bila hatiku berbicara

Archive for April 2009

Tengku Fakhry-Manohara tampil mesra

TENGKU MOHAMMAD FAKHRY dan Manohara duduk bersama Ahmad Syafi (kiri) dan Indah Purnama selepas satu majlis perkahwinan di Kampung Kota, Kota Bharu semalam.

KERATAN Kosmo! semalam.


KOTA BHARU – Desas-desus kononnya model terkenal Indonesia, Manohara Odelia Pinot, 17, mengalami penderaan emosi dan fizikal selepas menjadi isteri kepada Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohammad Fakhry nampaknya tidak berasas.

Pasangan diraja itu yang kelihatan begitu mesra berpegangan tangan ketika menghadiri majlis perkahwinan anak Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa di sini semalam.

Pasangan diraja itu hadir pada majlis perkahwinan Ahmad Syafi Husam, 21, dan Indah Purnama Sari Didin, 18, di Kampung Kota di sini pada pukul 1.40 petang. Kehadiran mereka menarik perhatian orang ramai pada majlis tersebut.

Kemunculan Manohara sekali gus menangkis beberapa laporan akhbar harian Indonesia baru-baru ini yang mendakwa model jelita itu telah didera di dada oleh suaminya yang merupakan seorang kerabat Diraja Kelantan yang dikahwininya pada tahun lalu.

Kosmo! pada 22 April lalu melaporkan kenyataan yang dibuat oleh ibu model itu, Daisy Fajarina kepada akhbar harian di Jakarta yang mendakwa anak perempuannya itu mengalami penderaan fizikal dan emosi selepas menjadi isteri anak raja itu.

Pelakuan itu didakwa dilakukan sejurus selepas pasangan itu mengerjakan umrah pada bulan lalu, namun Istana Kelantan menafikannya malah memberitahu bekas model muda itu sangat bahagia bersama suaminya.

Ibu Manohara juga membuat tuduhan terbuka dengan mendakwa dihalang daripada melawatnya anaknya di negara ini ekoran larangan Jabatan Imigresen yang kononnya memenuhi permintaan pihak Istana Kelantan.

Laporan blog negatif

Oleh SITI FATIMAH HASSAN
sfhassan@hmetro.com.my


KOTA BHARU: Laporan negatif di laman web, blog dan akhbar di Indonesia berhubung kehidupan model terkenal, Manohara Odelia Pinot bersama suaminya yang juga kerabat diraja negeri ini nyata jauh menyimpang daripada fakta sebenar.

Semalam, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan isteri, Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia, berangkat ke majlis perkahwinan anak lelaki Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa.

Pasangan terbabit yang tiba kira-kira jam 1.40 tengah hari menaiki kenderaan rasmi istana ke kediaman Husam kelihatan ceria dan tersenyum sambil beramah mesra serta bersalaman dengan tetamu di majlis terbabit.

Difahamkan, pasangan itu beberapa kali menghadiri majlis rasmi dan tidak rasmi di khalayak umum sejak tersebarnya laporan media Indonesia yang mendakwa kononnya bekas model terkenal republik itu dilarikan dan didera suaminya.

Tengku Muhammad Fakhry yang berpakaian serba hitam manakala isterinya berbaju kurung dan berselendang corak bunga merah jambu sempat meluangkan masa berbual dengan pasangan pengantin, Ahmad Syafi Husam dan Indah Purnasari Didin Solahudin sebelum menikmati juadah di dalam rumah.

Pasangan terbabit berangkat meninggalkan majlis kira-kira 30 minit kemudian sambil bersalaman dengan tetamu.

Sementara itu, Husam berkata, Tengku Muhammad Fakhry dan isteri berangkat ke majlis perkahwinan anak sulungnya sebagai memenuhi undangan.

Katanya, sepanjang pengetahuannya, pasangan berkenaan tiada masalah, termasuk berkaitan hal kekeluargaan dan berharap media, khususnya di Indonesia, membuat laporan secara adil terhadap kehidupan rumah tangga mereka.

Sebelum ini, ibu bekas model terbabit, Daisy Farajina seperti dilaporkan akhbar republik berkenaan, Surya, mendakwa anaknya dilarikan secara paksa kerabat Sultan Kelantan selepas mereka selesai mengerjakan umrah di Jeddah, Arab Saudi, bulan lalu.

Dia turut mendakwa Jabatan Imigresen juga turut menghalang keluarganya masuk ke Malaysia untuk bertemu Manohara, baru-baru ini.

Sehingga kini, Pejabat Istana Kelantan belum membuat kenyataan rasmi berhubung dakwaan itu.

~Saja update gambar ni….. nampak sangat akhbar Indonesia kemaruk berita sensasi hinggakan sanggup membuat tuduhan tidak berasas. Sapalah tak sayang bini muda dan cute macam ni. ~


Gemar berhias sewaktu hamil


FARAH SYAKIRA nyenyak dalam dakapan ibunya.


SIAPA yang tidak mengenali dirinya. Setiap kali drama lakonannya mula bermain di kaca televisyen, banyak mata terpaku melihat kehebatannya berlakon. Pelbagai watak pernah dilakonkannya, daripada seorang anggota polis sehinggalah wanita berwatak jahat.

Terbaru, selain beraksi menerusi drama Gerak Khas dan Pasrah, wajahnya menjadi tumpuan seluruh pawagam melalui tayangan filem Bohsia. Nama pelakon, Salina Saibi, 27, semakin dikenali peminat seni tanah air.

Di sebalik karier lakonannya, pelakon jelita ini baru sahaja dikurniakan cahaya mata pertama pada 13 Mac lalu. Hasil perkongsian hidup dengan Azmir Osman, 46, mereka dianugerahkan Farah Syakira yang kini berusia lebih sebulan.

Katanya, kehadiran anak dalam rumah tangga menjadi pelengkap kasih sayang suami isteri. Dirinya pernah dihujani pandangan yang mengatakan dia dan pasangan tidak subur setelah setahun mendirikan rumah tangga tetapi tiada tanda-tanda mereka akan dikurniakan anak. Namun kata-kata itu dijadikan penguat untuk mereka meneruskan kehidupan.

“Waktu kandungan sudah masuk lima bulan, baru saya menyedari diri hamil. Itupun setelah ditegur rakan setugas. Mereka menegur saya setelah melihat bentuk badan saya yang semakin berisi.

“Kemudian, saya mengambil keputusan bertemu doktor dan dia mengesahkan kehamilan saya. Hati mana yang tidak gembira apabila hasil perkongsian hidup dengan suami berjaya disatukan,” katanya kepada Kosmo!.

Selepas mendengar khabar gembira itu, Salina dan suami mula membeli pakaian dan kelengkapan ibu mengandung seperti kasut, baju dan seluar.

“Paling tidak dapat dilupakan, saya lebih gemar menghias diri, membeli-belah dan mengambil gambar berbanding sebelum hamil,” ujarnya yang tiada alahan sepanjang tempoh kehamilan.

Berkongsi pengalaman saat melahirkan cahaya mata, katanya, pendarahan yang tidak menyakitkan berlaku pada 11 Mac lalu membuatkan dia dan suami bergegas ke hospital.

“Waktu itu, saya tidak berasa apa-apa. Doktor mengesahkan saluran peranakan saya masih tidak terbuka dan menyuruh saya pulang ke rumah.

“Keesokan harinya, barulah saya berasa seperti sakit senggugut. Saya dan suami bergegas ke hospital. Waktu itu, doktor memberitahu bahawa saluran peranakan saya telah terbuka sebanyak satu sentimeter. Kata doktor lagi, proses kelahiran anak sulung mengambil masa yang lama. Saya terpaksa berhadapan dengan kesakitan hampir beberapa jam sehinggalah pukul 4 pagi, 13 Mac lalu.

“Alhamdullilah…kelahirannya tiada sebarang komplikasi. Setelah setengah jam berhadapan dengan saat-saat mencemaskan, akhirnya Farah selamat dilahirkan secara normal,” katanya.

Menurutnya, tidak dapat digambarkan perasaannya sebagai seorang ibu saat menerima cahaya mata. Yang pasti kini, tambah Salina, dia perlu mengikut jadual anaknya dan memastikan hal penjagaan anaknya tidak terabai walau sibuk manapun, dia menjalani pengambaran drama atau filem. – NOOR HASLIZA NUSI


~Naluri keibuan suka melihat gambar baby. Comel sangat anak dia ni, memanglah baby-baby semuanya cute. Bilalah boleh peluk baby macam dia ni hehehe~

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri kartika@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meminta seluruh rakyat negara ini bersatu menjayakan Minggu Tidak Menonton Televisyen (MTMT) bermula semalam (21 April) hingga Isnin depan, yang bertujuan menggalakkan ibu bapa menutup televisyen di rumah dan menghabiskan lebih masa dengan anak. Kempen ini adalah program keempat daripada 12 program yang dijalankan Fomca sepanjang tahun ini dalam usaha menyemai konsep cara hidup lestari dan menggalakkan rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab dalam kehidupan mereka. Ketua Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kempen MTMT membantu dalam menaikkan kesedaran bahawa masa menonton televisyen perlu dihadkan kepada kurang daripada dua jam sehari. “Di kebanyakan negara, kanak-kanak dan golongan muda menghabiskan masa antara empat hingga enam jam sehari menonton televisyen dan bermain permainan video. “Tabiat ini juga adalah punca utama berlakunya obesiti di kalangan dewasa dan kanak-kanak, selain wujudnya gaya hidup suka berseorangan dan tidak banyak membabitkan diri dengan aktiviti fizikal,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, kempen berkenaan bukan bertujuan memburukkan fungsi televisyen kepada masyarakat tetapi hendak mengubah minda orang ramai supaya menjalankan aktiviti fizikal sihat dan mengatasi masalah obesiti di kalangan kanak-kanak.

Selain itu, Fomca akan mengadakan 125 bengkel di seluruh negara untuk menjayakan setiap program yang diatur, manakala kempen MTMT terbabit pula akan dijalankan sepanjang tempoh empat tahun berturut-turut.

Sementara itu, Malaysia adalah negara kedua yang mengadakan kempen MTMT di Asia selepas Jepun dan di negara lain seperti Amerika Syarikat dan Eropah sudah dijalankan sejak 1995 lagi.

Fomca turut memberi 44 cadangan aktiviti yang boleh dilakukan setiap individu dan keluarga sepanjang tempoh masa seminggu itu untuk membantu mengalih perhatian mereka daripada menonton televisyen.

~Maaflah saya terpaksa kutip segala artikel yang saya rasa berguna. Tak salah lagi blog saya ini hanyalah blog cacamarba penuh dengan copy n paste. Tetapi bagi saya kalau ianya berguna tidak menjadi masalah.  Insya Allah sebarang artikel tentang mengandung, anak atau yang sewaktu dengannya akan berpindah  di blog yang baru bila tiba masanya nanti~

Bahana nafsu

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

SETIAP kali berakhirnya sambutan yang membabitkan ‘kemeriahan’ pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes membuang bayi dan mengandungkan anak luar nikah.

Tempoh ini ibarat ‘musim mengawan’ kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan wanita akan mencatatkan peningkatan kes wanita tidak bersuami mengandung memohon ‘perlindungan’ dan di seluruh negara pula akan mencatatkan kes buang bayi sama ada yang ditemui masih hidup atau ada janin dibuang di dalam semak, tandas awam atau pusat pembuangan sampah.

Cukup menarik untuk membicarakan topik ini kerana umumnya ia membabitkan pasangan yang mengadakan hubungan intim membawa kepada perlakuan seks terlarang. Soal sah atau haram diketepikan pelakunya, asalkan hasrat nafsu serakah dicapai.

Istilah ‘mengawan’ mungkin lebih menjurus kepada binatang dan konteks ini ia memang normal, bahkan soal bertukar pasangan bukan masalah besar. Bagaimanapun, dalam lingkungan penghidupan manusia normal, apatah lagi umat Islam yang tergolong dalam kategori berpelajaran dan pendidikan tinggi, ia sepatutnya tidak berlaku.

Menariknya, ‘musim mengawan’ ini berlaku serentak setiap kali adanya sesuatu sambutan membabitkan cuti umum atau dikaitkan dengan meraikan bersama kekasih seperti Tahun Baru, kemerdekaan atau ‘Hari Kekasih’ (Valentine’s Day).

Ketika itu jugalah, anak muda bergelar pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) tidak terkecuali ‘mengawan’ sama ada mendapat persetujuan bersama atau tidak sengaja bersama pasangan masing-masing.

Penghuni Kem Bina Insan Kewaja mengikuti sesi agama dan kaunseling.

Soal hukum agama diketepikan sama sekali, soal baik buruknya perbuatan mereka yang bergelar pelajar universiti juga dibuang ke dalam tong sampah. Paling penting, naluri hati dan nafsu mesti dipenuhi.

Kenyataan ini bukan omongan kosong. Hakikatnya, jika dilihat pada statistik kes buang bayi atau kes gadis mengandung anak luar nikah, ia secara konsisten menunjukkan trend ini selepas beberapa bulan atau maksimum sembilan bulan selepas sesuatu perayaan berlangsung.

Ini diakui Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, 45, yang kini sudah mengendalikan lebih 3,000 kes mengandung anak luar nikah sejak 1998. Rata-ratanya berusia 17 hingga 23 tahun yang mana mereka sebenarnya dalam peringkat mencari ilmu, bukannya mencari keseronokan seks.

Kewaja yang ditubuhkan atas inisiatif Yahya bersama isterinya, kini dikhaskan untuk membantu dan menguruskan gadis mengandung anak luar nikah, bertujuan membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan pada masa sama mengelak meningkatnya kes membuang bayi.

Pesta hiburan dan sambutan Hari Kekasih banyak menyumbang kepada perlakuan seks bebas.

“Kira-kira 50 peratus daripada mereka pelajar sekolah menengah atas dan IPT. Memang diakui, setiap kali tiba musim perayaan, kami akan menerima banyak kemasukan baru beberapa bulan selepas itu.

“Kita perlu melihat ke belakang untuk mengkaji fakta itu dan ia dikira berdasarkan usia kandungan mereka. Kebanyakan mereka mengandung pada bulan yang memang ada sesuatu perayaan atau sambutan berlangsung. Kononnya itu masa bersuka ria.

“Kita jangka pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lalu kes gadis mengandung di luar nikah akan meningkat selepas Mei kerana kebiasaannya, gadis terbabit hanya menyedari mereka mengandung tiga bulan selepas itu,” katanya.

Ketika ini pusat itu menguruskan 55 peserta wanita yang sedang menunggu masa kelahiran bayi mereka mengikut tempoh berbeza. Puratanya, dianggarkan antara 15 hingga 20 orang akan keluar masuk pusat itu setiap bulan.

Logiknya, itu hanya statistik daripada sebuah pusat sukarela, belum dikira pusat lain, kes mendiamkan diri atau yang nekad menggugurkan anak semata-mata mahu mengelak menanggung aib diri dan keluarga.

Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman Yahya menguruskan pusat itu sejak 21 tahun lalu, ada antara peserta yang beranggapan pertemuan romantik pasangan kekasih sempena Hari Kekasih atau cuti umum sebagai simbolik upacara ‘pecah dara’.

Berlainan bagi Yahya yang tetap menganggap semua gadis di bawah jagaannya sebagai mangsa rogol walaupun ada yang mengadakan seks atas dasar suka sama suka.

“Seks mestilah melalui proses yang betul, mesti ada peraturan. Tiada wanita yang merancang membuatkan diri dilanda musibah, ini semua disebabkan tipu daya lelaki. Tiada yang teringin nak mengandung anak luar nikah.

“Saya anggap semua kes di sini sebagai kes rogol disebabkan mereka jadi pemuas nafsu lelaki. Apa yang boleh disimpulkan ialah bencana maksiat iaitu semua jenis maksiat di negara kita semakin teruk, perlu ada sikap menegur dan mencegah,” katanya.

Gadis serah tubuh selepas terjerat umpan cintaBAGI sesetengah pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), ada yang sanggup memendekkan cuti semester dua bulan di kampung bersama keluarga semata-mata mahu menghabiskan masa bersama teman lelaki di kampus di penghujung musim cuti.

Tempoh masa cuti semester itu juga dianggap masa paling sesuai untuk berpacaran dan lebih teruk ia adalah masa ‘tepat’ untuk mengawan kerana mereka baru saja selesai melepaskan beban menduduki peperiksaan dan semester baru belum bermula.

Mengakui hakikat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, menjelaskan apabila dalam keadaan berdua-duaan, ia akan mengaktifkan naluri ghairah manusia.

“Itu sebenarnya memberi ruang dan peluang. Waktu mengawan ini juga bermusim, sama seperti jenayah lain, ada kesinambungan tetapi kesannya akan sentiasa diingati. Ia berlaku pada masa tertentu, musim balik bercuti semester, waktu perayaan, misalnya sambutan tahun baru dan Hari Kekasih.

“Jika dibincangkan dalam aspek IPT, sesetengah universiti ketika ini adalah musim peperiksaan dan cuti akan bermula Mei hingga Julai ini. Tetapi peliknya, ramai yang akan datang awal, itulah masa nak memadu kasih, jumpa kekasih,” katanya.

Selain aspek hubungan pasangan kekasih, Dr Mariani juga menegaskan ada antara pelajar yang sebenarnya terhutang budi dengan ‘pelabur’ terdiri daripada individu yang sudah bekerja, bahkan berumahtangga yang banyak membantu mereka mengatasi masalah kewangan kritikal.

Mereka berkawan rapat, diberi sokongan kebendaan, komputer riba dan wang ringgit menyebabkan mereka mudah merelakan apa saja kehendak teman lelaki mereka.

“Apabila ada individu yang boleh memudahkan kehidupan, keperluan mereka akan mudah terjerumus ke arah perbuatan moral tidak sihat. Bagaimana seseorang berpendidikan tinggi tidak boleh menilai bahawa seseorang yang memberikan kemewahan sebenarnya mengharapkan ganjaran.

“Berdasarkan pengalaman dalam mengendalikan kes begini, kebanyakan mereka hanya sedar apabila berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya, terlanjur atau mengandung. Ini belum dikira kategori bersekedudukan… sudah macam suami isteri,” katanya.

Apabila keadaan bertambah genting, pasti mereka akan mencari jalan penyelesaian, jika bernasib baik, mereka akan ditunjukkan jalan yang betul, mendapatkan nasihat tetapi jika tersalah tempat sudah pasti akan ada yang mengesyorkan supaya menggugurkan kandungan.

“Mendapatkan pertolongan keluarga adalah perkara paling berat dan sukar kerana sudah pasti akan dimarahi. Caranya ialah mereka mendapatkan pandangan rakan rapat, tetapi kami nasihatkan supaya teruskan kandungan, pergi ke saluran tertentu, kaunselor atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Mereka sudah buat salah, jangan buat kesalahan kedua membuang atau membunuh bayi dalam kandungan. Masih ada ruang untuk perbaiki dan pulihkan akhlak.

Namun, tegasnya dalam mengendalikan masalah ini, masyarakat perlu mengubah stigma negatif yang memandang serong mengandung anak luar nikah kerana ada kes teraniaya, misalnya dirogol ketika dalam keadaan khayal.

Kes pelajar mengandung sebelum kahwin

Kes pertama:

SARA (nama samaran), kini berusia 21 tahun. Ketika rakan sekelasnya sedang berjuang menghabiskan masa belajar di dewan kuliah, beliau kini menunggu masa saat kelahiran bayinya yang dijangka penghujung Mei ini.

Kejadian yang berlaku bukan keinginannya, tetapi akibat ledakan nafsu yang gagal dikawal, beliau menanggung sengsara mengandung anak luar nikah. Teman lelakinya menuntut di IPT sama meneruskan pengajian, meneruskan lakonan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Biarpun bergelar pelajar universiti yang sepatutnya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu, ia bukannya tembok kebal yang kukuh menahan nafsu serakah, segala-galanya bermula ketika musim cuti semester pada 2008, ketika usia Sara baru mencecah 20 tahun.

Sara dan temannya lelakinya sudah lama berkenalan sejak di bangku sekolah di selatan Semenanjung. Boleh dikatakan, sama-sama masuk universiti dan berulang alik ke kampung setiap kali cuti kerana haluan mereka juga sama.

Detik malang hidupnya bermula pada September lalu ketika beliau bersama teman lelakinya tiba di ibu negara menaiki bas untuk pulang ke kampus. Ketika itu Ramadan, bulan mulia bagi umat Islam mengerjakan puasa.

Hendak dijadikan alasan atau itu memang perancangan, mereka tiba lewat malam di ibu negara. Anehnya, ketika jam 11 malam, mereka mendakwa kebuntuan bagaimana mahu pulang ke kampus, lantas menyewa hotel murah sekadar untuk bermalam sementara menunggu siang untuk pulang.

Meskipun bas atau komuter, transit aliran ringan (LRT) sudah tamat perkhidmatannya, ibu kota sebenarnya tidak pernah sunyi untuk mendapatkan khidmat teksi, ke mana saja destinasi.

Apabila berdua di dalam bilik hotel, sudah tentu ada pihak ketiga. Meskipun Sara dan pasangannya penuntut kursus agama, ternyata bekalan ilmu agama mereka masih kurang sekali gus hanyut atas desakan syaitan.

“Ini bukan soal ganjaran, soal hadiah atau suka sama suka. Kami hanya lakukan sekali saja. Terus melekat dan saya hanya sedar mengandung apabila masuk bulan kelima. Perut saya kecil, sebab itu tidak ketara.

“Walaupun agak pelik kerana sudah beberapa bulan tidak datang haid, saya anggap perkara biasa hingga masuk bulan kelima.

“Kami berusaha mencari jalan termasuk melalui internet. Akhirnya kami menemui pusat Kewaja dan datang ke sini. Saya akan serahkan anak ini kepada keluarga angkat dan teruskan pengajian selepas ini,” katanya dengan air mata bergenang.

Sehingga kini, ibu bapanya masih belum tahu bahawa anak kesayangan mereka sebenarnya bercuti daripada pengajian kerana menunggu masa menyambut kelahiran anak yang tidak dirancang.

Kes kedua.

INA (nama samaran) juga mempunyai masalah dan jalan cerita hampir sama dengan Sara. Semuanya berlaku ketika cuti semester.

Gadis Pantai Timur ini juga bermalam bersama kekasihnya gara-gara kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang bercuti ke kampung halaman di negeri berjiran. Ketika itu, usianya baru 18 tahun dan kini pelajar sebuah institut pendidikan itu bakal bergelar ibu ketika usianya memasuki 19 tahun.

Beliau mendakwa dipaksa teman lelakinya mengadakan seks. Sebaik saja mereka mendapati tiket bas ekspres habis, teman lelaki Ina membawanya bermalam di rumah nenek dan di situlah bermula detik hitam dalam hidupnya.

“Kami hanya lakukan hubungan seks sekali saja dan saya teruskan pengajian seperti biasa. Teman lelaki tidak bekerja dan sebenarnya kami baru beberapa bulan berkenalan. Saya hanya sedar mengandung selepas tiga bulan.

“Memang keluarga mengamuk dan ibu saudara yang menghantar saya ke sini. Mereka bimbang masa depan saya dan anak,” katanya.

Ditanya kenapa tidak membuat laporan polis jika dirogol, Ina terdiam dan jelasnya, bapa anak itu adalah teman lelakinya.

~ Ada komen tak?~


SERUNDING Sapi Gurih cap Kepala Sapi buatan Indonesia ini antara produk yang disahkan mengandungi daging babi.


JAKARTA – Berikutan penemuan lima jenama ‘abon’ (serunding) dan daging dendeng siap makan yang dibuat daripada daging babi di pasaran, seperti yang disahkan oleh pihak berkuasa Indonesia, pelancong Malaysia terutama yang beragama Islam perlu lebih berhati-hati.

Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia yang melakukan ujian DNA ke atas 35 jenama serunding dan daging panggang yang dijual di pasaran di Jakarta, Jambi, Bogor, Semarang, Surabaya dan Bandung, mengesahkan kandungan daging babi dalam lima jenama.

“Sebenarnya tekstur serat babi lebih tidak kelihatan kerana banyak mengandungi lemak. Oleh itu, kita menguji di makmal dengan menggunakan alat bernama the real-time PCR (polymerase chain reaction),” kata Ketua BPOM, Husniah Rubiana Thamrin, seperti dipetik akhbar tempatan, Republika, semalam.

Jenama-jenama itu ialah:

Dendeng/abon sapi (lembu) gurih cap Kepala Sapi 250 gram.

Abon/dendeng sapi cap Limas 100 gram (keluaran sebuah syarikat fiktif/palsu)

Abon/dendeng sapi asli cap A.C.C.

Dendeng sapi istimewa merek Beef Jerky Lezaaat (keluaran MDC Food Surabaya)

Dendeng sapi Istimewa No 1 cap 999 (keluaran S Hendropurnomo Malang).

Husniah berkata, satu daripada jenama itu didapati menggunakan tanda ‘halal’ yang kononnya dikeluarkan Majlis Ulama Indonesia (MUI) manakala pengeluar lain pula menggunakan nama syarikat milik orang lain, menggunakan alamat tidak benar atau tidak tercatat pengeluarnya.

MUI dan Jabatan Kesihatan yang melakukan pemeriksaan mendapati para pengeluar itu pada mulanya mengakui menggunakan daging lembu tetapi setelah diuji didapati positif daripada babi.

Tidak dapat dipastikan sama ada produk itu telah dieksport ke Malaysia secara besar-besaran tetapi di kalangan pelancong Malaysia, serunding dan daging salai tempatan memang digemari untuk dibawa pulang sebagai buah tangan. – Bernama

~Kepada kawan-kawan yang ingin melancong ke Indonesia tu berhati-hatilah.Bukan saja daging khinzir, tikus sawahpun menjadi hidangan istimewa mengantikan ayam kerana di sana ayam mahal. Kalau sayalah tengok gambar kepala sapipun saya tak beli dah~

MADIHAH (tengah) melihat buku Catatan Hati Nik Nur Madihah yang dilancarkan di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Muhd. Kamal, 18, memilih Jordan untuk melanjutkan pelajaran di bawah biasiswa Bank Negara Malaysia.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah melakukan solat Istikharah dengan memilih bidang Fizik Islam.

“Saya akan berlepas ke sana pada bulan Ogos atau September ini.

“Buat masa ini saya sedang membuat penyelidikan bersama pihak Bank Negara untuk memilih universiti terbaik dalam bidang Fizik Islam,” katanya.

Nik Nur Madihah berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku kisah hidupnya bertajuk Catatan Hati Nik Nur Madihah terbitan Hijjaz Records Publishing (HRP) di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah ibu dan bapanya, Mariyani Omar dan Nik Muhd. Kamal Husin.

Nik Nur Madihah yang fasih berbahasa Arab memberitahu, dia masih tidak percaya kisah hidupnya dibukukan dan berharap pembaca akan mengambil ilmu dalam buku itu sebagai pengajaran dalam hidup.

Buku berharga RM25.90 itu akan mula dijual hari ini dan ia diterbitkan oleh Pengurus HRP, Faizal Osman dengan dibantu oleh Ummu Hani Abu Hassan.

~ ” Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila menghendaki sesuatu hanya berfirman ” jadilah maka terjadilah ia. Maha suci Allah yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu dan kepada-Nyalah kami dikembalikan.”~

surah Yassin ayat 82 dan 83

Alhamdulillah semalam sempat menonton Adik Nik Madihah di MHI. Terharu rasanya.  Petua  adik Nik Madihah berdoa dengan penuh tawaduk, ikhlas dan bergantung penuh pengharapan kepada Allah s.w.t.  Di samping solat sunat dan doa-doa yang lainnya serta berusaha dengan tidak pernah jemu. Adik Madihah juga adalah ulat buku.

PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

BARU-BARU ini, saya ada terbaca mengenai kelahiran kembar lapan di Amerika Syarikat. Ini menimbulkan kebimbangan memandangkan saya juga mempunyai masalah kesuburan dan diberikan pil kesuburan oleh doktor. Saya juga teringin mendapatkan anak kembar, cuma jika boleh kembar dua dan seiras. Adakah saya juga berisiko mendapat kembar? Untuk pengetahuan doktor, saya berusia 29 tahun dan sudah berkahwin selama dua tahun, namun masih belum dikurniakan cahaya mata. Suami saya berumur 30 tahun, sudah menjalani ujian air mani dan didapati normal.

INGIN TAHU, Kuala Lumpur

ANDA dinasihatkan berbincang lanjut bersama suami dan doktor anda mengenai keinginan untuk mendapatkan anak kembar. Kehamilan kembar secara amnya memberikan lebih risiko kepada ibu dan janinnya dari waktu kehamilan sehinggalah selepas kelahiran kelak. Kehamilan kembar boleh berlaku dengan lebih kerap dalam keadaan seperti usia wanita yang meningkat melebihi 35 tahun, keturunan, pengambilan ubat kesuburan dan bangsa Afrika. Wanita Asia mempunyai risiko paling rendah untuk mendapatkan kehamilan kembar berbanding wanita Afrika mahupun wanita negara Barat berkulit putih. Selepas persenyawaan satu ovum (benih wanita) oleh satu sperma (benih lelaki), ia menghasilkan satu embrio awal yang dinamakan zigot. Kembar lahir daripada persenyawaan dua ovum oleh dua sperma yang berbeza untuk menghasilkan dua zigot yang berbeza komposisi genetiknya. Kembar seiras pula lazimnya berasal daripada satu zigot saja yang kemudian terasing menjadi dua embrio kembar. Memandangkan kedua-dua kembar ini berasal daripada embrio yang sama, bukan saja rupa mereka sama, jantinanya juga sama kerana mereka mempunyai komposisi percampuran genetik ibu dan ayah yang sama atau hampir sama. Cuma apabila diuji, uniknya cap jari mereka masih berbeza. Di dalam dunia perubatan, kehamilan kembar ini lebih dikenali sebagai kembar mono-zigotik. Kembar mono-zigotik tidak dipengaruhi pengambilan ubat kesuburan, usia, bangsa dan keturunan. Dalam setiap kitaran haid wanita, sudah ada sekumpulan ovum yang bersedia untuk membesar, cuma lazimnya hanya satu ovum saja yang akan terus membesar dan keluar (melalui ovulasi) untuk disenyawakan. Ini membuahkan kehamilan dalam sekitar 15 peratus wanita saja pada sesuatu kitaran, selebihnya tidak dan berakhir dengan kedatangan haid. Itulah sebabnya kebanyakan wanita hamil dengan seorang janin saja, hanya kadangkala terdapat lebih daripada satu ovum yang mengalami ovulasi (dipengaruhi faktor di atas). Wanita yang mempunyai masalah kesuburan ovari pula tidak mengalami ovulasi dan berakhir dengan kedatangan haid. Dalam keadaan anda, pengambilan ubat kesuburan dijangka meningkatkan bilangan ovum pada sesuatu kitaran haid. Ovum ini mungkin akan mengalami ovulasi dan berpeluang untuk disenyawakan sperma suami. Lebih banyak ovum dihasilkan, lebih tinggi peluang kehamilan seseorang, namun lebih tinggi juga risiko kehamilan kembar sama ada kembar dua, tiga atau selebihnya. Kembar lapan (oktuplet) juga boleh berlaku, sama ada berasal daripada lapan ovum (menghasilkan lapan zigot) ataupun beberapa ovum menghasilkan beberapa zigot yang sama yang kemudian terpisah membentuk tambahan beberapa kembar seiras mono-zigotik. Doktor lazimnya akan memberi ubat kesuburan dalam dos yang sederhana saja (lazimnya mengikut usia), serta memantau bilangan telur yang besar oleh rangsangan ubat kesuburan terbabit supaya hanya sebilangan kecil saja telur yang diperoleh bagi meningkatkan peluang kehamilan dan pada masa sama, meminimumkan risiko kehamilan kembar. Dalam keadaan bilangan telur yang dihasilkan melebihi, doktor mungkin akan membatalkan rawatan permanian berhadas (IUI) serta menghalang persenyawaan secara menasihatkan pasangan menggunakan kondom ataupun bertukar kepada rawatan persenyawaan tabung uji (IVF). Ini kerana, dalam rawatan IVF, doktor dapat mengawal kemasukan bilangan embrio ke dalam ruang rahim. Lazimnya untuk usia anda, hanya satu atau maksimum dua saja embrio (jika anda masih bertegas) akan dimasukkan, selebihnya akan dibekukan. Itupun masih meningkatkan risiko kehamilan kembar dua atau kembar tiga, empat dan seterusnya jika embrio yang sama membahagi atau terpisah kepada dua lagi embrio. Ubat kesuburan tidak meningkatkan risiko kehamilan kembar mono-zigotik (seiras genetiknya). Namun, anda masih berpeluang sedikit untuk mendapatkan kembar seiras rupa fizikalnya walaupun berasal daripada zigot berlainan, cuma masih berbeza komposisi genetiknya. Ini kerana anak-anak, sama ada dilahirkan serentak secara kembar mahupun berlainan masa atau tahun adik-beradik, masih lagi membawa genetik ayah dan ibunya. Ini dapat dilihat pada sesetengah keluarga yang mempunyai anak kecil yang sangat menyerupai abang atau kakaknya. Anda juga (seperti sesiapa saja wanita lain) masih boleh mendapat kehamilan kembar mono-zigotik jika embrio terbabit (walaupun hanya satu) terpisah kepada dua embrio sendirinya, bukannya disebabkan ubat kesuburan. Bergantung kepada masa embrio mono-zigotik ini terpisah, kembar yang terhasil boleh sama ada kembar berlainan uri dan kantung (jika pemisahan berlaku dalam masa dua hari awal), atau kembar berkongsi uri tapi berlainan kantung (jika pemisahan berlaku pada hari ketiga hingga kelapan selepas persenyawaan), ataupun kembar berkongsi uri dan berkongsi kantung (jika pemisahan embrio berlaku pada hari kesembilan hingga ke-12 selepas persenyawaan), ataupun kembar siam bercantum yang berkongsi uri dan kantung (jika pemisahan embrio berlaku selepas 12 hari persenyawaan). Kembar berkongsi uri memberi lebih risiko kepada janin memandangkan mereka ‘berebut’ bekalan daripada uri yang sama.

~Ya Allah jangan kata anak kembar nak dapat sorang anak lagipun susah. Hanya Tuhan saja yang tahu~

Susunan NURBALQIS HAYATI AHMAD NAJIH

http://www.yadim.com.my/

´Polycystic ovary´ atau PCO adalah suatu keadaan di mana kilang telur atau ovari yang terdapat pada seseorang wanita akan menjadi bengkak kerana benih-benih telur telah terperangkap di dalam ovari dan tidak dapat melakukan proses penetasan pada waktu subur. Dan apabila keadaan seperti ini berlaku, lama-kelamaan ovari akan membengkak dan menimbulkan pelbagai jenis masalah pada wanita tersebut. Ciri ovari yang dapat dilihat oleh doktor pakar sakit puan semasa pemeriksaan ´vaginal ultrasound´ akan mendapati kedua-dua belah ovari bengkak dan membesar hingga dua atau tiga kali ganda daripada saiz biasa. Kelihatan ovari itu seolah-olah mengandungi bintik-bintik hitam iaitu apa yang digelar ´honeycomb appearance´. Bintik-bintik hitam inilah sebenarnya telur atau benih wanita yang telah terperangkap. Wanita yang gemuk, pusingan haid tidak teratur dan terdapat rambut pada kaki, badan atau muka, maka mereka ini haruslah berwaspada kerana mungkin mengalami masalah kilang ovari bengkak atau ´polycystic ovary´. Peratus penyakit ini kian meningkat di kalangan wanita-wanita di Malaysia dan dianggarkan berada pada tahap yang agak membimbangkan kerana ia menjejaskan kesuburan dan keupayaan mereka untuk hamil dan melahirkan anak. TANDA-TANDA PENYAKIT PCO 1. Tidak Subur atau Mandul Kebanyakan pesakit PCO datang berjumpa doktor pakar sakit puan kerana mereka mengalami masalah sukar hendak hamil walaupun sudah beberapa tahun berkahwin – masih belum mendapat zuriat dan telah lama mencuba. Ada yang berjaya mendapat anak pertama tetapi gagal untuk hamil lagi selepas itu dan mereka ini mudah mengalami peningkatan berat badan serta berlaku secara mendadak. 2. Haid Tidak Teratur Tanda yang biasa bagi pesakit PCO ialah kitaran haid yang tidak teratur, lambat datang haid dan kadang-kadang jarak antara haid begitu jauh sekali mencecah hingga 3 atau 6 bulan barulah datang haid yang berikutnya. Dan ada sesetengah wanita pula sampai setahun tidak datang haid. 3. Gemuk Peningkatan berat badan menyebabkan seseorang wanita itu mengahadapi masalah kegemukan atau ´obese´, malah peningkat berat badan ini berlaku secara mendadak selepas ia berkahwin dan pada ketika itu pusingan haid pun menjadi lebih tidak teratur. Dan tahap kesuburan mereka sangat rendah ataupun langsung tidak subur kerana telur tidak dapat menetas. 4. Darah Haid Sedikit atau/dan Berpanjangan Wanita yang mengidap penyakit POC akan mengalami haid yang sangat sedikit – hanya menitis selama dua atau tiga hari. Ada juga di kalangan mereka yang mengalami perdarahan yang berpanjangan hingga 15 ataupun 30 hari tanpa berhenti. Hal ini tidak terjadi pada wanita normal, seperti biasa haid akan keluar dengan sederhana selama seminggu. 5. Tumbuh Rambut Tanda-tanda lain ialah tumbuh rambut pada kaki, tumbuh misai dan janggut – juga tumbuh rambut pada bahagian tangan dan ada kalanya di bahagian dada. Ini menandakan peningkatan hormon lelaki dalam darah wanita tersebut dan merupakan satu keadaan yang sering berlaku di kalangan pengidap penyakit POC ini. PUNCA PENYAKIT POC Punca sebenar bagi penyakit ini masih tidak diketahui. Salah satu mungkin kerana keadaan semulajadi di mana terdapat kelainan atau gangguan pada enzim yang mengawal pembentukan hormon. Maka apabila paras hormon dalam darah dikaji, dapat dikesan wanita tersebut mengalami gangguan dalam hormon kesuburan mereka iaitu tahap hormon FSH (normal), LH – tinggi, hormon estrongen – tinggi, hormon progesterone – rendah, hormon progesterone – rendah, hormon testosterone (iaitu hormon lelaki) -meningkat tinggi. Peningkatan berat badan juga ada kaitan dengan peningkatan hormon testosterone dengan estrogen dalam darah wanita tersebut. Penyakit PCO juga mungkin disebabkan oleh ciri atau pengaruh kebakaan dan keturunan dalam penyakit ini malah faktor pemakanan iaitu dari segi tabiat dan jenis makanan yang mengandungi banyak karbohaidrat dan gula, perisa dan pengawet makanan mungkin menyumbang kepada kejadian penyakit PCO. Selain itu, faktor stress atau tekanan fizikal dan mental yang berlaku di pejabat dan rumah, pergeseran dan konflik di kalangan keluarga atau saudara mara dan ketika memandu juga menyebabkan masalah PCO. TUJUAN RAWATAN Tujuan pertama ialah untuk meningkatkan kesuburan kerana sebahagian besar daripada mereka berjumpa doktor dengan tujuan untuk mendapatkan anak dan kerana mereka mengalami ketidaksuburan ataupun kemandulan. Tujuan kedua ialah untuk membetulkan pusingan haid supaya jarak antara satu haid supaya jarak antara satu haid dengan yang lainnya lebih kerap ataupun normal iaitu 30 hari. ANTARA RAWATAN PCO 1. Mengawal Kegemukan (Obesity) Perkara yang penting sekali ialah ketabahan, disiplin serta keazaman diri pesakti untuk mengurangkan berat badan kerana sebenarnya orang yang ´obese´ atau gemuk mengalami masalah tabiat makan. Kebanyakan daripada mereka mungkin melebihi 70 kilogram dan berat badan yang sebaiknya bagi wanita yang ukuran tinggi 5 kaki 2 inci ialah kurang daripada 60 kilogram. Selain itu, kekuatan mental juga penting untuk mengawal pemakanan mereka serta mereka perlu membuat riadah atau ´exercise´ yang sistematik. 2. Meningkatkan Kesuburan Wanita Dari segi merawat kesuburan, terdapat banyak kaedah rawatan yang sering dicuba oleh pakar sakitpuan. Diantaranya ialah pengunaan ubat seperti: a. Ubat subur Clomiphene Biasanya ubat subur Clomiphene atau clomid akan diberikan dalam dos yang tinggi mungkin sampai ke tahap 250 mg atau lima biji sehari untuk selama 5 hari hingga 7 hari mulai daripada hari kedua atau ketiga dari hari mula keluar haid. Tujuan rawatan ini ialah untuk merangsang ovari yang polycystic ini untuk mengeluarkan telur. Respons yang positif dan dapat mengeluarkan benih telur mungkin berlaku hanya kepada sebahagian pesakit sahaja dan sesetengah diantara mereka tidak akan menunjukkan kesan positif dari segi pengeluaran telur. Walaupun demikian setiap wanita yang menjalani rawatan kesuburan memerlukan pengawasan dan ujian yang teliti oleh pakar sakitpuan kerana jika terlalu banyak telur dikeluarkan pada satu masa ini boleh membahayakan kesihatan menyebabkan kandungan yang berganda-ganda. b. Ubat Kesuburan Gonadotrophin Suntikan hormon Gonadotrophin yang juga diberikan mulai hari kedua haid selama lima hari berturut-turut. Bahayanya ubat ini ialah rangsangan telur yang berlebihan menyebabkan terlalu banyak telur keluar dan ini boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kehamilan berganda. c. Ubat Metformine Mengikut kajian 60 peratus daripada wanita yang mengambil ubat ini akan menetas telurnya dan sebahagian besar juga akan akhirnya mengandung. Ubat metformine yang biasa digunakan untuk merawat kencing manis akan digunakan dalam jangka masa enam bulan berturut dan dos yang digunakan ialah antara 1 gm hingga 2.5 gm setiap hari sehingga enam bulan. 3. Rawatan ´Laparoscopy´ dan ´Ovarian Drilling´ Ini adalah satu kaedah baru dimana pesakit POC akan menjalani pembedahan kecil yang memerlukan bius am. Teropong laparoscopy untuk melihat ovari dan seterusnya laser drilling akan dilakukan dengan menggunakan elektrik ´cautery´ ataupun ´laser cautery´. Kaedah rawatan ini juga menghasilkan kehamilan dalam lingkungan 50 hingga 60 peratus.

P/s Hasil pencarian saya….

KOTA BHARU: “Saya membaca al-Quran sejak berusia enam tahun dan berupaya menghafal semua 30 juzuk ketika berumur 14 tahun. “Saya tiada rahsia kejayaan, sebaliknya hanya berserah kepada Allah supaya sentiasa memberi kekuatan,” kata Siti Nadhira Mohd Shafei, 16, selepas muncul sebagai Johan Menghafaz Al-Quran (1 hingga 30 juzuk) Peringkat Kebangsaan dalam kategori perempuan, di sini, semalam. Pelajar Maahad Tahfiz Al-Ikhwan, Ampang, Selangor itu berkata, dia mendapat dorongan sepenuhnya daripada bapa, Mohd Shafei Mat Amin, 45, yang juga pengerusi sekolah berkenaan. Katanya, kejayaan besar itu adalah kali kedua buatnya apabila turut bergelar Johan Hafazan kategori 1 hingga 15 juzuk dalam pertandingan sama, tahun lalu.

“Saya bersyukur kerana kejayaan itu memberi kegembiraan kepada ibu, Norliza Muhammad, 45, yang menempuh dugaan menjaga kakak yang sakit,” katanya.

Sementara itu, Johan Menghafaz Al-Quran (1-30 juzuk) kategori lelaki, Muhammad Ahmad Zahid, 14, pula berkata dia berlatih menghafal sejak tiga tahun lalu dengan membaca sekurang-kurangnya satu muka al-Quran setiap hari.

“Hanya dengan cara mengulang bacaan setiap hari, baru kita boleh menghafal dengan baik,” katanya yang menghafal semua 30 juzuk Al-Quran sejak berusia 10 tahun.

Hadiah disampaikan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Darul Naim, dekat sini, malam kelmarin.

~Alhamdulillah anakku berpeluang menyaksikan majlis ini di Balai Islam. Doaku semoga dua tiga tahun lagi anakku akan menjadi seperti anak-anak ini. Insya Allah~

NIK Aziz Nik Mat bersalam dengan Amy Search pada Majlis Perhimpunan Belia sempena sambutan Jubli Emas Pemuda Pas Kelantan di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 11 April – Ikon rock negara, Amy Search menafikan menyertai Pas walaupun mengakui sering menghadiri majlis anjuran parti pembangkang itu.

Beliau berkata, pada masa ini tidak timbul soal beliau menyertai mana-mana parti politik kerana tujuan utamanya ialah berdakwah terutama kepada golongan muda.

Menurut Amy atau nama sebenar Suhaimi Abd Rahman, sehingga kini beliau belum memutuskan menyertai mana-mana parti politik dan mahu kekal sebagai ‘neutral’ dengan tidak berpihak kepada mana-mana.

“Tidak, saya belum menyertai Pas walaupun berasa satu penghormatan dan berasa berbesar hati kerana dijemput ke sini dan duduk di sebelah tok guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat).

“Saya masih bersifat neutral tidak sertai mana-mana parti. Kehadiran saya ke sini sekadar memenuhi undangan untuk mengadakan persembahan.

“Apa yang berlaku selepas ini adakah ketentuan-Nya namun saya perlu berfikir lagi semasak-masaknya kerana ia akan mempengaruhi peminat setia saya. Bagaimanapun saya akui, memang peminat tok guru (Nik Aziz) namun belum lagi memutuskan menyertai Pas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Belia sempena sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda Pas Kelantan di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Amy dan Renggo atau nama sebenarnya Mohd. Zain Ramli, penyanyi utama kumpulan Arrow telah menyampaikan beberapa buah lagu popular mereka.

Amy menambah, kehadirannya atas dasar profesional dan berharap tidak dikaitkan dengan apa-apa isu kerana sebagai artis ia satu penghargaan apabila diminta membuat persembahan di hadapan seorang pemimpin.

“Saya akui pernah bertemu secara formal dan tidak formal dengan tok guru (Nik Aziz) sebelum ini, namun kedatangan kali ini sebagai artis jemputan dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana parti,” ujarnya.

Sementara itu, Nik Aziz menyerahkan kepada pertimbangan penyanyi itu sendiri sama ada mahu menyertai Pas atau sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau mengaku mudah tersentuh hati sehingga menitiskan air mata setiap kali menatap wajah penyanyi itu apatah lagi mendengar alunan suaranya yang sejak akhir-akhir ini sering menyanyikan lagu-lagu berunsur ketuhanan.

“Apabila melihat persembahan Amy, melihat wajahnya dan mendengar lagu-lagunya saya menangis tetapi ramai orang tidak sedar. Saya menangis kerana apabila artis rock menyanyikan lagu ketuhanan ia sekali gus menolak tanggapan negatif terhadap mereka seperti dadah, perempuan dan maksiat.

“Saya kagum dan gembira kerana melalui suara, makhluk Allah berupaya memanfaatkannya ke jalan Allah dan menyampaikannya kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya, bagi menyampaikan mesej keislaman masyarakat tidak perlu bergantung kepada golongan ulama dan tok guru semata-mata kerana penyanyi rock juga berupaya menyampaikan mesej yang sama.

“Kumpulan artis juga mempunyai tanggungjawab menegakkan Islam melalui acuan masing-masing. Misalnya apabila mereka berkarya, selit-selitkan bait ketuhanan kepada khalayak,” katanya.

~Semoga suatu hari nanti pintu hatimu akan terbuka jua Amy, Tahniah untuk Yb Nizar yang menang di Parlimen Bukit Gantang.


Kalendar

April 2009
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Blog Stats

  • 913,637 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada