bila hatiku berbicara

Melihat Kebaikan dalam Segala Perkara

Posted on: April 22, 2008

Hamdi rasa sangat sedih dan kesal. Peristiwa yang sudah berlalu beberapa bulan itu sentiasa menghantui dirinya. Peristiwa itu menjadi igauan paling ngeri pernah dialami dalam hidupnya.

Ketika pulang lewat dari pejabatnya pada suatu malam, Hamdi terlihat anaknya Amri berada bersama sekumpulan mat rempit yang sedang bersiap sedia untuk memulakan aksi mereka. Melihat keadaan itu, darah Hamdi menggelegak. Amri yang selama ini disangka pergi ke kelas tuisyen, rupa-rupanya menipu. Amri yang bersopan santun dan sentiasa mendengar kata, rupa-rupanya hanya bersandiwara.

Hamdi menunggu kepulangan Amri dengan rasa marah yang tidak surut-surut. Dia sendiri tidak tahu apa hukuman paling wajar yang patut dikenakan kepada Amri nanti. Hamdi tidak dapat berfikir dengan waras kerana dirinya sedang dikuasai oleh emosi marah yang meluap-luap. Dia berjalan mundar-mandir di pekarangan rumahnya, menunggu kepulangan Amri.

Apabila mendengar bunyi enjin motosikal Amri tiba, Hamdi tidak buang masa segera menerpa ke pintu pagar. Tanpa sedar, Hamdi mengambil sebatang kayu yang ada di halaman rumahnya lalu bertindak memukul Amri. Amri terjatuh dari motosikal, bangkit dan segera melarikan diri ke jalan raya. Malang… sebuah kereta yang sedang bergerak laju menghentam tubuhnya. Hamdi hanya mampu meraung sambil melutut memegang jasad anaknya yang sudah kaku.

Melihat kejadian ini, rasa seperti amat sukar untuk kita memaafkan Hamdi, yang menjadi penyebab kepada kematian anaknya. Bahkan mungkin Hamdi sendiri pun tidak mahu memaafkan dirinya sendiri. Apatah lagi apabila guru-guru memberitahu Amri seorang pelajar yang pintar di sekolah dan mempunyai ramai kawan. Kita mungkin berkata, kenapalah Hamdi terlalu mengikutkan nafsu amarahnya dengan menyerang Amri sedemikian rupa? Kenapalah Hamdi tidak dapat bersabar sedikit dengan menunggu anaknya itu masuk ke dalam rumah terlebih dahulu sebelum menghukumnya? Kalaulah Hamdi dapat bersabar sedikit, tidaklah akan berlaku kejadian yang menyayat hati ini.

Peristiwa ini hanya sekelumit dari pelbagai jenis peristiwa yang kita alami dalam kehidupan sehari-hari. Ada peristiwa yang menyedihkan, ada yang menggembirakan, ada yang membahagiakan, ada peristiwa yang membuat kita marah, kecewa, bangga, putus asa dan sebagainya.

Bagi orang-orang beriman, bagaimanakah mereka menanggapi setiap peristiwa yang berlaku terhadap diri mereka? Bagaimanakah orang-orang beriman menanggapi peristiwa yang terjadi seperti di atas? Adakah mereka juga akan berasa marah dan kesal jika semua itu terjadi atas kelalaian dan kebodohan diri mereka sendiri?

Tentang sifat orang-orang yang beriman ini, Nabi memberitahu:
“Aku mengagumi seorang mukmin kerana selalu ada kebaikan dalam setiap urusannya. Jika ia mendapatkan kesenangan, ia bersyukur (kepada Allah) sehingga di dalamnya ada kebaikan. Jika ditimpa musibah, ia berserah diri (dan menjalankannya dengan sabar) bahawa di dalamnya ada kebaikan pula.” (HR Muslim)

Inilah sifat orang-orang beriman. Mereka menerima apa jua yang menimpa diri mereka dengan meyakini bahawa ada kebaikan dalam setiap kejadian yang berlaku walaupun perkara itu nampak seperti merugikan, menyusahkan atau mendatangkan keburukan. Semua itu dapat dilakukan melalui pemahaman akan kebesaran dan keagungan Allah.

Orang-orang beriman menyedari bahawa sejak matanya terbuka luas melihat dunia yang luas terbentang ini, Allahlah yang menetapkan setiap peristiwa yang terjadi dalam kehidupannya. Allah Maha Kuasa, Maha Bijaksana dan Maha Adil. Semua kejadian dicipta oleh Allah dalam rangka memenuhi rencana-Nya menurut ukuran yang telah ditetapkan.

Ada Kebaikan di Sebalik Setiap Perkara
Mungkin kita sering menyebut di sebalik sesuatu peristiwa itu ada hikmah yang tersembunyi yang hanya Allah mengetahuinya. Tapi seringkali kita menyebutnya sekadar menghilangkan rasa bersalah, susah hati atau marah terhadap peristiwa itu. Kita menyebutnya sekadar untuk menyenangkan hati sendiri. Kita menyebutnya kerana ia sudah menjadi tradisi dalam masyarakat kita.

Apabila kereta kita rosak di tengah jalan sehingga tidak dapat meneruskan hajat untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara kita, maka kita redha dengan takdir itu. Kita yakin ada hikmah di sebaliknya. Apabila kita gagal dalam temuduga, kita yakin ada hikmah di sebaliknya. Tetapi apabila rumah yang kita beli dengan harga beratus ribu ringgit, tiba-tiba diisytiharkan sebagai projek terbengkalai, apa perasaan kita? Spontan saja kita memarahi pihak pemaju. Kita terlupa menyandarkannya kepada Allah, bahawa Allah yang telah menetapkan perkara tersebut berlaku ke atas diri kita dan ianya sudah tersurat sejak azali. Sebaliknya kita tertanya-tanya, kenapa kita yang mengalami nasib seperti itu? Sedangkan perkara itu sangat membebankan kita.

Apa pula yang kita katakan jika kakak atau adik perempuan kita diragut sehingga menyebabkannya cedera parah, atau dilanggar oleh mat rempit yang sedang berlumba? Mudah-mudahan Allah memelihara kita daripada keburukan seperti itu, tetapi kita tidak boleh mengelak jika Allah sudah menetapkannya ke atas diri kita. Apa yang akan kita fikirkan? Sememangnya situasi itu akan menguji keimanan kita. Mungkin secara spontan saja kita menyalahkan si peragut dan mat rempit yang sungguh tidak bertimbang rasa itu. Terlupa kita akan kuasa Yang Maha Kuasa yang telah menetapkan perkara itu. Terlupa kita untuk memikirkan bahawa di sebalik peristiwa itu ada hikmah atau kebaikan yang tersembunyi.

Maha Suci Allah, sesungguhnya Allah terpelihara daripada bersifat zalim. Bahkan Allah sangat menyayangi hamba-hambanya. Dalam situasi seperti ini, dapatlah diukur sejauh mana iman kita kepada Allah SWT.

Orang-orang beriman tidak akan kecewa terhadap apa yang terjadi ke atas diri mereka. Mereka memahami bahawa setiap peristiwa yang menyusahkan atau menyakitkan itu, akhirnya akan memberi kebaikan kepada dirinya. Mereka berusaha melihat kebaikan dan maksud Allah menjadikan setiap peristiwa itu. Jika ia tidak nampak sebarang kebaikan di dunia ini, ia tetap yakin ada kebaikan di akhirat nanti – sehingga dengan itu ia dapat menerima setiap peristiwa yang berlaku itu dengan lapang dada.

Untuk melihat kebaikan dalam setiap perkara yang berlaku hendaklah kita benar-benar yakin bahawa perkara yang berlaku itu telah ditakdirkan oleh Allah. Tidak ada satu pun perkara yang terjadi secara kebetulan walaupun perkara kecil seperti digigit serangga atau jatuhnya sehelai daun, semua itu terjadi dalam rangka memenuhi takdir Allah.

Yakinlah bahawa ada keburukan dalam peristiwa yang kita rasakan baik dan ada kebaikan dalam peristiwa yang kita rasakan buruk. Hanya Allah yang mengetahui peristiwa-peristiwa yang baik dan yang buruk, kerana kebijaksanaan- Nya yang tidak terbatas. Sedangkan pengetahuan kita sangat terbatas dan hanya mampu melihat sesuatu peristiwa itu dari kulitnya saja. Firman Allah: “…boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” [al-Baqarah, 2: 216]

Percayalah bahawa Allah tidak membebankan kita melebihi kemampuan yang ada pada diri kita. Kerana itu ujian yang ditimpakan kepada seseorang berbeza dengan orang lain. Ini sesuai dengan firman Allah: “Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya…” [al-Mu`minun, 23: 62]

“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh, Kami tidak memikulkan kewajiban kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya, mereka itulah penghuni-penghuni syurga; mereka kekal di dalamnya.” [al-A’raaf, 7: 42]

Kita hendaklah tetap ingat ada kebaikan dalam setiap peristiwa yang berlaku, kerana itu tidak wajar untuk kita rasa marah atau memberontak. Perasaan itu jika terlintas di hati kita hanyalah tipu daya syaitan yang dihembuskan ke dalam hati kita. Semua itu hanya membawa kepada kemurkaan Allah. Firman-Nya:
“… dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya, tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir. [Yusuf, 12: 87]

Menyerahkan Diri kepada Takdir
Pada dasarnya, apa yang harus kita dilakukan adalah menyerahkan diri pada takdir yang telah ditetapkan oleh penciptanya, dan menyedari bahawa segalanya akan berakhir. Sekiranya yang kita alami adalah kesusahan dan kesakitan, ingatlah firman Allah bahawa selepas kesusahan itu ada kesenangan. Firman-Nya: “Sesungguhnya pada setiap kesusahan itu ada kesenangan. Maka pada setiap kesusahan itu ada kebaikan.” [al-Insyirah, 94: 5-6]

Orang-orang yang benar keimanannya menggunakan setiap detik kehidupan mereka dengan mengakui bahawa apa pun yang terjadi, semuanya merupakan takdir yang telah direncanakan oleh Allah dengan maksud-maksud tertentu. Mereka terus mengambil manfaat dari pandangan yang positif ini. Mereka tahu bahawa menyesal dan memberontak tidak akan mengubah apa pun dalam takdir yang telah ditetapkan itu.

ttp://groups. yahoo.com/ group/Renungan_ Iktibar/ Jazzak Allahu Khairan

Advertisements

5 Respons to "Melihat Kebaikan dalam Segala Perkara"

salam akak nuriman itteww..

salam en me ittewwww…lama baru nampak mai umah akak ni hehehe……

nuriman…..
bila bencana menimpa, kita kadang-kadang bukan lupa pada Yang berkuasa…cuma kita tercari-cari kekuatan di sekeliling kita. Siapa agaknya yang boleh memapah disaat hati dan jasad terasa lemah. Ada orang bukan tidak mahu bersabar bila datang musibah, tapi mengharapkan kata sabar itu datang dari teman-teman yang rapat…kerana nasihat kesabaran dari seorang sahabat yang ikhlas ,mampu mendidik jiwa menjadi pasrah
Saya suka dgn entri nuriman ini….

nuriman dah boleh datang ke blog saya he…he..ada lagi entri baru menanti malam sat gi…bye

Salams
Mash’Allah you have a very good website, Please visit and link to http://www.haqislam.org.
Jazakallah
Wasalam

ummuhanah..moga2 kita di anugerahkan kawan2 yg dapat membimbing kita ke arah kebaikan……

islamonline..blog sy tidak seberapa syukran ke blog ini……..

insyaallah sy akan melawat ke blog anda….kalau nak di ikutkan saya nak kemas kini blog ni nak jadi ianya cute sikit..ttp buat masa sekarang takde masa lagi sbb kongsi komputer ngan anak n suami..jadi sementara nak dapat yg baru tu biasalah kongsi dulu…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kalendar

April 2008
I S R K J S A
« Mac   Mei »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930  

Blog Stats

  • 853,974 hits

Shoutbox

%d bloggers like this: