bila hatiku berbicara

begini lah anakku di lahirkan

Posted on: Ogos 30, 2009

Bersalin cara Caesarean

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

KELUAR ikut pintu atau tingkap? Ini antara kiasan orang tua dulu apabila diberitahu mengenai kedatangan anggota baru dalam keluarga.

Keluar ikut pintu maknanya bersalin normal, dan ikut tingkap pula menandakan bayi dilahirkan secara pembedahan. Bagi kebanyakan wanita, pembedahan pilihan terakhir yang hanya dipersetujui jika terpaksa.

Bagaimanapun, ada juga wanita memilih untuk melahirkan anak secara pembedahan, terutama bagi yang percaya kepada tuah satu-satu tarikh atau mahukan tarikh lahir anak yang ‘cantik’; contohnya ramai menempah melahirkan anak pada 8 Ogos 2008.

Kaedah pembedahan atau dipanggil hirisan Caesarean adalah cara melahirkan bayi melalui dinding abdomen (perut) dan rahim (uterus) yang dilakukan apabila ada risiko ke atas bayi atau ibu itu sendiri jika bersalin secara normal.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, jumlah kelahiran secara pembedahan juga meningkat daripada satu kes bagi 20 kelahiran (40 tahun lalu) kepada satu kes bagi setiap empat kelahiran.

Perubahan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pakar perubatan yang melihat pembedahan bersalin dilakukan walaupun tidak diperlukan (atas permintaan untuk faktor kecantikan atau mahukan tarikh lahir yang disukai); sedangkan sepatutnya untuk tujuan perubatan.

Di Malaysia, permintaan untuk bersalin secara pembedahan mungkin tidak sebanyak di Barat. Dalam kebanyakan kes, peluang bersalin secara normal adalah tinggi dan dianggarkan kes pembedahan bersalin di hospital kerajaan kurang 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kelahiran.

Untuk wanita yang pertama kali mengandung, antara tanda tiba waktu bersalin ialah air ketuban pecah, ada sedikit pendarahan dan sakit kontraksi.

Secara umumnya, 80 peratus wanita bersalin secara normal dalam tempoh 24 jam selepas mengalami tanda berkenaan.

Jika air ketuban pecah, wanita perlu segera ke hospital supaya doktor boleh memantau keadaannya, termasuk memeriksa jika berlaku pendarahan atau kehadiran najis bayi di dalam rahim.

Seandainya wanita masih tidak melahirkan anak selepas mengalami tanda, doktor akan memberi ubat induksi untuk mempercepatkan pintu rahim terbuka bagi membolehkannya bersalin secara normal.

Bagi wanita sihat, tidak menghadapi masalah dengan kandungan dan merancang bersalin normal, mereka perlu tahu serba sedikit mengenai pembedahan jika berlaku kejadian tidak dijangka, kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Noor Fidak Samsudin.

Pembedahan bersalin boleh dilakukan ketika kandungan berusia 38 minggu (bayi dalam kandungan cukup matang). Bagaimanapun, seseorang wanita boleh bersalin dua minggu awal atau dua minggu lewat, tertakluk kepada keadaan setiap individu. Sebelum pembedahan, wanita disyaratkan berpuasa sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam.

Pembedahan bersalin boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

a. Elektif — Pembedahan dirancang dari awal. Antara perkara menyebabkan pembedahan ialah:

  • Masalah plasenta previa iaitu kedudukan uri di bawah rahim, berhampiran saluran kelahiran yang boleh mengakibatkan wanita bersalin awal atau berlaku pendarahan
  • Kedudukan bayi songsang atau melintang apabila dekat tarikh bersalin
  • Mengandung anak kembar
  • Masalah kesihatan yang boleh menjadi buruk jika bersalin normal seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi atau kencing manis yang tidak terkawal
  • Ibu mendapat jangkitan yang boleh diberi kepada anak jika bersalin secara normal
  • Ibu pernah bersalin secara pembedahan dan berdepan masalah sama; atau apabila doktor bimbang parut pada rahim akibat pembedahan lalu akan pecah atau koyak
  • Atas kehendak wanita dan pasangan berdasarkan sebab tertentu. Doktor akan menerangkan kekurangan dan kelebihan bersalin secara bedah. Pembedahan hanya dipersetujui selepas si ibu faham kedudukan sebenar dan sanggup menerima risiko yang mungkin dihadapib. Kecemasan
  • Proses kelahiran terlalu perlahan atau berhenti
  • Bayi lemas
  • Wanita menunjukkan tanda bersalin sebelum tarikh yang dijangka
  • Bayi menunjukkan tanda tertekan seperti degupan jantung terlalu cepat atau perlahan
  • Masalah plasenta (uri) atau tali pusat yang boleh membahayakan bayi
  • Bayi terlalu besar untuk dilahirkan secara normal; biasanya berat bayi melebihi empat kilogram
  • KemalanganMenurut Dr Noor Fidak, wanita yang ada masalah kesihatan perlu memastikan penyakit mereka sentiasa dalam keadaan terkawal sebelum merancang untuk hamil. Ini kerana ketika hamil, penyakit dihidapi lebih ‘terserlah’, contohnya kencing manis dan tekanan darah tinggi.

    “Apabila anda disahkan mempunyai kencing manis ketika hamil, risiko untuk bayi menjadi besar adalah tinggi dan jika bayi melebihi empat kilogram, pembedahan perlu dilakukan.

    “Ada kalanya doktor perlu menjalankan induksi iaitu memberi ubat bagi merangsang pintu rahim untuk terbuka dan memudahkan kelahiran apabila usia kandungan memasuki 38 hingga 40 minggu.

    “Bagi wanita yang ada masalah tekanan darah tinggi yang terkawal, biasanya mereka diberi induksi apabila kandungan cukup 38 minggu.

    “Sebaliknya, jika tekanan darah tinggi tidak terkawal (terlalu tinggi) dan si ibu dilihat hampir mengalami sawan, dia perlu segera dibedah bagi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi,” katanya.

    Mengalami kencing manis ketika hamil adalah petanda kurang baik. Biasanya doktor membuat pengesahan semula selepas tamat tempoh berpantang dan jika wanita berkenaan tidak menjaga kesihatan dengan baik, peluang menghidap kencing manis adalah tinggi selepas bersalin.

    “Wanita yang hamil selepas berumur 40 tahun ke atas mempunyai banyak masalah kesihatan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau sakit jantung dan jarak dengan kehamilan terakhir agak jauh, maka risiko bersalin secara pembedahan adalah tinggi walaupun anak terdahulu dilahirkan secara normal.

    “Banyak juga kes wanita yang dijadualkan bersalin normal tetapi perlu menjalani pembedahan kecemasan pada saat akhir. Ini berlaku apabila uri tersangkut atau tersekat, bayi terlalu besar, bayi dalam kedudukan songsang, air ketuban pecah atau bayi buang air besar.

    Najis bayi boleh menyebabkan keracunan dan bayi boleh mengalami komplikasi atau meninggal dunia jika tidak dibedah segera.

    “Selain itu, jika seseorang wanita mengalami kontraksi tetapi pembukaan pintu rahim terlalu perlahan atau terhenti dalam tempoh empat jam sedangkan ketuban pecah, pembedahan perlu dilakukan segera kerana bimbang bayi lemas.

    “Namun biasanya doktor memberi tempoh satu jam untuk pintu rahim terbuka sepenuhnya iaitu seluas 10 sentimeter. Sebaliknya, jika pintu rahim terbuka penuh tetapi bayi masih tidak dapat dilahirkan secara normal, doktor juga akan menjalankan pembedahan kecemasan,” katanya.

    Walaupun secara umumnya doktor menggalakkan wanita bersalin secara normal tetapi dalam keadaan tertentu wanita disaran bersalin secara pembedahan, khususnya jika mengandung anak kembar dan kandungan diperoleh melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).

    Bagaimanapun, kata Dr Noor Fidak, keputusan akhir tertakluk kepada kedudukan bayi pada hari bersalin.

    Jika bayi pertama dalam kedudukan normal iaitu kepala di bawah, si ibu boleh bersalin secara normal walaupun bayi kedua dalam kedudukan songsang atau melintang.

    Ini kerana selepas bayi pertama dilahirkan, bayi kedua mempunyai banyak ruang untuk dibetulkan kedudukannya dan ditarik keluar.

    Jika bayi pertama dalam kedudukan songsang atau melintang, maka perlu dibedah.

    Komplikasi bersalin secara bedah

    Meskipun mempunyai kemudahan perubatan moden dan pembedahan adalah selamat, ia masih ada risiko komplikasi. Antara komplikasi yang mungkin dialami ibu ialah:

  • Kesan ubat bius (terutama yang menerima bius penuh atau menyeluruh)
  • Risiko berlebihan ubat bius (biasanya pada wanita terlalu gemuk yang diberi bius menyeluruh)
  • Jangkitan pada luka pembedahan
  • Luka pada organ bersebelahan rahim
  • Kehilangan banyak darah
  • Mual, muntah dan sakit kepala (disebabkan penggunaan ubat bius dan prosedur pembedahan)
  • Luka lambat sembuh
  • Risiko bekas luka pada rahim pecah pada kehamilan seterusnya
  • Kematian (jarang berlaku. Bagi pembedahan yang dirancang, kadar kematian sangat rendah iaitu hanya enam dalam 100,000 pembedahan; manakala kematian akibat pembedahan kecemasan lebih tinggi iaitu 18 dalam 100,000 pembedahan bersalin)
  • Mengehadkan saiz keluarga. Biasanya doktor hanya membenarkan seseorang wanita bersalin secara pembedahan tiga kali. Bagaimanapun, ada juga kes wanita dibenarkan mempunyai anak melebihi empat atau lima melalui pembedahan) jika dia menjaga kesihatannya dengan baik. Namun kes begini sangat jarang berlaku.Ini untuk mengurangkan risiko parut pada rahim pecah. Apabila dibedah, dinding rahim ditoreh bagi membolehkan bayi dikeluarkan.

    Luka meninggalkan parut. Bahagian berparut agak lemah dan boleh pecah. Sebab itu anda perlu memberitahu doktor jika pernah bersalin secara bedah apabila mengandung lagi.

    Risiko pada bayi:

  • Kecederaan ketika dilahirkan
  • Perlukan penjagaan khas di unit penjagaan rapi
  • Paru-paru tidak matang (disebabkan kesilapan pengiraan tarikh jangkaan kelahiran)
  • Bayi tidak mendapat perlindungan yang diperoleh melalui bersalin normalPun begitu, bersalin secara bedah juga ada kelebihannya, iaitu wanita kurang berisiko mengalami masalah prolaps (rahim jatuh) dan tiada luka pada pintu rahim.

    Penjagaan

    Biasanya seseorang wanita dibenarkan balik ke rumah selepas tiga hingga lima hari dibedah. Kebanyakan wanita mengambil masa sekurang-kurangnya empat minggu untuk sembuh sepenuhnya.

    Bagi wanita bersalin normal, biasanya mereka dibenarkan balik pada hari pertama atau kedua selepas bersalin dan kembali meneruskan rutin hariannya selepas dua minggu.

    Bagi masyarakat kita, wanita akan berpantang selama 44 hari untuk memastikan luka bersalin benar-benar sembuh dan kembali bertenaga.

    Dr Noor Fidak berkata, bersalin secara pembedahan memerlukan lebih penjagaan berbanding bersalin normal. Wanita perlu banyak berehat untuk mempercepatkan proses penyembuhan, tetapi ini bukan bermakna mereka boleh duduk goyang kaki sepanjang masa.

    Wanita perlu berehat daripada melakukan kerja berat, tetapi pada masa sama kena banyak bergerak seperti berjalan di dalam rumah.

    “Lebih banyak anda bergerak dan berjalan, luka pembedahan lebih cepat sembuh kerana ia merangsang aliran darah ke seluruh badan, termasuk di perut. Selain itu, jangan angkat barang berat, benda paling berat yang boleh diangkat ialah bayi.

    “Boleh juga memakai bengkung ringkas untuk memberi sokongan kepada tulang belakang dan pinggul. Namun jangan pakai terlalu ketat sehingga boleh mengganggu aliran darah.

    Lapik sehelai kain kapas di bawah bengkung untuk menyerap peluh dan mengelak jangkitan. Untuk pembedahan lain pun, wanita boleh pakai bengkung bagi merapatkan luka,” katanya.

    Selain itu, perhatikan jika ada jangkitan (nanah) dan jika ada, segera ke klinik atau hospital untuk dibersihkan.

    Wanita juga digalak menyusukan bayi secara eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan kerana proses ini juga boleh membantu mengecutkan rahim dan mengeratkan hubungan ibu dan anak.

    “Menyusukan anak juga boleh menjarakkan kehamilan. Sebaik-baiknya jarakkan kehamilan kepada dua tahun tetapi jika mengejar masa, terutama bagi wanita berusia, anda boleh hamil setahun kemudian, tetapi dengan syarat anda perlu menjaga kesihatan dengan baik.

    “Satu perkara penting yang perlu diingat ialah jangan ambil ubat sepanjang sembilan bulan hamil tanpa kebenaran doktor untuk mengelak kesan sampingan kepada bayi dalam kandungan dan komplikasi ketika bersalin.

    “Jangan perjudikan nasib bayi dan diri sendiri dengan mana-mana ubat, termasuk persediaan tradisional atau alternatif walaupun didakwa ada banyak manfaat,” katanya.

  • p/s berat Hafiz ketika di lahirkan 3.3 kg, kiranya anakku lahir terjun ikut tingkap bukan kerana dia besar, sebab baby lain lagi besar hingga 4 kg bersalin secara normal. Tetapi oleh masalah yang tidak di elakkan jalan terakhir terjun ikut tingkap. Pengelaman tu tak mungkin saya lupakan kerana saya sedar sepanjang proses itu. Saya rasa relax je sebab diorang semua yang bertungkus lumus untuk mengeluarkan bayi saya ketika itu. Sayapun di bius dari pinggang ke bawah sahaja.  Selepas bayi di keluarkan saya pengsan dan sedar dalam jam 11.00 pagi. Oleh kerana saya dan baby  tidak mempunyai apa-apa masalah saya cuma tinggal tiga hari saja di hospital lepas tu saya keluar.  Sepanjang di hospital saya tidak di temani keluarga kerana tidak di benarkan. Tidak kekok sangat sebab pernah melihat bagaimana kakak salinkan lampin anak-anak buah dll. Kalau dah anak kita apa-apapun boleh, yang kekok jadi tak kekok. Kini baby saya tu sudah besar, sudah 14 tahun dah. Kalau saya bersalin lagipun saya akan melalui cara  ini jugak. Tetapi erm entahlah rindu sangat nak peluk bayi…agaknya kena tunggu cucu lah gamaknya…..
  • About these ads

    17 Respons to "begini lah anakku di lahirkan"

    tu gambar anti masa bersalin ke?

    Bukanlah kak long ni copy je kat metro.

    Yaa Umi….

    Yaa Umi…kami adalah anak – anak mu

    Yaa Umi…kami adalah ujian bagi mu

    Yaa Umi…Siapakah Tuhan kami…? Siapakah Tuhan kami…? Siapakah Tuhan kami…?

    Yaa Umi…Engkaukah Tuhan kami ? Karena kami harus selalu mengikuti keinginan mu ?

    Yaa Umi…Engkaukah Tuhan kami ? Karena menentukan masa depan kami ?

    Yaa Umi…Engkaukah Tuhan kami ? Karena merasa lebih mengerti kami dari Sang Pencipta ?

    Yaa Umi…Engkaukah Tuhan kami ? Karena merasa mengerti yang terbaik untuk kami ?

    Yaa Umi…Engkaukah Tuhan kami ? Karena surga di bawah telapak kaki mu ?

    Yaa Umi…Engkaukah Tuhan kami ? Karena memiliki kalimah ampuh berbunyi “ Durhaka “ ?

    Yaa Umi…Engkaukah Tuhan kami ? Karena merasa memiliki kami ?

    Yaa Umi…Ajarkanlah “siapa Tuhan kami” , janganlah mengajarkan “apa Tuhan kami”

    Yaa Umi…Masukilah dunia kami janganlah memaksa kami memasuki dunia mu

    Yaa Umi…Kami tidak pernah mengerti dunia mu , Kami hanya mengerti kodrat Kami

    Yaa Umi…Ketidakmengertian Kami engkau beri nama Nakal…Bandel…Kurang Ajar

    Yaa Umi…Ketidakpatuhan kami pada kehendakmu engkau beri nama Durhaka

    Yaa Umi…Kami hanya mengerti “contoh” …… Kami tidak mengerti “ajaran”

    Yaa Umi….Yaa Umi….Yaa Umi….Yaa Umiiiiiiiiiiii…………………..

    SURGA DIBAWAH TELAPAK KAKI MU

    SEJAUH MANAKAH ENGKAU MEWUJUDKANNYA…..?

    Semoga umi,ibu,mama,mommy, mek, emak,ma di luar sana menjadi umi yang baik kpd anak2. Kekadang banyak benda yg kita terlepas pandang..kekadang ada ibu2 yg tidak sabar dengan kerenah anak2 Ada yang di panggil degil,kurang ajar, goblog sesuka hati saja keluar perkataan yg tidak sepatutnya itu dari mulut seorang ibu…perkataan itu merupakan doa. Ubahlah perkataan itu dengan perkataan yang baik seperti anak bertuah, anak baik dll…

    assalamualaikum….
    bila terbaca artikel ni, teringat saya pada tarikh 11/12/2007, pengalaman saya melahirkan anak pertama melalui pembedahan…
    memang tak dpt nak lupa , fobia pon ade lagi…saya disarankan dibedah sbb anak dah berak kt dalam….mase tu pintu rahim dah bukak dalam 5cm..last2 kena POTONG jugak…memang menakutkan saya..sampai saya menangis tersedu-sedan..mujur la suami ada disisi..masuk je bilik operation, fuhh…dah la sejuk…tengok plak alat2 dia..lagi la seram…kebertulan plak saya separuh sedar…sbb bius dari paras pinggang ke kaki je…tu pon masih nampak darah2, lemak2 melalui cermin lampu atas tu…ekekekek…anyway, now Yus Anaqi Awra dah nak masuk 2tahun….mcm2 gelagat dia…bangga saya sudah menjadi seorang ibu pada umur yg muda…
    so, kaum2 wanita…jgn takut nak beranak or pregnant..pengalaman tu memang best..dan bukan sume orang boleh dapat pengalaman mcm tu…Hargailah Anak Anda!

    Waalaikumusalam terima kasih kerana sudi berkongsi. Alhamdulillah sayapun tidak tahu Allah bagi kekuatan kepada saya tidak merasa takut. Saya amalkan doa Nabi Yunus semasa di bilik bersalin. Selepas berjam2 sy tak jugak melahirkan, sedangkan org yg masuk dalam labour room tu awal dr sy sudah melahirkan. Saya dr jam 12.00 hingga ke jam 4 pagi masih belum bersalin lagi. Sesekali nurse pergi tanya saya sakit ke?sy kata tak..sayapun tak tau kenapa, sy dapat dengar degup jantung baby kuat. Tak lama kemudian sy di suruh sain surat bedah.Nurse kata kat luar tu cuma ada mak sy je..mak mertua sy dah balik rumah masa tu. Suami sy pulak pergi surau solat dan berdoa untuk sy.

    Tanpa pk panjang sy sain surat tu. Saya sempat tanya nurse, opration tu sakit tak?dia kata tak. Sampai di bilik bedah saya tanya benda yang sama hehehe lawaknya. Doktor kata tak rasa sakit apa2pun. Camne nak rasa sakit sebab kena biuskan. Sepanjang di bilik bedah tu nurse suruh sy tidur je saya tak tidur sy zikir n saya dapat mendengar semuanya.

    Alhamdullillah dalam usia sy 23 tahun dah bergelar ibu. Itulah pengelaman pertama saya memang tak dapat di lupakan. Kawan2 di blog sy semuanya mau hamil ibu Anaqi tetapi belum di kurniakan lagi. Mudahan puan2 akan dapat merasai pengelaman hamil dan melahirkan. Saya tak berpeluang untuk merasai sakitnya bersalin mungkin ada hikmahnya. Bersyukurlah dengan anugerah Allah s.w.t..

    saya pon blom merasa pengalaman bagaimana bersalin secara normal…mungkin Allah lebih mengetahui…

    Mungkin belum rezeki lagi tu..adaah hikmahnya tu ibu anaqi..

    Salam..
    KakHan pernah lalui kedua2 pengalaman.. anak ke4 terpaksa kena bedah sebab overdue 10hari & BP pulak tinggi.. Mula2 doktor asyik masuk ubat nak buka pintu rahim sampai tumpah darah pun tak sakit jugak.. last2 doktor tak de pilihan takut baby lemas, kakhan kena bedah juga. Risau & takut tapi demi baby tawakkal je..

    Salam Kak Han..pengelaman yg tidak mungkin di lupakan.Kak Han tinggal di mana ya?Sayapun macam tu lah Kak Han tak sakit seperti org lain. rg yg awal masuk dr sy tu dahpun selamat bersalin sedangkan sy belum ada apa2. Allahpun tahu bagai bagaimana keadaan sy lalu Allah beri kemudahan dlm melahirkan cahayamata. Namun andai di beri peluang ingin rassa sakitnya melahirkan anak sepeti wanita2 lain..tp itu semua x mungkin jadi kenyataan…andai di takdirkan mengandung dan ingin melahirkan sy pasti melalui proses yg sama….

    Assalammualaikum wbt..
    Bila terbaca artikel ni, saya teringat pengalam saya melahirkan anak sulung pada tahun lepas. Saya juga terpaksa bersalin memalui pembedahan.Ini semua gara-gara air ketubaan bocor terlalu awal(34 minggu).Sememangnya saya tidak ada pengalaman..jadi semasa air ketuban kuar sedikit demi sedikit seawal jam 4 pagi saya tidak merasakan sebarang keanehan.Pagi tu juga saya pergi ke sekolah seperti biasa dan mengajar seperti biasa. Tapi sempat juga saya bertanyakan pekara itu kepada rakan sekerja yang lebih senior. Bila akak tu mengatakan ia air ketuban, barulah sya mula risau. Terus saya call suami dan ajak ke klinik berhampiran. Memang sah, air ketuban saya dah bocor dah dah ada tanda-tanda saya akan melahirkan. Doktor meminta saya ke hospital pada waktu itu juga dan di sana saya ditahan di wad. Menurut doktor yang merawat saya, air ketuban saya masih normal dak baby juga sihat. Keesokannya saya dirujuk ke hospital besar. Di sana, saya diberikan 2 suntikan untuk mematangkan paru-paru baby. Sakitnya hanya allah yang tahu. walaupun disuntik di punggung, tapi kesannya terasa hingga ke seluruh badan. saya juga diberi antibiotik untuk memastikan baby selamat walaupun ketuban dah bocor. Walaupun dah 3 hari di wad doktor masih tidak memberikan keputusan sama ada saya perlu segera melahirkan atau tidak. masuk hari keempat, seorang doktor pakar melakukan pemeriksaan ke atas saya. Beliau meyarankan agar saya segera melahirkan dengan diinduce walaupun baby belum cukup bulan. Saya hanya bersetuju sahaja kerana bimbangkan keselamatan bayi saya. Keesokkannya, seawal jam 7.30 pagi saya dimasukkan ke labour room untuk diinduce.’Jalan’ ketika itu hanya terbuka 3cm.Suami sempat menyuruh saya bersarapan awalaupun ketika itu hati saya sudah tidak tenang.Jam 8.15 pagi nurse melakukan pemeriksaan sebelum saya dimasukkan ubat.pada waktu itulah denyut jangtung baby dah tak menentu.Terlalu cepat dan nampanya perlu dikeluarkan segera. Akhirnya doktor membuat keputusan, saya tidak perlu diinduce tetapi perlu dibedah segera untuk keselamatan baby. Sedihnya saya ketika itu, tidak dapat merasakan kesakitan bersalin normal. apapun saya sangat berharap baby sihat dan selamat sepenuhnya. Memandangkan saya tidak berpuasa sebelum pembedahan,doktor telah memasukkan satu wayar melalui hidung selain wayar untuk salur kencing. Seksanya ketika itu. Tepat jam 11pagi, bayi perempuan saya selamat dilahirkan dengat berat hanya 2.2kg.Alhamdulillah dia sihat sepenuhnya dan tidak perlu dimasukkan ke NICU. Petang itu juga saya sudah dapat memeluknya. Hilang rasa kegusaran, kesakitan tatkala menatap wajah baby yang baru dilahirkan. Nampaknya puteri kesayangan saya ini sebenarnya ingin lahir pada tarikh bertuah iaitu 080808.Kini dia dah setahun sebulan, terlalu lincah dan sihat sama seperti bayi2 yang lahir cukup bulan. Alhamdulillah, tidak timbul sebarang masalah ketika dia dilahirkan hingga sekarang.Risau juga sebab ramai bayi tidak cukup bulan akan mengalami masalah kesihatan. Cuma selepas ini saya amat berharap sekiranya saya mengandung lagi..saya ingin melahirkan bayi secara normal.Mudah-mudahan Allah makbulkan.

    Salam umidamia…terima kasih kerana sudi berkongsi..insya Allah nanti akan bersalin normal pulak. Harap anda berbahagia ya..

    Askm Kak Han dan semua yang membaca… Pertama kali ida bersalin caesarean adalah pada 22/10/99(Jumaat). Sewaktu cek up petang tu di HSA, Johor doktor pakar yg cek denyutan nadi anak ida mendapati grafnye mendatar. Doktor kata anak ida fetal distress. Terus doktor mengarahkan ida dimasukkan ke bilik pembedahan malam tu juga. Masa tu takde rasa sakitpun. Sebelum operation terpaksa dimasukkan saluran untuk kencing dan juga saluran kat hidung coz masa tu baru je lepas makan. Juga dibius kat belakang. Allah sahaja yg tahu berdebarnya nak masuk bilik operation. Masa lihat anak seberat 1.78kg je seorang puteri, ida terus nangis. Lepas operation ida terus tinggal dengan baby selama 22 hari kat hospital. Dahlah sakit operation, then kena jaga baby kat NICU. Baby pula asyik muntah dan tak boleh terima susu badan. Hanya Allah sahaja yang tahu penat dan deritanya…

    Anak yang kedua juga seorang puteri pula lahir pada 2/8/02 setelah hampir seminggu duduk kat wad kat HSA Johor. Bermacam usaha dan jalan termasuk ubat dimasukkan agar ida dapat melahirkan secara normal tapi tak kesampaian. Juga caesarean waktu subuh hari jumaat. Doktor kata baby dah hampir lemas makan air najis dalam perut. Allah sahaja yang tahu macam mane rasanya nak masuk bilik operation tu dgn pakai tiub atas bawah. Alhamdulillah baby lahir beratnya 3.47kg. Ida susukan dia sampai 4tahun. Sekarang ni dia adalah pelajar pintar di sekolah.

    Anak ketiga juga seorang puteri lahir pada 1/6/06 pada hari Khamis kat HSA Johor. Petang tu dalam pukul 3.30ptg beratnya 3.13kg. Hari sabtu ida dibenarkan keluar dari wad. Alhamdulillah ida selamat pulang dgn baby. Tetapi pada hari selasa sewaktu ida tengah berehat di katil kat rumah, tiba-tiba ada lelehan darah dan nanah yang keluar di celah-celah luka jahitan. Ya Allah masa tu hati dah tak tentu arah. Inilah pengalaman pertama luka jahitan boleh berdarah semula. Terus ida call husband dan minta dia hantar ke klinik swasta tapi takde klinik yang nak terima kes ni. Terpaksalah husband hantar semula ke HSA Johor. Mlm tu juga doktor buka jahitan secara ‘hidup-hidup’ tanpa bius. Berpeluh seluruh badan menahan sakit. Doktor kata adalah dalam satu inci dalamnya luka jahitan. Lebarnya pula sepanjang perut. Nangis dan beristghfar sepanjang malam tu. Nurse terus letak bandage selepas dikorek dan dibersihkan luka jahitan. Besoknya ida kena panggil lagi masuk bilik rawatan kat HSA Johor untuk doktor korek nanah dan bersihkan luka. Sehari dalam 2 kali. Setiap kali masuk dalam bilik rawatan tu ida berpeluh menahan sakit. Ya Allah sakitnya lebih sakit dari sakit operation. Petang hari pertama ida pandang ke laut stulang Johor. Sambil membaca ayat kursi lebih 100kali dan minum Air Musoffa, ida menangis memohon pada Allah agar luka jahitan ini dapat sembuh dan mohon pada Allah agar dipanjangkan lagi umur ida untuk terus hidup dan membela anak ini. Ida bawa baby tidur di sebelah supaya dapat susukan dia. Alhamdulillah setelah 9 hari duduk di wad, doktor pakar telah menjahit dan ‘membakar/membuang’ sedikit daging dekat luka ida tu. Besoknya ida dah boleh pulang semula. Hari ke 14 lepas balik dari hospital ida ke klinik kerajaan untuk buka jahitan benang hitam. Terasa ngilu juga nak buka jahitan tu. Alhamdulillah sekarang ni Puteri Maisarah adalah seorang anak yg pandai operate laptop walaupun baru 3tahun lebih. Setiap kali pandang muka ketiga-tiga puteri ida, ida sentiasa bersyukur atas kurniaan Allah yang tidak terhingga ini. Betapa ‘ajaib’nya kelahiran setiap insan di dunia ini. Tanpa kuasa dan izin Allah, tiadalah insan yang bernyawa di dalam kandungan ibu.

    Sekarang ni ida teringin untuk mendapatkan anak ke 4. Tapi bolehkah caesarean kali ke 4???? Ya Allah syukur dan betapa hebatnya setiap ciptaanMu ini. KepadaMu kami datang dan kepadaMu jua kami akan kembali Ya Allah…

    Salam, saya sedang menanti kelahiran anak ke-4. Ketiga2 anak sebelum ini melalui pembedahan. Namun hati saya masih tetap berdebar seperti dulu menunggu saat kelahiran yang semakin hampir. Moga saya dan bayi ini dapat melalui saat itu dengan selamat dan sejahtera di dalam rahmatNYA. Insyaallah.

    Saya melahirkan anak pertama secara pembedahan pada 4 Ogos 2008. Ini adalah dsebabkan kedudukan baby yg songsang dan berisiko mengalami proses kelahiran yg panjang dan sukar serta risau baby akan cedera sewaktu cuba dikeluarkan secara normal.. Saya pasrah je dgn ketentuan Tuhan..janji anak saya selamat jer..Sejak kandungan 7 bulan die songsang mengiring dan x pusing2 jugak sampailah ke saat melahirkan..die dlahirkan 2 minggu awal drp tarikh jangkaan..Anak saya perempuan, skrg dh 2 tahun lebih..

    Sekarang sy mengandung lg anak kedua dah 7 bulan, x pasti samada boleh bersalin normal ataupun tidak..Hospital ni ckp boleh bersalin normal klu xder ape2 masalah, hospital lain pulak ckp ader risiko pecah rahim klu bersalin secara normal..Entahlah, saya berserah saja pada Tuhan..nk pk byk pun dh sakit kepala..Takut mmglah takut sangat, samada bersalin secara normal ataupun operate lagi..Mudah2an saya dan baby selamat melalui proses kelahiran itu nanti walau apa pun caranya…
    Amiiiiin…

    bolehkah sesiapa yg tahu disini berkongsi jawapan dgn saya.saya ingin tahu benarkah ada yg berkata doktor akan terus mengikat rahim kita sekiranya ingin melaahirkan anak ke 3 setelah 2 kali menjalani pembedahan..macam mana pula jika kita sendiri tidak mengizinkan doktor berbuat demikian..adakah mereka akan tetap meneruskan juga?

    Saya ingin bertanya…saya sudah mempunyai dua anak,kedua-duanya secara pembedahan,jika saya hamil anak kembar,apa kesannya?

    Tinggalkan Jawapan

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    Kalendar

    Ogos 2009
    I S R K J S A
    « Jul   Sep »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  

    Blog Stats

    • 631,200 hits

    Shoutbox

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 81 other followers

    %d bloggers like this: