bila hatiku berbicara

Mencari sinar harapan di sebalik kegagalan

Posted on: Mac 21, 2008

PAGI itu Amir berasa begitu gementar dan tidak senang duduk. Apa tidaknya, sebentar lagi dia bakal mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah.

Ayah Amir faham akan resah anaknya. Lantaran sekolahnya agak jauh, dia memandu kereta dan menemani anaknya mengambil keputusan.

Dalam perjalanan tersebut, ayah Amir berbicara memecah kesunyian: “Amir, ayah faham sekarang ni Amir berasa begitu gemuruh… Banyakkan bertenang, apa kata Amir memperbanyakkan doa mohon diberi ketenangan dan kemudahan…,” Amir mengangguk- angguk, tetapi jauh di sudut hatinya, sangat resah.

Kini kereta ayah Amir memasuki perkarangan tempat letak kereta di sekolahnya. Kelihatan ramai calon SPM sekolahnya bersama keluarga masing-masing berlegar-legar di kawasan sekolah.

Setelah meletakkan kereta, mereka bergerak menuju ke dewan sekolah. Ramai rakan-rakan sekelasnya yang telah tiba terlebih dahulu. Amir kemudiannya pergi ke meja kaunter untuk mendapatkan keputusannya. Dibukanya slip keputusan peperiksaannya perlahan-lahan.

“Ohh..”

“3A..5B..1C,” ujar Amir perlahan dengan penuh sayu.

“Alhamdulillah…Tahniah Amir! Ayah gembira mendengar keputusan yang kamu terima,” balas ayahnya dengan nada bersyukur.

Amir sedar bahawa dia bukanlah tergolong dalam kalangan pelajar pintar, dia tetap berusaha bersungguh-sungguh demi menghadapi peperiksaan tersebut. Namun keputusan yang sudah dijangkanya itu masih amat sedih untuk diterimanya memandangkan dia tetap mengharapkan pencapaian yang lebih baik.

“Inna lillah wa inna ilaihi rajiun…”

Mungkin ada hikmahnya di sebalik semua ini..getus hati kecil Amir.

“Apa kata kita pergi makan-makan dulu ye..Ayah bawa Amir ke restoran yang Amir suka..

“Mmm..baiklah Ayah..Terima kasih..” ujar Amir sambil mengangguk lemah.

Selesai menikmati hidangan, ayah Amir bersuara, “Amir..”

“Mmm..” balas Amir lemah, jauh fikirannya melayang.

“Ayah tahu Amir telah berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan terbaik.. Tapi kita manusia hanya mampu berusaha, Penentunya ialah Allah yang Maha Bijaksana..”

“Tapi ramai rakan Amir yang mendapat keputusan yang baik daripada Amir. Kawan-kawan yang sama-sama belajar dengan Amir, ramai yang berjaya. Bagaimana dengan masa depan Amir nanti? Amir rasa bersalah sebab hampakan ayah dan ibu,” ujar Amir perlahan. Jelas sekali kekecewaan di raut wajahnya.

“Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Barangkali ini adalah ujian daripada-Nya, supaya Amir bersabar dan tidak putus asa daripada terus berusaha. Ada orang, apabila mendapat kejayaan, dia lupa diri, lupa keluarga dan berasa bangga lalu sombong..”

“Contohnya, ada yang merasakan bahawa kejayaan adalah kekayaan. Ada pula yang merasakan bahawa kekayaan itu adalah kejayaan. Ia terpulang kepada persepsi seseorang itu terhadap sesuatu perkara, bagaimana mereka menerima sesuatu perkara sama ada dari sudut positif atau tidak”.

“Pada ayah, Amir telah berjaya, kerana ayah lihat dalam pada Amir berusaha, Amir tidak lupakan tanggungjawab Amir terhadap Allah, keluarga dan rakan-rakan. Jadi tidak timbul soal kecewakan ayah dan ibu. Ayah percaya, jika Amir tingkatkan usaha dan menggunakan kaedah yang betul, pasti Amir boleh berjaya selepas ini,” ujar ayah Amir sambil tersenyum.

“Ini barangkali adalah petanda supaya Amir tidak terus berputus asa dan mesti terus berusaha. Kami sebagai ayah dan ibu Amir akan sentiasa menyokong dan mendoakan yang terbaik buat Amir, dengan syarat Amir juga mesti selalu berusaha dan tidak putus meminta rahmat daripada Allah…,” kata ayah Amir sambil menepuk-nepuk bahu anaknya. Dia tahu anaknya kecewa, tetapi anaknya harus dibantu untuk menenangkan perasaannya yang sedang berkecamuk.

Amir berasa lega sedikit. Namun dia berasa sangat bersyukur kerana ibu ayahnya sangat memahami perasaannya ketika itu, membantunya berfikir tentang perspektif lain tentang erti kejayaan. Jauh di sudut hatinya, dia masih lagi menggenggam impian untuk terus berusaha dan berjaya.

Ibu Bapa Penyokong Terbaik

Begitulah secebis kisah tentang seorang remaja yang baru sahaja menerima keputusan peperiksaan SPMnya.

Dalam tempoh sebegini sememangnya emosi pelajar agak berkecamuk serta dihantui oleh perasaan sedih, kecewa, kesal atau rendah diri.

Justeru dampingan ibu bapa amat diperlukan tatkala meniti saat-saat kegagalan dalam mencapai matlamat peperiksaan mereka.

Seandainya ibu bapa bersikap menyalahkan atau menghukum anak-anak mereka , sama ada dengan makian ataupun layanan kurang baik, maka hal ini boleh membuatkan anak-anak berasa lebih tertekan. Teguran terhadap anak-anak boleh dilakukan tetapi ia seharusnya bersifat mendidik dan bukannya bermaksud melepaskan kemarahan yang terpendam kepada mereka.

Kata-kata perangsang yang dilontarkan mampu menumbuhkan kembali semangat anak-anak untuk terus memandang ke hadapan.

Pertamanya ibu bapa boleh menjelaskan kepada anak-anak berkenaan konsep qada dan qadar, yakni kita manusia hanya merancang dan berusaha namun akhirnya Allah jua yang menentukan.

Justeru kita seharusnya reda dengan apa jua yang telah ditentukan ke atas kita serta bersangka baik terhadap Allah. Mungkin di sebalik kegagalan ini ada hikmahnya tersendiri yang belum tersingkap oleh kita.

Kejayaan dalam peperiksaan sememangnya diakui penting untuk pelajar melangkah lebih jauh ke menara gading. Namun rezeki Allah ada di mana-mana asalkan kita mahu berusaha serta berdoa agar dipermudahkan rezeki kita.

Banyak lagi perkara yang bakal ditempuhi selepas ini yang menuntut kepada usaha berterusan, keteguhan tekad serta pedoman agama. Tempoh selepas persekolahan merupakan masanya remaja menuntut ilmu serta membentuk kemahiran dalam bidang yang diminati demi kerjaya masa depan.

Selain itu, kegagalan hanyalah sementara, yang penting ialah kita perlu bangkit, mengambil pengajaran daripada kesilapan yang lalu, serta merancang langkah seterusnya ke arah masa depan yang lebih baik.

Merancang Langkah Seterusnya

Ibu bapa juga boleh bersikap proaktif terhadap situasi tersebut dengan membantu anak-anak meneroka pelbagai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi atau kolej kemahiran yang bersesuaian dengan kemampuan, minat serta potensi mereka.

Seandainya ibu bapa menyedari bahawa peluang anak-anak mereka agak tipis disebabkan oleh keputusan yang diperoleh, maka ibu bapa perlu turut serta membantu anak-anak untuk meneroka alternatif untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Kini terdapat banyak pusat pengajian tinggi swasta yang menawarkan pelbagai kursus untuk para pelajar lepasan sekolah. Di samping itu, bagi remaja yang cenderung ke arah kemahiran, terdapat juga pelbagai kolej kemahiran di bawah kelolaan agensi kerajaan dan juga swasta.

Bagi ibu bapa yang berada, mereka mungkin tidak bermasalah mendaftarkan anak-anak ke institusi-institusi swasta sedemikian.

Namun bagi mereka yang tidak berkemampuan, bantuan kewangan mungkin boleh diusahakan sama ada melalui pinjaman, biasiswa atau sebagainya asalkan berpunca daripada sumber yang halal.

Kesimpulan

Kejayaan dan kegagalan adalah lumrah dalam natijah peperiksaan. Apa yang penting ialah kita membuat persediaan dan menduduki peperiksaan dengan sebaik mungkin. Di samping itu kita juga perlu berdoa kepada Allah agar dikurniakan kejayaan yang cemerlang.

Akhirnya keputusan yang diterima mesti ditanggapi dengan perasaan reda serta bersyukur. Muhasabah diri pula melengkapkan sikap yang positif bagi seseorang Muslim dalam usaha mencapai kejayaan.

~Berlainan sekali dengan penerima anugerah ini terutama sekali adik  Umairah, di mana ada usaha di situ ada kejayaan, tahniah Umairah……..kepada yang tidak bernasib baik  anggaplah itu sebagai takdir dan berusaha lagi insyaallah Allah tidak akan mempersiakan hambaNYA yang berusaha, doa dan tawakal itu yang terpenting……….

2 OKU terima anugerah Maulidur Rasul

DIHARGAI… Lima tokoh Maulidur Rasul (dari kiri) Marina Ahmad, Tan Sri Dr. Yahya Tun Awang, Senator Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Nor Umairah Ahmad Jamhari bersama piala anugerah pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2008 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar ASWAD YAHYA.


KUALA LUMPUR 20 Mac – Dua orang kurang upaya (OKU) adalah antara lima penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2008 di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Mereka ialah Senator Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh dan pelajar OKU paling cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 dengan keputusan 8A, Nor Umairah Ahmad Jamhari.

Pengiktirafan kepada dua OKU itu dilihat banyak pihak akan melonjakkan semangat insan senasib mereka supaya tidak menyerah kalah dalam mengharungi kehidupan yang mencabar.

Ismail yang muncul sebagai OKU pertama di negara ini bergelar Senator berkata, anugerah yang diterimanya itu akan dijadikan pendorong untuk beliau bekerja lebih kuat pada masa depan.

Beliau yang hilang penglihatan sewaktu berusia 13 tahun berkata, anugerah itu juga adalah satu peringatan untuknya terus membantu orang yang senasib dengannya.

“Sekarang saya juga mewakili OKU di Parlimen sekali gus berpeluang menyuarakan segala masalah yang dihadapi mereka,’’ katanya.

Sebanyak lima individu yang cemerlang dalam bidang masing-masing menerima Anugerah Maulidur Rasul 2008 daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Setiap daripada mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000 beserta piala iringan dan sijil.

Sementara itu, Nor Umairah yang menghadapi masalah saraf sehingga kedua belah tangannya lumpuh berkata, dia terharu dan tidak menyangka akan menerima anugerah itu.

Pelajar itu turut menyifatkan anugerah tersebut adalah lambang kekuatan semangatnya untuk menggapai kecemerlangan dalam bidang akademik walaupun perlu menulis menggunakan kaki.

“Ramai yang memberikan dorongan tetapi perlu diingat bahawa kehendak diri sendiri adalah faktor penentunya.

“Saya tahu saya ada kekurangan diri, jadi saya kena berusaha lebih untuk berada setaraf atau lebih daripada orang normal,” katanya yang berazam mencapai keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Penerima anugerah lain ialah angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Turut menerimanya ialah pakar bedah jantung pertama negara, Tan Sri Dr. Yahya Tun Dr. Awang dan wanita pertama negara yang berjaya mendaki Gunung Everest, Marina Ahmad.

Advertisements

2 Respons to "Mencari sinar harapan di sebalik kegagalan"

Salaam. OKU ke, OKB ke, OK apa ke , semua adalah manusia kan? Semuanya adalah sama, yang berbeza hanyalah ketaqwaan. Masing2 ada kelebihan sendiri yang Allah anugerahkan. Alhamdulillah, tp sekurang2 nya OKU mendapat perhatian masyarakat, sama2 membanting tulang membantu, alhamdulillah.

Semoga OKU atau siapa saja tidak mudah menyerah kalah dalam hidup, dan bak pesan baginda Rasulullah, “orang mukmin akan sentiasa diuji”. Semoga kita semua tahan dan mampu hadapi ujian dengan berjaya. Biar susah di dunia, jangan susah di sana nanti, amiiin ya robbal ‘alamiin 🙂

salam ya kita semua sama di sisi Allah..yg membezakan kita adalah amalan kita di sisi Allah……….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kalendar

Mac 2008
I S R K J S A
« Feb   Apr »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Blog Stats

  • 848,179 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada
%d bloggers like this: