bila hatiku berbicara

Jangan jadi mangsa ‘perangkap’ raya

Posted on: September 18, 2009

Minda:

RAMADAN bakal berakhir dan umat Islam akan menyambut Aidiltfitri. Persiapan menyambut kemenangan melawan hawa nafsu rancak kelihatan. Pasar raya, gedung beli-belah sungguh meriah dengan pelanggan berpusu-pusu melakukan persiapan menjelang Syawal dengan berlatar belakang lagu raya yang lunak berkumandang.

Dalam keghairahan berbelanja pengguna diingatkan jangan mudah terpedaya dan leka dengan alunan lagu raya hingga lupa pada hakikat sebenar Ramadan. Sedap mata memandang sedap lagi poket tauke gedung beli-belah berisi menjelang Aidilfitri. Tidak salah berbelanja, tetapi sila ukur baju di badan sendiri jangan sampai termenung lepas Aidilfitri.

Ramadan adalah medan jihad melawan hawa nafsu dan bulan mendekatkan diri dengan al–Quran, nikmat kemuncak kehidupan manusia di bumi Allah bagi mereka yang bertakwa. Tetapi muhasabah diri setakat mana penghayatan kita menghayati kalam Allah.

Berbalik kepada pengguna rancanglah perbelanjaan dan berjaga-jaga dalam membuat persiapan hari raya. Jangan jadi mangsa ‘perangkap raya’ dan kena ‘ketuk’ sebab cetek ilmu pengguna terutamanya apabila ke kedai servis kereta dan tayar. Benda sikit caj melampau yang tak perlu ditukar habis kena tukar sampai lari bajet raya.

Justeru, pilihlah bengkel kenderaan yang sesuai dan dapatkan khidmat nasihat mereka yang pakar untuk mengelak menjadi mangsa. Pastikan anda berada di sisi kenderaan kerana daripada hendak membuat ‘allignment dan balancing’ mungkin terus kena perah bak kata tauke kedai, “Ini mesti tukar, itu mesti tukar…ini banyak bahaya nanti accident lo…”

Pengalaman pengguna daripada servis puluhan ringgit melarat hingga ratusan ringgit.

Pengguna jangan panik dan pastikan keperluan utama ditukar dan pastikan ia produk tulen. Pastikan anda tidak berkompromi dengan kualiti tayar kerana tayar mempunyai persijilan tertentu. Ramai yang sering tertumpu pada aksesori, tetapi tidak pada kualiti tayar.

Isteri juga dinasihat mengawal diri kerana peranan menteri kewangan keluarga amat penting. Pembelanjaan terancang amat kritikal terutama pemegang kad plastik dalam menentukan kesinambungan ekonomi keluarga terus seimbang. Memang boleh bayar caj minimum setiap bulan, tetapi jangan hidup dibelenggu hutang.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendapati ada eksekutif muda hidup dalam bebanan hutang jangka panjang akibat penggunaan kad kredit yang tidak terkawal. Ramai juga yang tersenarai hitam apabila gagal melunaskan bayaran minimum yang bunyinya mudah, tetapi secara praktikal ramai yang tewas.

Kesannya pada pemilikan ekuiti anda memang perit apabila tersenarai hitam hingga sukar memohon pinjaman apabila teringin memiliki rumah idaman. Jadilah penyewa tegar dan terus berangan merasai nikmat ada rumah tempat berteduh milik sendiri.

Mereka yang bermasalah hubungi Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (AKPK) di Bank Negara sebelum terlewat. Jangan jadi hamba hutang kerana ia memberi kesan buruk kepada keluarga tercinta. Rancang kewangan anda terutama menjelang hari lebaran.

Kepada yang berasa diri tertipu dalam apa-apa urus niaga pastikan resit pembelian disimpan kerana ia penting bagi mengemukakan tuntutan sekiranya anda berasa telah ditipu.

Tuntutan boleh dikemukakan di Tribunal Tuntutan Pengguna di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Ramai pengguna yang tertipu dan membayar lebih daripada harga sepatutnya telah mendapat pengadilan melalui saluran ini.

Apapun, sebagai pengguna kita harus sedar hak dan tanggungjawab kita. Bunyinya mudah, tetapi ramai yang terus tertipu kerana cetek ilmu pengguna dan tidak tahu di mana untuk salurkan aduan. Insya-Allah ruangan ini akan membincangkan isu kepenggunaan bagi kebaikan masyarakat pengguna.

Saya akan mengupas isu pengguna berdasarkan realiti dan pengalaman saya sebagai aktivis pengguna serta pengalaman pengguna lain. Ruangan ini memang untuk pengguna.

Menjelang Syawal beberapa hari lagi peringatan sekali lagi kepada anda pastikan ibadah kita di bulan Ramadan tidak disia-siakan dengan kerakusan hawa nafsu yang mengundang padah di kemudian hari. Berbelanjalah dengan bijak dan secara sederhana.

Akhirnya ingin saya berkongsi pengisian tazkirah Subuh di Ramadan oleh pengerusi surau masjid di kariah saya. Beliau menyentuh bagaimana saat perpisahan kita dengan Ramadan bulan yang penuh kerahmatan, keampunan dan kemenangan.

Berpisahnya kita dengan Ramadan umpama terpisahnya bunga yang gugur dari tangkainya. Namun nikmatnya tidak berakhir kerana akan berbuah pula tangkai berkenaan. Buah itu akan terus subur hingga masak ranum untuk dimakan dengan nikmat kesyukuran.

Kita seharusnya terus menanti tangkai itu kembali berputik dan berbunga kembali. Berdoalah kita kepada Allah s.w.t dengan penuh harapan agar dapat menikmati keindahan Ramadan akan datang kerana di dalamnya penuh kerahmatan, keampunan dan kemenangan bagi mereka yang benar-benar memahaminya.

Salam pengguna dan ketahuilah hak anda sebagai pengguna. Berhati-hati menuju destinasi agar Syawal membawa perkhabaran gembira buat keluarga tercinta dan bukan penambahan statistik tragedi. Jangan lupa doa naik kenderaan dan rancang solat anda. Celikkan mata sebelum terus menjadi mangsa kepenggunaan akibat kurang kesedaran. Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin.

Penulis ialah Pengarah Projek PPIM

Advertisements

3 Respons to "Jangan jadi mangsa ‘perangkap’ raya"

selamat hari raya maaf zahir batin dari kami dan keluarga…

thanx for d info.. salam aidilfitri maaf zahir bathin dr me dikejauhannns wat akak nuriman ittteww ..

Selamat hari raya zino dan en me maaflah kalau ada salah dan silap ya….beraya sakan ke tahun ni?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kalendar

September 2009
I S R K J S A
« Ogo   Okt »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930  

Blog Stats

  • 843,261 hits

Shoutbox

%d bloggers like this: