bila hatiku berbicara

Buang ibu di Aidilfitri

Posted on: September 16, 2009

p/s Tergamak anak membuang ibunya sendiri, anak jenis apakah ini. Kekadang terfikir juga orang yang mempunyai ramai anak belum tentu dapat membahagiakan ibu dan bapanya. Orang yang tidak mempunyai zuriat belum tentu hidup  tidak bahagia. Seorang ibu boleh menjaga anak yang ramai tetapi anak yang ramai belum tentu dapat menjaga ibunya seorang.  Bertuah dan beruntunglah ibu bapa yang mempunyai anak yang soleh dan solehah. Ibu cuma seorang sahaja di dunia ini sedangkan isteri,suami,kekasih boleh bertukar ganti. So renung-renungkanlah.

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Sekeras-keras batu, keras lagi hati seorang anak lelaki yang tergamak memecut kereta meninggalkan ibunya.

Lebih memilukan, dia tergamak membiarkan wanita tua itu berlari mengejarnya kira-kira 20 meter kerana mahu mengikut si anak pulang menyambut Aidilfitri di rumah.

Namun, apalah kudrat seorang wanita berusia 70-an, apatah lagi terpaksa menggendong bungkusan baju dalam kain batik, untuk mengejar kereta anaknya berusia 40-an yang semakin jauh meninggalkannya.

Ia bukan babak menyayat hati dalam drama televisyen, tetapi realiti hidup ditempuhi seorang penghuni rumah jagaan warga emas dan psikatri di Jalan Denai 1, Kempas di sini, yang begitu mengharapkan untuk pulang menyambut hari raya bersama anak dan cucunya di Masai, dekat sini.

Kisah sedih pada pertengahan Ramadan itu diceritakan Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, Norijah Bidin kepada wartawan Harian Metro, semalam.

Menurut Norijah, beliau masih mengingati detik cukup menyentuh perasaan itu, apatah lagi kakitangan rumah jagaan berkenaan terpaksa memujuk warga emas uzur terbabit supaya bersabar dan wanita tua itu hanya mampu menangis mengenangkan nasibnya ditinggalkan anak sendiri.

Katanya, kejadian bermula apabila lelaki berkenaan datang menziarahi ibunya di rumah penjagaan itu bagi memaklumkan dia tidak dapat dibawa pulang pada hari raya kali ini kerana tiada sesiapa menjaganya.

“Kami menyangka dia ingin membawa ibunya pulang bagi menyambut Aidilfitri kerana sudah dua tahun wanita berkenaan beraya di sini,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, terlalu seronok dengan kunjungan anak lelakinya, wanita tua terbabit terus menyalin pakaian dan bersiap untuk mengikut pulang ke rumah keluarganya di Masai.

“Kami melihat wanita itu bersungguh-sungguh membungkus pakaiannya ke dalam kain batik kerana mahu pulang ke rumah anaknya,” katanya.

Menurut Norijah, tanpa disangka-sangka, ketika si ibu sedang sibuk berkemas, lelaki berkenaan beredar dari situ secara senyap-senyap tanpa memaklumkan sesiapa.

“Menyedari anak lelakinya mahu beredar, wanita itu panik dan mengejar kereta anaknya yang mula meninggalkan kawasan rumah kebajikan.

“Wanita tua itu berlari kira-kira 20 meter untuk mengejar kereta berkenaan, tetapi anaknya tetap meninggalkannya.

“Si ibu yang terkilan dengan perbuatan anaknya bukan saja mengalami masalah kesihatan, malah kemurungan selama beberapa hari kerana hampa tidak dapat pulang beraya di rumah,” katanya.

Norijah yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Permai di sini, berkata daripada 11 warga emas yang mendapatkan perlindungan di pusat jagaan berkenaan, segelintir masih mempunyai ahli keluarga termasuk anak.

Menurutnya, lebih mengecewakan, waris warga emas berkenaan yang juga bekas pesakit psikiatri tidak datang menjenguk mereka menjelang 1 Syawal yang bakal tiba.

“Ia mengakibatkan warga emas itu menyambut Aidilfitri bersama penghuni lain di pusat jagaan ini walaupun mereka merindui suasana beraya dengan keluarga di kampung.

“Sempena Aidilfitri kali ini, kami amat berharap jika anak warga emas mahupun waris penghuni di sini, datanglah berkunjung bagi menggembirakan mereka. Kalau bukan selalu, setahun sekalipun cukuplah,” katanya.

Baru-baru ini, pusat jagaan berkenaan menerima kunjungan lebih 20 ahli Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) Negeri Johor di sini.

Pengerusi Usahanita, Datuk Rokiah Omar, tampil menyampaikan sumbangan pakaian, wang dan barangan keperluan harian kepada penghuni rumah kebajikan itu bertujuan memeriahkan sambutan Aidilfitri mereka.

Rokiah berkata, pihaknya akan berusaha membantu rumah kebajikan berkenaan yang turut berdepan masalah kekurangan kemudahan.

“Kami akan berusaha bagi mendapatkan van selain kemudahan kerusi roda bagi warga emas yang uzur supaya memudahkan mereka bergerak,” katanya.

Advertisements

10 Respons to "Buang ibu di Aidilfitri"

Salam ..alahai zu datang jugak ke umah kita ni ya..erm apa2pun kita mendoakan semoga anak2 kita kelak akan menjadi anak yg soleh dan solehah….

Doa tak lekat di hati
Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Ini tanda mak tidak banyak berdoa untuk anak dan anaknya tidak dapat merasai apa perasaan mak. Hubungan jiwa mereka sudah hilang, kosong, malah terputus,” kata penceramah bebas yang juga perunding motivasi, Dr Rubiah Hamzah.

Beliau mengulas tindakan seorang anak lelaki yang sanggup meninggalkan ibunya yang uzur di pusat jagaan warga emas dan psikiatrik daripada membawa wanita malang itu pulang berhari raya.

Rubiah berkata, apabila doa seorang ibu hanya lekat di bibir tapi tidak di hati, malah tidak pula berdoa meminta kepada Allah untuk kesejahteraan menyebabkan hubungan jiwa antara dia, Tuhan dan anak hilang.

Katanya, meskipun fitrah manusia akan menyayangi ibu, namun kes tidak normal seperti itu (membiarkan ibu derita ditinggalkan) boleh berlaku akibat tidak cukup kasih sayang yang akhirnya menjadi sebahagian daripada fikirannya saja.

“Berdasarkan kes yang saya kendalikan sebelum ini, kebanyakan warga emas yang ditinggalkan mempunyai sejarah pahit tidak menerapkan kasih sayang secukupnya kepada anak tetapi melebihkan harta material semata-mata.

“Duit tidak boleh membeli kasih sayang…tak boleh, sebaliknya kita kena besarkan anak dengan kasih sayang. Sayangi mereka secukupnya dan daftarkan anak sebagai hamba Allah dengan mengajarnya mengucap kalimah Syahadah.

“Jika kita lakukan perkara ini semua, maka anak tidak akan memulangkan kembali apa yang kita buat dulu termasuklah sekiranya ada (ibu) yang meninggalkan anak, pilih kasih atau membiarkan mereka membesar di bawah jagaan orang lain,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Harian Metro, kelmarin melaporkan seorang lelaki tergamak membiarkan ibu yang uzur berlari mengejar keretanya sambil menggendong bungkusan pakaian kerana mahu mengikut pulang menyambut Aidilfitri.

p/s biar apapun itu adalah ibu yang melahirkan kita..sebagai anak maafkanlah ibu itu….

salam syg kak iman…

bila baca artikal dkt atas tuhh, mcm kita salahkan 100% pada anak derhaka tuhh, tp bila baca yg sambungan artikal akak tuhh, sedih lah plak.. upanya doa ibu tuhh mang perlu teliti bukan main sebut dkt mulut jer… kekdg sue pun x tau, mak sue slalu doakan kejayaan sue tuk dpt kerja tetap…tak putus dr mulut mak…. mak jugak yg beri semangat kalo ujian goverment asyik gagal jer… bagi sue, doa mak smpi ke hati cuma mgkin Allah nak tgok sejau mana sue bersabar n terima ujianNYA… sue tak pernah salahkan mak andai apa yg sue nak smpi skrg tak dpt2 samada kerja tetap maupun jodoh yg belum terbuka lagi ni… sue syg sgt mak ngn ayah… moga mereka sentiasa dilindungi Allah n berada dlm golongan insan2 yg disayangiNYA..ameennn…

byk liku mak ayah dah tempuhi… kalo bukan sue yg tolong ringankan beban mereka, sapa lagi mereka berharap kasih n bantuan… moga sue dpt sara mereka hingga akhir hayat… ameennn…

emmm…. lupa nak ucap… selamat hari raya aidilfitri buat akak… salah silap sue arap dimaafkan… syawal ni, kita beribadah yer… jom kita meriahkan syawal ngn puasa sunnat syawal… 🙂

salam sayang Sue…insya Allah nanti akak ada idea akan balas komen Sue ni ya….

Salam sayang Sue..

Akak pernah lalui banyak pengelaman suka dan duka..yang duka tu banyak..faham2lah bagaimana keadaan diri ini. Insya Allah nanti kita bercerita di emel ya..di sini terlalu umum……

10 tahun surau ke surau
Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Ketika ahli keluarga lain bermaaf-maafan di pagi 1 Syawal, seorang lelaki tua yang hanya mahu dikenali Haji Masood bagaikan tidak dipedulikan apabila berkelana dari surau ke surau di sekitar Kota Damansara, dekat sini, sejak 10 tahun lalu.

Bagi Ramadan dan Aidilfitri kali ini, Masood yang berusia lingkungan 70-an menumpang teduh bergilir-gilir sama ada di Surau Al-Falah atau An-Nur, masing-masing di Seksyen 6, Kota Damansara.

Begitu menyentuh perasaan apabila Masood yang sebatang kara tidak tahu destinasi seterusnya, tetapi tetap membalas pertanyaan: “Di sini saja (semua surau di Kota Damansara).”

Apabila ditanya mengapa tidak pulang ke rumah, Masood menjelaskan, dia lebih selesa menetap di surau kerana di rumah tiada sesiapapun.

“Anak-anak sibuk pulang beraya ke kampung isteri masing-masing di Perak. Pak cik tak mahu menyusahkan mereka.

“Tambahan keadaan pak cik yang uzur begini menyusahkan mereka. Oleh itu, biarkanlah saya sendiri,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Falah di sini, semalam.

Katanya, dia baru saja keluar dari Hospital Sungai Buloh selepas menerima rawatan kerana menghidap penyakit gout.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Al-Falah, Zaaba Abdul Malik, berkata Masood tinggal di surau itu lebih sebulan lalu.

“Terdapat lima surau di Seksyen 6 ini. Saya diberitahu bahawa dia amat dikenali dan bergilir-gilir menumpang setiap surau terbabit sejak 10 tahun lalu.

“Dia menjadikan surau sebagai tempat tinggal, termasuk mandi dan makan. Apabila kami menawarkan pertolongan untuk menghantarnya pulang, dia menolak.

“Malah, dia sering menjadikan alasan untuk beribadah sebagai tujuan bermalam di surau,” katanya.

Zaaba berkata, pihaknya hairan kerana sepanjang tempoh itu dia tidak pernah melihat anak mahupun sanak saudara Masood datang.

“Apa yang dimaklumkannya kepada kami, dia berasal dari Tanjung Karang, anak pulang beraya dan biarkan dia seorang diri.

“Kami risau dan khuatir sekiranya terjadi apa-apa perkara yang tidak diingini,” katanya yang mengakui Masood terlalu berahsia dan sukar memberi kerjasama.

Seorang lagi AJK surau terbabit, Nordin Jaafar, mendakwa dirinya pernah melakukan siasatan bagi mengetahui asal-usul warga emas terbabit.

Katanya, dia sendiri terkejut kerana hasil siasatannya mendapati warga emas itu merempat kira-kira 10 tahun di kebanyakan surau sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, AJK Surau Al-Falah mahu kaum keluarga Masood datang menziarah dan mengambilnya pulang ke rumah.

“Sekiranya tiada juga yang datang menjemputnya, kami tidak mempunyai pilihan selain menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

~Kekadang kita tak tau masalah orang, nampak senang tetapi di sebalik itu tersirat seribu kedukaan. Jangan kata orang yang tidak mempunyai keluarga di sisihkan, kekadang orang yang punya keluargapun di sisihkan kerana tidak berharta. Itulah lumrahnya kehidupan..kalau balik ada kereta besar baru di pandang orang.Begitulah lumrahnya kehidupan…..yang berharta di pandang mulia manakala yang tidak berharta di pandang sebelah mata…tetapi Allah memandang hambaNYa sama sahaja cuma manusia yang suka membuat hukuman sendiri…aduyai.. hanya Tuhan sahaja yang tahu.

salam kak….
hmmmm….membaca post diatas mengingatkan saya kepada ibu mertua angkat yang tak dipedulikan kebajikannya oleh anak sendiri(perempuan),menantu dan cucu2nya walau rumah mereka cuma dibelakang rumah mak.
Mak dapat pencen aruah abah RM440.Semua keperluan mak setiap bulan: pampers(RM150),makan minum(RM350),bil air api(RM70),perubatan(RM50),gaji pembantu(RM200) berbekalkan wang tersebut dan selebihnya ditampung oleh kami dgn gaji suami yang tak seberapa.Tapi alhamdulillah mungkin berkat keikhlasan,duit kami tak pernah putus.
Si kakak makin meng’upgrade’ kan pagar rumahnya namun tak penah menghulur pada maknya hatta sebungkus pampers dengan alasan mak ada duit pencen….(mcm la duit pencen tu beribu sebulan…..)
Pernah mak duduk dirumah kakak ketika sakit tapi kemudian diminta hantar pulang kerumahnya semula lantaran ditengking oleh si menantu kerana najis berciciran…

Salam dariez..

terharu baca kisah mak angkat u tu..alangkah sedih bila anak kandung sendiri tidak mempedulikan ibu nya sendiri. Sungguh mulia hati anda biarpun cuma anak angkat tetapi masih mahu berbakti kepada ibu angkat…semoga Allah murahkan rezeki anda dan keluarga…

Sebagai guru saya banyak membantu kes-kes penderaan kanak-kanak yang dilakukan oleh ibu kandung sendiri. Apabila saya sebut penderaan bukan bermakna rotan sekali dua di tapak tangan atau punggung, tapi terdapat kesan yang lama di tubuh anak seperti tumbukan, koyakan (akibat dirotan bertubi-tubi seperti penjenayah pengedar dadah) atau lebab akibat diramas dengan jari sekuat hati sehingga berbekas seperti dicucuh rokok.

Tetapi penderaan fizikal berbekas di tubuh, penderaan mental berbekas di jiwa anak-anak itu apabila ibu memberi alasan mereka telah membelanjakan banyak duit kepada anak tetapi anak-anak kecil itu menyusahkan hidup mereka.

Tidak hairan satu hari nanti anak-anak ini meletakkan ibu mereka di rumah orang-orang tua dan memberikan segala kemudahan berbentuk wang ringgit tetapi tidak memberikan kasih-sayang kepada ibu kerana mereka telah dididik kasih sayang diukur dengan wang ringgit.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kalendar

September 2009
I S R K J S A
« Ogo   Okt »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930  

Blog Stats

  • 843,261 hits

Shoutbox

%d bloggers like this: