. Namun hidup perlu diteruskan dan kita mesti berpijak di bumi yang nyata. Kita mesti berhadapan dengan realiti semasa.

Saya sedih apabila mendengar kanak-kanak diculik dan diperkosa dan pihak berkuasa tidak dapat melakukan apa-apa. Saya sedih penjenayah yang sentiasa berleluasa. Saya sedih terpaksa melibatkan diri untuk
projek-projek kerajaan yang menjual negara tetapi dilihat seolah-olah
menjana pertumbuhan ekonomi wilayah dan untuk negara. Saya sedih apabila di tahan di tepi jalan oleh pihak berkuasa dan terpaksa memberikan duit kopi kepada mereka. Saya sedih terpaksa melayan karenah mereka yang mahukan perempuan, night club dan wang kopi semata-mata kerana saya cuba dapatkan tender daripada kementerian mereka.

Saya sedih melihat anak-beranak menjadi kaya dengan kontrak-kontrak
kerajaan serta GLC dan menjual kepentingan negara. Saya sedih melihatkan isteri pemimpin kita sendiri tidak menutup aurat, berciuman dengan aktor-aktor Hindi dan berpegangan seolah-olah kita ini bukan Islam dan tidak mempunyai peraturan agama.

Saya sedih melihatkan rakyat berpendapatan rendah terkial-kial setiap
hujung bulan membayar segala keperluan hidup sedangkan pemimpin kita menaiki kereta mewah berharga jutaan ringgit dan hidup di dalam rumah bagaikan istana. Saya sedih mendengarkan isteri pemimpin kita memakai bag tangan berharga RM650 ribu dan jam tangan berharga ratusan ribu juga sedangkan TV3 menayangkan rancangan Bersamamu yang menyebakkan. Saya sedih harga barangan terus dinaikkan dan pemimpin kita cuma berkata itu fenomena dunia dan kita terpaksa menerima. Saya sedih apabila rakyat disuruh berjimat-cermat  sedangkan pemimpin kita boleh bercuti ke luar negara dan membeli jet baru dengan wang cukai rakyat jelata…

Saya sedih melihatkan ramai remaja Melayu Islam terkinja-kinja sehingga dinihari di disko-disko dan night club sambil minum arak dan bercampur sebebas-bebasnya. Saya sedih melihatkan ramai orang Melayu Islam yang berkunjung ke Magnum, Toto dan Kuda setiap hujung minggu. Saya sedih dengan ramainya mat rempit di jalanan terdiri daripada remaja Melayu Islam.

Saya sedih dengan pemimpin yang boleh memberikan ucapan tentang moral dan akidah tetapi beliau seorang kaki perempuan dan suka berfoya-foya. Saya sedih dengan pemimpin yang katanya tahu tentang keperitan hidup rakyat sedangkan dirinya tidak pernah pergi ke Pejabat Pos untuk membayar bil2 bulanan. Saya sedih dengan apa yang berlaku di sekeliling saya.

Saya hanya mahukan seorang pemimpin dan kerajaan yang sanggup berjuang dengan perjuangan ikhlas untuk menegakkan Islam dan bangsa Melayu.Pemimpin yang tidak akan tunduk dengan desakan-desakan untuk menjatuhkan martabat Islam dan Melayu. Saya inginkan pemimpin yang dapat membentuk  negara Islam yang sebenar berpaksikan Al-Quran dan Hadith, hidup penuh zuhud dan menjadikan Islam itu asas tertinggi dalam segala bentuk tindakan dan pengurusan.

Saya inginkan pemimpin yang apabila beliau ingin menyuapkan nasi ke
mulutnya akan segera teringatkan, adakah rakyatnya mempunyai makanan yang cukup dan seenak sepertinya. Apabila ia baring untuk tidur, adakah rakyatnya dapat tidur seenak tilamnya. Apabila isterinya berbelanja, adakah rakyatnya sudah mendapat keperluan asas kehidupan. Apabila anak menantunya mendapat kontrak kerajaan, adakah kerana ketelusan atau hanya berbinkan dirinya. Pemimpin yang sentiasa takut akan perkara-perkara yang boleh mendorong datangnya fitnah ke atas diri dan keluarganya. Pemimpin yang akan meletakkan kepentingan rakyatnya lebih daripada kepentingan diri dan keluarganya.

Salahkah saya menukar seorang pemimpin Islam yang gagal kepada seorang pemimpin Islam yang lain? Adakah ini akan membuatkan saya lupa kepada jasa-jasa mereka-mereka yang terdahulu? Apakah impian saya untuk mencari pemimpin seperti Saidina Abu Bakar dan Umar boleh direalisasikan dengan memilih pemimpin Islam yang ada sekarang? Tidak perlukah ditukar kepada seorang Islam yang lain jika saya merasakan elok dibuat perubahan moga-moga Allah s.w.t. kabulkan impian saya?

Salam.

p/s betulkan saya kalau saya silap..tetapi artikel/emel ini membuatkan hati saya benar-benar tersentuh………….


Kalendar

Mac 2008
I S R K J S A
« Feb   Apr »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Blog Stats

  • 835,569 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada