bila hatiku berbicara

Membentuk peribadi Islam sebenar

Posted on: Mac 4, 2012

pix_middle

pix_topright

SEKOLAH pondok dan masyarakat Melayu sangat sinonim, malah tidak mampu dipisahkan, ibarat isi dengan kuku. Sejak abad ke-18 lagi, sistem pendidikan tradisional bertunjangkan Islam ini banyak diamalkan di Malaysia dan menjadi pilihan ibu bapa, terutama di pantai timur dan utara Semenanjung.

Biasanya mempunyai asrama, sistem kemasukan sekolah pondok yang diamalkan tiada had usia dan tidak mengira latar belakang. Sesiapa saja boleh datang pada bila-bila masa untuk menuntut ilmu akhirat.

Bagi menyelami warna-warni kehidupan di sekolah pondok pada zaman moden, wartawan Metro Ahad, MOHD HELMI IRWADI MOHD NOR dan RUSILA ABDUL MANAF bersama jurugambar EZAIRI SYAMSUDIN ke Sekolah Pondok Atta’lim Wattarbiah, Bandar Hilir, Teloi Tua, Sik, Kedah.

Jarum jam baru menunjukkan detik 5.30 pagi, namun ratusan pelajar mula berkumpul di surau Sekolah Pondok Atta’lim Wattarbiah, Bandar Hilir, Teloi Tua, Sik, Kedah menanti masuk waktu Subuh untuk menunaikan solat berjemaah.

 
Sambil menanti laungan azan, kedengaran lontaran suara lunak milik 253 pelajar sekolah itu berwirid dan berzikir memuji kebesaran Ilahi dan Nabi Muhammad SAW ketika mungkin masih ramai umat Islam asyik dibuai mimpi indah.

Itu antara sinopsis keberkatan sekolah yang diasaskan pada 1992 ini – antara institusi pengajian Islam yang mengekalkan tradisi pondok lama selain skop pembelajaran yang menekankan ilmu fardu ain dan akademik memenuhi keperluan pengajian semua pelajarnya.

Kunjungan wartawan baru-baru ini memberi peluang menyelami kehidupan sebenar pelajar sekolah itu, di mana mereka bukan saja diajarkan ilmu ukhrawi tetapi juga mempunyai arah haluan selepas tamat pengajian.

Pemerhatian mendapati sekolah berkenaan mempunyai 36 pondok lama yang dijadikan kediaman untuk memudahkan pelajar mendalami ilmu agama selain mengkaji pelbagai kitab.

Mudirnya, Ismail Mahmud berkata, pengajian di sekolah itu terbahagi kepada dua iaitu menggunakan sistem ‘nizommi’, bermakna pembahagian kelas dan diwujudkan peperiksaan, serta sistem ‘ummummi’ yang mendidik pelajar mengenai ilmu fardu ain secara umum.

“Kelas ‘nizommi’ terbahagi kepada empat thanawi (kelas) yang mana pelajar mengikuti pengajian di bangunan sekolah, manakala pengajian ‘ummummi’ membabitkan pembelajaran di surau.

“Subjek pengajian ditentukan pihak pengurusan sekolah dan 15 subjek diajar, iaitu ilmu nahu dan sorof, fiqah, balaqah, matik, tauhid, mahfuzoh, tajwid, al-Quran, lughah, sejarah Islam, khad, usul tafsir, mustolah hadis, akhlak dan faraid,” katanya.

Menurut Ismail, pihaknya juga mengajar subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik selepas menyedari subjek itu penting dalam kehidupan seharian.

“Kami juga memberi penekanan terhadap pemilihan al-Quran, penguasaan Jawi, cara bersolat, wirid, zikir dan juga panduan belajar cara Islam,” katanya.

Ismail berkata, pengajian sekolah terbabit bermula sejak 1992 dan pada peringkat awal, 63 pelajar belajar di bawah pokok berikutan ketika itu tiada sekolah dan pondok dibina di kawasan berkenaan.

Katanya, pada 1 Mei 1993, bapa mentuanya, Abu Bakar Ibrahim mewujudkan pondok sebagai tempat belajar sebelum membina sebuah sekolah selepas menerima sumbangan orang ramai pada 2005.

Menurutnya, pelajar yang mengikuti pengajian di sekolah itu berusia antara 13 hingga 20 tahun, membabitkan mereka yang tercicir pengajian di peringkat sekolah rendah dan menengah selain memiliki masalah sosial.

“Tujuan penubuhan sekolah ini adalah membentuk keperibadian Islam sebenar dan melatih pelajar untuk berdikari supaya berguna kepada masyarakat dan agama,” katanya.

Ismail berkata, kitab yang diajar kepada pelajar bermula daripada ‘Kitab Fathrul Raqib’ hinggalah ‘Kitab Ya’anah’, manakala pembelajaran kelas Jawi menggunakan ‘Kitab Ta’alim Mun Taa’lim’ (Kitab Pelita Penunjuk).

“Lapan puluh peratus pengajian di sini membabitkan fardu ain manakala 20 peratus adalah akademik, dan misi utama adalah melahirkan pendakwah Islam yang berjuang untuk agama,” katanya.

Ismail berkata, setiap pelajar diwajibkan menghafaz surah tertentu selain diajar menulis, membaca dan mengamalkan ‘muzakarah’ (perbincangan bersama).

“Bagi sistem peperiksaan, pelajar perlu menjalani dua kali dalam setahun selain turut diberikan peperiksaan bulanan. Seandainya gagal di tahap thanawi 1, mereka tidak dibenarkan naik ke thanawi 2, 3 dan 4,” katanya.

Menurutnya, rutin kehidupan pelajar bermula sekitar jam 5 pagi sehingga jam 10.30 malam, mulai Ahad sehingga Khamis, manakala setiap Jumaat pelajar perempuan terbabit dengan aktiviti ‘burah’ (Qasidah) dan pelajar lelaki dikehendaki menghadiri kelas ‘muhadarah’ (mencungkil bakat) seperti nasyid dan pengucapan awam setiap Sabtu.

Hampir 100 sekolah di 10 negeri

KIRA-KIRA tiga abad selepas kewujudannya, sekolah pondok yang banyak berjasa kepada masyarakat Melayu dulu kala kini masih mampu berdiri teguh dengan 95 sekolah seumpama itu masih beroperasi di 10 negeri.

Sesuai dengan jolokan ‘Serambi Makkah’, Kelantan dikatakan mempunyai 39 sekolah pondok, diikuti Kedah dan Pulau Pinang (28), Terengganu (12), Pahang (6), Selangor (3), Johor (3), Melaka (2) dan Negeri Sembilan.

Antara sekolah pondok di Kelantan adalah Madrasah Diniah di Kota Bharu; Madrasah Rahmaniah di Pasir Mas; Madrasah Muhammadiah di Kuala Krai; Madrasah Ar-Rahmaniah di Tumpat dan Madrasah Dakwah Islamiah di Pasir Putih.

Di Kedah dan Pulau Pinang, antara sekolah pondok yang ditubuhkan adalah Madrasah Sa’adatul Wataniah di Baling; Madrasah Tarbiyatul Awladiyyah di Langkawi; Madrasah Manabi’ a-Ulum ad-Diniah di Jitra; Markaz at-Ta’lim Wattarbiah di Sik dan Madrasah Darul Muhajirin di Seberang Prai.

Di Johor, sekolah pondoknya adalah Madrasah Darul Istiqamah, Madrasah Ribat dan Madrasah Miftahul Muarif di Muar, manakala di Negeri Sembilan adalah Pondok Ustaz Raoufdi Tampin dan Madrasah Mazahir Ulum di Port Dickson.

Bagi Melaka, sekolah pondok­nya adalah Pondok Baitul Qurra’ wal Ilmi di Sungai Udang dan Madrasah AI-Hasanah di Kampung Padang Temu, manakala di Pahang, Pusat Pendidikan Islam an-Nuur di Kuantan dan Markaz Tarbiah Darul Hijrah Al-Islamiah di Temerloh.

Antara sekolah pondok di Terengganu adalah Pondok Darussalam di Kuala Terengganu; Madrasah Darul Bayan di Dungun, dan Madrasah Falahiah di Jerteh, manakala di Selangor, Madrasah Islamiah di Dengkil; Pusat Pengajian Pondok Bustanul Arifin di Banting dan Raudhatul Ulum, Markaz Tarbiyah Islamiah, Darul Atiq di Ulu Selangor.

INFO:

  • Pada abad ke-18, pelajaran agama Islam berkembang maju apabila beberapa alim ulama dari Timur Tengah berhijrah ke Tanah Melayu. Antaranya Syarif Muhammad dari Baghdad, yang kemudian bermastautin di Terengganu. Keturunan beliau yang bergelar Tok Pulau Manis kemudian menjadi ulama masyhur. Tok Pulau Manis pernah belajar di Aceh dan Makkah. Beliau seterusnya mengasaskan sekolah agama di Pulau Manis, Kuala Terengganu.
  • Apabila berlaku peperangan antara orang Islam dengan kerajaan Siam di Pattani, lebih ramai alim ulama berhijrah ke Kelantan dan Terengganu. Antaranya Syeikh Daud Abdullah yang bermastautin di Pulau Duyung, Kuala Terengganu dan Syeikh Abdul Kadir yang kemudian mengajar di Bukit Bayas dan Kuala Terengganu.
  • Mulai penghujung abad ke-19, terutama selepas Perang Dunia Kedua, sekolah pondok, sekolah Arab dan sekolah agama muncul di merata-rata tempat di seluruh Semenanjung, terutama Kelantan, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.
  • Ramai pelajar lepasan madrasah, umpamanya daripada Madrasah al-Masyhur Pulau Pinang, Madrasah Muhammadiah di Kota Bharu, Kelantan dan Maahad al-Ihya’ al-Syarif, Gunung Semang­gol Perak melanjutkan pelajaran ke Asia Barat, terutama di Masjidil Haram Makkah dan Universiti al-Azhar Mesir.
  • Penghijrahan tokoh agama dari Pattani dan Asia Barat memberi manfaat besar kepada masyarakat Melayu Islam ketika itu. Banyak buku bahasa Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan Jawi, terutama sekitar abad ke-19.
  • Dipercayai orang paling awal menyampaikan pendidikan Islam di Kelantan ialah Syeikh Haji Abdul Halim. Beliau mengajar anak pembesar dan orang kebanyakan. Kehadiran beliau kemudian menyebabkan Kelantan terkenal sebagai pusat perkembangan pengajian agama Islam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Komen Anda

Azhari Bin Abu Manso… on Mengapa tiada jodoh
Alexa on Skynet
ina on 60 PETUA MENCARI JODOH
Honey on 60 PETUA MENCARI JODOH
ina on Tips Mudah Hamil

Kalendar

Mac 2012
M T W T F S S
« Feb   Apr »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Blog Stats

  • 815,759 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada
%d bloggers like this: