~Huihh.. boleh tahan pompuan lo ni brutalnyaaa~
Posted November 8, 2007
on:- Dalam: Uncategorized
- Tinggalkan Komen
Serangan lima gadis samseng
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
Pelajar perempuan tahan derita ditumbuk, ditendang selama 10 minit
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu depan terpaksa mengulang kaji pelajaran di katil hospital selepas diterajang ala kungfu oleh sekumpulan rakan perempuan sekolahnya di Taman Maluri, Cheras di sini, pagi kelmarin.Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, Siti Ruhana Mohd Ramli, 17, ditumbuk di perut dan diterajang di bahagian kemaluan.
Berikutan itu, mangsa mengalami kesakitan dalam perut serta pendarahan ketika membuang air kecil.Menceritakan kejadian itu, Siti Ruhana berkata dia dipanggil seorang pelajar perempuan dari kelas lain ketika khusyuk mengulang kaji pelajaran.
“Pelajar tingkatan lima yang saya kenali itu meminta saya ke belakang (kelas) kerana mendakwa ada sesuatu yang ingin dibincangkan.
“Sebaik sampai di sana, ada lima pelajar perempuan dan tiga pelajar lelaki di situ,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, dia terus dimaki-hamun kumpulan pelajar perempuan terbabit yang dipercayai tidak puas hati dan berselisih faham dengannya.
Sejurus selepas itu, dengan tidak semena-mena seorang pelajar perempuan memegangnya manakala seorang lagi pelajar perempuan menumbuk perutnya.
“Selepas ditumbuk di perut, pelajar perempuan itu turut menendang kemaluan saya tiga kali menyebabkan saya mengalami kesakitan yang amat sangat.
“Kejadian itu berakhir selepas kira-kira 10 minit saya diperlakukan demikian,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.
Siti Ruhana berkata, sambil menahan kesakitan dia menggagahkan diri masuk ke kelas dan menghubungi bapanya untuk meminta dihantar ke klinik.
Katanya, bapanya yang tiba tidak lama kemudian meminta kebenaran guru untuk menghantarnya ke klinik.
“Saya bagaimanapun dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan kecederaan yang dialami.
“Pemeriksaan doktor mendapati bahagian dalam perut saya membengkak kesan perbuatan pelajar terbabit.
“Saya juga mengalami pendarahan ketika membuang air kecil menyebabkan saya ditahan di wad untuk rawatan lanjut,” katanya.
Siti Ruhana berkata, dia yang bakal menduduki SPM minggu depan kini trauma dengan kejadian yang pertama kali dialami dalam hidupnya.
Berikutan itu, bapa mangsa membuat laporan di pondok polis HKL beberapa jam selepas kejadian itu.
Tinggalkan Jawapan