bila hatiku berbicara

siapakah harus di salahkan?

Posted on: April 20, 2009

Bahana nafsu

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

SETIAP kali berakhirnya sambutan yang membabitkan ‘kemeriahan’ pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes membuang bayi dan mengandungkan anak luar nikah.

Tempoh ini ibarat ‘musim mengawan’ kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan wanita akan mencatatkan peningkatan kes wanita tidak bersuami mengandung memohon ‘perlindungan’ dan di seluruh negara pula akan mencatatkan kes buang bayi sama ada yang ditemui masih hidup atau ada janin dibuang di dalam semak, tandas awam atau pusat pembuangan sampah.

Cukup menarik untuk membicarakan topik ini kerana umumnya ia membabitkan pasangan yang mengadakan hubungan intim membawa kepada perlakuan seks terlarang. Soal sah atau haram diketepikan pelakunya, asalkan hasrat nafsu serakah dicapai.

Istilah ‘mengawan’ mungkin lebih menjurus kepada binatang dan konteks ini ia memang normal, bahkan soal bertukar pasangan bukan masalah besar. Bagaimanapun, dalam lingkungan penghidupan manusia normal, apatah lagi umat Islam yang tergolong dalam kategori berpelajaran dan pendidikan tinggi, ia sepatutnya tidak berlaku.

Menariknya, ‘musim mengawan’ ini berlaku serentak setiap kali adanya sesuatu sambutan membabitkan cuti umum atau dikaitkan dengan meraikan bersama kekasih seperti Tahun Baru, kemerdekaan atau ‘Hari Kekasih’ (Valentine’s Day).

Ketika itu jugalah, anak muda bergelar pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) tidak terkecuali ‘mengawan’ sama ada mendapat persetujuan bersama atau tidak sengaja bersama pasangan masing-masing.

Penghuni Kem Bina Insan Kewaja mengikuti sesi agama dan kaunseling.

Soal hukum agama diketepikan sama sekali, soal baik buruknya perbuatan mereka yang bergelar pelajar universiti juga dibuang ke dalam tong sampah. Paling penting, naluri hati dan nafsu mesti dipenuhi.

Kenyataan ini bukan omongan kosong. Hakikatnya, jika dilihat pada statistik kes buang bayi atau kes gadis mengandung anak luar nikah, ia secara konsisten menunjukkan trend ini selepas beberapa bulan atau maksimum sembilan bulan selepas sesuatu perayaan berlangsung.

Ini diakui Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, 45, yang kini sudah mengendalikan lebih 3,000 kes mengandung anak luar nikah sejak 1998. Rata-ratanya berusia 17 hingga 23 tahun yang mana mereka sebenarnya dalam peringkat mencari ilmu, bukannya mencari keseronokan seks.

Kewaja yang ditubuhkan atas inisiatif Yahya bersama isterinya, kini dikhaskan untuk membantu dan menguruskan gadis mengandung anak luar nikah, bertujuan membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan pada masa sama mengelak meningkatnya kes membuang bayi.

Pesta hiburan dan sambutan Hari Kekasih banyak menyumbang kepada perlakuan seks bebas.

“Kira-kira 50 peratus daripada mereka pelajar sekolah menengah atas dan IPT. Memang diakui, setiap kali tiba musim perayaan, kami akan menerima banyak kemasukan baru beberapa bulan selepas itu.

“Kita perlu melihat ke belakang untuk mengkaji fakta itu dan ia dikira berdasarkan usia kandungan mereka. Kebanyakan mereka mengandung pada bulan yang memang ada sesuatu perayaan atau sambutan berlangsung. Kononnya itu masa bersuka ria.

“Kita jangka pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lalu kes gadis mengandung di luar nikah akan meningkat selepas Mei kerana kebiasaannya, gadis terbabit hanya menyedari mereka mengandung tiga bulan selepas itu,” katanya.

Ketika ini pusat itu menguruskan 55 peserta wanita yang sedang menunggu masa kelahiran bayi mereka mengikut tempoh berbeza. Puratanya, dianggarkan antara 15 hingga 20 orang akan keluar masuk pusat itu setiap bulan.

Logiknya, itu hanya statistik daripada sebuah pusat sukarela, belum dikira pusat lain, kes mendiamkan diri atau yang nekad menggugurkan anak semata-mata mahu mengelak menanggung aib diri dan keluarga.

Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman Yahya menguruskan pusat itu sejak 21 tahun lalu, ada antara peserta yang beranggapan pertemuan romantik pasangan kekasih sempena Hari Kekasih atau cuti umum sebagai simbolik upacara ‘pecah dara’.

Berlainan bagi Yahya yang tetap menganggap semua gadis di bawah jagaannya sebagai mangsa rogol walaupun ada yang mengadakan seks atas dasar suka sama suka.

“Seks mestilah melalui proses yang betul, mesti ada peraturan. Tiada wanita yang merancang membuatkan diri dilanda musibah, ini semua disebabkan tipu daya lelaki. Tiada yang teringin nak mengandung anak luar nikah.

“Saya anggap semua kes di sini sebagai kes rogol disebabkan mereka jadi pemuas nafsu lelaki. Apa yang boleh disimpulkan ialah bencana maksiat iaitu semua jenis maksiat di negara kita semakin teruk, perlu ada sikap menegur dan mencegah,” katanya.

Gadis serah tubuh selepas terjerat umpan cintaBAGI sesetengah pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), ada yang sanggup memendekkan cuti semester dua bulan di kampung bersama keluarga semata-mata mahu menghabiskan masa bersama teman lelaki di kampus di penghujung musim cuti.

Tempoh masa cuti semester itu juga dianggap masa paling sesuai untuk berpacaran dan lebih teruk ia adalah masa ‘tepat’ untuk mengawan kerana mereka baru saja selesai melepaskan beban menduduki peperiksaan dan semester baru belum bermula.

Mengakui hakikat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, menjelaskan apabila dalam keadaan berdua-duaan, ia akan mengaktifkan naluri ghairah manusia.

“Itu sebenarnya memberi ruang dan peluang. Waktu mengawan ini juga bermusim, sama seperti jenayah lain, ada kesinambungan tetapi kesannya akan sentiasa diingati. Ia berlaku pada masa tertentu, musim balik bercuti semester, waktu perayaan, misalnya sambutan tahun baru dan Hari Kekasih.

“Jika dibincangkan dalam aspek IPT, sesetengah universiti ketika ini adalah musim peperiksaan dan cuti akan bermula Mei hingga Julai ini. Tetapi peliknya, ramai yang akan datang awal, itulah masa nak memadu kasih, jumpa kekasih,” katanya.

Selain aspek hubungan pasangan kekasih, Dr Mariani juga menegaskan ada antara pelajar yang sebenarnya terhutang budi dengan ‘pelabur’ terdiri daripada individu yang sudah bekerja, bahkan berumahtangga yang banyak membantu mereka mengatasi masalah kewangan kritikal.

Mereka berkawan rapat, diberi sokongan kebendaan, komputer riba dan wang ringgit menyebabkan mereka mudah merelakan apa saja kehendak teman lelaki mereka.

“Apabila ada individu yang boleh memudahkan kehidupan, keperluan mereka akan mudah terjerumus ke arah perbuatan moral tidak sihat. Bagaimana seseorang berpendidikan tinggi tidak boleh menilai bahawa seseorang yang memberikan kemewahan sebenarnya mengharapkan ganjaran.

“Berdasarkan pengalaman dalam mengendalikan kes begini, kebanyakan mereka hanya sedar apabila berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya, terlanjur atau mengandung. Ini belum dikira kategori bersekedudukan… sudah macam suami isteri,” katanya.

Apabila keadaan bertambah genting, pasti mereka akan mencari jalan penyelesaian, jika bernasib baik, mereka akan ditunjukkan jalan yang betul, mendapatkan nasihat tetapi jika tersalah tempat sudah pasti akan ada yang mengesyorkan supaya menggugurkan kandungan.

“Mendapatkan pertolongan keluarga adalah perkara paling berat dan sukar kerana sudah pasti akan dimarahi. Caranya ialah mereka mendapatkan pandangan rakan rapat, tetapi kami nasihatkan supaya teruskan kandungan, pergi ke saluran tertentu, kaunselor atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Mereka sudah buat salah, jangan buat kesalahan kedua membuang atau membunuh bayi dalam kandungan. Masih ada ruang untuk perbaiki dan pulihkan akhlak.

Namun, tegasnya dalam mengendalikan masalah ini, masyarakat perlu mengubah stigma negatif yang memandang serong mengandung anak luar nikah kerana ada kes teraniaya, misalnya dirogol ketika dalam keadaan khayal.

Kes pelajar mengandung sebelum kahwin

Kes pertama:

SARA (nama samaran), kini berusia 21 tahun. Ketika rakan sekelasnya sedang berjuang menghabiskan masa belajar di dewan kuliah, beliau kini menunggu masa saat kelahiran bayinya yang dijangka penghujung Mei ini.

Kejadian yang berlaku bukan keinginannya, tetapi akibat ledakan nafsu yang gagal dikawal, beliau menanggung sengsara mengandung anak luar nikah. Teman lelakinya menuntut di IPT sama meneruskan pengajian, meneruskan lakonan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Biarpun bergelar pelajar universiti yang sepatutnya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu, ia bukannya tembok kebal yang kukuh menahan nafsu serakah, segala-galanya bermula ketika musim cuti semester pada 2008, ketika usia Sara baru mencecah 20 tahun.

Sara dan temannya lelakinya sudah lama berkenalan sejak di bangku sekolah di selatan Semenanjung. Boleh dikatakan, sama-sama masuk universiti dan berulang alik ke kampung setiap kali cuti kerana haluan mereka juga sama.

Detik malang hidupnya bermula pada September lalu ketika beliau bersama teman lelakinya tiba di ibu negara menaiki bas untuk pulang ke kampus. Ketika itu Ramadan, bulan mulia bagi umat Islam mengerjakan puasa.

Hendak dijadikan alasan atau itu memang perancangan, mereka tiba lewat malam di ibu negara. Anehnya, ketika jam 11 malam, mereka mendakwa kebuntuan bagaimana mahu pulang ke kampus, lantas menyewa hotel murah sekadar untuk bermalam sementara menunggu siang untuk pulang.

Meskipun bas atau komuter, transit aliran ringan (LRT) sudah tamat perkhidmatannya, ibu kota sebenarnya tidak pernah sunyi untuk mendapatkan khidmat teksi, ke mana saja destinasi.

Apabila berdua di dalam bilik hotel, sudah tentu ada pihak ketiga. Meskipun Sara dan pasangannya penuntut kursus agama, ternyata bekalan ilmu agama mereka masih kurang sekali gus hanyut atas desakan syaitan.

“Ini bukan soal ganjaran, soal hadiah atau suka sama suka. Kami hanya lakukan sekali saja. Terus melekat dan saya hanya sedar mengandung apabila masuk bulan kelima. Perut saya kecil, sebab itu tidak ketara.

“Walaupun agak pelik kerana sudah beberapa bulan tidak datang haid, saya anggap perkara biasa hingga masuk bulan kelima.

“Kami berusaha mencari jalan termasuk melalui internet. Akhirnya kami menemui pusat Kewaja dan datang ke sini. Saya akan serahkan anak ini kepada keluarga angkat dan teruskan pengajian selepas ini,” katanya dengan air mata bergenang.

Sehingga kini, ibu bapanya masih belum tahu bahawa anak kesayangan mereka sebenarnya bercuti daripada pengajian kerana menunggu masa menyambut kelahiran anak yang tidak dirancang.

Kes kedua.

INA (nama samaran) juga mempunyai masalah dan jalan cerita hampir sama dengan Sara. Semuanya berlaku ketika cuti semester.

Gadis Pantai Timur ini juga bermalam bersama kekasihnya gara-gara kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang bercuti ke kampung halaman di negeri berjiran. Ketika itu, usianya baru 18 tahun dan kini pelajar sebuah institut pendidikan itu bakal bergelar ibu ketika usianya memasuki 19 tahun.

Beliau mendakwa dipaksa teman lelakinya mengadakan seks. Sebaik saja mereka mendapati tiket bas ekspres habis, teman lelaki Ina membawanya bermalam di rumah nenek dan di situlah bermula detik hitam dalam hidupnya.

“Kami hanya lakukan hubungan seks sekali saja dan saya teruskan pengajian seperti biasa. Teman lelaki tidak bekerja dan sebenarnya kami baru beberapa bulan berkenalan. Saya hanya sedar mengandung selepas tiga bulan.

“Memang keluarga mengamuk dan ibu saudara yang menghantar saya ke sini. Mereka bimbang masa depan saya dan anak,” katanya.

Ditanya kenapa tidak membuat laporan polis jika dirogol, Ina terdiam dan jelasnya, bapa anak itu adalah teman lelakinya.

~ Ada komen tak?~

Advertisements

14 Respons to "siapakah harus di salahkan?"

Last2 biarlah saya org yg prtama beri komen tajuk SIAPAKAH YG HARUS DIPRSALAHKAN ? ni… Kak iman petik dari Brita mingu kan? Up to date nye akak ni… Prkara ini dah lama diperkatakan.. Tapi tak salah nak ulang banyak2 kali.. Sebab prkara inilah yg harus kita bimbang. Bahkan pemerintah harus mmbendungnya. Pemerintah janganlah hanya meletakkan soal kebangsaan & prpaduan itu mnjadi keutamaan. Patutnya Quran & sunnah di atas prlembagaan. Hari ini Yahudi telah mmbawa kpd kita ‘4S’ iaitu Social, Sex, Smoke dan Sport. Tapi prkara utama yg dibincangkan kat sisi sudah tentulah Sex. Sya memang pantang kalau trdengar brita2 mcm ni. Valentine ke, maksiat ke, buang baby ke, etc.. Sapa yg harus diprsalahkan?? Saya rasa kita semualah yg harus diprsalahkan. Sebab ia bukanlah melibatkan pelakunya saja..

sodeyyy kannns..

Sesal dahulu pndapatan, sesal kemudian tiada brguna… Nasik dah jadi bubur kekasih Ina… Maaflah bahasa saya kurang menyenangkan anda dan Ina… Wahai kekasih Ina, suka buat, maka suka-rela lah menanggungnya ye?? … Ingat kekasih Ina ! Keseronokan seks itu hanya sementara, anda telah memaksa Ina berzina, maka anda adalah sejahat-jahat manusia…. Kepda Ina pulak, takde apalah…masa depan anda masih cerah lagi. Masih ada masa utk brtaubat dan kmbali ke pangkal jalan..begitu juga dgn teman lelaki anda tu… Jgn susah hati…. Its gonna be all right kalau anda brdua brtaubat !

en_me ni…. takde ayat lain ke??? hehehehe

Sebab tu usaha pertarbiyahan (didikan) perlu disokong dan digalakkan, bukan disekat2 atau dimomok2kan. Ramai yang terjebak tu, sebab mereka kurang didikan, terutama didikan keagamaan. Itu saja cara nya nak membendung masalah seumpama ini, beri mereka tarbiyah tentang kesyumulan dan keindahan Islam, tentang kenapa Islam lebih pada kaedah ‘menghindar dari merawat’ insyaAllah, mereka akan terpelihara dari terus terjebak.

Ahmad Zafir siapa yang harus di persalahkan? wah saya sendiripun tak tau nak bagi komen nih. Saya rasalah Ahmad Zafir tuan empunya dirilah. tidak ada ibu bapa yang hendak anak mereka jadi begitu. Ada ibu bapa yang memberi pendidik ugama secukupnya. Tetapi kerana nafsu sudah menguasai akal maka inilah jadinya. Bukankah di larang lelaki perempuan berduaan? yang ke tiga tu adalah syaitan musuh utama kita. Semoga menjadi pengajaran untuk semua remaja2 di luar sana dan menghindarkan diri dari melakukan perbuatan yang terlarang……..

Saya setuju komen Kak Meen….

En me…sedih kerana semua ini berlaku kepada remaja islam..

Kronologi peut kempis menjadi bulaT seperti cerita di atas:

Mula2 chatting cari lelaki/prempuan

” kita dating ah kat mana-mana tempaT ”
Bila dah jumpa mula2 mstilah dok stempaT
Masa brkenalan tuh maka duduk rapat-rapaT
Pas tuh tangan berjabaT
Lama2 bila dah makin mesra peluk erat-eraT
Nafas pun naik trsekat-sekaT
Bila nafsu menguasai akal usah dipdulilah Allah & malaikaT
Sekali gus jangan dipedulilah agama & adaT
Yg pnting sekarang apa yg kita buaT
Lepas buat, setahun dua perut si gadis kempis menjadi bulaT
Lepas lahir anak tu takut malu maka dibuanglah ia merata tmpaT

Inil adalah salah satu puncanya perut2 mereka menjadi bulaT

Wah ni pinjam kata-kata bro akhil hayy kan..

jaga batasan pergaulan insyaAllah selamat

insya Allah ibu bapa kena memainkan peranan dalam soal ini.

kadg2 parents dah bgi didikan agama yg ckup pun,remaja ni bleh terjebak…bile dah blaja jauh dr family,jmpa kawan2 yg macam2 ragam,memg mudah terjebak..rasa nak mencuba,tambah lgi di usia muda… i
stilah yg saye slalu gunakan dgn kawan saye,’tengah nak naik’.sepatutnya parent mesti ambik tau anak die pergi mana,tanye khabar selalu kalu anak tu blaja jauh dr mata…
guna 3G kew… ape guna teknologi skarang lau xmanfaatkan…
parents xblh percayakan anak2 100% bile mcm2 kes yang terjadi skrg…
kepada remaja2 yg dalam lingkungan pengaruh negatif ni,baik la menjauhkan diri drp terjebak..keseronokan yg korg cari tu hanya sementara dan akhirnya yang ada hanya penyesalan xsudah…saya bercakap dari pengalaman dan sy juga student ipts…slalu dengar tengak perkara2 camni..
so,pilihlah kawan2 yg betul dan pikir dulu kesannya sebelum buat…

pokok pangkalnya diri kita sendiri…pilihlah kekawan yang baik…tinggalkan kekawan yang boleh merosakkan kita.ttp remaja2 ni ingin mencuba sesuatu yg baru dan tidak pk panjang…bila dah kena baru menyesal tak sudah…tu lah kena kuatkan iman…banyak bergaul dengan orang yg baik..dan soleh…pergi majlis ilmu..kuliah agama, baca buku2 ilmiah…jauhi sesuatu yg membuatkan mendorong utk mencuba….sibukkan diri dengan benda2 yang berfaedah…

ibu bapapun kena menaruh curiga kepada anak…tak kiralah lelaki ke perempuan…jadikan anak2 sahabt baik insya allah anak2 akan lebih dekat dgn kita dan mungkin kalau nak buat sesuatu tu akan pk emak ayah dia…tp pengaruh dari kekawan tu yg tak tahan…dan godaan nafsu tu yang membuatkan anak2 terjebak. Saya ni anak baru 14 tahun tp risaunya tak terkira…budak2 umur baya ni pun memang teruk zaman sekarang ni…nau uzubillah…mohon di jauhi dari perkara2 yg tak baik….

Siapa yg harus diprsalahkan?….

Mereka dan keluarga mereka..

Macam kenal je dialog tu…

dialog Ahmad Zafir lah kot

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kalendar

April 2009
I S R K J S A
« Mac   Mei »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Blog Stats

  • 848,179 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada
%d bloggers like this: