bila hatiku berbicara

Archive for Mac 13th, 2008

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Cuba bayangkan bagaimana seorang pelajar boleh memperoleh 21A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 yang keputusannya diumumkan, semalam.

Adakah dia mengulang kaji pelajaran berjam-jam setiap hari tanpa sebarang kegiatan riadah seperti anak muda lain yang gemar bersukan?

Pencapaian menakjubkan itu turut memecahkan rekod Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17 1A pada 2004.

Bagaimanapun, bagi Azali Azlan, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan, Kedah, dia berpuasa, memakan buah kurma, minum madu dan susu sepanjang tempoh peperiksaan menjadi amalan utamanya.

Dia memperoleh 20 1A dan satu 2A mengatasi rekod Nur Amalina Che Bakri yang hanya memperoleh 17 1A.

Menurut Azali, dia mengambil 21 mata pelajaran bukan untuk memecahkan rekod, sebaliknya melakukan untuk kepuasan diri sendiri.

“Tujuan asal saya bukan untuk mengatasi mana-mana rekod, tapi saya buat untuk diri sendiri serta cikgu. Bagi saya, jika buat semata-mata untuk memecahkan rekod, ia tidak memberi apa-apa makna.

“Ini sebagai hadiah kepada semua guru saya,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman pelajar cemerlang SPM di Kementerian Pelajaran di sini, semalam.

Azali mendapat 20 1A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Biologi, Kimia, Fizik, Matematik Tambahan, Sejarah, Geografi, Perdagangan, Ekonomi Asas, Matematik Moden, Prinsip Akaun, Sains Asas, Pendidikan Seni, Pendidikan Islam, Tasawwur Islam dan Kesusasteraan Melayu.

Dia mendapat 2A dalam Bahasa Inggeris untuk Sains dan Teknologi.

Azali berkata, ketika membuat keputusan mengambil 21 mata pelajaran, guru banyak memberi nasihat dengan menerangkan kebaikan dan keburukannya jika mengambil banyak mata pelajaran.

“Cikgu tidak pernah cakap jangan (ambil 21 mata pelajaran), tapi cikgu menjelaskan kebaikan dan keburukannya. Ini kerana mereka bimbang saya tidak boleh menguasai semua mata pelajaran.

“Namun, saya percaya dengan diri sendiri, Saya percaya pada Tuhan. Alhamdulillah, cikgu banyak membantu. Mereka tolong dapatkan buku teks yang diperlukan. Itu sebab saya katakan ini (kejayaan) bukan untuk diri sendiri tapi untuk guru dan ibu bapa,” katanya.

Dia lebih banyak belajar sendiri dengan bantuan guru dan tidak menghadiri tuisyen di luar sekolah berikutan tinggal di asrama.

Anak ketiga dari lima beradik itu mendapat 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), selain aktif dalam kegiatan sekolah, malah pernah dinobatkan sebagai Tokoh Nilam Kebangsaan 2007.

Anak pasangan guru, Azlan Othman, 51, dan Rozita Sanapi, 46, dari Tikam Batu, Kedah, itu berkata pendorong utama untuk belajar datang daripada kakak sulung yang ketika ini melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Cook Universiti, Ireland.

Ditanya mengenai resipi kejayaan dan cara belajar yang dilakukan hingga memperoleh keputusan cemerlang, dia berkata: “Saya belajar dengan sabar. Bagi saya dalam perjuangan mesti ada dugaan dan cabaran daripada Allah, jadi sebagai pelajar Islam adalah perlu bagi saya untuk sabar dengan dugaan kerana setiap kesusahan itu ada kesenangan.

“Cuma ketika musim peperiksaan, pengetua menyarankan saya makan kurma, minum madu dan susu, malah sebagai persediaan menghadapi peperiksaan saya berpuasa dari hari pertama peperiksaan hingga hari terakhir.

“Bagi saya, itu usaha terakhir yang boleh dilakukan selepas berusaha,” katanya yang bercita-cita menjadi profesor.

Azali juga mengakui pernah berputus asa, bagaimanapun menganggapnya sebagai satu dugaan yang perlu dihadapi sebelum mencapai kejayaan yang diingini.

“Pernah juga rasa tak boleh menguasai (mata pelajaran). Itulah dugaan yang saya alami sebenarnya. Untuk pulihkan keyakinan saya jumpa kaunselor, selain berbincang dengan ayah dan keluarga.

“Mereka banyak bagi kekuatan untuk saya. Biasanya ayah akan nasihatkan saya supaya melakukannya selagi ia bukan satu dosa. Kemudian, saya akan cuba bina keyakinan diri untuk meneruskan usaha,” katanya.

~tahniah untuk adik ini di atas kejayaan cemerlangnya~

Ramai di kalangan kita pernah belajar Bahasa Arab sama ada secara rasmi ataupun tidak. Bagaimanapun kebanyakan mereka masih ada yang mengeluh menyatakan belum dapat menguasai kemahiran Bahasa Arab.

Ada juga yang bertanya, apakah rahsia untuk mahir berkomunikasi dalam Bahasa Arab? Apakah tip mudah untuk menguasai bahasa Nabi ini? Apakah teknik mudah untuk memahami dan mendalami bahasa ini dengan mudah? Berapa lama pula masa yang diperlukan?

Sehubungan itu, penulis ingin mengajak para pembaca untuk sama-sama berkongsi pengalaman bagaimana kita boleh meningkatkan kemahiran berbahasa Arab.

Secara umumnya, jika kita tahu cara dan teknik yang betul dan sesuai untuk mahir dalam bahasa al-Quran, ia adalah sangat mudah. Pendekatan teknik mudah inilah yang jarang didedahkan kepada para pelajar. Dalam hal ini, kita memiliki banyak kelebihan anugerah Allah yang kita tidak manfaatkan secara maksimum.

Dengan kata lain, kita perlu memasukkan beberapa unsur yang sering dilupakan dalam pembelajaran biasa. Antara unsur itu ialah konsep kata pinjaman, zikrullah, panggilan mesra berkomunikasi, intonasi yang sesuai, bahasa badan yang meyakinkan dan penggunaan ayat al-Quran dan hadis.

Pendekatan belajar mudah bahasa Arab ini menggabungkan beberapa elemen penting dan beberapa konsep unik yang kita abaikan sebelum ini. Antara konsep itu ialah:

* Konsep Memanfaatkan Kelebihan Memiliki Kata Pinjaman.

Kita sebagai rakyat Malaysia yang telah menguasai Bahasa Melayu dikira cukup bertuah berbanding rakyat Argentina, Jepun, Brazil dan lain-lain. Bahasa yang mereka tuturkan hampir tiada persamaan dengan bahasa Arab. Ini berbeza dengan bahasa Malaysia yang kita gunakan seharian.

Dalam Kamus Dewan sahaja terdapat lebih 1,700 perkataan berasal daripada perkataan Arab. Jadi apalah salahnya, kata pinjaman yang berasal daripada bahasa Arab itu kita gunakan semula dalam membina ayat mudah dalam bahasa Arab.

Dalam peperiksaan Bahasa Arab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), calon dikehendaki menulis karangan sekurang-kurangnya 150 patah perkataan. Ini sudah tentunya amat mudah kerana kita ada lebih 10 kali ganda daripada itu iaitu 1,700 patah perkataan dalam bahasa ibunda kita. Cuma, persoalannya bagaimana kita menggunakan kelebihan ini.

Untuk itu, satu kaedah baru telah diperkenalkan yang diberi nama MUKADDAM. Kaedah MUKADDAM ini adalah singkatan (Membandingkan Unsur-unsur Kalimah Arab Dengan Dialek Alam Melayu).

Ia adalah satu pendekatan mudah belajar bahasa Arab terutamanya untuk rakyat Malaysia yang sudah menguasai Bahasa Melayu. Konsep yang ingin diketengahkan sebenarnya cukup mudah.

Setiap hari cuma satu kata pinjaman sahaja yang akan dihurai, diguna dan dipraktikkan. Inilah yang dikatakan, sehari sehelai benang, lama-kelamaan menjadi selembar kain.

Begitu juga dalam konteks belajar bahasa Arab yang mudah ini. Sehari satu kata pinjaman lama kelamaan as-hala qamusin. Apa yang dimaksudkan dengan as-hala qamusin ialah sebuah kamus yang paling mudah difahami.

* Konsep Zikrullah

Ada satu soalan yang sering ditanya kepada kita. Kebanyakan daripada kita pun pasti akan menjawabnya dengan jawapan yang sama atau hampir sama. Soalan itu ialah Kaifa haluk? (Apa khabar saudara?) Jawapannya ialah Ana bikhair wal hamdulillah (saya baik dan alhamdulillah).

Apa yang ingin dibicarakan di sini ialah jawapan alhamdulillah iaitu menyebut nama Allah. Persoalannya kenapa soalan ini sahaja kita menjawabnya dengan menyebut nama Allah? Kenapa dalam soalan lain atau suasana yang lain kita tidak mampu menyebut nama Allah?

Sehubungan itu, kita akan mengaitkan apa saja ayat yang kita bina dengan satu zikrullah yang paling sesuai. Dalam hal ini sekiranya kita mudah mengingati Allah, Allah akan memudahkan kita untuk belajar mengingati perkataan lain.

l Konsep Panggilan Mesra

Dalam komunikasi berkesan kita digalakkan menyebut nama, gelaran atau pangkat seseorang. Dalam al-Quran, perkataan ya… (seruan yang bermakna wahai…) disebut sebanyak 361 kali.

Sehubungan itu kita boleh mulakan dengan panggilan mesra atau panggilan mesra diletakkan di awal atau di hujung percakapan.

Terdapat dua faedah utama yang boleh kita peroleh sekiranya kita menggunakan konsep ini. Faedah pertama kita dapat membanyakkan atau memanjangkan ayat yang kita bina. Faedah kedua pula dapat mengeratkan hubungan komunikasi antara kita dan orang yang kita hubungi.

* Konsep Intonasi

Dalam pembelajaran bahasa Arab secara tradisional, para pelajar dikehendaki membaca beberapa ayat dalam satu intonasi sahaja. Oleh itu dalam kaedah mudah ini, pelajar dikehendaki melakonkan satu perkataan dalam pelbagai intonasi.

Sebagai contohnya perkataan La yang bermakna tidak atau penafian. Seorang pelajar yang menghayati bahasa Arab mampu membuat pelbagai intonasi yang sesuai berdasarkan masa, tempat dan kedudukan walaupun hanya satu perkataan.

Perkataan La boleh dialunkan intonasinya dalam keadaan biasa, menafikan cara lembut, menafikan secara bersungguh-sungguh, menafikan cara keras, secara mengada-ngada, geram, marah, bersahaja, terkejut, kagum dan sebagainya.

* Konsep Bahasa Badan

Ini diambil dari konsep iman iaitu membenarkan dalam hati, melafazkan dengan lidah dan melakukan dengan anggota badan. Dalam pembelajaran bahasa Arab secara tradisional, para pelajar hanya menggunakan dua pertiga sahaja. Mereka jarang menggunakan anggota badan untuk membantu pertuturan mereka.

Sehubungan itu, berteraskan modal insan, para pelajar dikehendaki menggunakan bahasa badan mereka sebagai sokongan. Ini secara tidak langsung akan memudahkan mereka berinteraksi dengan lebih menyakinkan dan menyenangkan mereka menghafal perkataan baru.

Dalam hal ini, kita ambil satu contoh mudah. Mr. Bean, seorang pelakon popular telah mengaplikasikan konsep iman ini dengan menjadikan bahasa badan sebagai teras dalam aksi komedinya.

Filem beliau terkenal, difahami dan diterima pakai di seluruh dunia. Kini, beliau boleh dikatakan seorang yang berjaya dalam bidang lakonan. Kenapa anda tidak mahu mencuba konsep iman ini semasa belajar Bahasa Arab?

* Konsep Pengukuhan Dengan ayat al-Quran, al-hadis dan Kata-kata hikmat

Untuk pengukuhan kita gunakan perkataan yang digunakan dalam al-Quran, hadis atau kata-kata hikmah. Sebagaimana kita maklum, bahasa al-Quran tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pakar bahasa.

Begitu juga dengan al-Hadis dan kata-kata hikmat dalam bahasa Arab yang boleh dijadikan sebagai panduan penting dalam mempelajari bahasa Arab ini.

Sehubungan itu, kita sepatutnya menggunakan kekuatan yang kita ada ini berbanding pelajar yang belajar bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa Arab tidak dapat menggunakan kelebihan ini. Jika kita tidak memanfaatkan kelebihan ini, sudah tentu kita akan mengalami suatu kerugian besar.

Keenam-enam konsep ini telah diterapkan sedikit demi sedikit dalam program MAHIR. Pemilihan perkataan MAHIR ini berdasarkan beberapa faktor. Antaranya ialah mahir adalah kata pinjaman yang berasal daripada Bahasa Arab. Ia mudah difahami dengan mudah oleh kebanyakan warga Malaysia.

……insyaallah artikel ini berguna untuk rujukan anakku Hafiz……..


Kalendar

Mac 2008
I S R K J S A
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Blog Stats

  • 913,676 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada