bila hatiku berbicara

Archive for Jun 20th, 2009

KUALA LUMPUR: Sempena menyambut ulang tahunnya ke-130 pada tahun ini, Kumpulan Eu Yan Sang menganjurkan makan malam amal bagi mengumpul dana untuk mengisi tabung Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Program amal ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan selain menyumbangkan bantuan kepada sekolah, rumah anak yatim serta organisasi yang bukan berasaskan keuntungan.

Presiden Eu Yan Sang (1959) Sdn Bhd, Datuk Anne Eu Leong Kwei Chun, berkata pihaknya memilih TAFF untuk menyalurkan sumbangan dalam program amal ini kerana objektifnya membantu pasangan yang tidak subur dan gagal mendapatkan cahayamata.

“Kami memilih TAFF kerana yayasan ini membantu merealisasikan impian pasangan yang tidak subur untuk mendapatkan anak.

“Ini selaras dengan moto Kumpulan Eu Yan Sang iaitu ‘ambil berat terhadap manusia’ dan kerana itu, dana yang bakal dikumpul dalam program amal berkenaan akan disumbangkan kepada TAFF,” katanya pada sidang media semalam.

Pengasas dan Presiden TAFF, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, berkata sejak penubuhan TAFF pada Ogos 2004 ada 6,000 pasangan memohon untuk mendapatkan bantuan, namun TAFF hanya mampu memilih sehingga 60 pemohon saja.

“TAFF hanya memilih 60 pasangan saja setahun kerana ia memerlukan kos yang tinggi sehingga RM1 juta.

“Kos yang diperlukan untuk setiap pasangan ialah antara RM15,000 hingga RM30,000 bergantung kepada tahap ketidaksuburan pasangan dan umur,” katanya.

Menurutnya, kini TAFF akan menanggung sepenuhnya kos untuk rawatan bagi membolehkan pasangan berkenaan mendapat cahayamata.

“Setakat ini, seramai 171 pasangan sudah mendapatkan rawatan melalui bantuan daripada TAFF dan seramai 49 bayi berjaya dilahirkan melalui rawatan berkenaan.

“Saya berharap orang ramai dapat datang ke Hotel Shangri-La, di sini, pada 18 Julai ini bagi menyokong program amal ini dan seterusnya memberi sumbangan kepada TAFF untuk membantu pasangan yang memerlukan rawatan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai makan malam amal sila hubungi Chin Siak Lian di talian 03-21168268.


Kalendar

Jun 2009
I S R K J S A
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Blog Stats

  • 913,677 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada