bila hatiku berbicara

buang ibu

Posted on: Oktober 21, 2010

9 anak ‘buang’ ibu kuat makan

 

JOHOR BAHRU: Hanya dengan alasan ibu kuat makan, seorang wanita tua yang lumpuh separuh badan dihantar anaknya ke pusat jagaan warga emas. Lebih menyedihkan, wang pencen arwah suami yang sepatutnya menjadi haknya turut dikaut sembilan zuriatnya itu setiap bulan.

Wanita berusia 84 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah, dihantar ke pusat jagaan selepas semua anaknya bersikap lepas tangan mengenai kebajikannya sedangkan ada antara mereka berjawatan tinggi termasuk bergelar profesional.

Akibatnya, Aminah bergantung sepenuhnya terhadap ihsan pihak lain bagi meneruskan kehidupan walaupun dia sebenarnya berhak mendapat pencen arwah suami RM700 sebulan.

“Sebelum suami meninggal dunia, dia berpesan kepada anak supaya menjaga saya. Namun, setahun selepas suami meninggal, kedua-dua kaki saya lumpuh sehingga terpaksa mengengsot.

“Sejak itu saya dianggap beban oleh anak hingga mereka menolak satu sama lain menjaga saya sebelum mengambil keputusan menghantar saya ke pusat jagaan ini tiga tahun lalu,” katanya.

Aminah mempunyai sembilan anak, lima lelaki dan empat perempuan berusia antara 30-an hingga lewat 50-an. Suaminya yang bekerja sebagai anggota polis meninggal dunia 10 tahun lalu.

Menurutnya, dia yang lebih banyak menguruskan semua sembilan anak kerana suami sering bertugas luar daerah, mendidik mereka dengan penuh kasih sayang sehingga berjaya.

Aminah berkata, buat masa ini, perbelanjaannya bagi membeli ubat-ubatan mahupun lampin pakai buang yang mencecah RM800 sebulan diuruskan Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan di Taman Bukit Kempas.

Menurutnya, hasratnya menggunakan wang pencen arwah suaminya tidak kesampaian kerana setiap kali persoalan itu ditimbulkan, ia mencetuskan pertengkaran di kalangan anak.

“Mereka mengambil wang itu secara bergilir-gilir. Jika anak sulung lelaki menggunakannya bulan ini, anak kedua mengambilnya pada bulan depan sebelum kad ATM (mesin juruwang automatik) itu diserahkan kepada anak ketiga.

“Saya sedih kerana setiap kali meminta daripada pengurusan pusat jagaan termasuk membeli minyak angin kerana tidak mempunyai wang sedangkan anak bekerja dan hidup senang,” katanya yang sebak ketika menceritakan kisah hidupnya.

Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Norijah Bidin, 45, berkata, seorang anak wanita berkenaan menghantar ibu kandungnya itu ke situ dengan alasan wanita berkenaan terbabit kuat makan.

Menurutnya, biarpun pada awalnya berjanji mahu membantu meringankan kos penjagaan ibunya dengan menyerahkan wang pencen arwah bapanya, lelaki berusia 40-an itu langsung tidak mengambil peduli mengenai warga emas terbabit sejak dihantar ke situ, kira-kira tiga lalu.

“Kadangkala nenek berkenaan segan meminta hingga kami menggunakan pendekatan psikologi supaya dia tidak kesunyian dan tidak berasa rendah diri dengan keadaannya itu.

“Kami bukan mendesak keluarga itu, tapi sekurang-kurangnya mereka yang berkemampuan sepatutnya membantu meringankan kos yang ditanggung pusat jagaan,” katanya.

 

p/s 10 org anak belum tentu dapat mejaga seorang ibu…ttp seorang ibu boleh menjaga 10 org anak…

Advertisements

7 Respons to "buang ibu"

‘Abang tak amanah’
Oleh Ahmad Nazri Mohamad dan Mary Victoria Dass
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Bukan semua kami adik-beradik ambil wang pencen ayah untuk kegunaan sendiri, tapi hanya seorang abang kami yang salah gunakan wang itu.

“Dia kami amanahkan untuk mengambil wang pencen ayah dan gunakannya untuk bayaran di rumah penjagaan emak kami, tapi dia salah gunakan wang itu.”

Demikian penjelasan anak bongsu wanita berusia 84 tahun dikenali sebagai Aminah yang lumpuh separuh badan dan tinggal di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan di sini

Semalam, Harian Metro menyiarkan kisah Aminah yang mendakwa dibuang sembilan anaknya ke pusat jagaan itu, malah pencen arwah suaminya sebanyak RM700 sebulan turut dikaut anak-anaknya bergilir-gilir setiap bulan.

Berikutan laporan itu, seorang lelaki berusia 37 tahun yang juga anak bongsu Aminah berkunjung ke Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan dan menafikan apa yang dikatakan ibunya.

“Apa yang emak saya cakap tidak boleh diambil kira 100 peratus kerana usianya lebih 80 tahun. Dia sering lupa dan nyanyuk. Cuba tanya dia dua tiga kali (mengenai sesuatu perkara), pasti dia tidak ingat,” katanya.

Katanya, semalam dia mengeluarkan ibunya daripada pusat jagaan berkenaan kerana tersinggung dengan kenyataan pengurusan Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan berhubung ibunya itu.

“Sebaik membaca Harian Metro pagi tadi (semalam), saya pergi ke sana (pusat jagaan) dan keluarkan emak. Sekarang emak tinggal bersama abang saya dekat Masai,” katanya.

Ditanya bagaimana adik-beradiknya menjaga Aminah, anak bongsu terbabit berkata, mereka belum memutuskan sama ada menghantar ibu ke pusat penjagaan orang tua lain atau menjaganya sendiri.

Menurutnya, sebelum ini emaknya ditempatkan di sebuah pusat jagaan harian, tetapi kosnya terlalu tinggi iaitu RM1,200 sebulan menyebabkan adik-beradiknya menghantar wanita itu ke pusat jagaan berkenaan.

“Bukan kami tidak mahu jaga emak, tetapi emak perlu jagaan sepenuhnya kerana dia lumpuh dan masing-masing (adik-beradik) tak dapat berbuat demikian,” katanya.

Lelaki itu turut menafikan dia bersama adik-beradiknya menghabiskan wang pencen arwah ayah mereka, sebaliknya memberitahu sebahagian besar wang itu digunakan untuk membayar kos penjagaan ibunya di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan.

“Daripada RM700 itu, RM500 digunakan untuk membayar kos penjagaan di pusat berkenaan manakala RM200 lagi digunakan untuk diberikan pada ibunya selain membeli keperluan seperti lampin pakai buang dan ubat-ubatan.

“Sepanjang ditempatkan di sana, adik-beradik saya bayar (guna) duit pencen (kos penjagaan), tetapi seorang abang buat hal, habis kami semua dipandang serong masyarakat,” katanya yang menyifatkan apa yang berlaku ibarat kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Lelaki itu turut menafikan dia dan adik-beradiknya mengabaikan Aminah, sebaliknya memberitahu dia membawa wanita itu ke rumah seorang abangnya untuk menyambut Aidilfitri baru-baru ini.

“Selain membawa emak pulang berhari raya di rumah abang, saya memberinya duit raya dan membelikan baju baru,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Norijah Bidin, 45, berkata anak warga emas berkenaan berkunjung ke pusatnya dan melahirkan rasa kesal.

“Dia berjanji akan menjaga ibunya sebaik mungkin. Pada mulanya kami terkilan apabila lelaki itu tiba-tiba muncul dan menyatakan mahu bertemu ibunya seketika. Bagaimanapun, dia berubah fikiran sebelum meluahkan hasrat membawa pulang ibunya,” katanya.

Menurut Norijah, biarpun Aminah keberatan meninggalkan pusat jagaan itu, dia akur dan menuruti kehendak anaknya.

Katanya, hasil persetujuan kedua-dua pihak, pengurusan pusat jagaan itu membenarkan Aminah dibawa pulang dengan harapan kehidupannya lebih ceria di samping anak dan cucu.

“Kami berterima kasih kepada pelbagai pihak yang menghubungi pusat jagaan dan menyatakan simpati terhadap nasib Aminah,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Bahagian Pasca Perkhidmatan, Ahmad Nizam Norali pula berkata, pihaknya berusaha mendapatkan nombor kad pengenalan penerima pencen berkenaan untuk siasatan.

Pihak berkenaan juga akan menghubungi pusat jagaan itu bagi mendapatkan maklumat berkaitan Aminah.

“Wanita berkenaan lebih berhak mendapatkan wang pencen arwah suaminya dan kami akan menjalankan siasatan sebelum mengambil tindakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

saya terkilan dengan tindakan tanpa usul periksa pihak pengurusan tersebut dan terus membuat berbagai statement. sepatutnya, pihak anda lebih memahami keadaan dan emosi seorang warga emas yang nyata umur sudah meningkat , maka pelbagai cerita akan dikeluarkan oleh warga emas ini. saya sendiri mempunyai dua orang ibubapa yang sakit dan saya adik beradik menjaga mereka. malah saya mengambil mereka tinggal dengan saya. tapi, memang pepatah ada mengatakan “10 orang anak belum tentu dapat menjaga anak, tapi 1 orang ibu dapat menjaga 10 orang anak”. menjaga anak kecil adalh lebih mudah untuk dijaga, kena marah, kena pukul dan kena tegur, mereka tidak akan melawan dan tidak akan ambil hati. tapi bagi warga emas, hati mereka sangat sensitif, susah ditegur malah degil. Ubat pula susah nak makan ikut masa,sedangkan kakak saya telah menyusun semua ubat mengikut masa dan hari untuk kemudahan mereka pabila kami keluar bekerja. Namun masih tetap dianggap tidak menjaga mereka dengan betul. dan pelbagai kerenah yang tak masuk dek akal. ‘MENCANANG’ keaiban anak kepada jiran-jiran dan semua tindakan adalh tidak kena namun kami masih redha kerana ini adalah ujian allah pada kami. oleh itu pada sesiapa yang tidak ada pengalaman menjaga ibubapa yang tua dan sakit, saya syorkan buatlah kajian dulu atau siasat dulu baru buat apa statement. kami teramat faham situasi yang dialami oleh anak-anak puan aminah ini. Mungkin ada yang membuang ibubapa begitu sahaja, tapi didalam situasi ini, kami memerlukan sesorang atau tempat yang khas dapat menjaga kesihatan mereka dengan lebih teratur dan menjamin keselamatan mereka, namun adalah salah menyebarkan keaiban atau maklumat pesakit keluar kerana ini meyerupai membocorkan maklumat pesakit ke makluman orang ramai. anda telah dipertanggungjawab dan diberikan amanah untuk menjaga maklumat tetapi anda gagal dan menyebarkan cerita yang mana akan mengaibkan orang. Lain kali siasat dulu sebelum sebarang tanggapan dan hapuskan pandangan serong terhadap seseorang anak yang menghantar ibubapa mereka ke pusat jagaan . Kita juga perlu mendengar cerita ‘SEBENAR’ di kedua-dua belah pihak, barulah kita boleh membuat keputusan yang sewajarnya.

sepatutnya anak yang sulung memainkan peranan utama menjaga ibu kandungnya yang terlalu uzur disebabkan masalah kesihatan yang teruk. Tetapi, anak yang lain boleh juga mengambil berat tentang perkara ini dan bawa berbincang dan cari jalan penyelesaian dalam menjaga seorang ibu yang telah melahirkan kita. Cuba kita renungkan….Layak kah seorang ibu terbiar begitu sahaja tanpa kasih sayang seorang anak!

Minda: Sayangilah ibu bapa

MASYARAKAT kini semakin luntur kemanusiaannya. Saban hari ada saja berita mengenai kisah penderaan suami terhadap isteri, isteri derhaka, penganiayaan anak-anak, pembuangan bayi, pengabaian ibu bapa dan pelbagai kisah kejam dan sedih yang jelas menggambarkan senario masyarakat yang semakin tipis nilai kasih sayang dan kemanusiaan.

Bagaimanapun kali ini penulis mahu menumpukan perhatian kepada pengabaian anak-anak terhadap ibu bapa. Ungkapan what you give is what you get atau setiap perbuatan ada balasannya membuka mata kita mengenai kesan terhadap perbuatan seseorang apabila usia memanjat tua. Banyak faktor menyebabkan orang tua dibaikan anak-anak mereka. Antaranya ada ayah dan ibu asyik berkahwin dan cerai sehingga anak-anak tidak mendapat kasih sayang dan terpaksa mencari haluan sendiri dalam hidup. Tidak kurang ibu bapa yang zalim mendera mental dan fizikal anak-anak serta mengabaikan hak anak-anak sehingga hidup mereka terbiar sejak kecil. Ingatlah, ibu bapa memegang amanah paling besar daripada Allah agar mencorakkan masa depan anak-anak. Namun, jika ibu bapa ingkar menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan mereka harus menerima karma yang menanti mereka.

Kisah ini banyak terdapat di rumah orang tua yang seharusnya dijadikan panduan kepada masyarakat kerana kita tidak selamanya muda, kaya dan sihat. Benar kata pepatah, ingat sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati.

Kewujudan dan pertambahan rumah orang tua di negara kita jelas menggambarkan kesan kehidupan masyarakat khususnya di alaf 21 ini apabila kita tua nanti. Dalam satu kajian yang dibuat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), warga emas Melayu paling ramai menghuni di 11 rumah orang tua seluruh negara di bawah seliaan jabatan berkenaan. Timbalan Penguasa Rumah Orang Tua Seri Kenangan Cheng Melaka, Mohd Emran Abdul Salam, berkata majoriti daripada 236 penghuni rumah berkenaan ialah Melayu. Orang tua yang dimasukkan di rumah itu mempunyai pelbagai latar belakang dan kisah hidup mereka tersendiri. Menurutnya, faktor utama menyebabkan mereka menghuni rumah orang tua ialah sikap mereka sendiri sebagai ibu bapa yang gagal mendidik anak dengan baik menyebabkan anak menghantar mereka ke situ. Kedua, anak yang kurang menghargai jasa ibu bapa dan terlalu mengejar kemewahan sehingga terlupa bahawa restu ibu bapa penting dalam melakukan setiap perkara. Terdapat anak yang bergaduh sesama sendiri apabila diamanahkan untuk menjaga ibu bapa yang telah tua dan uzur. “Masing-masing ada alasan tersendiri dan mengelak daripada menjaga ibu bapa. Akhirnya jalan penyelesaian ialah menghantar ibu bapa ke rumah orang tua. Ada juga di antara anak tidak mahu menjaga orang tua mereka kerana desakan pasangan seperti keengganan isteri atau suami menerima ibu bapa mereka,” kata Mohd Emran. Ketiga, peribadi penghuni itu sendiri, umpamanya kehidupan masa muda yang dilalui seperti menjadi penagih dadah, bekas banduan dan pekerja sosial. Keempat, orang bujang yang tidak mempunyai waris atau pasangan untuk menjaga mereka menyebabkan mereka mencari tempat perlindungan di rumah orang tua. Kelima, ibu bapa merajuk dengan anak dan keluarga dan membawa diri untuk tinggal di rumah berkenaan. “Bagaimanapun, bagi kes ibu bapa merajuk biasanya anak akan datang memujuk mereka kembali ke pangkuan keluarga,” katanya. Keenam, faktor ekonomi yang menjadi alasan lazim anak menghantar ibu bapa ke rumah berkenaan.

Mohd Emran berkata, selama menjadi penguasa di rumah orang tua beliau berhadapan pelbagai kisah menyayat hati yang harus dijadikan iktibar masyarakat untuk lebih prihatin menjaga ibu bapa mereka. Bagi anak yang masih mempunyai ibu bapa seharusnya mereka menjaga ibu bapa dengan baik kerana orang tua mempunyai sifat yang terlalu sensitif dan perlukan belaian dan kasih sayang daripada anak mereka. Bagi yang mampu menjaga ibu bapa beliau nasihatkan menjaga mereka selagi masih ada. Di rumah berkenaan walaupun kakitangannya cukup dan keperluan fizikal seperti makan dan pakai disediakan, namun penghuni perlukan belaian dan kasih sayang anak serta cucu untuk mereka mengisi masa yang masih tersisa dalam hidup. Kepada ibu bapa terutama yang masih muda, beliau menasihatkan agar tidak mengabaikan anak kerana mereka akan tua suatu hari nanti dan memerlukan anak untuk menjaga mereka. Kehidupan terlalu mengejar kebendaan dan status tidak menjamin apa-apa apabila tua kelak. “Anak-anak adalah harta yang tidak ternilai dianugerahkan Allah kepada kita. Jika baik dan bijak mendidik mereka, insya-Allah mereka akan membalas jasa ibu bapa,” katanya.

Pengasas dan Pengetua Rumah Orang Tua Al Ikhlas Puchong, Selangor, Muji Sulaiman berkata, kisah penghuni dihantar ahli keluarga membuatkan kita terfikir betapa kehidupan masyarakat kini sudah tersasar.

“Jika sebelum ini tanggungjawab menjaga ibu bapa dipikul anak, namun sekarang mereka mengambil jalan mudah menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atas alasan tiada masa dan kekangan ekonomi,” katanya. Menurutnya, kehidupan masa lalu penghuni juga menyumbang kepada faktor mengapa mereka menginap di rumah orang tua. Ada anak yang menghantar ibu dan ayah kerana kecewa dengan sikap mereka sewaktu muda kerana lebih mementingkan diri sendiri. “Ada juga kisah ayah berkahwin lebih daripada satu sehingga anak terbiar menyebabkan anak mereka membalas dendam dengan menghantar mereka ke rumah orang tua. Alasan yang diberikan, ketika muda mereka tidak ingat anak, tetapi apabila sudah tua baru memerlukan anak,” katanya.

Muji berkata, ada juga anak yang meninggalkan ibu bapa di hospital tanpa dituntut menyebabkan orang tua mereka diambil Rumah Orang Tua Al Ikhlas Puchong. “Namun, paling banyak adalah kes tidak ada siapa yang boleh menjaga ibu bapa kerana kesibukan bekerja dan masalah ekonomi,” katanya.

Walau apapun alasan mereka, Muji menasihatkan anak yang pernah mengalami peristiwa pahit diabaikan ibu bapa agar melupakan kisah silam dan menjaga kedua-dua ibu bapa mereka dengan penuh kasih sayang. Memang bukan mudah menjaga ibu bapa terutama yang uzur dan sakit, tetapi kita tidak boleh melupakan jasa dan pengorbanan mereka membesarkan kita. Pesanan kepada mereka yang mungkin lupa bahawa kita tidak sentiasa muda dan kaya serta sihat, tanggungjawab yang diamanahkan Allah amat penting untuk kita laksanakan. Bagi ibu bapa yang sentiasa sibuk dan terlalu mengejar kebendaan dan status, luangkan masa untuk anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Bagi anak-anak pula, jangan abaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa hanya kerana kita terlalu sibuk dengan pekerjaan dan ghairah mengumpul harta. Kasihanilah ibu bapa kita kerana mereka amat memerlukan perhatian dan kasih sayang untuk mengisi usia yang tersisa dalam hidup. Lupakan kisah silam mereka, kerana kita juga tidak tahu apa nasib kita apabila kita seusia mereka kelak. Ingatlah, hidup ini satu putaran.

p/s pada sy walau apapun kita sebagai anak kena melayan ibu kita sebaik yg mungkin…andai ibu kita sudah tua sakit dan tidak berdaya kita perlu hiburkan mereka dengan kasih syg…

merajuk….marah itu adalah lumrah bagi ibu 2 yg sakit ….mungkin inginkan perhatian dan kasih syg dari anak2…teringat ketika menjaga nenek yg terlantar sakit dahulu…pagi petang sy bersamanya kerana mak sy sibuk menjual kuih di pasar…memandikan nenek…bergurau mengajarnya mengaji dll….nenek pula suka melawak…dan selalu bercerita….bila tiba aje waktu makan ubat nenek tak susah makan ubat…saat yg tidak di lupakan tatkala nenek menghembuskan nafasnya yg terakhir….dia sempat melafazkan kalimah Allah dengan suara yang nyaring…Allah…. peluang ini amat bermakna bagi sy…sy mahu anak menantu dan cucu2 sy melayan sy dengan baik kelak….semoga Allah menempatkan roh nenekku di sisi org2 yg beriman amin….

kepada anak2 yg masih mempunyai ibu bapa sayangilah mereka…kerana di dunia ini….tidak ada dua tiga ibu…ibu bapa kita hanya satu….carilah kat mana2 pun kasih org lain tidak seagung kasih ibu bapa kepada kita…….andai ibu bapa kita melakukan kesilapan maafkan lah mereka….kerana mungkin juga ini ujian buat kita sebagai hambaNYA….

amelia adam!!!!! im sorry to say that i very DISAGREEEE with ur fool statement. mmg la btol,pyh nk jge org tua drpd jge bdak2,tp pkr la ckit,diorg tu ramai,10 orang xkan still nk cr alasan bkerja..pkir la rasional ckit,cr maid ke,..kalau dh tahu org tua ni senstif,jge la at diorg,jgn nk cri pasal… kalau boleh pusat jgaan org tua tu xpatut dwujudkn pun lnsg…msg2 ade komtmen la…cuba bygkan pnat llah diorg jage korg time kcik sampai la BESAR pnjg,,,xterNILAI lansung tahu tak dgn ape yang korg buat,,,hmm.pkir2 lah

Sengal punya manusia poskan mak bapak kat rumah orang tua. Cuba bayangkan kau pulak yang tiba-tiba lumpuh dan nyanyuk dan kena hantar kat rumah kebajikan pulak sebab tak de sapa nak jaga. Apa-apa yg kita ada hanya pinjaman bro. Bila dah hantar tu nak justify pulak macam-macam. Kalau takat RM1200 sehari bro, bahagi 9 berapalah sangat. Sama dengan kos langganan astro je bro. Dahtu ada pencen lagi kan. Dasar tanggang, hidup takkan selamat bro. Itu sure punya.

Kami 10 beradik. 19 Januari 2016 mak meninggal dunia. Tinggal ayah seorang. Ayah mempunyai peneroka FELDA dan setiap bulan mempunyai pendapatan. Kami 6 beradik perempuan dan 4 lelaki. Apa yang saya kesalkan, anak lelaki tidak mengambil tahu sakit pening mahupun menziarah atau bertanya khabar. Namun harta benda ayah semuanya mengambil berat. Bertanya di mana geran kebun, geran tanah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kalendar

Oktober 2010
I S R K J S A
« Sep   Nov »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Blog Stats

  • 840,937 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada
%d bloggers like this: