bila hatiku berbicara

Kehebatan budu Kelantan

Posted on: Mei 7, 2009

Sos ikan bilis yang diperam hingga hancur telah lama menjadi kegemaran masyarakat Pantai Timur. Kini makanan tradisional itu mendapat kebanggaan baru – dipeketkan dan dijadikan produk kecantikan.



BUDU sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan. Dikatakan, hampir setiap keluarga di negeri itu mempunyai sekurang-kurangnya sebotol budu di dapur mereka.

“Walaupun keluarga saya berketurunan Cina, namun kami selalu makan budu bersama ikan bakar dan ulam-ulaman,” akui Tan Chia Ying, 22.

Beliau yang tinggal di Kampung Panji, Kota Bharu, tidak malu mengaku makan budu sejak kecil. Keluarganya sering menyediakan budu yang diperah limau nipis dan dicampur cili api dan bawang.

“Bukan sesuatu yang ganjil sekiranya melihat masyarakat Cina di Kelantan makan budu. Malah ramai kenalan saya yang berketurunan Cina meminati budu,” katanya yang berkulit putih gebu.

Kartilawati Subari, 40, pula berkata, beliau sentiasa menyimpan bekalan budu di rumahnya untuk dihidangkan kepada keluarga.

Terang beliau, walaupun budu merupakan makanan tradisional namun ia mempunyai banyak khasiat tetapi kurang didedahkan.

“Budu dikatakan menyumbang kepada kecantikan dan awet muda,” ujarnya sambil tersenyum.

Bagi seorang usahawan, Mat Ismail, 57, permintaan budu yang tidak pernah putus itu adalah satu idea perniagaan yang hebat.

Pada tahun 1978, Mat mula membuat budu secara kecil-kecilan di belakang rumahnya di Kampung Geting, Tumpat dengan bermodalkan RM1,500. Beliau menubuhkan syarikat Perusahaan Warisan Ketereh dan menggunakan biji ketereh sebagai tanda niaganya.


BUDU Ketereh yang diusahakan Mat Ismail turut digunakan sebagai agen antipenuaan dalam produk kosmetik.


Selepas 30 tahun, ternyata budu telah memberi banyak kebanggaan kepada beliau.

Ia bukan semata-mata kerana beliau kini tinggal di rumah banglo dan memandu kereta Mercedes Benz.

Sebaliknya, Budu Ketereh beliau menjadi budu pertama negara ini yang diiktiraf sebagai harta intelek. Kejayaan itu dicapai pada tahun 2007.

Berikutan pengiktirafan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM) itu, Budu Ketereh kini dilindungi mengikut Akta Perlabelan.

Budu Ketereh juga digunakan oleh Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) untuk menghasilkan produk kosmetik.

Buat masa ini, Mat mempunyai sebuah kilang budu di atas tanah seluas 0.8 hektar dengan dibantu 40 orang pekerja.


SOS budu terhasil selepas enam bulan dibiarkan di dalam tong pemeraman.


Empat daripada lapan anaknya hasil perkahwinan dengan Kamariah Hussein, 45, turut melibatkan diri dalam perniagaan itu.

Menurut Mat, proses membuat budu adalah ringkas iaitu hanya mengunakan ikan bilis, garam dan gula.

Katanya, kerja memproses budu dimulakan dari bulan Jun hingga November kerana ia merupakan musim ikan bilis.

IKAN bilis merupakan ramuan utama budu.



ADAKAH rahsia kehalusan kulit wanita Kelantan kerana mereka mengambil budu setiap hari?


“Dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan dan pengasingan ikan bilis dilakukan oleh pekerja di bahagian pelantar kilang yang dibina di tebing sungai sebelum diangkut ke darat.

“Ikan bilis itu digaul dengan garam dan diperam selama enam bulan di dalam tong gentian kaca atau dalam kolah yang diperbuat daripada simen,” katanya yang kini memiliki 20 buah tong gentian kaca berukuran 1.2 meter tinggi dan 2 meter lebar.

Khabarnya, Mat merancang untuk membeli 200 buah tong lagi.

Penggunaan tong gentian kaca disarankan oleh Sirim bagi meningkatkan kebersihan produk berbanding kolah simen.

Bulan Disember hingga Mei pula adalah masa untuk memasak, menapis dan membotolkan makanan itu.

Selepas budu dimasak, ia ditapis dan disejukkan selama beberapa jam sebelum dibotolkan menggunakan tenaga mesin dan manusia.

Secara purata, kilang Budu Ketereh mampu mengeluarkan 12,000 botol budu sehari untuk memenuhi pasaran di seluruh Malaysia.

Bekalan bilis makin kurang

Bagaimanapun, Mat mengakui kekurangan ikan bilis menyebabkan pengeluaran budunya agak terhad.

Secara purata beliau memerlukan bekalan ikan bilis sebanyak tiga hingga empat tan sebulan, namun bekalan yang diperoleh sejak kebelakangan ini sekitar satu tan sahaja.

“Saya terpaksa membeli ikan bilis dari Sabah untuk memenuhi permintaan.

“Ikan bilis di perairan negara kita semakin berkurangan dan pada masa yang sama banyak kawasan pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara,” katanya yang menambah budu yang baik bergantung pada kualiti ikan bilis yang dibekalkan.

Pada awal tahun ini, Mat membeli sebuah mesin pembungkusan baru berharga RM45,000 untuk memasarkan budu dalam bentuk peket.

Budu yang diusahakan oleh Mat Ismail merupakan budu yang pertama di negara ini yang dimodenkan penampilannya hasil bantuan Sirim dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC).

Menurut Mat, idea untuk memasarkan budu di dalam peket muncul selepas beliau mendapati kebanyakan produk seperti kopi segera kelihatan lebih moden dan ringkas apabila dipeketkan.

“Selain itu, budu yang disimpan di dalam botol agak sukar dipasarkan ke negara luar kerana ia tidak boleh dibawa dengan kapal terbang.

“Dengan pembungkusan menggunakan teknik lebih canggih, saya berharap Budu Ketereh mampu menembusi pasaran antarabangsa sedikit masa lagi,” katanya.

Mat berkata, mesin pembungkusan baru itu mengeluarkan budu dalam dua peket berbeza iaitu kandungan 20 mililiter dan 80 mililiter. “Dalam sehari mesin itu boleh mengeluarkan lebih 1,000 peket budu,” katanya.

Budu cerahkan kulit dan antipenuaan

RAUT wajah Penyelidik Kanan Alam Sekitar dan Bioproses, Pusat Teknologi Sirim, Hamidah Sidek kelihatan seperti gadis 20-an walaupun umur sebenarnya adalah 40 tahun.

Apabila ditanya rahsia awet mudanya, graduan dalam bidang pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau pada mulanya menggunakan produk kecantikan terkenal.

“Namun kini saya beralih kepada makan budu setiap kali makan tengah hari dan makan malam,” katanya.


HAMIDAH menunjukkan produk kosmetik dengan jenama BK yang turut mengandungi budu.


Menurut Hamidah, dalam kajian yang dilakukannya selama dua tahun bersama 10 penyelidik Sirim yang lain, makanan tradisional itu mampu mengekalkan wajah muda seseorang.

“Proses penapaian budu menguraikan bahan organik kepada peptida dan asid amino yang menyumbang kepada rasa dan aroma lazat serta mempunyai nilai kosmetik.

“Ia berkesan sebagai agen mencerahkan kulit dan antipenuaan. Semua ini berlaku kerana ekstrak marin daripada budu berupaya melawan radikal bebas, merangsang pertambahan sel kulit dan menggalakkan penghasilan kolagen.

“Ia juga mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari,” terang beliau yang telah melakukan kajian makmal dan ujian ke atas 25 individu.

Sebahagian besar individu yang diuji mendapati wajah mereka semakin cerah, bintik jerawat berkurangan dan menyelesaikan masalah kulit berminyak.

Produk kosmetik budu Sirim terbahagi kepada tiga iaitu pembersih dan penyegar, krim kulit dan serum kecantikan kulit. Ia menggunakan jenama BK iaitu Budu Kelantan atau Budu Ketereh.

“Walaupun hanya satu peratus ekstrak budu digunakan sebagai bahan asas kosmetik tetapi ia berkesan kerana komponen itu sudah cukup untuk memberi khasiat kepada pemakainya.

“Malah kami kini mengkaji potensi tempe sebagai produk kosmetik,” katanya.

Hamidah berharap produk BK akan mendapat sambutan daripada pengguna kelak sebaik sahaja Sirim bertemu syarikat yang berminat untuk mengedarkannya. – MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Kata saya: Walaupun saya anak jati Kelantan sampai ke hari ini saya belum mencuba lagi produk kosmetik berasaskan budu. Nampak gayanya lepas ni nak makan budu baliklah hehehe. Almaklumlah budu ni kalau nak makan kena satu keluarga makan baru sedap. Tetapi kalau cuma kita sorang saja yang makan memang tak sedap. Yang saya hairan abang saya yang di besarkan dengan makan budu dari kecil lagi boleh dia tinggalkan budu untuk selamanya. Nampaknya anak saya dah pandai makan budu bila tinggal di Kelantan.

My hubby tak makan budu jadi saya malas nak makan sorang. Lepas ni nak makan budu balik lah. Budu ni sedap kalau kena caranya. Sepupu saya suaminya orang Jawapun pandai makan budu, tetapi suami anak buah saya yang khawin dengan orang Acheh tak pandai makan budu.  Pendek kata orang pantai timur kalau tak ada budu memang tak lengkap lah. Kelantan, Trengganu dan Pahang.  Hah kepada kekawan semua belajarlah makan budu kalau nak kulit cantik boleh caya ke…cubalah try.

Advertisements

12 Respons to "Kehebatan budu Kelantan"

saya orang jawa klang selango, dulu masa mula2 kawin tengok suami makan budu rasa nak …….. satu hari masa saya mengandung saya teringin nak cuba,bila sumi sy pg kerja sy pun curi2 rasa,rupa2nya memang sedap sy letak cili api dgn asam limau ckit.xsedar sy belasah 2pinggan nasi dgn ulam tenggek burung.bila makan malm suami sy tgk saya makan sampai dia takut dan ckp kena sampuk budu ke.sampai skrg umur anak sy dah 5thn saya jdkan hidangan wajib setiap hari walaupan ada smbl blcn ke smbl tmpoyak ke budu tetap pilihan ku.anak anak sy pun suka.kalau x de mesti x de selera nak makn.siap impot budu dari kelantan lg.bila blk kg mesti beli 24 btl mcm nk berniaga pulak ya.sebenarnya mak sy pun dah ketagih juga.ayah saya org melaka pun makan juga lagi2 dgn petai x ingat orang katanya.itulah keenakan budu.niat di hati nak jugaa menerai produk kecantikan ni tapi x tau nak dapatkaqn kat mane.kalau sesapa yang tahu tu tlg info pd saya ya tq.

hehehe lisa..ramai dah orang dari luar selain dr pantai timur pandai makan budu ni….pelengkap untuk buka selera..sambal belacan..budu,cengcaluk..kena pulak kdengan ikan bakar…jangan kata mak mertua lalu…hantu lalupun tak nampak hahahah…tak payah pakai prduk makan teruskan senang hihihi…

Assalamu’alaikum dan selamat hari ibu kat Kak Nuriman dan semua manusia2 yg brgelar ibu… Tiada budu yg paling hebat di malaysia kecuali budu kelantan atau ‘superbudu’

Waalaikumusalam Zafir…dah lulus komando dah? Ya budu kelantan memang superbudu..zafir makan budu ke eh? ya hari2 adalah hari ibu…

Tapi saya tak gemar budu. Makcik saya sangat suka. Ya, tak payah tunggu 10 May. Hari ibu ni selalu ada (kecuali ibu ayam)..

ala try lah zafir makan budu bukan anak berudu kekeke…

Saya blom try lagi lah budu ni..tapi dengar semua kawan cakap budu sangat sedap,rasa nak coba pula.tapi kat mana nak beli kalau kat KL ni ya?
Saya dah cari kat pasaraya-pasaraya yang ada kat KL ni tak jumpa pula.

beli kat pantai dalam pasaraya halal metamorf..kalau kat car4 nampak macam lama..budu ni memanglah sedap di makan bagi yg tidak berpenyakit resdung..macam sy ni kalau makan banyak2 sakit tekak, gatai hidung dan tu petanda kena berhenti m akan budu. ni pun duk tengah gatai tekak sebab pulun budu masa balik kg.

sis boleh x send kan saya nama kilang budu di kelantan nie…as soon as posible…

tuanhafis@primeworks.com.my p/s minta maaf saya pun tak tahu kat ner kilang budu …cuba hubungi saudara hafis…..

dekat kg,geting,tumpat…

boleh x send kan saya nama kilang budu di kelantan nie…as soon as posible…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kalendar

Mei 2009
I S R K J S A
« Apr   Jun »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Blog Stats

  • 840,659 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada
%d bloggers like this: