bila hatiku berbicara

Archive for September 16th, 2011

Pak Ku gagah

Oleh Adnan Mohamad
SELESA...Tuan Man mendapat sokongan rakan sekerja.
SELESA…Tuan Man mendapat sokongan rakan sekerja.

KOTA BHARU: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang kudung kedua-dua tangan dan kaki layak digelar ‘OKU Super’ berikutan kemampuannya hidup seperti manusia normal termasuk memandu kereta sejauh hampir 100 kilometer setiap hari.

Tuan Man Tuan Wel, 50, dari Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, cacat sejak lahir dengan keadaan tangan paras siku dan kaki setakat lutut.
“Cacat bukan halangan untuk saya meneruskan hidup. Melihat keadaan saya yang begini mungkin ramai tidak percaya saya mampu memandu kereta dan memanjat anak tangga ke tingkat dua tempat saya bekerja.

“Namun, itu yang saya lalui sejak bertahun lalu,” katanya yang juga pembantu tadbir di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan sejak 2002.
Tuan Man berkata, dia juga tiada masalah membawa isteri dan anak makan angin dengan memandu dari Pasir Puteh, Kelantan ke Cameron Highlands.
Tuan Man atau mesra dengan panggilan Pak Ku, berkahwin dengan Robiah Abdullah, 41, dan dikurniakan tiga anak, Tuan Nur Qurratu Ainy Mardiah, 14, Tuan Nur Azim Qoyyum, 10 dan Tuan Nur Qasrina Amaniey Mardiah, 5.

Dia memandu Perodua Kancil yang diubah suai dengan kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas memperoleh lesen memandu kereta pada 2004.
Setiap hari bekerja, rutinnya ialah memandu dari rumah mereka di Pasir Puteh ke Kota Bharu untuk menghantar isterinya yang juga pembantu tadbir di Jabatan Akauntan Negara Kelantan, sebelum dia ke tempat kerjanya dan mengambil semula isterinya untuk pulang ke rumah pada petang.

“Bagi saya, kehidupan yang saya lalui sekarang kurang cabaran kerana sudah banyak kemudahan disediakan kerajaan kepada OKU.
“Bagaimanapun, saya masih berharap kerajaan membuka lebih banyak peluang kepada golongan seperti saya kerana masih ramai beranggapan OKU tidak berkemampuan menyumbang tenaga serta buah fikiran meskipun ramai yang berkelulusan tinggi,” katanya.
Tuan Man yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berkata, dia mula bekerja pada 1991 termasuk di Putrajaya dan menempuh pelbagai cabaran, tetapi semangatnya tidak pernah pudar.
“Dulu ada yang tidak yakin dengan kemampuan saya, tetapi dengan usaha gigih dan kesungguhan, saya diserap ke jawatan tetap dan berpencen,” katanya yang mempunyai ketinggian 126 sentimeter.
Menurut Tuan Man, meskipun ada pihak sudi menyumbangkan kaki palsu, dia menolak secara baik kerana lebih senang menggunakan kakinya yang asal.
“Bagi saya, menggunakan kaki yang separas lutut ini lebih memudahkan saya memanjat atau menuruni tangga di pejabat.
“Saya tidak memakai kasut kerana tidak selesa dan sakit,” katanya yang aktif sebagai ahli Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Insani).

p/s dulu pernah sy kenal seorang OKU yang berjaya Abdul Halim Ahmad seorang usahawan…dia ni lebih kurang pakcik ni le. Sy terpk camne le dia memandu…rupanya hari ni baru sy tau camni tombolnya……OKU boleh cuma banyak masyarakat yang tak yakin dengan kemampuan OKU.Tak faham OKU( agaknya takde family depa yg OKU, kalau ada baru tau camne rasanya). So pk2 lah buka mata buka hati….

Advertisements

Koperal tembak mati remaja dijel

Oleh NORHAYATI YAHAYA dan SHAH NIZAM OMAR
berita@kosmo.com.my

NORSIAH (kanan) bersama seorang ahli keluarga selepas mendengar keputusan kematian Aminulrasyid yang ditembak polis tahun lalu.

 

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Koperal Jenain Subi selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, pada 2010.

Hakim Latifah Mohd. Tahar bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman yang diarahkan berkuat kuasa semalam bagi membolehkan Jenain membuat rayuan berhubung keputusan itu.

Latifah mengekalkan jumlah jaminan RM10,000 sementara menunggu keputusan rayuan tertuduh.

Dalam penghakimannya, Latifah berkata, mahkamah membuat keputusan Jenain bersalah selepas mengambil kira keterangan tertuduh di akhir kes pembelaan yang mengaku melepaskan 21 das tembakan dalam kejadian itu.

Selain itu, tertuduh juga bersetuju bahawa kelajuan kereta Proton Iswara bernombor pendaftaran BET 5023 dipandu remaja itu semasa memasuki Jalan Tarian 11/2 pada 26 April 2010 semakin perlahan dan kereta itu tidak membahayakan mana-mana pihak termasuk terhadap diri tertuduh.

JENAIN dijatuhi hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.

 

“Disebabkan keadaan tidak membahayakan tertuduh tidak perlu melepaskan tembakan lebih-lebih lagi 21 das,” kata Latifah.

Jenain, 49, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 hingga 2 pagi pada 26 April 2010 selepas melepaskan tembakan ke arah kereta dipandu remaja itu.

Bapa kepada empat orang anak berumur antara 15 hingga tiga tahun itu dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

AMINULRASYID

 

Selain itu, Latifah dalam hujahnya turut berkata, selepas meneliti keterangan saksi-saksi dalam perbicaraan itu, jelas tiada keraguan bahawa peluru yang terkena pada bahagian kepala Aminulrasyid yang menyebabkan kematiannya datang daripada senjata tertuduh.

Berikutan itu, kata beliau, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan dengan itu tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun.

“Mahkamah bukan sahaja simpati kepada keluarga mangsa tetapi juga kepada tertuduh namun perlu diingatkan penggunaan senjata bagi polis ada had dan perlu digunakan secara munasabah,” kata Latifah ketika membacakan keputusannya.

Jenain yang berdiri di kandang tertuduh mengalirkan air mata dan tunduk ke lantai mendengar keputusan itu.

Ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 61, dan dua kakaknya Nor Azura Amzah, 40, dan Tuty Shaninza Anom Amzah, 37, turut mengesat air mata masing-masing.

Sepanjang bicara, 39 saksi dipanggil memberi keterangan bagi pihak pendakwaan manakala pembelaan mengemukakan tiga saksi termasuk Jenain.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan – Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar, Idham Abd. Ghani dan Adilla Ahmad manakala Jenain diwakili peguam bela, M. Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar.


Kalendar

September 2011
I S R K J S A
« Ogo   Okt »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Blog Stats

  • 851,418 hits

Shoutbox