bila hatiku berbicara

Jerat cinta lelaki asing

Posted on: April 18, 2008

Apakah yang menyebabkan golongan remaja mudah termakan pujuk rayu cinta lelaki asing?

KEHILANGAN Nor Azreen Che Ishak, 12, dari kediamannya di Ladang Ulu Sawah Rantau, Negeri Sembilan, selepas melawat rumah kawannya di taman berdekatan menjadi tanda tanya.

Rupa-rupanya dia dilarikan oleh seorang warga asing yang dikenali sebagai Tony Wijaya, 27, pada Hari Raya Aidiladha tahun lepas. Kosmo! baru-baru ini melaporkan bahawa Azreen berjaya dijejaki di Lombok Timur, Indonesia.

Sebelum kes Azreen, penduduk Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan kes Maslina Siadin, 13, yang juga mengikut seorang warga Indonesia, La Ila, 17, pada bulan Disember tahun lalu.

Kehilangannya juga mencetuskan kebimbangan keluarga dan penduduk Kampung Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Yang pasti, beberapa kes gadis dan kanak-kanak melarikan diri bersama lelaki asing menyebabkan ibu bapa hari ini diancam dengan kebimbangan baru.

Anak gadis hari ini bukan sahaja tidak kisah melarikan diri dari rumah, tetapi lebih dahsyat sanggup menyabung nyawa merentas lautan berkelana ke negara asing.

Berdasarkan statistik kes Orang Hilang dan Jumpa Seluruh Malaysia yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan, tahun 2007 (Januari hingga April), sebanyak 681 wanita telah hilang.

Seramai 302 sudah dijumpai manakala 379 masih dilaporkan hilang.

Menurut Pakar Psikologi, Jabatan Psikologi Pendidikan Kaunseling Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor, berita kehilangan dan penemuan Azreen di tanah seberang amat memeranjatkan. Memandangkan usianya masih muda, dia sanggup meredah Selat Melaka melalui perairan Johor, semata-mata ingin bersama insan tersayang.

Namun begitu, beliau tidak menafikan kes lari atau dilarikan teman lelaki sering berlaku di kalangan golongan remaja yang berusia 12 hingga 15 tahun. Ini disebabkan kumpulan tersebut mudah mempercayai pujuk rayu selepas dibuai dengan madah-madah cinta.

“Trend bercinta dengan warga asing semakin berleluasa. Situasi ini menunjukkan remaja tempatan lebih tertarik kepada warga asing. Sukar untuk dinyatakan punca sebenar gadis tempatan menyukai warga asing kerana hanya individu mempunyai jawapannya.

MASLINA (tengah) adalah antara gadis yang kini trauma akibat tindakan melulu melarikan diri bersama kekasihnya ke Indonesia.


“Namun begitu, salah satu faktornya ialah warga asing bijak menyusun kata-kata cinta. Bagi remaja yang sedang mengalami masalah kepincangan keluarga dan dahagakan kasih sayang, mereka mudah menyambut cinta tersebut,” jelas Mariani lagi.

Sementara itu, Kaunselor Unit Kaunseling, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam , Rokiah Mahmood menyifatkan golongan remaja gemar mencari kelainan terutamanya bab berkawan.

“Mungkin inginkan kelainan berbanding rakan lain remaja memilih pasangan warga asing (warga Pakistan, Afrika atau Indonesia). Lagipun seperti yang kita ketahui warga asing sentiasa menunjukkan sifat ramah dan mengambil berat hal pasangan,” ujar Rokiah Kosmo!.

Tambah Rokiah lagi, kes ini juga berlaku kerana remaja berpendapat mereka sudah bijak dan bebas menentukan hala tuju hidup mereka.

Nasihat ibu bapa, rakan-rakan mahupun guru tidak diendahkan. Apa yang penting mereka sudah menemui kekasih hati yang sanggup menghulurkan cinta dan menjadi tempat mengadu. Sedangkan pada hakikatnya, kita sendiri sudah boleh meneka niat sebenar warga asing memadu asmara dengan remaja tempatan.

“Kedatangan warga asing diibaratkan sambil menyelam minum air. Selain mencari rezeki mereka juga ingin mendapatkan status penduduk (PR). Seperti yang tertakluk prosedur memiliki status PR agak ketat maka jalan penyelesaiannya mengahwini gadis tempatan.

“Sekiranya niat perkahwinan tidak mendapat restu daripada ibu bapa si gadis, akhirnya warga asing akan membawa lari si gadis pulang ke negaranya. Atas dasar cinta yang kuat si gadis mengikut sahaja tanpa memikirkan kesan yang berlaku kemudian hari,” ujar Mariani yang bimbang trend itu.

MARIANI MOHD. NOR


Lebih menakutkan katanya, jika mereka melarikan diri ke kampung, bagaimana pula dengan soal mencari rezeki? Bagaimana ingin menampung kos perbelanjaan harian?

Tidak mustahil jalan penyelesaian yang mudah dengan mengerah atau memujuk si gadis menjual tubuh dan bekerja sebagai pelacur. Pada tahap ini, mungkin gadis berhadapan dengan dilema yang sukar kerana memikirkan soal maruah, cinta dan ketakutan.

Justeru itu, kepada remaja yang sedang merancang untuk lari bersama teman lelaki warga asing, Mariani menasihatkan supaya memikirkan kesan yang bakal dihadapi. Jangan disebabkan cinta kita sanggup membuang keluarga begitu sahaja.

Banyak kesan yang bakal terjadi sekiranya lari rumah bersama teman lelaki warga asing. Antaranya Mariani melahirkan rasa khuatir sekiranya remaja tempatan dipaksa dan dijual ke sindiket pelacuran.

“Jika pelacur di Malaysia terdiri daripada wanita asing, jadi tidak mustahil gadis tempatan yang dilarikan dikerah menjadi pekerja seksual.

“Selain itu melarikan diri dan mengahwini warga asing tanpa restu keluarga boleh mendatangkan bebanan, terutamanya apabila kita dizalimi. Ahli keluarga tidak dapat membantu ketika kita berhadapan dengan keganasan rumah tangga,” tegas Mariani supaya gadis tempatan bijak menilai perkara yang baik dan buruk.

Selain itu, lebih membimbangkan tahap kesihatan di negara asing. Seperti yang berlaku terhadap Maslina. Ketika ditemui, dia telah berubah identiti, dalam keadaan bingung dan amat lemah kerana demam campak dan malaria.

WALAUPUN cinta bukanlah sesuatu yang boleh dihalang tetapi pekerja Indonesia tidak wajar sewenang-wenangnya melarikan gadis dan kanak-kanak Malaysia.


Oleh itu, masyarakat dan pihak kerajaan perlu berganding bahu membanteras masalah ini. Pihak sekolah disarankan mendedahkan keburukan dan impak yang berlaku.

Ibu bapa pula jangan asyik mengejar kekayaan sehingga lupa kesihatan, pemakanan dan perihal anak-anak. Berkomunikasi, menghargai dan kasih sayang dapat membantu masalah sosial anak-anak.

Gadis lari ikut kekasih asing

KES 1 – Rinnie Anak Aseng, 18, gadis dari Bintulu, Sarawak melarikan diri mengikut kekasihnya bernama Basri, 19, ke Lombok, Indonesia awal Disember tahun lalu.

Rinnie mengikuti Basri memasuki sempadan Sarawak-Kalimantan melalui ‘jalan tikus’.

Setelah hampir 27 hari menghilang diri, Rinnie pulang ke pangkuan ibu bapanya dengan penuh penyesalan.

KES 2 – Maslina Siadin, 13, seorang lagi kanak-kanak yang termakan pujuk rayu lelaki asing sehingga sanggup melarikan diri sebelum disorokkan di Pulau Lamaraya dekat Sulawesi, Indonesia Disember tahun lalu.

Maslina melarikan diri mengikut seorang lelaki Indonesia yang dikenali sebagai La Ila, 17, selama lebih sebulan.

KES 3 – Kes terbaru gadis Malaysia terjerat dengan cinta lelaki asing ialah melibatkan seorang kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun.

Kehilangan Nor Azreen Che Ishak selama lebih empat bulan di Lombok, Indonesia adalah antara yang paling lama.

Sama seperti kes lain, Azreen juga terjerat dengan cinta lelaki Indonesia bernama, Tony Wijaya yang sudah berusia 27 tahun.

Walaupun masih belum pulang ke pangkuan keluarga namun, usaha gigih daripada semua pihak kini sudah mula menampakkan hasil.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kalendar

April 2008
I S R K J S A
« Mac   Mei »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930  

Blog Stats

  • 838,637 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada
%d bloggers like this: