bila hatiku berbicara

Archive for Oktober 13th, 2007

Oleh Aminudin Mansor

SELEPAS berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan di bulan Ramadan dengan pelbagai ujian dan dugaan, umat Islam menyambut Hari Raya Puasa atau Aidilfitri dengan penuh kemenangan dan kejayaan.

Aidilfitri disambut dengan penuh meriah tetapi Islam melarang umatnya membazir dan berbelanja secara berlebihan ketika merayakannya.

Islam menyeru umatnya ke arah matlamat luhur. “Kamu adalah umat yang terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.” (Ali-Imran: 110)

Oleh itu, umat Islam mestilah merayakan Aidilfitri dengan penuh bermakna melakukan perkara kebaikan dan meninggalkan perkara mungkar. Sepanjang malam Aidilfitri kita disunatkan memperbanyakkan takbir.  Takbir Aidilfitri hendaklah dilakukan di merata tempat dan waktunya sama ada selepas sembahyang fardu, ketika menziarahi saudara-mara, masjid, rumah ke rumah dan sebagainya.

Waktu takbir bermula dari matahari terbenam pada akhir Ramadan (awal Syawal) jika keesokan hari 1 Syawal.

Takbir ada dua cara, pertama takbir Mursal iaitu takbir yang dibacakan pada waktu yang tidak mengikuti sembahyang manakala kedua, takbir Muqaiyyad iaitu takbir yang dibacakan selepas sembahyang.

Bagi sesetengah kampung dan tempat, bertakbir sudah menjadi amalan dan diikuti dengan majlis tahlil serta berkunjung ke rumah jiran atau saudara-mara bagi merapatkan silaturrahim.

Amalan dan nilai murni menyambut raya seperti ini patut dikekalkan. Ini kerana anak muda yang berhijrah ke kota sudah pulang ke desa untuk bersama keluarga pada malam Aidilfitri.

Malam itu dikenali sebagai malam Lailatul Ja’izah (malam pengurniaan hadiah). Waktu bertakbir berakhir pada takbiratul ihram sembahyang sunat Aidilfitri.

Sembahyang sunat Aidilfitri disyariatkan dalam tahun pertama Hijrah. Dalam hal ini, Anas bin Malik berkata Rasulullah s.a.w datang ke Madinah yang ketika itu penduduknya sudah mempunyai dua hari besar yang sentiasa mereka rayakan.

Lantaran Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t menggantikan dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (Ahmad, Abu Daud, Nassa’ei dan Al-Baihaqi)

Allah berfirman yang maksudnya: “Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa Ramadan) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqarah: 185)

Jelaslah Aidilfitri adalah hari kebesaran untuk mengagungkan Allah dan mensyukuri segala nikmat dan petunjuk yang diberikan-Nya.

Cara menunjukkan kesyukuran ialah dengan kesederhanaan selain beribadat.

Antara ibadat yang perlu dilakukan dalam menyambut Aidilfitri ialah menghidupkan malamnya dengan pelbagai ibadat, bersesuaian dengan riwayat Ubadah Shamit bahawa Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha, hatinya tidak akan mati tatkala matinya hati orang lain.”

Banyakkan bertakbir, istighfar dan memuji kebesaran Allah pada malam raya.

Selain itu, amalan yang baik ialah mandi, bersugi (membersihkan gigi) dan memakai wangian serta disunatkan menjamah makanan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Dalam mengerjakan sembahyang Aidilfitri atau berziarah, disuruh memakai pakaian bersih dan cantik.

Menurut Hassan Ali, Rasulullah menyuruh mereka memakai pakaian paling baik serta memakai minyak wangi paling bermutu mengikut kemampuan mereka.

Amalan ini patut digalakkan kepada umat Islam kerana ia menunjukkan kebersihan dan melahirkan kegembiraan ketika menyambut Aidilfitri.

Buraidah berkata: Rasulullah s.a.w tidak berangkat menunaikan sembahyang Aidilfitri sebelum baginda makan.

Sebaliknya, untuk sembahyang Aidiladha, Rasulullah tidak makan sebelum selesai mengerjakan sembahyang.

Selepas sembahyang, Rasulullah memakan hati binatang yang dimasak iaitu kor -bannya.

Umat Islam juga disuruh segera menunaikan sembahyang raya iaitu selepas selesai mengerjakan sembahyang Subuh, hendaklah bersiap untuk ke masjid.

Sebagai mengeratkan silaturrahim, umat Islam disuruh mengunjungi rumah saudara lebih tua, sahabat dan jiran.

Ziarah menziarahi sangat digalakkan dan patut menjadi amalan murni umat Islam selain menziarahi kubur.

Al-Alamah Ibnu Rajab menukilkan dalam kitabnya, Al-Lata’if, katanya: “Orang yang arif saling menziarahi antara mereka. Seorang daripada mereka berkata: Aku ingin berbicara dengan kamu, katanya: Hari ini adalah hari raya. Kemudian meninggalkan sahabatnya itu, datang lagi pada hari lain.”

“Lelaki itu bertanya kepadanya: Alangkah banyak hari raya kamu. Dikatakan kepadanya: Wahai si gagah perkasa, adakah engkau tidak mengetahui bahawa setiap hari di mana tidak bermaksiat adalah juga hari raya.”

Kesimpulannya, sambutan Aidilfitri boleh dilakukan mengikut tradisi dan budaya Melayu serta berlandaskan Islam.

Selepas sembahyang sunat Aidilfitri, mereka digalakkan menziarahi ahli keluarga, sahabat handai dan jiran bagi mengukuhkan ikatan silaturahim.


Kalendar

Oktober 2007
I S R K J S A
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031  

Blog Stats

  • 913,678 hits

Shoutbox

Top Clicks

  • Tiada