bila hatiku berbicara

Archive for Ogos 2009

Bersalin cara Caesarean

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

KELUAR ikut pintu atau tingkap? Ini antara kiasan orang tua dulu apabila diberitahu mengenai kedatangan anggota baru dalam keluarga.

Keluar ikut pintu maknanya bersalin normal, dan ikut tingkap pula menandakan bayi dilahirkan secara pembedahan. Bagi kebanyakan wanita, pembedahan pilihan terakhir yang hanya dipersetujui jika terpaksa.

Bagaimanapun, ada juga wanita memilih untuk melahirkan anak secara pembedahan, terutama bagi yang percaya kepada tuah satu-satu tarikh atau mahukan tarikh lahir anak yang ‘cantik’; contohnya ramai menempah melahirkan anak pada 8 Ogos 2008.

Kaedah pembedahan atau dipanggil hirisan Caesarean adalah cara melahirkan bayi melalui dinding abdomen (perut) dan rahim (uterus) yang dilakukan apabila ada risiko ke atas bayi atau ibu itu sendiri jika bersalin secara normal.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, jumlah kelahiran secara pembedahan juga meningkat daripada satu kes bagi 20 kelahiran (40 tahun lalu) kepada satu kes bagi setiap empat kelahiran.

Perubahan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pakar perubatan yang melihat pembedahan bersalin dilakukan walaupun tidak diperlukan (atas permintaan untuk faktor kecantikan atau mahukan tarikh lahir yang disukai); sedangkan sepatutnya untuk tujuan perubatan.

Di Malaysia, permintaan untuk bersalin secara pembedahan mungkin tidak sebanyak di Barat. Dalam kebanyakan kes, peluang bersalin secara normal adalah tinggi dan dianggarkan kes pembedahan bersalin di hospital kerajaan kurang 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kelahiran.

Untuk wanita yang pertama kali mengandung, antara tanda tiba waktu bersalin ialah air ketuban pecah, ada sedikit pendarahan dan sakit kontraksi.

Secara umumnya, 80 peratus wanita bersalin secara normal dalam tempoh 24 jam selepas mengalami tanda berkenaan.

Jika air ketuban pecah, wanita perlu segera ke hospital supaya doktor boleh memantau keadaannya, termasuk memeriksa jika berlaku pendarahan atau kehadiran najis bayi di dalam rahim.

Seandainya wanita masih tidak melahirkan anak selepas mengalami tanda, doktor akan memberi ubat induksi untuk mempercepatkan pintu rahim terbuka bagi membolehkannya bersalin secara normal.

Bagi wanita sihat, tidak menghadapi masalah dengan kandungan dan merancang bersalin normal, mereka perlu tahu serba sedikit mengenai pembedahan jika berlaku kejadian tidak dijangka, kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Noor Fidak Samsudin.

Pembedahan bersalin boleh dilakukan ketika kandungan berusia 38 minggu (bayi dalam kandungan cukup matang). Bagaimanapun, seseorang wanita boleh bersalin dua minggu awal atau dua minggu lewat, tertakluk kepada keadaan setiap individu. Sebelum pembedahan, wanita disyaratkan berpuasa sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam.

Pembedahan bersalin boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

a. Elektif — Pembedahan dirancang dari awal. Antara perkara menyebabkan pembedahan ialah:

  • Masalah plasenta previa iaitu kedudukan uri di bawah rahim, berhampiran saluran kelahiran yang boleh mengakibatkan wanita bersalin awal atau berlaku pendarahan
  • Kedudukan bayi songsang atau melintang apabila dekat tarikh bersalin
  • Mengandung anak kembar
  • Masalah kesihatan yang boleh menjadi buruk jika bersalin normal seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi atau kencing manis yang tidak terkawal
  • Ibu mendapat jangkitan yang boleh diberi kepada anak jika bersalin secara normal
  • Ibu pernah bersalin secara pembedahan dan berdepan masalah sama; atau apabila doktor bimbang parut pada rahim akibat pembedahan lalu akan pecah atau koyak
  • Atas kehendak wanita dan pasangan berdasarkan sebab tertentu. Doktor akan menerangkan kekurangan dan kelebihan bersalin secara bedah. Pembedahan hanya dipersetujui selepas si ibu faham kedudukan sebenar dan sanggup menerima risiko yang mungkin dihadapib. Kecemasan
  • Proses kelahiran terlalu perlahan atau berhenti
  • Bayi lemas
  • Wanita menunjukkan tanda bersalin sebelum tarikh yang dijangka
  • Bayi menunjukkan tanda tertekan seperti degupan jantung terlalu cepat atau perlahan
  • Masalah plasenta (uri) atau tali pusat yang boleh membahayakan bayi
  • Bayi terlalu besar untuk dilahirkan secara normal; biasanya berat bayi melebihi empat kilogram
  • KemalanganMenurut Dr Noor Fidak, wanita yang ada masalah kesihatan perlu memastikan penyakit mereka sentiasa dalam keadaan terkawal sebelum merancang untuk hamil. Ini kerana ketika hamil, penyakit dihidapi lebih ‘terserlah’, contohnya kencing manis dan tekanan darah tinggi.

    “Apabila anda disahkan mempunyai kencing manis ketika hamil, risiko untuk bayi menjadi besar adalah tinggi dan jika bayi melebihi empat kilogram, pembedahan perlu dilakukan.

    “Ada kalanya doktor perlu menjalankan induksi iaitu memberi ubat bagi merangsang pintu rahim untuk terbuka dan memudahkan kelahiran apabila usia kandungan memasuki 38 hingga 40 minggu.

    “Bagi wanita yang ada masalah tekanan darah tinggi yang terkawal, biasanya mereka diberi induksi apabila kandungan cukup 38 minggu.

    “Sebaliknya, jika tekanan darah tinggi tidak terkawal (terlalu tinggi) dan si ibu dilihat hampir mengalami sawan, dia perlu segera dibedah bagi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi,” katanya.

    Mengalami kencing manis ketika hamil adalah petanda kurang baik. Biasanya doktor membuat pengesahan semula selepas tamat tempoh berpantang dan jika wanita berkenaan tidak menjaga kesihatan dengan baik, peluang menghidap kencing manis adalah tinggi selepas bersalin.

    “Wanita yang hamil selepas berumur 40 tahun ke atas mempunyai banyak masalah kesihatan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau sakit jantung dan jarak dengan kehamilan terakhir agak jauh, maka risiko bersalin secara pembedahan adalah tinggi walaupun anak terdahulu dilahirkan secara normal.

    “Banyak juga kes wanita yang dijadualkan bersalin normal tetapi perlu menjalani pembedahan kecemasan pada saat akhir. Ini berlaku apabila uri tersangkut atau tersekat, bayi terlalu besar, bayi dalam kedudukan songsang, air ketuban pecah atau bayi buang air besar.

    Najis bayi boleh menyebabkan keracunan dan bayi boleh mengalami komplikasi atau meninggal dunia jika tidak dibedah segera.

    “Selain itu, jika seseorang wanita mengalami kontraksi tetapi pembukaan pintu rahim terlalu perlahan atau terhenti dalam tempoh empat jam sedangkan ketuban pecah, pembedahan perlu dilakukan segera kerana bimbang bayi lemas.

    “Namun biasanya doktor memberi tempoh satu jam untuk pintu rahim terbuka sepenuhnya iaitu seluas 10 sentimeter. Sebaliknya, jika pintu rahim terbuka penuh tetapi bayi masih tidak dapat dilahirkan secara normal, doktor juga akan menjalankan pembedahan kecemasan,” katanya.

    Walaupun secara umumnya doktor menggalakkan wanita bersalin secara normal tetapi dalam keadaan tertentu wanita disaran bersalin secara pembedahan, khususnya jika mengandung anak kembar dan kandungan diperoleh melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).

    Bagaimanapun, kata Dr Noor Fidak, keputusan akhir tertakluk kepada kedudukan bayi pada hari bersalin.

    Jika bayi pertama dalam kedudukan normal iaitu kepala di bawah, si ibu boleh bersalin secara normal walaupun bayi kedua dalam kedudukan songsang atau melintang.

    Ini kerana selepas bayi pertama dilahirkan, bayi kedua mempunyai banyak ruang untuk dibetulkan kedudukannya dan ditarik keluar.

    Jika bayi pertama dalam kedudukan songsang atau melintang, maka perlu dibedah.

    Komplikasi bersalin secara bedah

    Meskipun mempunyai kemudahan perubatan moden dan pembedahan adalah selamat, ia masih ada risiko komplikasi. Antara komplikasi yang mungkin dialami ibu ialah:

  • Kesan ubat bius (terutama yang menerima bius penuh atau menyeluruh)
  • Risiko berlebihan ubat bius (biasanya pada wanita terlalu gemuk yang diberi bius menyeluruh)
  • Jangkitan pada luka pembedahan
  • Luka pada organ bersebelahan rahim
  • Kehilangan banyak darah
  • Mual, muntah dan sakit kepala (disebabkan penggunaan ubat bius dan prosedur pembedahan)
  • Luka lambat sembuh
  • Risiko bekas luka pada rahim pecah pada kehamilan seterusnya
  • Kematian (jarang berlaku. Bagi pembedahan yang dirancang, kadar kematian sangat rendah iaitu hanya enam dalam 100,000 pembedahan; manakala kematian akibat pembedahan kecemasan lebih tinggi iaitu 18 dalam 100,000 pembedahan bersalin)
  • Mengehadkan saiz keluarga. Biasanya doktor hanya membenarkan seseorang wanita bersalin secara pembedahan tiga kali. Bagaimanapun, ada juga kes wanita dibenarkan mempunyai anak melebihi empat atau lima melalui pembedahan) jika dia menjaga kesihatannya dengan baik. Namun kes begini sangat jarang berlaku.Ini untuk mengurangkan risiko parut pada rahim pecah. Apabila dibedah, dinding rahim ditoreh bagi membolehkan bayi dikeluarkan.

    Luka meninggalkan parut. Bahagian berparut agak lemah dan boleh pecah. Sebab itu anda perlu memberitahu doktor jika pernah bersalin secara bedah apabila mengandung lagi.

    Risiko pada bayi:

  • Kecederaan ketika dilahirkan
  • Perlukan penjagaan khas di unit penjagaan rapi
  • Paru-paru tidak matang (disebabkan kesilapan pengiraan tarikh jangkaan kelahiran)
  • Bayi tidak mendapat perlindungan yang diperoleh melalui bersalin normalPun begitu, bersalin secara bedah juga ada kelebihannya, iaitu wanita kurang berisiko mengalami masalah prolaps (rahim jatuh) dan tiada luka pada pintu rahim.

    Penjagaan

    Biasanya seseorang wanita dibenarkan balik ke rumah selepas tiga hingga lima hari dibedah. Kebanyakan wanita mengambil masa sekurang-kurangnya empat minggu untuk sembuh sepenuhnya.

    Bagi wanita bersalin normal, biasanya mereka dibenarkan balik pada hari pertama atau kedua selepas bersalin dan kembali meneruskan rutin hariannya selepas dua minggu.

    Bagi masyarakat kita, wanita akan berpantang selama 44 hari untuk memastikan luka bersalin benar-benar sembuh dan kembali bertenaga.

    Dr Noor Fidak berkata, bersalin secara pembedahan memerlukan lebih penjagaan berbanding bersalin normal. Wanita perlu banyak berehat untuk mempercepatkan proses penyembuhan, tetapi ini bukan bermakna mereka boleh duduk goyang kaki sepanjang masa.

    Wanita perlu berehat daripada melakukan kerja berat, tetapi pada masa sama kena banyak bergerak seperti berjalan di dalam rumah.

    “Lebih banyak anda bergerak dan berjalan, luka pembedahan lebih cepat sembuh kerana ia merangsang aliran darah ke seluruh badan, termasuk di perut. Selain itu, jangan angkat barang berat, benda paling berat yang boleh diangkat ialah bayi.

    “Boleh juga memakai bengkung ringkas untuk memberi sokongan kepada tulang belakang dan pinggul. Namun jangan pakai terlalu ketat sehingga boleh mengganggu aliran darah.

    Lapik sehelai kain kapas di bawah bengkung untuk menyerap peluh dan mengelak jangkitan. Untuk pembedahan lain pun, wanita boleh pakai bengkung bagi merapatkan luka,” katanya.

    Selain itu, perhatikan jika ada jangkitan (nanah) dan jika ada, segera ke klinik atau hospital untuk dibersihkan.

    Wanita juga digalak menyusukan bayi secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan kerana proses ini juga boleh membantu mengecutkan rahim dan mengeratkan hubungan ibu dan anak.

    “Menyusukan anak juga boleh menjarakkan kehamilan. Sebaik-baiknya jarakkan kehamilan kepada dua tahun tetapi jika mengejar masa, terutama bagi wanita berusia, anda boleh hamil setahun kemudian, tetapi dengan syarat anda perlu menjaga kesihatan dengan baik.

    “Satu perkara penting yang perlu diingat ialah jangan ambil ubat sepanjang sembilan bulan hamil tanpa kebenaran doktor untuk mengelak kesan sampingan kepada bayi dalam kandungan dan komplikasi ketika bersalin.

    “Jangan perjudikan nasib bayi dan diri sendiri dengan mana-mana ubat, termasuk persediaan tradisional atau alternatif walaupun didakwa ada banyak manfaat,” katanya.

  • p/s berat Hafiz ketika di lahirkan 3.3 kg, kiranya anakku lahir terjun ikut tingkap bukan kerana dia besar, sebab baby lain lagi besar hingga 4 kg bersalin secara normal. Tetapi oleh masalah yang tidak di elakkan jalan terakhir terjun ikut tingkap. Pengelaman tu tak mungkin saya lupakan kerana saya sedar sepanjang proses itu. Saya rasa relax je sebab diorang semua yang bertungkus lumus untuk mengeluarkan bayi saya ketika itu. Sayapun di bius dari pinggang ke bawah sahaja.  Selepas bayi di keluarkan saya pengsan dan sedar dalam jam 11.00 pagi. Oleh kerana saya dan baby  tidak mempunyai apa-apa masalah saya cuma tinggal tiga hari saja di hospital lepas tu saya keluar.  Sepanjang di hospital saya tidak di temani keluarga kerana tidak di benarkan. Tidak kekok sangat sebab pernah melihat bagaimana kakak salinkan lampin anak-anak buah dll. Kalau dah anak kita apa-apapun boleh, yang kekok jadi tak kekok. Kini baby saya tu sudah besar, sudah 14 tahun dah. Kalau saya bersalin lagipun saya akan melalui cara  ini jugak. Tetapi erm entahlah rindu sangat nak peluk bayi…agaknya kena tunggu cucu lah gamaknya…..
  • Advertisements

    Skynet

    Posted on: Ogos 28, 2009

    Inilah pertama kali saya menggunakan perkhidmatan skynet untuk menghantar satu bungkusan kecil kepada anak saya di Kota Bharu.  Sebelum ni saya tak pernah hantar apa-apa dengan skynet. Tetapi oleh sebab-sebab yang tak dapat saya elakkan ianya terpaksa saya gunakan juga.


    25.8.2009 Jam 5 petang budak pickup barang datang kat rumah mengambil barang tu.

    26.8.2009  saya tracking melalui web tak ada nombor airwa bill, bermakna anak saya masih belum terima barang tu. Lalu  suami saya telefon pejabat skynet kat PJ. Tanya kenapa barang yang di hantar belum di terima lagi. Berbagai alasan diorang bagi, nak telefon KB tak berjawab. Apa punya syarikat tak kan takde no telefon kot, tak kan hanya ada satu talian sahaja? Kami try telefon skynet KB nombornya seperti tidak ada dalam  perkhidmatan senyap sunyi je telefonnya.  Adalah dua tiga talian tapi semuanya mengecewakan. Kalau di tukar baru kenapa tak letak kat web tu?

    Telefon lagi skynet PJ , diorang kata tak apa kami siasat. Diorang kata nak telefon tapi tunggu punya tunggu takde apa-apa lagi. Bila di telefon cakap benda yang sama.

    27.8.2009 Kami  telefon lagi, kes ni dah di bawa ke ibu pejabat skynet, telefon diorang kat sana, kata kakitangan skynet kat KB tak cukup kakitangan? Kalau tak sampai sabtu hari ahad? Apa punya skynet saya  pernah terima barang orang hantar petang, pagi esok dah terima. Barang tu dah ada di KB. Diorang suruh anak saya pergi ambil kat KB. Kitorang kata budak tu pelajar nak keluarpun bukannya senang, mana ada kenderaan? Lagipun kita bayar untuk sampai kedestinasi bukannya nak kena pergi ambil. Dia kata barang tu ada tak hilang, tetapi penghantar tu pergi tempat lain dulu.

    28.8  hari jumaat cuti tunggu 29.8 pulak hari ni lah. Hari ni telefon lagi kalau tak di terima jugak nampak sangat skynet KB ni terlalu lembab(maaf lah tak kena diri sendiri tak tahu bagaimana rasanya). Barang tu dah sampai 26.8 pada jam 10.00 pagi di KB. Lepas pagi petang diorang kata nak hantar tetapi tak sampai-sampai jugak. Kesian anak saya menanti. Mungkin orang ingat benda tak penting tetapi kalau ianya penting bagi orang lain segerakanlah. Jangan buat orang tertunggu, saya rasa ini pertama dan terakhir guna  skynet. Bukan saya tak pernah terima barang dengan skynet dari Johorpun pernah tempat lainpun pernah.  Hantar petang pagi sampai, kalau lewatpun dalam pukul 10.00-11.00 pagi. Kalau takpun tengahari sampai . Ni berhari-hari apa cerita???? Adakah hanya seorang sahaja penghantar? Adakah kerana barang kecil di pandang remeh( tetapi anak saya sangat-sangat memerlukannya)? Memanglah bukannya senang nak cari orang yang amanah ni. Tapi tak kan kot sampai lama begitu? Kalau tau macam tu hantar pos laju je, tapi dah nak cepat. Seriklah rasanya…………harap-harap hari ni selamat sampai kedestinasi…..



    Azamin Amin
    Wed | Aug 26, 09 | 10:44:28 am MYT
    KUALA LUMPUR, 26 Ogos : Kerajaan mesti melihat isu arak secara keseluruhan, tidak menghukum orang awam sahaja tetapi tauke, tokoh politik dan pemimpin yang berada di belakang kilang dan premis perniagaan arak juga mesti dikenakan tindakan.

    Apa yang berlaku kini, hukuman hanya dikenakan ke atas ‘ikan bilis’ sahaja apabila melakukan kesalahan seperti minum arak sedangkan orang-orang yang berkepentingan khususnya yang beragama Islam yang ‘menjana’ industri arak ini terlepas begitu sahaja.

    Demikian ditegaskan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abdin kepada Harakahdaily pagi ini, ketika diminta mengulas hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno yang dihukum kerana minum arak.

    “Sebenarnya hukuman sebat yang dijatuhkan mahkamah itu ‘mendekati’ hukuman Islam sungguhpun ulama berbeza pendapat tentang jenis hukuman dan bilangan sebatan.

    “Namun saya puji sikap Kartika kerana akui kesalahannya dan tidak membantah hukuman yang dikenakan.

    “Sepatutnya kita puji dia tetapi sehingga kini tidak ada satu tokoh politik atau pemimpin yang memuji tindakan Kartika ini, mungkin ada kepentingan dan jaga hati pihak tertentu…” katanya yang juga bersetuju, sekiranya Kartika merayu bagi meringankan hukuman.

    Padanya, prinsip hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah mesti jelas, dan soal rayuan, merupakan hak bagi pesalah untuk memohon meringankan hukuman. Image

    Beliau turut menjelaskan bahawa bukan semua yang meminum arak atau melakukan apa-apa maksiat itu membenci Allah dan rasul-Nya ataupun membenci Islam.

    Sungguhpun, maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seseorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya, katanya.

    Kartika seorang model sambilan di Singapura dihukum denda RM5,000 dan dikenakan enam sebatan kerana minum arak di sebuah hotel di Kuantan. Beliau sepatutnya menjalani hukuman itu sebaik sahaja ditahan di Penjara Kajang bermula semalan.

    Bagaimanapun hukuman itu ditangguhkan dengan alasan hukuman rotan hanya boleh dilaksanakan selepas bulan Ramadhan.

    Dalam pada itu Dr Asri dukacita dan mengkritik sikap mahkamah syariah yang dilihat begitu ‘cepat’ menyelesaikan kes Kartika, sedangkan kes-kes seperti cerai, talak, penderaan dan pembahagian harta pusaka yang melibatkan wanita, mengambil masa yang lama untuk diputuskan atau dijatuhkan hukuman.

    “Janganlah ketika wanita bersalah, dihukum begitu cepat tetapi bila wanita dianiaya, ditangguhkan. Hukuman dan tindakan mesti adil malah ianya mesti dilihat berlaku adil.

    “Kita memuji langkah mencegah mungkar tetapi yang paling penting ialah penegasan hukuman supaya menjadi contoh kepada yang lain dan dilihat adil,” katanya yang kini sudah seminggu berada di Malaysia, sekembalinya daripada pengajiannya di London.

    Beliau juga kecewa dengan sikap media barat seperti CNN yang cuba mengaangkat isu hak asasi manusia untuk minum arak sedangkan agama mempunyai hukuman dan peraturan yang tertentu bagi mendefinasikan kebebasan penganutnya agar tidak melakukan perbuatan yang menyalahi agama sekaligus menjaga masyarakat akibat tabiat buruk arak.

    Seorang pakar motivasi Dr. Danial Zainal Abidin dalam Program TV9 Halaqah minggu lalu, turut mengupas keburukan akibat meminum arak, yang jelas mempunyai sebab-sebab utama Allah SWT mengharamkan dalam al-Quran.

    “Arak menyebabkan sebarang mesej atau maklumat tidak sampai ke otak. Arak menyebabkan pertimbangan tubuh badan tidak seimbang. Ia mengundang pelbagai penyakit dan bahaya.

    “Mengikut kajian, arak merupakan pembunuh nombor satu bagi remaja di Eropah dan penyebab utama masalah rumah tangga di Britian. Jika mereka kata ini hak asasi dan arak sebagai penyelesai masalah…fikirkan kembali” kata Daniel merujuk kepada kajian perubatan dan WHO.

    Dengan kajian itu katanya, membuktikan hukuman dan tindakan agama Islam melarang penganutnya meminum arak, adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan masalah-masalah masyarakat dan punca gelaja sosial yang semakin membarah kini.

    (Sebarang kritikan dan pandangan  boleh di majukan kepada saya di azamin@yahoo.com)

    P/s  Arak hanya untuk orang bukan islam sahaja, orang islam tak payahlah nak menerai minum, kan air lain banyak lagi.  Teringat ceramah Ustaz Shamsuri katanya orang yang ketagih arak ni kalau tengok saja lori arak lalu ayaq liuq meleleh. Walau bagaimana saya puji sangat kat model ni.  Sekurang-kurangnya dia insaf  dan mengharapkan pengampuan dari Allah s.w.t. Dan menjadi ikhtibar kepada mereka-mereka di luar sana. Memanglah rasa kesian tetapi Kartika 1 dalam 1000 yang mengaku kesilapannya dan sanggup di sebat. Kalau kawan-kawan pernah mendengar ceramah dari Ustaz Ahmad Ismail dari Singapura tentang kisah anak Syaidina Umar memang terkesan di hati. Mungkin ada dalam Imeem dan cd atau vcd. Nak beceritapun terlalu panjang…

    p/s sebat sekali jerung-jerung di luar sana baru adil…




    Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

    ANTARA KEBERKATAN DALAM RAMADAN IALAH AMALAN BERSAHUR YANG DAPAT MENYIHATKAN BADAN. – Gambar hiasan


    TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.

    Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.

    Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)

    Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia… (al-Baqarah: 185)

    Kelebihan Ramadan

    Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: “Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari”.

    Bulan Ramadan dikenali dengan ‘bulan kesabaran’. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.

    Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: “Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga.”

    Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:

    lPertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.

    lKedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

    lKetiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.

    Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.

    Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: “Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain”.

    Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.

    Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami’, (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.

    Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.

    Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.

    Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: “Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya”.

    Kerana Allah

    Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :

    Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa.

    Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.

    Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.

    Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.

    Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: “Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku”.

    Sebahagian salafussoleh berkata: “Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya”.

    Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.

    Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.

    Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.

    Kedua: Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).

    Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

    Assalamualaikum kawan-kawan….

    Sempena dengan kehadiran bulan ramadhan yang bakal tiba dua tiga hari lagi. Saya ingin memohon ampun dan maaf andai selama ini saya ada menyinggung perasaan kawan-kawan, baik dalam penulisan atau didalam ruangan komentar.  Sebagai insan yang lemah tidak mungkin terlepas dari melakukan kesilapan. Yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t dan yang tidak baik itu datangnya dari kelemahan dan kekurangan saya. Wassalam..


    AKHIL mencium dahi isterinya, Waheeda selepas majlis akad nikah di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Baharu semalam.

    Ana dah kahwin

    Oleh Muhd Izawan Baharin, Syarifah Dayana Syed Bakri dan Md Fuzi Abd Lateh
    am@hmetro.com.my

    hepinya dia kena cium kat pak ustaz..

    KUALA KUBU BHARU: “Ana harap semua kemelut dan gosip dinoktahkan dengan ijab kabul. Ini (pernikahan) juga doa daripada kalian semua (wartawan),” kata penyanyi, pengacara dan penceramah bebas, Akhil Abdul Hai atau lebih dikenali sebagai Akhil Hayy selepas selamat diijab kabulkan dengan penyanyi Waheeda, semalam.

    Akhil, 40, menganggap pernikahan mereka sebagai ketentuan Allah selepas berdepan dengan pelbagai tohmahan sebelum ini.

    “Sebelum ini ana ada menyatakan senang dengan sikap dia (Waheeda) dan tuan punya dunia membuka pintu hati ana untuk kembali berumah tangga selepas berstatus duda.

    “Ana tidak boleh kata tiada perasaan cinta (kepada Waheeda) kerana Allah mencampakkan ke hati setiap manusia rasa kasih sayang dan ini satu amanah berat kepada ana, bukan saja untuk membimbing Waheeda malah keluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis akad nikah mereka di Majlis Jamek Ar-Rahimah di sini, semalam.

    Turut menyaksikan majlis ijab kabul itu ialah bapa Waheeda, Abdul Wahab Yusuf, 58, ibunya, Asri Othman, 58, ibu Akhil, Azizah Daud, 72, dan dua anak Akhil, Siti Nur Maisarah, 12, dan Mohd Syarif Idayatullah, 11.

    Pada majlis pernikahan yang dihadiri saudara terdekat itu, tiada wang hantaran diberikan, sebaliknya pihak lelaki menyediakan senaskhah al-Quran. Rombongan lelaki juga memberi tujuh dulang hantaran dan dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan.

    Majlis itu menjadi hiba apabila Waheeda menitiskan air mata ketika bersalaman dengan ibu bapanya selepas selamat diijab kabulkan.

    Akhil berkata, dia bersyukur kerana majlis itu berjalan lancar selepas banyak perkara ditempuhi, malah tidak menyangka ia dihadiri ramai saudara terdekat kerana cadangan asal mahu melaksanakannya secara kecil-kecilan.

    “Mulanya kami mahu melangsungkan majlis ini pada 21 Ogos bagi mendapat keberkatan Ramadan, tapi keluarga mahu ia diawalkan.

    “(Selepas ini) saya berharap semua peminat Waheeda dapat mendoakan kebahagiaan kami. Kami mahu menutup buku lama dan membuka buku baru,” katanya.

    Akhil bagaimanapun enggan memberi sebarang komen mengenai bekas isterinya, Maizawati Zainal, 33, dan terpulang kepadanya untuk berkata apa saja.

    Sementara itu, Waheeda pula menegaskan dia tetap meneruskan hasrat bersara dari dunia seni dan hanya akan menumpukan perhatian kepada anak serta keluarga.

    “Sebelum ini (pakar motivasi) Datuk Dr Mohd Fadzillah Kamsah ada menasihatkan saya bahawa dugaan yang lebih berat akan membuahkan ganjaran lebih besar daripada Allah.

    “Biarlah selepas ini orang nak cakap apa pun kerana banyak lagi perkara lebih penting dalam hidup ini. Saya hanya mahu menghabiskan masa dengan keluarga,” katanya.

    Mengenai hantaran senaskhah al-Quran, Waheeda berkata ia permintaan bapanya kerana itu pemberian paling lengkap.

    Mengulas penyakit yang menimpanya, Waheeda berkata, keadaannya teruk sejak tiga bulan lalu, namun ia kini beransur pulih.

    Pasangan itu akan mengadakan majlis persandingan pada 31 Oktober ini di Dewan Orang Ramai Bukit Jelutong, Shah Alam dan di tempat asal Akhil di Gopeng, Perak, seminggu kemudian.

    Kontroversi mengenai keretakan rumah tangga Akhil mendapat liputan meluas media massa akhir Mei lalu berikutan Maizawati membuat pendedahan terbuka menerusi program televisyen.

    Pasangan itu akhirnya bercerai pada 15 Julai lalu selepas Akhil melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak.

    16/08/2009 1:09pm
    OLEH MALIAH SURIP

    KUALA KUBU BARU – Penceramah bebas dan hos terkenal, Akhil Hayy bernikah dengan Nor Wahidah Abdul Wahab atau Waheeda, 30, pagi ini di Masjid Jamek Ar-Rahimah Kuala Kubu Baru, Selangor.

    Seramai 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga terdekat hadir memberi restu.

    Dua anaknya, Siti Numaisarah, 12 dan Muhd. Sharif Hidayatullah, 11, turut hadir pada majlis itu.

    Mereka berdua memberitahu; “Kami gembira ayah berkahwin dengan auntie Wawa.”

    Kedua-dua pasangan berkenaan dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Hulu Selangor , Ustaz Zulkhairi Zaid.

    Hantaran senaskah al-Quran dan mas kahwin sebanyak RM80.

    Kata Akhil, pernikahan itu menutup spekulasi mengenai mereka

    “Ini jodoh, orang akan terus bercakap, tapi ini kehidupan saya. Selebihnya, saya tak mahu komen,” katanya.

    – Utusan

    ~Mabruk ya Akhil Hayy dan Waheeda, pagi tadi dalam nasi lemak kopi o tengok bekas isteri nya Maiza dengan koleksi tudung-tudungnya. Rupanya Pak Ustaz tengah bersiap nak bernikah. Semoga kekal ke akhir hayat~

    nak tengok gambarnya kat sini

    http://nmjnh.wordpress.com/2009/08/16/akhil-hayy-dan-waheeda-selamat-dinikahkan/

    Berikut adalah beberapa isi khutbah Fadhilat al-Syaikh Dr. Yusri al-Hasani


    Pertama: Allah Taala Sedang Berbicara Dengan Kita.


    Semasa zaman para nabi dan para rasul, Allah berbicara dengan mereka yang mulia ini melalui perantaraan wahyu. Namun apabila Nabi dan Rasul terakhir, Sayyidina Muhammad kembali ke hadrat Allah Taala, maka wahyu sudah tidak lagi menjengah bumi. Namun Allah tetap terus berbicara dengan manusia melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kita perlu memandang setiap musibah dan ujian yang berlaku sebagai satu bentuk ucapan dari Allah yang ingin menyampaikan sesuatu kepada kita.


    Kedua: Penyakit Yang Belum Pernah Berlaku Sebelum Ini Apabila Muncul Pada Zaman Ini…


    Rasululllah pernah menyatakan bahawa apabila manusia semakin menjauhi Allah Taala, maka Allah akan menimpa mereka dengan pelbagai wabak dan penyakit yang belum pernah ditimpa kepada orang-orang terdahulu. (Saya akan paparkan kepada saudara hadith-hadith tersebut sedikit masa lagi). Ini adalah bukti kebenaran Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi Wasallam.


    Ketiga: Bala Yang Berlaku Adalah Natijah Jauhnya Manusia Daripada Mengikut Perintah Allah.


    Apabila kemusnahan dan musibah itu berlaku kepada tanaman, maka Allah ingin berbicara dan menyatakan kepada kita bahawa manusia tidak menunaikan hak Allah yang ada pada tanam-tanaman. Lalu Allah membinasakan tanaman agar manusia kembali sedar bahawa mereka tidak menunaikan hak mereka terhadap golongan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan.


    Apabila kemusnahan itu berlaku pada binatang ternakan, maka itu adalah tanda bahawa kewajipan yang berkaitan dengan binatang ternak tidak dilunaskan oleh manusia. Berapa ramai pengusaha jualan daging ayam tidak menunaikan zakat perniagaan. Akhirnya Allah ingin menarik kembali orang Islam daripada terus lalai dengan cara menurunkan selsema burung yang menyerang binatang-binatang ternakan agar orang yang berfikir dapat memahami bicara Allah.


    Hari ini kita diserang dengan satu wabak baru iaitu selsema babi. Babi adalah binatang yang Allah haramkan orang-orang Islam memakannya. Bagaimana binatang yang diharamkan ini boleh diternak dan dibiakkan di dalam negara-negara umat Islam?!! Ketua Paderi Mesir; Baba Syanoda sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa agama Kristian turut mengharamkan penganutnya memakan babi sebagaimana yang termaktub di dalam Old Testament.


    Akhirnya bagi menyedarkan orang-orang Islam bahawa mereka wajib melunaskan suruhan Allah yang berkenaan dengan babi, Allah menurunkan selsema babi sebagai amaran dari Allah.


    Keempat: Apabila Seseorang Muslim Itu Menjauhi Allah, Dia Akan Diuji Oleh Allah.


    Ujian yang Allah timpakan kepadanya hanyalah agar dia kembali berfikir dan bertafakkur dalam menginsafi diri atas maksiat yang dilakukannya. Maka dia akan menyatakan dari jauh hati kecilnya bahawa Allah menimpanya dengan pelbagai masalah dan musibah hanya semata-mata kerana ingin dia kembali pada Khaliqnya.


    Suasana ini sangat berbeza dengan orang yang bukan Islam. Semakin mereka menjauhi Allah, mereka akan diluaskan dengan pintu nikmat dan kemewahan kerana kemewahan yang mereka kecapi hanyalah di dunia ini semata-mata. Selepas mereka menemui Allah, mereka akan menanggung kemurkaan Allah selama-lamanya. Azab dan siksa yang tidak akan berlalu akan terus dirasai oleh mereka disebabkan kekufuran mereka kepada Allah Rabbul Jalil.


    Kelima: Penyakit Taun Yang Dahsyat


    Berlaku pada zaman Mamalik di Mesir satu musibah yang cukup mengerikan yang menyerang Mesir ratusan tahun yang lampau. Mesir pernah dilanda dengan wabak taun yang telah membunuh 20% penduduk Mesir ketika itu. Sejarawan menyatakan bahawa wabak yang dahsyat ini telah menyebabkan berlakunya satu fenomena iaitu: harta seseorang yang baru meninggal dunia kerana diserang taun ini akan berpindah milik pada hari kematian tersebut kepada golongan yang ketujuh yang berhak menerima harta pusaka. Ini kerana seusai matinya seseorang itu, anak-anaknya akan turut mati dan seterusnya dan seterusnya sehingga harta pusaka akan terus beralih kepada pihak yang ketujuh disebabkan pihak yang pertama hingga pihak yang keenam turut meninggal dunia pada hari yang sama.


    Sekiranya diteliti kepada suasana yang berlaku sebelum taun yang menggila ini menyerang Mesir, kita akan mendapati bahawa jenayah LIWAT adalah tersebar luas di kalangan pemerintah Mesir ketika itu (golongan Mamalik) sehingga setiap seorang di kalangan mereka memiliki seorang kekasih lelaki yang akan diliwatnya.


    Allah yang Maha Adil dan Maha Penyanyang akhirnya membersihkan Mesir daripada kekotoran ini dengan mengutuskan wabak Taun untuk dijadikan pengajaran kepada umat-umat yang mendatang.


    Keenam: Teruskan Amalan Baik Anda.


    Menjadi satu fitrah dan Sunnatullah bahawa seseorang yang sudah biasa dan melazimi satu perbuatan baik tertentu apabila dia meninggalkan kelaziman tersebut, Allah akan memberikan kepada dia ujian dan musibah agar dia kembali memikirkan kesilapannya. Ujian yang diberikan ini hanyalah kerana Allah inginkan perbuatan baik dan soleh itu diteruskan.


    Berlaku pada diri Dr. Yusri sendiri apabila seorang wanita Mesir dalam lingkungan umur 60 tahun datang menemui Dr. Yusri yang turut merupakan seorang pakar bedah. Wanita tersebut mengadu bahawa dia mengalami kesakitan yang amat sangat di bahagian perutnya. Dr. Yusri dan para doktor yang lain kebingungan apabila segala penelitian dan ujikaji kedoktoran yang telah dibuat tidak menatijahkan sebab penyakit tersebut. Punca kesakitan itu tidak berjaya ditemui namun si sakit tetap merasai kesakitan yang amat sangat.


    Wanita itu akhirnya menceritakan kepada Dr. Yusri al-Hasani bahawa beliau mempunyai satu sikap yang baik iaitu menyembelih kambing setiap tahun dan menyedekahkan daging kambing tersebut kepada fakir miskin di kampungnya. Namun sudah dua tahun dia tidak menyembelih kambing untuk disedekahkan kepada fakir miskin.


    Sebaik sahaja Dr. Yusri mendengar kisah wanita tua ini, beliau terus menyatakan di dalam hatinya bahawa inilah punca wanita ini diuji Allah.


    Beliau terus meminta wanita ini menelefon keluarganya agar membeli seekor kambing, menyembelihnya dan menghadiahkan daging tersebut kepada fakir miskin sebagaimana kebiasaan wanita ini sebelum ini.


    Subhanallah. Selepas dua hati daging kambing disedekahkan kepada fakir miskin, penyakit wanita ini hilang serta merta. Maha Suci Allah yang menurunkan penyakit dan Maha Suci Allah yang menyembuhkan penyakit.

    http://hairulnizammathusain.blogspot.com/

    Oleh HARYATI KARIM
    haryati.karim@kosmo.com.my

    SAAT kehilangan orang tersayang memang satu hakikat yang pahit- nya sukar ditelan. Terpisah oleh jarak lagikan mengundang seribu keresahan, inikan pula dua insan yang sudah berikrar sehidup semati dipisahkan oleh dua dunia yang berbeza. Hanya kena- ngan lalu menjadi pengganti diri, saat kerinduan datang menyapa.

    Kelmarin, seorang wanita bergelar ibu kepada enam cahaya mata berdepan satu takdir, takdir kematian yang kalau boleh mahu ditolak ke kemudian hari.

    Dia bukan sesiapa, tetapi kerana pekerti mulia dan nama besar milik Allahyarham suaminya, Asri Rabbani, duka wanita bernama Halizah Shahzan, 39, meresap ke jiwa.

    Segagah manakah hati wanita Halizah saat diterpa berita kematian sang suami, itu yang terdetik di fikiran ramai. Kosmo! mendekati isi hati Halizah selepas 24 jam dia kehilangan suami tercinta. Sungguh! Kami kagum sekali dengan ketabahan wanita ini yang lewat bicaranya kelihatan cukup reda dengan tragedi kehilangan yang tiba-tiba bertandang itu.


    KHAZANAH seni yang ditinggalkan Asri akan terus menjadi penyubur pahala buatnya.

    Bagaimanakah Halizah melalui hari pertama tanpa arwah?

    HALIZAH: Kehidupan saya sehari tanpa arwah memanglah sedih, siapa yang tidak sedih. Namun yang lebih penting ialah kita perlu teruskan kehidupan. Sudah menjadi satu kelaziman arwah sering pulang ke rumah pada pukul 3 pagi setiap hari. Kalau arwah bawa kunci rumah, arwah akan buka pintu sendiri tetapi selalunya sebagai isteri saya tetap akan bangun dan menyambut kepulangannya. Sebab itu malam tadi (malam pertama arwah meninggal), tepat pukul tiga pagi secara tiba-tiba saya tersedar dari- pada tidur. Terasa seperti dikejut- kan oleh sesuatu. Mungkin roh arwah pulang untuk melihat-lihat keadaan kami sekeluarga di rumah semalam.

    Ramai yang ingin tahu bagaimana kehidupan Halizah bersama arwah, pernah bergaduh atau tidak?

    Selalunya tidaklah sampai peringkat nak bergaduh sebab kalau ada percangga- han antara kami, arwah akan cepat memujuk, jadi pergaduhan kami tidak sebesar mana, saya pun tak jadi nak marah. Cuma saya selalu mengawasi arwah dari segi syariat seperti peminat perempuan. Itu saja, yang lain tidak ada. Arwah seorang yang lembut, susah hendak marah.


    KENANGAN akhir arwah bersama isteri di Hudaibiah, Mekah ketika dalam percutian menunaikan umrah sambil berbulan madu.

    Kenangan paling manis bersama arwah?

    Alhamdulillah kenangan manis terakhir saya bersama arwah ialah kami dapat mengerjakan umrah sambil berbulan madu di Mekah pada cuti sekolah yang lepas pada bulan Jun. Saya tidak tahu itu petanda terakhir kerana sebelum itu arwah ada cakap untuk bawa saya mengerjakan umrah bersamanya kerana dia memang selalu buat umrah tetapi saya tidak pernah ikut. Hasrat pergi umrah bersama itu tidak pernah tercapai kerana ada saja halangannya. Masa cuti sekolah itu buat pertama kali saya mengerjakan umrah dan dapat pergi bersamanya.

    Apakah itu kenangan paling manis sepanjang perkahwinan?

    Ya, itu salah satu di antaranya. Dan kenangan itu tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.


    ANAK-ANAK dan isteri setia menemani di sisi saat jenazah Allahyarham Asri dikafankan.

    Apakah pesanan arwah kepada Halizah dan perancangan masa depan untuk anak-anak?

    Arwah bukan jenis yang suka mengikat sesuatu, cuma arwah kata arwah nak anak jadi ahli tahfiz, selebihnya pandai-pandai sayalah untuk mengarahkan anak ke arah itu. Mungkin bila anak sudah besar kalau mereka ada bakat macam arwah, saya tidak menghalang tetapi harus utamakan pelajaran terlebih dahulu.

    Adakah di antara anak-anak yang bakal ikut jejak langkah arwah sebagai pendakwah melalui irama nasyid?

    Apa yang saya lihat belum ada lagi yang menunjukkan bakat, sebab mereka semua pemalu seperti arwah.


    DALAM ketabahan, Halizah tidak mampu menahan kesedihan.

    Bulan Ramadan bakal menjelang, bagaimana agaknya situasi anak-anak?

    Bulan puasa atau raya sama sahaja bagi saya, Allah sudah aturkan semuanya. Sudah jalan- nya begini, kami kenalah terima. Buat masa sekarang saya kena pentingkan pelajaran anak- anak, itulah yang arwah mahu- kan. Kalau ikutkan hati memanglah terasa, tetapi yang pergi tetap akan pergi dan tidak akan kembali lagi. Insya-Allah, kita harap semua orang akan mendoakan yang terbaik buat arwah di alam barzakh.

    ~Yang pergi tetap pergi, yang hidup teruskan kehiupan ini dan menjaga amanah yang di tinggalkan. Kekadang terfikir juga saya kalaulah suatu masa nanti salah seorang di antara kami di panggil entah bagaimana hendak menjalani hidup ini. Doa selalu di panjatkan semoga panjang umur, tetapi ajal,maut jodoh pertemuan sudah tertulis semenjak azali lagi. Ya Allah andai ada  belas kasih MU mohon di panjangkan umur ingin beribadat kepadaMU( belum cukup bekalan untuk menemuiMU Ya Allah). Ingin melihat anak membesar, berjaya dalam hidup, berumah tangga dan beranak cucu. Ingin menunaikan ibadah haji di Mekah. Mungkin semua orang berdoa begitu tetapi kita ini milikNYA.  Mati tidak mengira siapa, kecik besar tua dan muda.Ya Allah panjangkanlah umur kami amin amin amin~

    P/s Maaf kawan-kawan sebagai peminat nasyid  Ustaz Asri saya mengabadikan artikel ini sebagai kenangan.


    Kalendar

    Ogos 2009
    I S R K J S A
    « Jul   Sep »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  

    Blog Stats

    • 853,974 hits

    Shoutbox