bila hatiku berbicara

di belit ular sawa

Posted on: Oktober 14, 2009

“Ambillah iktibar dari kisah benar ini..

Melihat pendedahan yang dibuat oleh sebuah stesen televisyen swasta
baru-baru ini mengenai anak bangsa kita yang melakukan perbuatan terkutuk di dalam hutan terutamanya di pusat-pusat perkelahan mengingatkan…………..

Pengalaman saya berhadapan dengan sepasang tunang yang mengadu menghadapi masalah besar beberapa tahun lalu,” beritahu Ustaz Abdullah Mahmud, penceramah bebas yang dikenali ramai. Tambahnya, beliau memang tidak hairan dengan pendedahan tersebut kerana sepanjang menjadi penceramah, kaunselor dan merawat orang, dia didatangi oleh golongan remaja yang mengadu menghadapi masalah akibat terlanjur terutamanya si wanita yang mengandung setelah berzina di merata tempat tak kira hutan, hotel, rumah kosong, dalam semak, kereta dan sebagainya.
“Adakalanya saya menitiskan air mata apabila mengingatkan pergaulan bebas anak muda kita yang makin menjadi-jadi. Mereka ini langsung sudah tidak takut bala Tuhan. Mereka sudah tidak dapat membezakan antara halal dan haram,” tegas beliau dengan nada kesal.
Berbalik kepada pasangan tunang yang datang menemui beliau di pejabatnya di Batu Caves, Selangor ketika itu, Ustaz Abdullah menjelaskan pasangan itu yang berumur lingkungan pertengahan 20-an itu datang untuk meminta pertolongannya. “Apa yang boleh saya bantu encik?” Tanya Ustaz Abdullah kepada mereka. Si lelaki kelihatan malu-malu untuk menceritakan masalahnya manakala si perempuan mencubit paha lelaki itu mungkin meminta agar segera menceritakan masalah mereka.
Ustaz Abdullah yakin masalah yang dihadapi oleh pasangan itu agak berat kerana berdasarkan pengalaman, lazimnya hanya mereka yang menghadapi
masalah besar saja akan pergi menemui kaunselor atau ustaz bagi mencari jalan agar kekusutan yang dialami mereka terlerai. “Ustaz…macam ini, saya dan tunang saya ada masalah sikit. Ketika tidur, saya selalu nampak ular dalam rumah. Begitu juga dengan tunang saya. Seringkali ketika tidur, tunang saya menjerit-jerit. Dia kata ular besar datang membelitnya.
“Saya sendiri sudah takut hendak masuk di dalam semak kerana sering terbayang ada ular,” beritahu lelaki itu ringkas. Mendengar masalah itu, Ustaz Abdullah termenung sejenak. Dia merenung memikirkan “penyakit” aneh yang dihadapi oleh pasangan itu. “Awak pernah pukul ular ke?” Ustaz Abdullah mengajukan soalan rambang . Bagaimanapun lelaki itu menggeleng kepala sambil memberitahu dia tidak pernah memukul ular. Lelaki itu turut memberitahu dia dan tunangnya jadi fobia kepada ular dan akibat itu badan mereka menjadi lemah tidak bermaya akibat sering terkejut.
Mereka juga menyatakan telah pergi menemui beberapa orang bomoh meminta air penawar agar kelibat ulat tidak tergambar lagi dalam bayangan matanya tetapi semuanya tidak menjadi. “Selalunya kalau jadi macam ni, pasti ada sebabnya. Kalau tidak ada sebab tertentu, setahu saya perkara seperti ini tidak akan berlaku tambahan lagi berdasarkan pengamatan saya, awak berdua bukan terkena sihir,” kata Ustaz Abdullah yang menyedari pasangan tunang itu cuba menyembunyikan cerita yang sebenar kepadanya.
Namun lelaki itu tetap berkeras menyatakan mereka tidak pernah melakukan sesuatu kesalahan seperti memukul ular dan sebagainya.”Tak perlu hendak malu. Saya hendak tahu ini pun, bukannya saya bermaksud hendak campur hal encik tapi dengan mengetahui puncanya, mudahlah sikit saya berikhtiar kalau-kalau ada serasi, Allah akan makbulkan permohonan kita,” pujuk Ustaz Abdullah lagi.
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, wajah mereka tiba-tiba berubah. Si perempuan pula tiba-tiba menitiskan air mata manakala yang lelaki tunduk ke bawah memandang lantai. Dia kelihatan malu untuk bertentangan mata dengan Ustaz Abdullah. “Macam ini Ustaz, sebenarnya saya kena belit ular sawa setahun yang lalu, sejak itu saya mengalami masalah ini, sering diganggu dengan bayangan ular. Tunang saya juga kena belit ular,” akui lelaki itu agak mengejutkan Ustaz Abdullah.
Ustaz Abdullah yang tidak begitu faham dengan penjelasan itu terus bertanya kepada mereka bagaimana cerita yang sebenarnya. Barangkali setelah yakin dengan keikhlasan Ustaz Abdullah untuk membantu, akhirnya pasangan itu menceritakan segala-galanya. Cerita lelaki itu, kejadian itu berlaku sebelum mereka bertunang. Pada suatu hari, mereka yang mengaku bekerja di sebuah syarikat yang sama di Shah Alam, Selangor mengatur janji untuk pergi ke sebuah tempat perkelahan di Selangor. Mereka yang kebetulan bekerja syif malam telah mengambil keputusan untuk pergi pada hari biasa kerana pada hari tersebut orang tidak ramai maka mudahlah mereka bermadu asmara dan bercengkerama.
Menurut lelaki itu lagi, sebelum itupun, mereka pernah pergi ke situ pada hujung minggu. Bagi mereka, pada hujung minggu tidak sesuai kerana, pengunjung terlalu ramai, maka menyukarkan mereka untuk bercumbu rayu. Itupun mereka memilih tempat terlindung tetapi tidak terlepas daripada gangguan pemuda-pemuda yang suka mengendap. “Hanya dua bulan perkenalan, kami sudah terlanjur. Ketika saya dibelit ular tempoh hari, saya berkenalan dengan tunang saya ini sudah enam bulan.
Banyak kali sudah kami melakukan perbuatan terkutuk itu,” nyata lelaki itu sambil menangis. Sebaik saja sampai di kawasan perkelahan yang mempunyai sebatang anak sungai itu, dia menyorokkan motosikal di dalam semak. Manakala tempat mereka bersama terlindung di sebalik pokok balak berhampiran gigi air sungai. Pada tengahari itu memang sunyi. Seorang manusia pun tidak kelihatan.
Bukan main seronoklah mereka berdua kerana dapat bermadu kasih tanpa gangguan, meskipun terbit rasa bimbang kalau ada yang mengintip di sebalik semak atau diserbu pihak berkuasa tapi perasan rindu dendam yang membara mengatasi segala-galanya. Di situ, pada mulanya mereka berbual-bual sambil berpegangan tangan. Kemudian melarat ke bahagian lain pula. Seterusnya nafsu mula menguasai diri masing-masing. Berbekalkan kertas suratkhabar, ia dijadikan alas untuk mereka berbaring. Pakaian si perempuan dilucutkan satu demi satu, selepas itu yang lelaki pula menanggalkan pakaian.
Mereka bercumbu rayu dan terus berzina tanpa menyedari di dalam rumpun semak di hujung kaki mereka berlengkar seekor ular sawa sebesar paha orang dewasa sedang mengeram. “Kami tak sedar ada ular. Tengah-tengah buat benda tu, kaki saya tertendang ular itu menyebabkan dengan pantas ia terus menyerang dan membelit kami berdua. Ia berlaku dengan pantas sekali, tidak sempat kami hendak melarikan diri,” cerita lelaki itu dengan perasaan kesal. Akibat belitan ular sawa itu, mereka berdua merasakan ajal mereka akan tiba pada bila-bila masa kerana setiap kali mereka meronta, semakin kuat ular itu menjerut tubuh mereka.
“Saya menjerit sekuat hati meminta tolong. Perasaan malu sudah tidak ada lagi dalam diri saya pada masa itu. Yang penting, nyawa kami harus diselamatkan dan pada masa yang sama, saya semakin sesak nafas kerana belitan ular itu yang sungguh kuat dan mulutnya terngaga luas seperti tidak sabar-sabar hendak menelan saya,” beritahunya tanpa segan silu lagi. Keadaan kekasihnya semakin lemah. Mukanya pucat lesi seperti sudah kehilangan darah. Lelaki itu tidak mampu berbuat apa-apa. Kudratnya tidak terdaya menandingi ular besar itu.
Dalam keadaan cemas, tiba-tiba muncul seorang pemuda dari sebalik semak sambil memegang sebatang kayu untuk memukul kepala ular itu yang hendak membaham kepala lelaki tersebut. Pemuda itu teragak-agak untuk memukul kepala ular sawa itu mungkin bimbang kalau terkena kepala lelaki itu. “Saya menjerit dan merayu agar ditolong dengan nada yang tersekat-sekat kerana sesak nafas. Kemudian pemuda itu dengan laju menghayun kayu sebesar betis itu beberapa kali mengenai kepala ular tersebut.
“Akhirnya, ular itu terkulai dan belitannya terurai. Saya tidak mampu bergerak lagi manakala kekasih saya pengsan. Pemuda itu memakaikan semula baju kami. Kemudian dia pergi meminta bantuan orang untuk menghantar kami ke hospital. Dia hanya seorang diri. Saya tidak pasti siapa pemuda itu dan dari mana dia datang. Saya syak mungkin pada mulanya dia sedang mengintai saya buat “projek,” cerita lelaki itu lagi. Akibat belitan ular tersebut, pasangan itu mengalami kecederaan agak teruk iaitu si lelaki patah satu tulang rusuknya manakala kekasihnya patah dua batang tulang rusuk.
Empat bulan selepas kejadian itu, mereka melangsungkan pertunangan dan merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat setelah didesak oleh keluarga yang mengetahui kejadian itu. Bagi mereka, masalah sering dihantui oleh bayangan ular lebih perit daripada menanggung kesakitan akibat patah tulang rusuk. Akibat “badi” itu, tidur malam mereka terganggu setiap malam dan walau kemana sekalipun berada,mereka terbayang berhampiran mereka ada banyak ular. Mendengar penjelasan lelaki itu, fahamlah Ustaz Abdullah apa sebenarnya yang terjadi. Namun sebelum merawat pasangan itu, beliau telah menasihatkan mereka agar bertaubat kerana telah melakukan perbuatan zina.
Ustaz Abdullah juga memberitahu mereka, berkemungkinan peristiwa dibelit ular itu adalah balasan Tuhan di dunia di atas perbuatan mereka itu. “Awak berdua patut bersyukur. Saya rasa Allah sayangkan awak berdua. Dia bagi azab kecil kepada awak berdua mungkin supaya awak insaf dan segera bertaubat. Kalau nak ikutkan, ramai orang berzina tetapi Allah tidak mahu menunjukkan balanya di dunia ini, maka kerana tidak pernah dijatuhkan bala itu, mereka ini berterusan melakukan zina,” nasihat beliau membuatkan pasangan itu menangis tersedu-sedu sambil berjanji akan bertaubat serta berkahwin secepat mungkin.
Ustaz Abdullah memberi sebotol air penawar. Air itu digunakan untuk mandi dan minum. Di samping itu, Ustaz Abdullah menasihatkan pasangan itu agar sering mengingati Tuhan semoga penyakit fobia mereka hilang. Mereka pulang dengan wajah riang dan tidak lama kemudian lelaki itu menghubungi Ustaz Abdullah memberitahu mereka berdua telah sembuh sepenuhnya dan menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan mereka.

DIRIWAYATKAN OLEH IBNUL JAUZI BAHAWA :

“SESUNGGUHNYA NERAKA JAHANAM MEMILIKI TUJUH BUAH PINTU. YANG PALING MENAKUTKAN, PALING PANAS DAN PALING BUSUK BAUNYA ADALAH PINTU YANG DIPERUNTUKKAN KEPADA PARA PENZINA YANG MELAKUKAN PERBUATAN TERSEBUT SETELAH MENGETAHUI HUKUMNYA

p/s minta maaf kekawan ini hanyalah sekadar untuk di ambil ikhtibar. Moga-moga ada keinsafan kepada muda-mudi yang membacanya, mungkin artikel ini sudah lama, dan mungkin juga ada yang pernah membacanya….

Advertisements

6 Respons to "di belit ular sawa"

tak sempat nak baca lagi….nak ucap selamat hari raya je … hehe

ini lah masyarakat kita sekarang. Muda mudi yang ikut ajaran Islam untuk tidak bercouple sebelum kahwin, dikatakan kolot, ketinggalan zaman… budaya barat yg jauh menyimpang dari Islam itu jugak yg diguna pakai. Bukan setakat bercouple, zina pun dah jadi lumrah sekarang. Kalau ini dibiarkan berterusan, bala demi bala yg akan menimpa kita. Usahakan lah amar ma’ruf nahi mungkar dikalangan kita. Semoga kita diselamatkan Allah.

Salam aidilfiti zino..dah nak habis dah syawal kita..nanti raya haji pulak..cepatnya masa berlalu..dah nak masuk tahun baru dah kita..cuma dua bulan lebih je lagi kan…

Yalah kak meen..baca metro ada2 je kan..apalah nak jadi dengan masyarakat sekarang seperti dah takut Tuhan. Bila nafsu dah tak dapat di kawal tak kira walaupun tempat sawa mengeram. Tetapi mujur jugaklah ada hamba Allah yang menolong , sempat lagi bertaubat kepada Allah s.w.t.

Yang menyedihkan bukannya remaja yang dah boleh khawin tetapi remaja 15tahun pun melakukan juga. Kak Meen saya rasalah ini semua berbalik kepada iman.. Solat itu boleh mencegah kemungkaran…tetapi berapa ramai remaja yang melakukan solat? Nauuzubillah..moga di jauhkan anak2 kita..

Pernah saya berpesan pada anak saya..jauhi kekawan yg tak baik..jauhi kekawan merokok dll..Ingat walaupun ibu tak nampak tetapi Allah nampak. Saya cuma mampu berpesan dan berdoa kepada anak saya. Saya harap dia tidak melakukan benda2 yg mengaibkan.

Sebab tu lah kak meen..kakak dan abang saya..bila anak habis belajar kalau dah ada pakwe dia khawin kan saja. Yang tak mau belajar lagi kalau dah ada org yang merisik dia khawinkan saja. Nak jaga anak bukannya mudah apa lagi bila jauh dari mata kita…. Manalah kita tau kan..memanglah ibu bapa berdoa dan selalu berpesan..tetapi acap kali kita dengar anak2 orang yang tahu ugamapun banyak wat benda2 yg tak baik.

Benarlah kak…di akhir zaman manusia bagaikan haiwan..melakukan hubungan sesuka hati tak kenal halal dan haram…Semga allah menjauhkan kita dan anak2 kita ya…

Solat ‘pendinding’ daripada kemungkaran
Posted by: nurjeehan in Akidah, Ibadah & Doa, Tafakur (Muhasabah), Tazkirah, Wanita & Keluarga

Oleh Mohd Shukri Hanapi

DIDIKAN AWAL: Rasulullah berpesan agar mengajar anak mengambil wuduk dengan betul dan menunaikan solat sejak berusia tujuh tahun.

Kesempurnaan ibadat jadikan jiwa sentiasa tenang dan bencikan kejahatan

SALAH satu peristiwa agung yang berlaku kepada Rasulullah ialah Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj adalah antara mukjizat terbesar dan tidak pernah dikurniakan kepada nabi serta rasul sebelumnya.

Pada peristiwa itu Rasulullah SAW menyaksikan tanda kebesaran dan kekuasaan Allah. Di samping itu, Baginda juga diperlihatkan dengan pelbagai kejadian dan peristiwa aneh yang menunjukkan keadaan perilaku manusia dengan balasan bakal mereka terima.

Di kemuncak peristiwa inilah Allah mensyariatkan solat kepada umat Islam. Sesungguhnya solat adalah ibadat paling utama bagi umat Islam sehingga ia disebut sebagai tiang agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia sudah mendirikan agama, sesiapa meninggalkannya sesungguhnya dia meruntuhkan agama.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kewajipan mendirikan solat diperintahkan Allah dalam firman yang bermaksud:

“Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna seperti mana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah al-Nisa’, ayat 103)

Melihat betapa pentingnya kewajipan solat dilaksanakan oleh setiap umat Islam, Rasulullah menyuruh supaya ibadat solat itu diajarkan kepada anak ketika berumur tujuh tahun dan memukul mereka dengan pukulan bertujuan mendidik jika enggan solat ketika berumur 10 tahun.

Diriwayatkan daripada Amru bin Syu’ib bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Suruhlah anak kamu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Saranan hadis itu bertepatan dengan pepatah Melayu, “Jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Inilah cara pendidikan awal untuk melatih anak mengerjakan solat yang mesti dilaksanakan ibu bapa.

Di samping itu, kita juga digalakkan berdoa supaya anak dan zuriat sentiasa mendirikan solat. Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Surah Ibrahim, ayat 40)

Sesungguhnya solat mempunyai banyak rahsia dan kelebihan, antaranya ialah solat dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan-Ku. Oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Surah Taha, ayat 14)

Solat adalah jalan untuk kita sentiasa mengingati Allah. Dalam perkataan lain, solat tanda pengabdian dan syukur seseorang hamba kepada Allah atas segala nikmat dan rahmat yang dikurniakan.

Solat juga boleh menghapuskan dosa. Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Oleh itu, solat lima kali sehari semalam boleh menghapuskan dosa kecil yang kita lakukan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat itu, selama dijauhinya dosa besar.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, solat juga boleh mencegah perbuatan keji dan mungkar. Solat yang dikerjakan dengan ikhlas, khusyuk dan mengikut segala rukunnya mencegah orang mengerjakannya daripada melakukan maksiat serta kemungkaran.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan perkara yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Seterusnya solat juga memberi keberkatan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Orang yang memelihara solat, kehidupannya dipenuhi dengan kejayaan, keberkatan dan kebahagiaan.

Solat juga mempunyai pelbagai kelebihan daripada aspek perubatan dan kesihatan antaranya, solat yang ikhlas dan khusyuk boleh mendamaikan jiwa, mengawal tekanan perasaan dan menjadikan tubuh badan sihat serta cergas.

Perkara itu terbukti apabila pakar urat saraf bukan beragama Islam melakukan kajian mendapati bahawa ada beberapa urat saraf dalam otak manusia yang berkeadaan selalu kosong, tidak dimasuki darah, iaitu darah tidak boleh masuk ke dalamnya, padahal setiap bahagian otak manusia itu memerlukan darah yang cukup untuk ia dapat berfungsi dengan sempurna.

Namun, selepas sekian lama membuat kajian, akhirnya doktor itu mendapati memang darah tidak dapat sampai ke beberapa bahagian urat saraf tertentu dalam otak kecuali pada ketika seseorang itu sujud dalam solatnya, barulah darah itu boleh masuk dan mengalir.

Sesungguhnya ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah kerana Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Perintah ibadat solat berbeza dengan ibadat lain seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan Malaikat Jibril. Ini menunjukkan ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah.

Oleh itu, sesiapa yang meremehkan dan mensia-siakan soal ibadat solat, mereka adalah golongan yang sesat. Allah berfirman yang bermaksud:

“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).” (Surah Maryam, ayat 59)

Abdullah bin Abbas berkata, maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkan daripada waktunya. Misalnya seseorang yang menunaikan solat Zuhur dalam waktu Asar, solat Asar di dalam waktu maghrib, solat Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu Subuh serta solat Subuh dilaksanakan selepas terbit matahari.

Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumbankan ke sebuah lembah bernama al-Ghai’a dalam neraka dan diberikan makanan amat jijik. Jika mengerjakan solat fardu di luar waktu sudah sebegini hukumannya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa orang yang tidak menunaikan solat fardu sama sekali.

Justeru, melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Oleh itu, marilah kita mentaati perintah Allah dengan menunaikan solat supaya kehidupan seharian sentiasa tenang dan dapat menghindarkan daripada melakukan mungkar.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda kesyukuran).” (Surah al-Kauthar, ayat 1-2).

http://nurjeehan.hadithuna.com/2008/07/solat-pendinding-daripada-kemungkaran/

KEHIDUPAN DI DUNIA HANYA PINJAMAN SAHAJA.KENAPA SAMPAI MACAM NI SIKAP.SEDANGKAN IBU YANG MEMBESARKAN ANAK ITU DARI SEBESAR TAPAK TANGAN.

kalaulah mereka pk begitukan bagus. Tadi dengar Usrah dari Dato Fatma Az Zahra. Dia kata kekadang mak bapak kalau anak remaja pakai baju seksi ke..mak pak tak berani nak tegur..dia kata…..budak2 zaman sekarang biasalah..tp kata dato sebagai ibu bapa kena tegur jugak…berkata benar walaupun pahit…entalah kan tak tau nak cakap apa..bila tengok anak2 buah semakin membesar dan anak sendiripun dah nak jadi anak teruna rasa gerun..Na’uzubillah hi min zalik…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kalendar

Oktober 2009
I S R K J S A
« Sep   Nov »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Blog Stats

  • 843,261 hits

Shoutbox

%d bloggers like this: